Friday, May 25, 2007

Sejarah Berdarah






Semenjak 1957, meskipun Malaya telah Merdeka, matawang yang digunakan adalah sama untuk negara-negara Malaya, Singapura dan British (North) Borneo, disamping penggunaan Straits Dollar yang berlandaskan kepada British Pounds.

Pada tahun 1967, akibah nilai British Pounds terhakis sebanyak 15% maka, Kerajaan Malaysia telah menawarkan penukaran Straits Dollar kepada matawang diatas pada nilai yang sama, sehingga ke satu tarikh yang telah ditetapkan. Selepas tarikh tersebut penukaran adalah kurang sebanyak 15% mengikut kadar depresiasi matawang sebenar.

Peniaga-peniaga Pulau Pinang, di bawah anjuran Labour Party telah membantah keras langkah ini dan telah menganjurkan mogok besar-besaran untuk menutup kesemua perniagaan pada hari yang telah ditetapkan, iaitu 19 November, 1967. Mogok dengan menutup perniagaan ini, dipanggil hartal.

Arahan hartal ini dihebahkan dalam bahasa yang bukan bahasa Tanjung, maka manalah satu mami di Jalan Perak tu tau hari tu ada depa panggil semua mai ajak mogok. Dia pun niagalah macam biasa. Dan goreng pisang pun macam biasalah, nala punya laris. Tiba-tiba mai kumpulan apek-apek dari persekitaran itu, tolak sama mami tadi dan jugak dia punya dapok dan gerai, dan habis berseleraklah atas tanah; pisang dan minyak dan mami dan duit-duit mami. Apa lagi sheikh-sheikh Jalan Perak yang dok mai nak beli goreng pisang tadi pun naik sheikh la. Tibai punya tibai, mula-mula sikit lama-lama jadi ramai dok mai numpang sekaki dua kaki. Melarat. Aku tibai hang, hang tibai aku. Pecah sana, pecah sini. Mami keriau, "Awat cet ni?" Depa buat tak dengaq.

Dari asrama saya di Ibbetson Road / Batu Lancang Lane (di belakang rumah Dr. Roza) pun nampak api sana api sini, melarat sampai Rifle Range, Kampung Baru, rata-rata. Tiga hari kami berkurung. Hari mula-mula makan nasi dengan sardin. Hari kedua makan nasi dengan telur goreng. Hari ketiga nasi sikit dan kepala ikan bilis sikit. Tokyu pun takdak. Makan hanya sekali setiap hari. Nala punya lapaq. Yang lapaq tak apa, yang putus rokok lagi naya.

Itulah rusuhan akibat hartal di Tanjung.


Dua tahun selepasnya, apabila Gerakan memenangai pilihan raya dengan kerusi yang banyak, depa naik syeikh pulak dah di KL.

Habis masuk kampung-kampung Melayu, mereka berarak, meraung-raung dan bertempik dan berrempit. Riuh rendah siang malam, maki hamun Melayu. Dengan macam-macam bahasa yang celupar. Cuba lihat gambar di atas. Mereka bawa penyapu untuk menyapu Melayu. Bukan UMNO tetapi Melayu.

Cuba tengok baik-baik. Ini bukan pembohongan kerana saya sendiri menyaksikan mereka masuk Kampung Baru, Dato' Keramat, Gombak, Kampung Batu, Kajang dan merata-rata. Akhirnya pemuda-pemuda membuat perhimpunan di rumah Dato' Harun Idris di Kampung Baru, dan petangnya apabila mereka mendapat berita yang penonton-penonton Melayu yang keluar dari Panggung Federal telah ditetak oleh kumpulan samseng dari Raja Laut, maka bermulalah sejarah yang dimaksudkan.



Nota:
1. Gambar dengan ehsan Boneka, Penyu dan SPR. Dan Boneka pula mengambilnya dari Forum Tempur Politik. Terima kasih Bro.

2. Caption pada gambar dari Utusan Melayu: Gambar perarakan 'kemenangan' di atas menunjukkan "penyapu untuk menyapu orang-orang Melayu". Gambar bawah: Penyokong-penyokong Gerakan dalam mabuk 'kemenangan'.

