Saturday, June 23, 2007

Ilham Badai





Lope,

Aku tak kemana sebenarnya.

Hanya tiba-tiba dilanda kesibukkan untuk membetulkan keadaan. Keadaan musabbab kepada kekecewaan. Agaknya. Dalam keadaan masakini yang telah menimbulkan minat mendadak dari kalangan bukan Islam untuk menerokai dan menguasai perbankan secara syariah, tiba-tiba lesap anak-anak Muslim dari gelanggang. Seakan-akan dunia kerjaya ini terlalu asing bagi mereka. Itulah kekecewaanku.

Dan di dunia ini seolah-olah dikerumuni semut hitam keluar sarang atau kelkatu berterbangan mencari cahaya, sebelum hujan. Begitulah dunia perbankan dipenuhi tenaga pekerja ala tentera upahan atau mercenaries yang gigih meniagakan produk atas nama Islam. