Powered By Blogger

Friday, January 09, 2009

Kutuk Kekejaman Israel





Carlos Latuff, kartunis dari Brazil mengajak warga dunia mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestine, di Gaza.

Pesananya:

Saya merayu kepada keseluruh pembaca untuk menyebarkan imej-imej ini demi menededahkan ketidak-perikemanusian Israel terhadap kaum Palestin. Gunakanlah imej-imej ini pada kemeja-t, spanduk-spanduk dan poster. Cetakkanlah dalam majalah, akbar dan paparkanlah merata-rata semata-mata untuk menyedarkan manusia terhadap tragedi yang sedang melanda Palestin. Gambar yang beresolusi tinggi untuk cetakan terdapat di sini.

Terima kasih bagi pihak rakyat Palestine yang sedang sengsara.


















Wednesday, January 07, 2009

Kenapa Tak Peduli?





Selagi roti canai masih senang didapati;
Selagi teh tarik masih dapat dinikmati;
Selagi masih dapat menghirup Pepsi dan mamah pizza,
Selagi dapat berwifi di Starbuck sambil pesan-pesan kopi;
Apa peduli pada jeritan kanak dan wanita di Gaza,
Apa peduli pada kekejaman Yahudi;
Kita apa peduli,
Kita apa peduli,
Bukan anak kita yang mati.







Nanti bila benar azan sudah tidak dikasi,
Baru kita sedar kita sendiri dikepung fikrah Yahudi,
Kalau pintu Gaza dikunci Masri,
Pintu kita dikunci sendiri.

Sudah lambat mau ambil peduli.



Friday, January 02, 2009

Jumaat Lalu Tahun Lepas




Hari ini seminggu lalu aku menghadhiri pengebumian dua teman. Kedua-duanya mati akibah kanser. Pada paginya Lukman dan petangnya Nik Ruslin.

Allahyarham Lukman seorang pensyarah universiti yang gigih pengelibatannya dalam pembinaan kapasiti tenaga mahir dalam perbankan Islam. Allahyarham Nik pula bertugas di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan mengetuai Jabatan Pasaran Modal Islam. Kedua-duanya amat aktif dalam perbankan dan kewangan Islam.

Hanya dua minggu lalu aku bertanyakan Puan Saidah, kakak kepada Lukman tentang ehwal adiknya dan beliau menyuarakan dengan keseronokan tentang perkembangan kesihatan pada dirinya. ”Lukman beransur pulih. Matanya sudah boleh bergerak, meskipun belum ada penglihatan,” begitulah ceritanya. Allahyarham menghidapi lymphoma atau kanser darah.

Tentang keadaan Allahyarham Nik pula, baru dua bulan lalu aku meminta Kak Has untuk memberi pandangan tentang apa yang perlu dijalaninya, mengikut kaedah alternatif. Kebetulan ketika itu beliau pulang ke KB untuk menziarahi keluarga. Mereka tidak bertemu tapi dari perbualan Has dengan isterinya Has memberitau, ”I think the hubby needs urgent attention.” Apabila Nik menaliponku selepasnya, dari getaran suaranya, meskipun beliau bersungguh mengatakan, “Hor, sihak doh. Cumo kade-kade senok jo sikik,” dapatku merasakan bahwa keadaanya tidak sepertimana jawapannya. Begitulah sikap Allahyarham, sentiasa tidak mau menyusahkan sesiapa.

Meskipun banyak yang hendakku ceritakan tentang pengalamanku bersama Allahyarham, memadailah apa yang ditulis oleh Nazri Chik , OSH dan Zahid Aziz tentang beliau.

Allahummagh firlahum warhum.

Kepada Syed H pula, jazakallahu khairan atas pemberian kumpulan awrad Imam Abdullah al Haddad dan lain-lain padanya.



Tuesday, December 09, 2008

Takziah, Syed H




Pagi itu hari biasa-biasa. Tak ada apa-apa yang mengejutkan dunia. Apatah lagi suasana politik tempatan. Phoneku seperti biasa. Sesekejap berbeep-beep tanda isyarat ada mesej rengkas (sms) diterima. Antaranya, ”Ummi ana baru meninggal. Inna lillahi wainna ilahi raajiun.”

Ku amati lagi. Benar ini mesej dari Syed. Syed akrab denganku. Terus aku menaliponnya. Tapi taliannya sibuk dan akhirnya setelah kesekian kalinya, dapat menghubungi beliau.

”Bib!” sahutku.

Sebelum sempat aku meneruskan, ”Tak. Tak. Ana silap. Ummi ana bernafas. Tadi silap.”

”Aaih. Boleh silap!” fikirku. ”Bagaimana?” Soalku dalam terkejut.

”Sekarang kami dah panggil ambulan. Nak ke Hospital.” Sambut Syed lagi.

Tengah hari itu aku ke hospital untuk menziarahi Umminya dan Syed.

”Laa Bib,” beliau menerpaku, ”Wallahi tadi kami sangka benar-benar Ummi dah pergi. Jadi kami dah ikat dagunya dan qiyamkan tangannya, dan hampir-hampir nak menyelimutnya, tiba-tiba nampak pernafasan. Masha Allah. Betul-betul panjang umur. Ummi sakit lama, jadi kami pun dah bersedia.”

”Mi,” Syed menegur Umminya yang sedang terlantar, ”ini Keng. Akraba ana.” Umminya tersenyum dan sekilas pandang seolah-olah tiada apa-apa padanya. Hanya esoknya, beliau di-bypass. Dan selepasnya, Umminya Syed sihat dan bertambah sihat.