3. Tokyu = kicap




Tuesday, May 22, 2007

tanggal tiga belas mei




Minggu lalu sewaktu aku di kedai buku, seorang lelaki bertanya dengan suara yang kuat, "Ehh, lu ada itu buku May 13 ke? Saya mau baca, mau tau apa itu cerita." Dengan megah.

Disebabkan budak penjaga kedai tak berkata apa-apa dan mulut penanya pula bertambah celupar, aku menyahut, "Excuse me, if you need to know, let me tell you about it as I was around when it happened and I was always a victim of discrimination in school by my non-Malay teachers, years prior to that.

If you need to know about the Penang Hartal, I can relate that to you as well as I was there in Penang when it happened." Aku merenungnya.

Dia diam dan terus berundur.

Kini kerajaan sibuk menapis semula buku-buku yang terkandung sejarah atau kupasan sejarah peristiwa yang berlaku 38 tahun lalu. Sejarah tetap sejarah dan tak usah nak menafikan ianya berlaku. Yang penting ianya ditulis dengan betul dan tepat. Memadailah dengan tidak merayakan peristiwa itu. Tetapi bukanlah bermakna kita mesti melupainya.

Anehnya yang mencungkil kembali peristiwa pahit ini bukanlah orang-orang yang dizalimi seperti aku sendiri. Apakah muslihatnya?

Pasti ada muslihat kerana akhbar tabloid percuma The Sun, berkali-kali menyiarkan rencana dari kolumnis bukan Melayu yang menyuarakan bagaimana mereka ditindas oleh guru-guru dan pegawai-pegawai Melayu sebelum dan selepas berlakunya peristiwa tersebut.

Berapa tahun dah Merdeka?


Nota:

1. Cuba baca: Preparing for a Pogrom.

2. Gambar di Jalan Cambell (sekarang Jalan Dang Wangi) selepas peristiwa 1969.





Saturday, May 19, 2007

Masjid Dang Wangi




Kalau dulu, selepas nonton wayang 1.30 tengah-hari di Odeon, kami masih sempat bersolat zuhur, kerana masjidnya dekat. Dan kala keributan himpunan Reformasi, selepas berhimpun di Sogo, kami berpura-pura tak terlibat sambil melenggang-lenggang masuk ke pekarangan Balai Polis Dang Wangi dan terus bersolat di masjid sebelahnya; dan di kala ada kawan-kawan yang tertangkap, saing-saing berdemonstrasi yang selamat pula, sambil menunggu-nunggu maklumat atau hukuman, juga akan berehat di situ. Itulah Masjid Pakistan Balai Polis Dang Wangi atau Balai Polis Campbell.

Dibina lebih 90 tahun lalu oleh anggota-anggota polis British yang dibawa dari Uttar Pradesh dan Pakistan (kesemuanya berbahasa Urdu) kerana di Campbell-lah kem terbesar mereka di KL. Asalnya hanya sebuah surau, tetapi lebih 13 tahun lalu telah diizinkan oleh MAIWP untuk bersolat Jumaat. Dan inilah satu-satunya masjid yang berkhutbah dalam bahasa Arab. Dan khutbah yang terpendek di KL. Jemaahnya pula duduk berselerak bukan hanya di pekarangan masjid, tapi juga di bawah pokok-pokok dan di kaki-kaki lima jalan Dang Wangi, yang jauh dari saf! Meskipun berkali-kali ditegur, mereka tetap tak berganjak kerana mencari keselesaan. Teguran langsung tak menjadi ajaran. Amat bebal.

Permulaannya keadaan pengurusan masjid begitu dhaif. Taklim sebelum Jumaat bukan dari pensyarah jemputan, akan tetapi dari pita rakaman! Hanya kebelakangan ini saja barulah ada pensyarah jemputan.

