Friday, September 18, 2009

P E S A N A N





Ini mungkin pesanan Tun Mahathir kepada kita. 'JANGAN TOLONG ANJING TERSEPIT"

Ini pula pesanan saya: Jangan lupa puasa 6 hari Syawal.

EID MUBARAK. KULLU 'AAMIN WA ANTUM BIKHAIR.







Monday, September 14, 2009

Haram pada siang



Di Bazar Ramadhan Karyaneka:

Menarik. Pelbagai kuih muih; pakaian dan karyatangan. Aku tertarik dengan baju Tenun Cini.

"Berapa Dik?"

"RM 900."

"Berapa?"

"S-e-m-b-i-l-a-n-R-a-t-u-s!"

"Haih. Baju RM900 tersadai begini saja. Tak berbungkus pelastik dan tak diatur secara menarik?"

"Baru sampai bang. Sutera."

Di sudut demonstrasi membuat dodol, rendang, wajik, batang buruk, ketupat, dll., mereka sibuk menjamu mat dan minah salleh. Sambil bergelak ketawa.

"Haram memberi makan pada siang bulan puasa."

"Mereka tak puasa."

"Haram memberi makan sesiapa saja pada siang bulan puasa!"

"Mereka bukan Islam!"

"Haram memberi makan pada siang bulan puasa meskipun kepada kaum kafir. Wajib menghurmati bulan Ramadhan!"

Aku beredar sebelum dipukul dengan sodek pengacau dodol.

Nota: Teringatkan kepada kisah Yahudi yang masuk Syurga kerana menghukum anaknya yang makan di khalayak umum pada siang Ramadhan.

p.s.: Mari mencari Layla.



Saturday, September 12, 2009

Bukan Senang



Kini ada pula gerakan menyikat orang Malaysia di seberang. Meskipun serumpun, tapi tidak semestinya senang. Antara kita dan di seberang, banyak pertikian dalam hal-hal yang kecil - enteng. Mereka, maaf, berego besar. Bak kata pepatah Minang, "kecek balaok, makan basambal"

Ini adalalh tanskrip satu majlis yang saya hadhir bersama di Jakarta, lima bulan lalu.

Pengerusi: Resolusi “According to some schools, It is encouraged that qabdh (possession) of the commodity be the enabler to the transaction” perlu pendapat untuk penterjemahan.

Malaysia: Kami syorkan, ‘Adalah digalakkan supaya pegangan komoditi menjadi keperluan kepada transaksi

Indonesia: Bapak pengerusi, kami bantah. Apakah ‘ galakkan’ sesuai untuk digunakan. Mohon maaf Malaysia, kita di sini ada ibu-ibu, jadi perkataan itu tak cocok samasekali. Itukan kurang sopan. Yang kami butukhan ..

Malaysia: Bapak pengerusi, mohon maaf, mohon maaf, minta dari Indonesia supaya bersopan. Jangan dikaitkan cocok dan alat kelamin dalam perbincangan

Indonesia: BAPAK PENGERUSI …

Pengerusi: Bertenang, bertenang. Mari kita kembali kepada resolusi yang berkait.

Malaysia: Ya Bapak Pengerusi, yang kami syorkan adalah supaya pegangan …

Indonesia: Manakan perlu dikaitkan pegangan. Pegangan itu Pak; yah, kami misalnya pegangan kami Islam. Ada yang pegangannya misalnya Kristen

Semua: hahahahaha

Malaysia: Kalau ini menyusahkan ok. Kita ubah ‘Adalah digalakkan, oh maaf, di di di …. Ah susah betul

Dari hadhirin: Kita berbahasa Inggeris atau Arab saja!

Pengerusi: Sabar, sabar kita cari jalan keluar

Indonesia: Kenapa tidak guna saja ‘qabdh’ kerana tak ada perkataan yang sesuai dalam kedua-dua bahasa kita.

Dari hadhirin: Ya, di negeri saya, Kelantan, kita pernah menggunakan ‘qabad’ (dalam telor Kelantan).

Hadhirin lain-lain: hahahahaha

Indonesia: ijin saya teruskan. Mengikut pilihan sesetengah, qabdh menjadi keperluan ..