Itu hampir enam bulan dulu.

Sehari sebelum Eid, banyak berita yang mengejutkan kotaraya KL. Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kemalangan ngeri bas ekspres di Tangkak. Dan aku menerima sms lagi. Kali ini juga dari Syed.

”Ummi ana meninggal. Solat di Masjid selepas Zuhur.”

Cepat-cepat aku menalipon Syed. ”Bib! Soheh ke?”

”Ya. Sudah waktunya. Inna lillahi wa inna ilaihi raajiun.” Jawabnya tersedu.

Hari itu kami menghantar Umminya kepenginapan terakhir. Baik pemergiannya. Harinya dan bulannya dan waktunya. Ramai yang hadhir untuk menyolatkan.

Tinggal tahap ketiga – selepas alam ruh, janin dan dunia. Menuju ke-empat. Didoakan semoga Umminya Syed dalam keselesaan Barzakh.


Monday, December 08, 2008

Haji si Tukang Sepatu






Diriwayatkan Sheikh Abdullah bin Mubarak (RA), seorang ulamak yang terkenal bermimpi sewaktu terlena di depan Kaabah. Abdullah bermimpi melihat dua malaikat yang turun ke bumi dan berbual-bual antara mereka.

Malaikat pertama memulakan kata, “Tahukah kamu berapa ramai yang mengerjakan haji pada tahun ini?”

”Enam ratus ribu,” jawab yang kedua.

Kebetulannya Abdullah bin Mubarak juga mengerjakan haji musim yang sama.

”Berapa ramai yang mabrur?” tanya malaikat pertama lagi.

”Saya tak yakin kalau-kalau ada sesiapa yang mabrur pada kali ini.” Jawab yang kedua.

Apakala mendengar jawapan ini Abdullah bin Mubarak menjadi sedih. Beliau mengenangkan tentang jumlah manusia yang telah merentangi padang pasir, mengharungi lautan luas dan meredah hutan belantara untuk sampai ke Makkah; dalam keadaan yang begitu mencabar. ”Tak akan sekali Allah SWT yang Maha Penyayang akan membiarkan segala usaha dan harta-benda di sia-siakan,” fikirnya.

Tapi beliau terkejut apabila mendengar kata-kata Malaikat pertama lagi. ”Ada seorang si tukang kasut dari Damsyik, bernama Ali al-Mufiq, yang tidak dapat mengerjakan haji, tapi Allah SWT menanugerahkannya pahala mabrur. Allah SWT menerima niatnya untuk menunaikan ibadat haji dan kerananyalah maka kesemua hujjaj pada tahun ini diterima haji mereka."

Apabila Abdullah bin Mubarak tersedar dari tidurnya beliau membuat keputusan untuk pergi ke Damsyik dan mencari Ali al-Mufiq, yang begitu disanjung oleh malaikat dan dirai olah Allah SWT.

Setibanya di Damsyik, setelah bersusah payah mencari Ali al-Mufiq, akhirnya bertemulah beliau dengannya.



“Siapa nama mu?” Tanya Abdullah.

”Ali al-Mufiq”

”Apa pekerjaanmu?”

”Biasa-biasa, sekadar si tukang sepatu,” jawab Ali al-Mufiq kehairanan. ”Siapa kamu,” tanyanya pula pada Abdullah bin Mubarak.

”Abdullah bin Mubarak.”

Apabila mendengar nama yang tersohor ini, Ali al-Mufiq bertambah hairan kerana telah diziarahi oleh ulamak yang begitu ternama dan amat dirai.

Setelah ditanya oleh Abdullah bin Mubarak tentang niatnya untuk mengerjakan haji, beliau menerangkan, ”Memang niatku sudah lebih 30 tahun untuk menunaikan haji, dan pada tahun ini perbelanjaanku akhirnya mencukupi. Tapi takdir Allah SWT mengatasi segala-galanya. Niatku tidak dapat dilaksanakan.” jawab beliau.

“Kenapa ditakdirkan?” Tanya Abdullah bin Mubarak.

”Ketentuan Allah SWT mengatasi segala-galanya,” jawabnya rengkas.

Setekah didesak-desak Abdullah bin Mubarak, beliau pun menerangkan. ”Pada suatu hari aku pergi menziarahi jiranku. Kebetulannya mereka sedang makan. Tapi hairannya tidak sebagaimana kebisaan sebelum dapat aku masuk kerumahnya, jiranku yang kelihatan sugul, menerpa keluar dan berbisik kepada ku."

”Maafkan kami ya Ali,” katanya, ”Maaf kerana kami tak dapat mengajakmu makan bersama. Kami sudah tiga hari tak mempunyai makanan maka pada hari ini, kerana kesiankan anak-anakku, aku keluar mecari kalau ada apa-apa makanan yang dibuang jiran yang dapat dikutip dan dibawa pulang untuk hidangan. Yang aku jumpa hanya bangkai se ekor keldai. Maka aku memotong bahagiannya dan inilah yang dihidangkan pada anak-anakku. Pada kami bangkai ini halal kerana dalam keadaan dharurah, yang ditegah dibenarkan. Maka sebab itulah aku tak dapat mengajakmu bersama-sama menjamah juadah tersebut.”

