Tuesday, September 30, 2008

Afdhalnya






Bersedekah pada pengakhir Ramadhan
Banyakkan ibadat pada malam 'Eidulfitri
Mandi sunat eidulfitri
Cepat ke masjid dan berdoa ketika sebelum solat


Bersedih kerana berpisah dengan bulan yang penuh barkah dan maghfirah.

Kepada teman-teman bloggers sekalian
EID MUBARAK
MINAL 'AA IDIINAL WAL FAAIZIINA WAL MAQBULIN
KULLU 'AAMEN WA ANTUM BIKHAIR



Saturday, September 27, 2008

Go For Broke




Dalam meneka-neka sudah atau belum, ia atau tidak kedatangan Layla, kita mempunyai malam ganjil terakhir pada malam 29 Ramadhan ini.

Memutuskan harapan kepada-NYA antara terbesar dosa yang dapat dilaksanakan manusia. Merintih dengan penuh harapan, itulah penyebab yang terkecil yang Allah nantikan dari kita untuk pengampunan-NYA.

Allahumma innaka 'afuwun Kariim,
tuhibbul afwa, fa'fu 'anna


Ya arhamarraahimin-irhamna


Kurbankanlah tidurmu dan cekanglah matamu. Ganjarannya seumpama seribu bulan.


Sunday, September 21, 2008

Layla oh Layla



Sebagaimana anda, aku juga mencari Layla.

Seandainya anda yang menemuinya, ingatkanlah Layla tentang kerinduanku padanya. Kerinduan yang amat memuncak dan mendadak; penuh dengan harapan, pujukan dan rayuan. Aku inginkan dakapan erat Layla dan tak rela dipisahkan.

Aku akan membelaimu dengan kasih sayangku wahai Layla. Oh Layla. Engkau menjadi rebutan insan.


Hadith menyatakan bahawa ehwal keadaan setiap manusia ditentukan pada malam al Qadr. Apakala Baginda Rasulullahi Sollahu 'alaihi wassalam ditanya caramana umat dapat menikmati rahmah dari Allah SWT, beliau menyatakan tentang du'a Nabi ALlah Musa a.s. dan jawapan Allah SWT kepadanya:

Ya Allah, aku inginkan penghampiran dan pendekatan kepada-MU. Allah SWT menjawab, "Penghampiran dan pendekatan kepada-KU adalah kepada mereka yang berjaga pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku inginkan kasihan belas-MU. Allah menjawab, "Kasihan belas-KU adalah pada yang menunjukkan kasihan belas kepada faqir dan miskin pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku inginkan bantuan-MU untuk mempermudahkan laluanku pada Siratul Mustaqim. Allah menjawab, "Itu hanya keistimewaan pada yang bersedeqah pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku inginkan pokok-pokok untuk teduhan serta menikmati buah-buahnya di Syurga-MU. Allah menjawab, "Itu hanyalah pada yang memohon ampun pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku ingin dijauhkan dari api Neraka. Allah menjawab, "Itu hanya pada mereka yang mengingati-KU pada Laylatul Qadr."

Ya Rabb, aku ingin disayangi-MU. Allah menjawab, "Itu hanya pada mereka yang mendirikan solat dua rakaat pada Laylatul Qadr."


Pesan junjungan besar Nabi Muhammad Sollahu 'alaihi wassalam bahwa Laylatul Qadr berlaku pada satu malam daripada 10 malam terakhir (hari ganjil) bulan Ramadhan.

Petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama’ untuk mencari Laylatul Qadar, adalah jika awal Ramadhan jatuh pada hari:

  1. Ahad atau Rabu: jatuhnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 29 Ramadhan
  2. Isnin: jatuhnya pada malam 21 Ramadhan
  3. Selasa atau Jumaat: jatuhnya pada malam 27 Ramadhan
  4. Khamis: jatuhnya pada malam 25 Ramadhan
  5. Sabtu: jatuhnya pada malam 23 Ramadhan


Wallahu a'lam.


= 21 Ramadhan. Mungkinkah malam ini kedatangan Layla? =

Thursday, September 18, 2008

Ulat Kaabah







Usai do'a di Multazam, aku cuba beredar ke tepi untuk bersolat pula di Maqam Ibrahim. Sewaktu itulah bahuku dicuit.

"Bapak mau cium Hajarul Aswad?" tanyanya. Ketika itu aku teringat kepada pesanan kawan-kawan yang tertipu dengan pelawaan itu. Bukannya ajakan ikhlas tetapi perniagaan sekumpulan Indon yang mengawal kawasan Hajarul Aswad dari ditembusi oleh mana-mana jemaah dari Malaysia atau Indonesia, kecuali yang dilindungi mereka. Dan perlindungan bukan cuma-cuma. Dengan harga yang tinggi, dan serendah-rendahnya SAR100 setiap jemaah.

"Tak perlu," jawabku rengkas.

"Saya bantu Pak Cik," tegasnya lagi.

"Udah. Jangan niaga di sini."

"Bukan niaga Pak Cik, cuma mau bantu." desak beliau.

"Saya bilang jangan ganggu saya dan jangan cemarkan tempat ini." suaraku keras sedikit.

"Eh, Pak Cik kan baru tawaf. Ternyata Pak Cik ini kurang beriman. Lor. Mari cium Hajarul Aswad untuk menebus dosa dan tambahkan iman." Kini ternyata beliau ini ulat Kaabah.

Aku mendiamkan diri dan terus ke tujuanku.

Begitulah hilangnya keaiban manusia sehingga di tempat yang penuh keberkatan dan yang sepatutnya dihurmati, mereka sanggup menipu jemaah-jemaah yang lemah.

Pandangan Luar Tempat Sai'e yang diperbesarkan



9 Sept. 2008
Makkah al Mukarammah




Sunday, September 14, 2008

Iftar di Souk




Ramadhan di Saudi lebih meriah dari bulan lain-lainnya. Maksudku bukan kemeriahan suasana ibadat. Itu pasti sekali. Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dimakmurkan dengan sumbangan dermawan yang berlumba-lumba untuk menjamu di kala iftar. Yang dimaksudkanku, suasana kerja.

Simposium yang dihadhiriku di Jeddah berlangsung dari selepas Tarawih sehingga ke sahur (jam 3.30 pagi) dan selepas bersolat Fajr, kami tidur hinggalah ke 10.00 pagi dan seterusnya memulakan kembali urusan-urusan kerja di Jeddah. Dari satu segi mereka lebih produktif.

Tetapi yang agak menyusahkan sedikit adalah untuk ke kedai-kedai kerana kedai dibuka hanya sebentar selepas 'Asar dan tutup pada waktu Maghrib, dan seterusnya buka kembali selepas Terawih hingga jam 3.00 pagi. Pada suatu petang bersama-sama seorang kawan, kami ke Hayyu Balad, berhampiran Kornish untuk membeli ihram buat kegunaan ke umrah.

Setiba di Balad, sudah hampir maghrib, kerana kali ini kami tinggal jauh dari bandar, di penghujung Sharie Hara'a, berhampiran Kornish baru berhadapan Laut Merah. Dengan tergesa kami memilih ihram dan menyatakan kepada penjual bahwa kami harus segera kerana sudah hampir maghrib.

"Tidak. Hari ini kamu berdua tetamu kami. Iftar bersama kami," pelawa mereka. Begitulah selalunya sikap peniaga dari Yaman yang berniaga di souk di Balad.

"Usah," sahut saya, "kami ke mat'am (kedai makan) sahaja."

"Tidak," tegasnya, "kamu berdua tetamu kami. Keberkatan pada kami." Sambil beliau menunjuk kearah hidangan yang sedang disediakan di kaki lima berhadapan kedai.

Dan sebaik azan, kami bersila di kaki lima untuk merasai hidangan yang paling lazat bagiku. Inilah keberkatan pada jamuan yang sungguh ikhlas. Dijamukan juadah beramai persis sunnah Rasulullahi sollahu 'alaiahi wassalam.

Jazakallahu khairan 'ankum kathiraan.

- 7 September, 2008 -