Malaysia: Bantah. Bukan pilihan tapi pendapat sesetengah qaul yang dimaksudkan ulamak feqah dan bukan pula keperluan yang menjadi penting, tapi hanya digalakkan .. ah maaf, di di dibenarkan

Malaysia lain: bukan ‘dibenarkan’ tapi encourage

Indonesia: Kita butuhkan jalan keluar

Malaysia: Maaf Bapak Pengerusi. Minta Indonesia gunakan perkataan sopan. Ini majlis Shariah. Perlu kepada kesopanan

Indonesia: Waduh, apa yang gue bilang ngak sopan deh?

Aku, berbisik kepada jiran: Tun. You dah gi shopping dah?
Tun: Belum
Aku: Jom. Kita ke Garuda dulu makan nasi Padang

Thursday, September 10, 2009

Fatwa Berbuka di Udara


FATWA WAKTU BERBUKA DI UDARA

24 Ogos 2009

As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, ketua Persatuan Ulamak Antarabangsa telah mengeluarkan fatwa pada hari Ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang.

Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, dan bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin berbuka puasa, waktunya tidak boleh:

  • mengikut negara yang mereka bertolak daripadanya, atau
  • mengikut negara yang ditujukannya, atau
  • mengikut negara yang ia berada atasnya.
Akan tetapi waktunya ialah ketika hilangnya matahari daripada penglihatan mata mereka.

Mengikut Syeikh Qardhawi, sesungguhnya dia dikejutkan ketika dalam penerbangan daripada Kaherah ke Doha pada awal Ramadhan baru-baru ini dengan pengumuman daripada seorang pilot asing yang bukan Islam, bahawa telah masuknya waktu berbuka puasa. Akan tetapi dalam waktu yang sama matahari masih terpampang kelihatan dan siangnya masih jelas. Pengumuman itu berpandukan kepada negara yang berada di bawahnya telah memasuki waktu berbuka.

Fadhilatus-Syeikh telah menceritakan dialognya bersama penumpang-penumpang yang duduk bersebelahannya.

Syeikh berkata, “Tidak harus kamu berbuka puasa sebelum terbenamnya matahari. Sebenarnya waktu maghrib masih belum masuk. Maka adakah sah sekiranya kamu solat maghrib pada ketika ini?”

Jawab mereka, “Tidak!”

Maka aku menjawab balik, “Demikianlah juga berbuka puasa. Tidak boleh ia dilakukan sebelum tiba masanya”. Aku mengakhirkan kalamku dengan mengatakan, “Bahawa manusia itu setiap kali berada ditempat tinggi daripada bumi maka akan dapat melihat matahari itu terbenam. Demikianlah juga orang-orang yang tinggal di bukit-bukau atau di tempat–tempat yang tinggi. Mereka akan melihat dengan jelas ketika terbenamnya matahari, berbanding dengan orang-orang yang tinggal berhampirannya di tempat rendah atau tanah berdatar”.

Akhirnya, Al-Qaradawi telah meminta pesawat Qatar (yang beliau naikki) dan juga pesawat-pesawat Arab lain supaya memperingatkan kakitangannya supaya berhati-hati dalam perkara ini dan memastikan terbenamnya matahari sebelum mengumumkan waktu berbuka puasa.

http://qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=7127&version=1


Tuesday, September 08, 2009

Tamu di Masjid Hajjah Fatimah




Berbuka puasa di sesetengah masjid di Singapura berbeza dengan budaya di Malaysia. Kalau di KL misalnya, sambil menunggu-nunggu waktu maghrib, aktibiti jemaah berbeza. Ada yang bersembang-sembang. Ada yang memegang-memegang makanan dan meneliti rupa-bentuknya. Ada yang hanya termenung keletihan, dan mungkin ada segelintir yang berkumat-kamit membaca sesuatu.



Di Masjid Hajjah Fatimah, di Beach Road, Singapura; tepatnya di Kampong Gelam, aktibiti dikepalai oleh beberapa orang India Muslim, dan jemaah sungguh teratur, tertib dan hanya sibuk dengan zikrullah sewaktu menunggu Maghrib.

Ini pengalamanku beberapa tahun dulu. Petang itu aku, Bachtiar (abang iparku) dan Ram mencari Masjid untuk berbuka. Ram mencadangkan masjid Sultan dan aku menjawab "ikut saja". Tapi Bachtiar (atau Tiar) menolak.

"Kita ke masjid Mak," katanya. Bukan sebenarnya masjid emak kami, tapi namanya menyerupai nama mertuaku sendiri iaitu ibu kepada Tiar.

"Di mana?" kataku.

"Ikut," jawab Tiar, "tak jauh dari sini. Kita jalan kaki saja."

"Siapa Hajjah Fatimah?" tanyaku,

"Seorang perempuan Melaka yang kaya. Asalnya dari Melaka dan balu kepada seorang putera raja dari Bugis. Dua kali rumahnya dimasukki pencuri dan kali ketiganya terbakar. Disebabkan pada kesemua ketika beliau tak ada di rumah dan terselamat, beliau bernazar untuk mendirikan masjid pada tapak rumahnya. Satu masjid yang indah, dan keunikan menaranya adalah condong, seperti Tower of Pisa," Tiar menerangkan.



Setibanya di Masjid, sudah ramai yang ada di ruang makan. Masing-masing menghadap juadah sambil beramai-ramai berzikir mengikut apa yang dibaca oleh kepala jemaah.

"Allahumma firlana yaa ar arhamar Raahimin" dan diselangselikan dengan "Allahummma inna nas aluka ridhaaka wal jannah, wana'uzubika min sakhatika wan nar."

Sungguh merdu dan menyayat hati.

Bukan setakat suasana majlis begitu mengkhusyukan tetapi ambience masjid juga tenang untuk beribadah.

Kini Tiar sudah lama pulang kerahmatullah dan Ram sedang tenat akibah kanser usus. Sewaktu aku menziarahi Ram, cerita ini amat menyeronokkannya. Semoga Allah menganugerahinya dengan husnul khatimah.



Ramadhan Karim.

Tuesday, September 01, 2009

Berbuka di Udara

"Flight siang ke Jeddah senang," steward berbangsa Cina itu menerangkan kepadaku, "kerana tak perlu hidang makanan. Lagipun penumpang semua nak mengerjakan umrah. Mereka lebih berdisiplin."

Sejuk hatiku mendengarnya, sambil menyandarkan kerusi, menarik selimut dan cuba melelapkan mata. Lampu dalam kabin sudah dipadamkan dan hanya ada cahaya samar-samar dari lampu penanda ruang jalan. Di hujung barisanku, dua perempuan yang lebih separuh umur. Mungkin datin-datin bisik hatiku, kerana mereka berbeg yang berjenama mahal. LV. Pakaian pula nampak mahal. Bukan hanya berdua tetapi ada lima kesemuanya. Syak pertama pada hatiku, "ini pasti geng Abdul Wahab".

Beberapa waktu kemudian tidurku dikejutkan oleh bau makanan yang enak. Mengancam, kerana lapar berpuasa. "Ahh mimpi" bisik hatiku, "mana mungkin ada makanan kerana kami baru melepasi India". Apabila aku membuka mata terpandang yang datin-datin dan geng kesemuanya sedang menjamu juadah. Relaks sekali.

"Encik mau berbuka waktu Malaysia atau waktu Jeddah?" peramugari yang melalui dan terpandang aku sudah terjaga, bertanya.

"Syormu bagaimana?" aku bertanya.

"Kalau mereka, sudah berbuka," jawabnya, sambil menoleh kepada datin-datin tadi.

"Jadi mereka akan solat Maghrib selepas ini pastinya." aku sinis.

Ternyata jawapan tadi terdengar oleh datin yang terdekat dan dia menarik muka panjang.

Inilah angkara ramai yang tidak berilmu tetapi dipanggil ustaz dan diminta pula fatwa tentang hukum-hakam. Sehingga penyanyi rock pun dipanggil ustaz. Sungguh kesian kepada yang menjadi ikutan mereka, kerana kesungguhan untuk beribadat tinggi tetapi ajaran yang diterima tak bernilai.

Sewaktu akan berlepas pulang dari Jeddah malam tadi, aku berpesan kepada beberapa kawan lain, "Harap semua berbuka nanti ikut waktu Jeddah dan bukan waktu KL."

"Kenapa?" serentak mereka bertanya.

"Kerana kita bermula dari Jeddah. Bukankah ini selaras dengan pendapat datin-datin yang bersama kita sewaktu kemari dulu?"

Nota: Flight MH tiba di Jeddah 4 minit selepas waktu berbuka di Jeddah (6.45 pm tempatan). Bermakna orang Malaysia ke Jeddah akan berpuasa lebihkurang 4 jam setengah melebihi waktu kebiasaan di KL.