”Hatiku luka,” jawab bin al-Mufid, “apakala mendengar keterangan tersebut. Lantas aku pulang dan mengambil duit tabunganku untuk ke Makkah kerana pada pendapatku membantu jiran yang dalam kesusahan adalah lebih mulia dari hasrat untuk menunaikan haji. Dan sekiranya ada rezekiku pasti Allah SWT akan meluangkan peluang lagi padaku."

Begitulah tercuitnya hati Abdullah bin Mubarak apakala mendengar kisah Ali al-Mufid tadi.

Sesungguhnya sebagaimana firman Allah SWT dalam hadith Qudsi, ’Sekiranya kau ringankan bebanan umat-KU maka AKU akan lebih meringankan bebananmu.’ Kelaku Ali al-Mufid dan pengorbananya bukan setakat diganjarkan Allah SWT dengan haji yang mabrur tetapi juga tempiasannya telah memabrurkan kesemua hujjaj pada tahun itu. Segala-gala yang dikurniakan Allah tidak sama sekali meluakkan khazanah rahmat-NYA yang maha Shomad.

_______________________________

Haji sebenarnya adalah perjalanan yang menyalakan jiwa raga dan ruh seseorang untuk membawa seseorang ke dimensi waktu di alam dunia kepada waktu ianya akan bertemu dengan Yang Maha Khaliq.

Pengerjaan ibadah haji akan membawa seseorang kepada taraf yang tertinggi. Haji yang mabrur akan dicapai apakala seseorang dapat mengaitkan keadaan dirinya kepada kehendak Allah SWT dalam hal-hal yang berkait dengan makhkuk-NYA.

Dan sebaik-baik pengorbanan adalah yang mengatasi kehendak nafsu.





EID MUBARAK.


Wednesday, November 26, 2008

Haru Biru







Itu mufti-mufti mau kasi marah sama saya ke; kasi halau ke; kasi haram ke, itu raja mesti dulu punya tanya. Tadak tanya kalu, banyak susah punya hal. Sikarang tengok apa sudah jadi? Situ haram, sana haram, sini halal, situ halal.

Satham podathe!

Tepuk dada tanya selera.


Sumber Gambar:
Wikipedia. Patung yogi di Birla Mandir, Delhi.




Saturday, November 01, 2008

ALLAH DAN DAKU






Tika ku pohon kepada Illahi kekuatan;
Allah memberiku kesulitan,
padat dengan dugaan;
agar aku membina kekentalan dan kewibawaan.

Tika ku pohon kepada Illahi kebijaksanaan;
Allah memberiku masalah,
supaya ku lebih berusaha dengan segala keupayaan
sehingga menemui penyelesaian.

Tika ku pohon kepada Illahi keberanian;
Allah memberiku ujian, dugaan dan cubaan,
supaya dapat ku lintasi rintangan,
tanpa semangat dipatahkan dengan kekecewaan.

Tika ku pohon kepada Illahi sebuah cinta;
Allah menemukanku kepada manusia,
bermasalah dan menderita,
untuk ku taburkan kegembiraan,
dan hilangkan nestapa.

Tika ku pohon kepada Illahi bantuan;
Allah mencelikkan ku keadaan kesusahan,
betapa ramai yang lebih mengharapkan.
Memberiku kesempatan,
untuk membina bakti dan menghulur kebajikan.

Allah,
tidak pernah memberi apa yang ku pinta.
Tapi sentiasa memberi,
apa yang amat ku perlukan.

Hidup ini penuh jawaban
Kepada permintaan dan harapan.
Hanya memerlukan keupayaan,
untuk menilai kenikmatan terpendam.


Nota:
puisi ini ilhamnya dari OY di KK, yang menerimanya pula dari HR yang masih dalam uzlah di kepulauan.





Sunday, October 26, 2008

Ello miss







Ello Miss, Ello miss,
Yenggeh poringge?

Ello Miss, Ello Miss,
Yenggeh poringge?

Saturday, October 18, 2008

Api dari Riba





Entri ini untukmu, Bergen:



Sehingga kini, bara-bara dari api yang membakar hutang-lapuk sub-primes iaitu hutang-hutang dari pembiayaan bertaraf rendah di USA masih menyala-nyala. Apa yang hanya dua bulan dulu disangka sebagai hanya bara-bara kecil rupanya membakar dalam sekam dan telah merebak dengan kuat sehingga melarat ke benua Eropah dan mengakibatkan antaranya Iceland menjadi bankrap. Begitulah padahnya. Bank-bank ternama hancur. Hancur sehingga tiada ada yang dapat diselamatkan.

Banyak yang bertanyakan kepada saya tentang gejala ini. Jawapan yang saya beri hanya satu. "Ini adalah peperangan yang kita sudah diamarankan." Dalam surah al Baqarah, Allah SWT telah berfirman keras tentang dosa riba atau interest; dan mengamarankan lagi bahawa peperangan akan diistiharkan atas sesiapa yang mengamalkan riba, oleh Allah dan Rasul-NYA. Perkataan yang digunakan adalah PEPERANGAN dan bukannya yang lebih ringan dari itu.

Rasululullahi sollahu 'alaihi wassalam pula bersabda bahawa pada akhir zaman, "pengamalan riba akan berleluasa dan melekat pada masyarakat umpama debu-debu yang melekat pada pakaian. Halus dan mendalam." Dan sabda beliau lagi, "Sekecil-kecil dosa riba adalah umpama seseorang yang berzina dengan ibunya sendiri."