Keadaan masjid tentu sekali dhaif kerana binaan sudah tua dan dibina pula diruang kawasan yang sempit. Hala qiblahnya juga menjadi tanda soal. Pernah aku bertanya imam masjid yang berbangsa Pakistan, kenapa sejadahnya miring ke kanan. Jawapnya, ”qiblah”. Maksudnya itulah arah yang betul. Maka saya bertanya, ”Kami pula bagaimana?” sambil menunjukkan kepada arah yang sedikit berbeza dengannya. Dia tak menjawab dan mula menunjukkan rasa kurang senang. Seperti juga bangunan Parlimen atau Mahkamah baru, atapnya bocor. Di beberapa tempat.

Jumaat lalu aku kesana kerana khabarnya masjid ini akan diruntuhkan Jun ini. Jemaahnya masih ramai, dan imam pada hari itu Maulana Nur Muhammad, bersedu-sedu mengajak jemaah bersolat hajat. Dengan harapan keputusan mahkamah pada 22 Mei akan menyebelahi kehendak AJK Masjid.

Meskipun pemaju telah menjanjikan ruang solat yang lebih selesa dan besar dalam kompleks Polis yang baru, AJK masih berkeras mau mempertahankan kedudukan. Dari kawanku yang juga menjadi ahli barisan bertindak, katanya, ”masalahnya bukan untuk memastikan masjid akan kekal, tetapi untuk memastikan AJK masjid kekal.” Oh itulah sebenarnya. Masjid sekecil ini pun tak sunyi dari rebutan kuasa.

Disebabkan masjid tak bertapak di bawah dan bersandar kepada pohon besar yang berusia tua, dan berbanir besar atau akar terjurai, dengan mempunyai batang yang berbidang luas; kemungkinan keputusan untuk meneruskan perobohan akan kekal. Masjid bukannya rumah ibadah yang ada kaitan dengan pokok dan pohon atau sejarah pendatang. Meskipun dalam hal ini ianya ada kaitan dengan pendatang, tetapi bukanlah yang bukan Islam. Kalau ianya berkait, pengumuman akan dihebahkan ke serata dunia. Keseluruh NGO akan meraong. Himpunan sembahyang antara agama akan diadakan. Perarakan berlilin akan dianjurkan di Dataran Merdeka. Dan kabinet akan dipaksa bertindak seperti dalam kes keperluan firma guaman dimestikan mempunyai pemilikkan Bumiputera sebagai syarat menjadi ahli panel guaman Maybank.

Oh Malaysia, 50 tahun Merdeka.



Saturday, May 12, 2007

Che'




Terpahat dibenakku dua hadith yang menjadi peringatan dalam khutbah Jumaat di Masjid INTAN kelmarin.

Seorang sahabat menggendung ibunya dari Medinah ke Makkah untuk mengerjakan haji. Apabila ditanya kepada Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam tentang apakah ini membalas jasa-jasa ibunya kepadanya, Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam menjawab;

"Tidak! Tak memadai untuk membalas meskipun setitik susu dari ibumu."

Seorang yang lain pula mengadu kepada Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam, bahawa ibunya memalukannya serta isterinya dengan meminta-minta bantuan tanpa batasan. Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam pula menjawab:

"Apakah ibumu tak malu membawamu kemana-mana dalam keadaan perutnya memboyot selama 9 bulan?

Adakah ibumu tak malu menyusukan kamu dalam apa keadaan sekalipun apakala kamu merengek-rengek kelaparan?

Adakah kamu pula tak malu dikeluarkan ke dunia melalui kemaluan ibumu?"





Oh Che', begitulah pengorbananmu dan maafkan daku kerana sering berkata 'uuh' kepadamu dulu.

Allahummaghfirli waliwalidayya, warhamhuma kamaa rabbayaanii shogiira.
Allahummaghfirli waliwalidayya, warhamhuma kamaa rabbayaanii shogiira.
Allahummaghfirli waliwalidayya, warhamhuma kamaa rabbayaanii shogiira
.
(Ya Allah ampunilah daku dan rahmati dan belas kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana belas kasihannya mereka kepadaku sewaktu kecil-kecilku dulu.)


Nota:
Che' adalah panggilan sesetengah orang Kelantan dan Terengganu kepada ibu.