Kini kesan-kesan dari malapetaka ini sudah merebak ke negara-negara lain. Lambat laun tidak akan bernilailah kertas-kertas yang dipanggil wang. Fiat currencies yang bernilaikan kepada janji. Berapakah nilai kerajaan Iceland? Negatif. Rendah dari kosong. Arahan perdana menterinya kepada rakyatnya, "Pergilah kelaut untuk menjadi nelayan." Apa pula kelak nasihat PM kita (sesiapa saja) kepada kita sebelum Malaysia tenggelam ke tahap recessi?

Dan saya terpanggil pula untuk mengingatkan tentang banyak hadith-hadith fi alamatis sa'ah iaitu tanda-tanda akhir zaman dari kitab Mishkatul Masabih, yang menceritakan tentang Dajjal yang akan datang untuk membawa kekayaan kepada penduduk dunia, untuk mengeluarkan mereka dari kesusahan yang diakibahkan dari kepapaan.

Ya Allah lindungikanlah kami dari fitnah al Masihid-Dajjal.


Nota: Apa pula komen dari Ordinary Superhero?




Tuesday, September 30, 2008

Afdhalnya






Bersedekah pada pengakhir Ramadhan
Banyakkan ibadat pada malam 'Eidulfitri
Mandi sunat eidulfitri
Cepat ke masjid dan berdoa ketika sebelum solat


Bersedih kerana berpisah dengan bulan yang penuh barkah dan maghfirah.

Kepada teman-teman bloggers sekalian
EID MUBARAK
MINAL 'AA IDIINAL WAL FAAIZIINA WAL MAQBULIN
KULLU 'AAMEN WA ANTUM BIKHAIR



Saturday, September 27, 2008

Go For Broke




Dalam meneka-neka sudah atau belum, ia atau tidak kedatangan Layla, kita mempunyai malam ganjil terakhir pada malam 29 Ramadhan ini.

Memutuskan harapan kepada-NYA antara terbesar dosa yang dapat dilaksanakan manusia. Merintih dengan penuh harapan, itulah penyebab yang terkecil yang Allah nantikan dari kita untuk pengampunan-NYA.

Allahumma innaka 'afuwun Kariim,
tuhibbul afwa, fa'fu 'anna


Ya arhamarraahimin-irhamna


Kurbankanlah tidurmu dan cekanglah matamu. Ganjarannya seumpama seribu bulan.


Sunday, September 21, 2008

Layla oh Layla



Sebagaimana anda, aku juga mencari Layla.

Seandainya anda yang menemuinya, ingatkanlah Layla tentang kerinduanku padanya. Kerinduan yang amat memuncak dan mendadak; penuh dengan harapan, pujukan dan rayuan. Aku inginkan dakapan erat Layla dan tak rela dipisahkan.

Aku akan membelaimu dengan kasih sayangku wahai Layla. Oh Layla. Engkau menjadi rebutan insan.


Hadith menyatakan bahawa ehwal keadaan setiap manusia ditentukan pada malam al Qadr. Apakala Baginda Rasulullahi Sollahu 'alaihi wassalam ditanya caramana umat dapat menikmati rahmah dari Allah SWT, beliau menyatakan tentang du'a Nabi ALlah Musa a.s. dan jawapan Allah SWT kepadanya:

Ya Allah, aku inginkan penghampiran dan pendekatan kepada-MU. Allah SWT menjawab, "Penghampiran dan pendekatan kepada-KU adalah kepada mereka yang berjaga pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku inginkan kasihan belas-MU. Allah menjawab, "Kasihan belas-KU adalah pada yang menunjukkan kasihan belas kepada faqir dan miskin pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku inginkan bantuan-MU untuk mempermudahkan laluanku pada Siratul Mustaqim. Allah menjawab, "Itu hanya keistimewaan pada yang bersedeqah pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku inginkan pokok-pokok untuk teduhan serta menikmati buah-buahnya di Syurga-MU. Allah menjawab, "Itu hanyalah pada yang memohon ampun pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku ingin dijauhkan dari api Neraka. Allah menjawab, "Itu hanya pada mereka yang mengingati-KU pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku ingin disayangi-MU. Allah menjawab, "Itu hanya pada mereka yang mendirikan solat dua rakaat pada Laylatul Qadr."


Pesan junjungan besar Nabi Muhammad Sollahu 'alaihi wassalam bahwa Laylatul Qadr berlaku pada satu malam daripada 10 malam terakhir (hari ganjil) bulan Ramadhan.

Petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama’ untuk mencari Laylatul Qadar, adalah jika awal Ramadhan jatuh pada hari:

  1. Ahad atau Rabu: jatuhnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 29 Ramadhan
  2. Isnin: jatuhnya pada malam 21 Ramadhan
  3. Selasa atau Jumaat: jatuhnya pada malam 27 Ramadhan
  4. Khamis: jatuhnya pada malam 25 Ramadhan
  5. Sabtu: jatuhnya pada malam 23 Ramadhan


Wallahu a'lam.


= 21 Ramadhan. Mungkinkah malam ini kedatangan Layla? =

Thursday, September 18, 2008

Ulat Kaabah







Usai do'a di Multazam, aku cuba beredar ke tepi untuk bersolat pula di Maqam Ibrahim. Sewaktu itulah bahuku dicuit.

"Bapak mau cium Hajarul Aswad?" tanyanya. Ketika itu aku teringat kepada pesanan kawan-kawan yang tertipu dengan pelawaan itu. Bukannya ajakan ikhlas tetapi perniagaan sekumpulan Indon yang mengawal kawasan Hajarul Aswad dari ditembusi oleh mana-mana jemaah dari Malaysia atau Indonesia, kecuali yang dilindungi mereka. Dan perlindungan bukan cuma-cuma. Dengan harga yang tinggi, dan serendah-rendahnya SAR100 setiap jemaah.

"Tak perlu," jawabku rengkas.

"Saya bantu Pak Cik," tegasnya lagi.

"Udah. Jangan niaga di sini."

"Bukan niaga Pak Cik, cuma mau bantu." desak beliau.

"Saya bilang jangan ganggu saya dan jangan cemarkan tempat ini." suaraku keras sedikit.

"Eh, Pak Cik kan baru tawaf. Ternyata Pak Cik ini kurang beriman. Lor. Mari cium Hajarul Aswad untuk menebus dosa dan tambahkan iman." Kini ternyata beliau ini ulat Kaabah.

Aku mendiamkan diri dan terus ke tujuanku.

Begitulah hilangnya keaiban manusia sehingga di tempat yang penuh keberkatan dan yang sepatutnya dihurmati, mereka sanggup menipu jemaah-jemaah yang lemah.

Pandangan Luar Tempat Sai'e yang diperbesarkan



9 Sept. 2008
Makkah al Mukarammah




Sunday, September 14, 2008

Iftar di Souk




Ramadhan di Saudi lebih meriah dari bulan lain-lainnya. Maksudku bukan kemeriahan suasana ibadat. Itu pasti sekali. Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dimakmurkan dengan sumbangan dermawan yang berlumba-lumba untuk menjamu di kala iftar. Yang dimaksudkanku, suasana kerja.

Simposium yang dihadhiriku di Jeddah berlangsung dari selepas Tarawih sehingga ke sahur (jam 3.30 pagi) dan selepas bersolat Fajr, kami tidur hinggalah ke 10.00 pagi dan seterusnya memulakan kembali urusan-urusan kerja di Jeddah. Dari satu segi mereka lebih produktif.

Tetapi yang agak menyusahkan sedikit adalah untuk ke kedai-kedai kerana kedai dibuka hanya sebentar selepas 'Asar dan tutup pada waktu Maghrib, dan seterusnya buka kembali selepas Terawih hingga jam 3.00 pagi. Pada suatu petang bersama-sama seorang kawan, kami ke Hayyu Balad, berhampiran Kornish untuk membeli ihram buat kegunaan ke umrah.

Setiba di Balad, sudah hampir maghrib, kerana kali ini kami tinggal jauh dari bandar, di penghujung Sharie Hara'a, berhampiran Kornish baru berhadapan Laut Merah. Dengan tergesa kami memilih ihram dan menyatakan kepada penjual bahwa kami harus segera kerana sudah hampir maghrib.

"Tidak. Hari ini kamu berdua tetamu kami. Iftar bersama kami," pelawa mereka. Begitulah selalunya sikap peniaga dari Yaman yang berniaga di souk di Balad.

"Usah," sahut saya, "kami ke mat'am (kedai makan) sahaja."

"Tidak," tegasnya, "kamu berdua tetamu kami. Keberkatan pada kami." Sambil beliau menunjuk kearah hidangan yang sedang disediakan di kaki lima berhadapan kedai.

Dan sebaik azan, kami bersila di kaki lima untuk merasai hidangan yang paling lazat bagiku. Inilah keberkatan pada jamuan yang sungguh ikhlas. Dijamukan juadah beramai persis sunnah Rasulullahi sollahu 'alaiahi wassalam.

Jazakallahu khairan 'ankum kathiraan.

- 7 September, 2008 -



Sunday, August 31, 2008

Ramadhan Karim




Ramadhan Karim

Mengalunkan al Quran di bulan penuh keampunan;
Bersedekah di bulan penuh barakah;
Bersujud di setiap malam yang penuh karim;
Marhaban ya Ramadhan,
Ramadhan Karim.


Bila seluruh umur adalah bagian dosa,
maka taqwa dan taubatlah ubatnya;
Bila semua harta adalah racun,
maka zakatlah penawarnya;
Bila seluruh bulan adalah noda,
maka Ramadhanlah pemutihnya.
Selamat menunaikan ibadah Ramadhan.


ALLAHU AKRAM






Saturday, August 30, 2008

51 Tahun







Satu usia yang matang. Hampir persaraan.

Ketaranya; rakyat semakin bijaksana dalam segala-gala. Misalnya bijak berhujjah tentang cara dan bagaimana untuk memulihkan ekonomi negara. Peka harga minyak dunia. Mempunyai pelan pembangunan, lebih hebat dari RMK Sembilan, yang mudah dan dijamin akan mengukuhkan ekonomi bangsa. Dasar pelajaran yang akan menambahkan bilangan profesyenal. Bisa memartabatkan tenaga kerja mahir di merata dunia. Ini bukan bicara menteri atau pakar segala. Tetapi dari siapa saja di kaki lima. Pantang ditanya pendapat; pemandu teksi, penjual roti canai dan nasi lemak. Penganggur dan mat gian penjaga kereta. Semua akan berhujjah pendapat. Roda sudah berputar haluan, setelah 51 tahun mengharungi zaman.

Begitulah 51 tahun merdeka, bangsa Malaysia menjadi bijaksana dalam segala bidang.

51 tahun Merdeka; rakyat bijak ilmu agama. Mubahalah dan sumpah laknah amat diketahui mereka. Pandai menghukum tanpa perlu berbincang dan rujukan kepada apa-apa nas dan pendapat ulamak silam. Tanya apa saja masalah yang rumit dan ada saja pada mereka pendapat dan hukuman. Tanya bab sumpah, mereka akan menambah-nambah. Hukum yang terserlah kononnya cacat sana cacat sini, tidak sah kerana banyak yang tidak munasabah. Bila timbul hal yang mencabar - kes murtad, kes azan, kes pengunaan nama tuhan; mereka diam seolah-olah ini hal ringan.

51 tahun Merdeka; hilang pulau, hilang kuasa, hilang maruah, hilang bangsa, pupus bahasa dan lekang agama. Apa yang disorakkan? Begitu banyak kiasan dan bidalan pada khazanah bangsa. Pak Pandir, Si Luncai, Pak Kadok, Mat Jenin dan pelbagai. Bukan ditimsalkan sebagai panduan tapi hanya menjadi pengelipur lara waktu malam.

51 tahun Merdeka. Malam ini akan ramai muda-mudi tidur berselerak di jalan. Mana lelaki mana perempuan. Tidur berselang-selang pakaian terselak hampir-hampir telanjang. Mereka hanyut dan sesat; hilang akidah, hilang pegangan. Biarkan. Biarkan.


Gambar:
Terima kasih kepada Fahmi Fadzil




Monday, August 18, 2008

Oh Melayu Ku - 51 Tahun Merdeka




MELAYU
= SN Usman Awang =

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan


Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak


Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

(Melayu sudah global merentas dunia, bergadai nyawa; hilang pedoman)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi


Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka


Sunday, August 03, 2008

Pak Imad





Era 70-han, merupakan era peralihan paradigma dalam bidang pembelajaran kepada Bangsa Melayu di Malaysia. Pada era itu, murid-murid Melayu diberikan peluang untuk memasukki pusat-pusat pengajian sains dan teknologi, yang mana sebelumnya pintu masuknya dikunci rapi oleh bangsa-bangsa lain. Usaha ini dipelopori dengan gigihnya oleh Dato Patinggi Abdul Rahman Yaakob dan Tan Sri Ainuddin Wahid, ketika itu Rektor Institut Teknologi Kebangsaan - ITK (kini UTM).

Di samping itu Tan Sri Ainuddin juga menusukkan unsur dakwah kedalam jiwa anak-anak Melayu supaya mereka kelak menjadi teknokrat yang juga berkebolehan sebagai mubaligh. Untuk tujuan ini, dua tokoh yang dikehadapankan beliau. Mereka adalah Almarhum Ustaz Fadhil Nor yang ketika itu baru sahaja pulang dari Al Azhar; dan Ir. Imaduddin Abdul Rahim (Pak Imad) dari Institut Teknologi Bandung (ITB). Kedua-dua tokoh ini berkuliah dan berdakwah dengan gigih sehingga berjaya mempegaruhi ramai penuntut yang dulunya buta agama untuk ke surau ITK. Pada hari Khamis malam Jumaat Pak Imad dengan kuliah tafsirnya dan pagi Jumaat pula Ustaz Fadhil berkuliah subuh dengan Fi Zilaalil Quran karangan Syed Qutb. Kuliah mereka bukan setakat menarik jemaah dari ITK malahan dari pusat-pusat pengajian tinggi lain di KL dan Selangor, seperti UM, ITM, UPM dan UKM.

Kelmarin pagi Sabtu saya dikejutkan dengan sms dari Kamal Omar tentang kepulangan Pak Imad di Jakarta, selepas mengalami stroke beberapa tahun sebelumnya. Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un. Muhammad Imaduddin Abdulrahim dilahirkan pada tanggal 3 Zulhijjah 1349H atau 21 April 1931M, di kota kecil Langkaat yang dikenal sebagai kota dengan tradisi keulamaan dan keislaman yang kuat, dan beliau merupakan juga pengasas Masjid Salman di ITB.



Wednesday, July 23, 2008

Sibuk Bertalipon




Aku yakin mereka kesemuanya perisik. Pengintip. Cara mereka bercakap-cakap; ada yang berbisik-bisik dan ada yang lantang. Mungkin untuk mengalih pandangan. Pakaian mereka pelbagai. Dan rupa-rupa mereka mencurigakan. Yang pastinya mereka perisik adalah kerana mereka ketahui dengan tepat bahawa aku orang baharu ke situ. Walaupun aku tidak janggal di tempat itu. Tidak seperti rusa masuk kampung, kerana memang aku biasa di situ. Sudah berkali-kali dan malahan ada ruang duduk yang menjadi kesukaanku di situ. Ke tempat itulah tumpuanku, setiap kali aku ke situ. Sudah seperti rumah sendiri. Amat selesa.

Sebaik saja aku bersila di tempat itu, beliau tiba. Seorang dari mereka. Meskipun ruang disekelilingku luas dan lapang, beliau duduk rapat di sisiku. Berlaga lutut, dan terus cuba meminta perhatian. Aku sudah mengagak siapa dia dan terus dengan urusanku. Sebentar. Dua bentar. Masih aku tidak memberi pandangan. Dan akhirnya beliau mencuit lengan kiriku dan berkata, “Miskin. Fakir. Kashmir.” Masih aku tidak memberi perhatian. Dan beliau pun berlalu. Keesokan hari pun sama. Seolah-olah ada tanda pada diriku yang aku baru tiba. Manusia berpuluh ribu di situ, dan anih sekali bagaimana mereka ketahui aku baru tiba. Perkara yang sama berlaku. Pastilah mereka pengintip kelas satu. Mengintip untuk menipu. Kali ini yang lain pula tetapi mempunyai raut muka yang sama. Beliau menarik perhatianku dengan mengucapkan salam. Dan aku tahu menjawab salam itu wajib, tapi sengaja aku tidah menyahut salamnya. Kerana aku yakin sekali yang salam itu tidak ikhlas. Kali ini aku merenung wajahnya dan menuding telunjuk kananku kemukanya dan berkata, "Kamu ini mengaibkan. Ini tempat yang amat dihurmati dan kamu memalukan orang yang kita sedang ziarahi."

Tapi disekelilingku, ternyata keseluruhannya menyakitkan hatiku. Ada yang sedang mencuri-curi bergambar dengan Nokia mereka, dan ada lengkap berkamera digital yang canggih. Walhal dulunya apa jua kamera dan telefon bimbit yang berkamera pun muktamadnya tidak dibenarkan sama sekali ke situ. Masih ramai yang bercakap-cakap dengan lantang dan bergelak ketawa, dan ramai yang hanya tidur. Berdengkur-dengkur.





Aku tidak menceritakan tentang keadaan di kelab atau di rumah persatuan mana-mana, tetapi ini adalah di Masjid Nabawi di Medinah al Munawwarah. Tempat yang paling diberkati Allah SWT dan penuh dengan malaikat-malaikat dan auliya’. Tempat tumpuan para sufi dan mursyid. Tetapi kini tercemar dengan kelaku manusia yang tidak beradab. Suasana di dalam masjid, penuh dengan ketidak sopanan. Seolah-oleh pengunjung mempunyai urusan dunia yang amat penting. Telefon berdering-dering dengan nada deringan yang paling tidak sesuai di tempat itu.



Sibuknya mereka sehingga di Rawdah yang disabdakan sebagai sebahagian dari Syurga pun sama keadaannya. Rawdah menjadi tumpuan yang utama setiap penziarah, dan keadaannya penuh sesak. Tetapi peluang untuk menanggalkan hal-hal dunia pada diri dan menyelimutkan tumpuan kepada taubah dan harapan, juga diganggui oleh urusan menjawab talipon. Rawdah juga adalah ruang rumah Rasululullahi sollahu ‘alaihi wassalam. Apa tidak ada tanda kesopanan lagikah manusia kepada Rasululullah? “Sesiapa yang menziarahiku sewaktu aku mati, adalah seakan-akan mereka menziarahiku semasa aku hidup,” itulah sabda Rasulullahi sollahu ‘alaihi wassalam, dan bagaimanakah akan diharapkan syafa’ah Baginda.

Dulu, Madinah adalah tempat yang amat beradab. Seandainya kita memegang cangkir minuman dengan tangan kiri, akan ada seseorang yang akan menegur dengan sopan supaya mengunakan tangan yang kanan. Sekiranya kita beriktikaf membelakangkan Rasulullahi sollahu ‘alaihi wassalam, akan datang seseorang untuk dengan sopan, meminta kita mengalikan arah ke kiblat. Atau sekiranya kita bercakap dengan kuat, akan ada seseorang yang dengan nada yang sedih minta kita rendahkan suara. “Rasulullah!” Itu sahaja peringatan mereka.



Pada zaman Uthmaniyyah, penghurmatan kepada Rasulullahi sollalahu 'alaihi wassalam amat diberatkan sehingga kubah dan menara masjid-masjid tidak dibenarkan melebihi ketinggian kubah Masjid Nabawi.



Madinah. Inilah kini destinasi pelancongan yang baru. Begitu juga Makkah. Sering aku mendengar,

"You holiday sekolah ni nak ke mana ?"

"Ke Umrah hajatnya, nak bawa keluarga !"



Fi ‘alamatis saat – Tanda-tanda saat (terakhir) atau kiamat. Ini dihuraikan dengan panjang lebar dalam Mishkatul Masabih, kitab hadith yang masyhur.



Segala tempat yang bersejarah yang ada perkaitannya dengan Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam kini sedang giat diroboh. Sehinggakan ada cadangan pula untuk merobohkan kubah maqam Baginda dan bersama sekali memindahkan maqam Baginda. Akan tetapi tempat yang ada perkaitan dengan Yahudi seperti di Khaybar, misalnya, digazetkan sebagai tempat warisan, dan dilindungi. Masjid Tujuh yang mempunyai sejarah dengan Peperangan Khandak, sudah banyak yang diroboh. Masjid Fath, yang merupakan satu-satunya tempat yang dimustajabkan doa oleh Allah SWT (letaknya dibelakang Masjid Salman Al Farsi) hanya menunggu masa untuk dimusnahkan.


--------------------------------
Madinah Al Munawwarah
13 Julai 2008



Saturday, June 28, 2008

Kasihnya




Saya masih ingat kepada satu ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Almarhum Dato' Mohd. Asri Hj. Muda, lama dulu. "Orang-orang Melayu mengingati Maulid dalam sepanjang bulan yang berekor dengan 'awal' dan 'akhir'. Rabi'ul Awwal, begitulah bulan kelahiran Baginda dan seterusnya perayaan berlarutan kepada Rabiu'il Akhir, Jamadil Awwal dan Jamadil Akhir..."

Dan kini sudah 23 Jamadil Akhir. Hanya seminggu sahaja menjelang Rajab, bulan yang kini dipertikaikan amalan-amalannya seperti puasa-puasa dan juga fadhilah-fadhilahnya, oleh ilmuan-ilmuan kitab baru (ulamak-ulamak lama ditakrifkan mereka sebagai ulama kitab kuning).

Saya teringat kepada satu cerita ........

Seorang pedagang dalam perjalanan ke Makkah untuk berniaga sewaktu musim haji yang bakal menjelang. Dalam perjalanan, beliau ditimpa musibah dan terpisah dari kafilahnya. Maka merayau-rayaulah beliau bersendirian dalam ketakutan kerana tiada mempunyai apa-apa bekalan makanan atau minuman dan juga kerana telah kehilangan arah untuk ke Makkah. Dalam bermundar-mandir bersendirian di padang pasir, dan dalam keadaan dibakar kepanasan matahari, beliau terserempak dengan seorang pejalan kaki. Juga bersendirian. Selepas tegur menegur, ternyata pejalan itu seorang 'abid Yahudi. Yahudi itu pun berjanji akan menunjukkannya arah ke Makkah.


Tiba di satu tempat, Yahudi bertanya, "anta tak lapar ke?"

"Ya, memang, tapi apa yang ada?" jawab si pedagang.

Yahudi lantas berlutut dan mendongakkan muka ke langit sambil kumat kamit berdoa. Sepantas kilat, tibalah di hadapan mereka dua keping roti dan secangkir air. Alangkah gembiranya si pedagang. Makan dan minumya dengan lahap sekali.

Setibanya waktu malam, kelaparan dan kehausan menguasai mereka lagi, lantas si pedagang meminta Yahudi tadi untuk berdoa. Langsung dijawab oleh Yahudi tersebut, "Tidak. Tadi ana telah memohon rezeki dari tuhan ana, dan sekarang giliran anta pula."

Tersentak si pedagang kerana beliau bukannya manusia yang alim dan berdoa pun jarang sekali. Tetapi untuk tidak memalukan dirinya di hadapan Yahudi tadi, beliau, lantas bertayammun dan bersolat. Usai bersolat, doanya panjang sekali dan sambil menangis-nangis.

Usai doa si pedagang, Yahudi tadi tersenyum kerana tiada makanan yang tiba, dan sebaik beliau mahu berkata sesuatu kepadanya, suatu cahaya memancar dan terhidang di hadapan mereka satu hidangan yang sungguh istimewa. Bukan hanya dua keping roti dan secangkir air, tapi lebih dari itu, dan terhidang pula di atas hamparan yang cantik.

Alangkah seronoknya mereka.

Selepas berehat, dan sebelum tidur, Yahudi tadi bertanya, "Apakah kehebatan anta sehingga doa anta sungguh mustajab?"

Si pedagang tadi termenung sebelum mejawab, dan akhirnya, "Aku tahu niat sebenar kamu tadi. Kamu hanya menunggu kegagalanku untuk mendapatkan makanan. Jadi apa lagi yang ada padaku melainkan merayu kepada Allah. Lantas aku berdoa, Ya Allah, janganlah engkau malukan kekasih Mu, Rasulullah, kerana sekiranya doaku untuk memohon makanan dari Mu ini gagal, maka tidak mengapa bagiku untuk menanggung cacian dan hinaan si Yahudi ini, tapi janganlah diberinya peluang untuk mengaibkan kekasih Mu dan nabiku. Hatta cacian yang sedikit sekalipun. Tolonglah ya Allah. Tolonglah."

Si Yahudi hanya berdiam diri. Langsung tidak berkata apa-apa.

Dan keesokkan harinya mereka terserempak dengan satu kafilah yang kebetulannya juga akan ke Makkah. Maka berpisahlah mereka. Si Yahudi ke arahnya dan si pedagang ke Makkah.

Tetapi alangkah terkejutnya si pedagang kerana perpisahanya dengan si Yahudi tadi rupanya tidak lama. Sewaktu sedang bertawaf di Kaabah, beliau terserempak lagi dengan Yahudi tadi yang sedang tersedu-sedu di tepi Multazam. Dan setelah tanya menanya dan soal bersoal, berceritalah si Yahudi tadi. Sebaik mendengar jawapan si pedagang kepada pertanyaannya selepas menjamu makan dulu, beliau telah berfikir-fikir tentang Rasululullah. Dan akhirnya ini telah membuka hatinya dengan hidayah yang bercahaya dan berkilauan dengan ilmu yang penuh rahsia. Beliaupun memperakui kenabian Muhammad sebagai nabi pengganti, yang diceritakan dalam kitab Taurat dan Zabur. Dan sememangnya sebagaimana perakuan si Yahudi, beliau berniat untuk menghina Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam, sekiranya doa si pedagang tidak dimakbuli Allah.


Pada sikap dan laku saya dan kita sendiri, tanpa disedari, kita sering memalukan Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam. Apakah sudah sebegitu kerasnya hati kita dan hati masyarakat kita sehingga tiada lagi kasih sayang kita kepada Baginda? Apa pula sikap kita terhadap yang mengkeji nabi dan rasul? Baik di terbitan umum, di dewan-dewan negeri dan negara dan apa lagi di blog-blog tempatan. Kononnya kawan dalam pakatan, rupaya musuh dalam lipatan. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan Kekasih-Mu dimalukan berpanjangan.

Allahumma solli wassalim 'ala Sayyidina Muhammad, Habibullah. Syafi'na Ya Rasulullah.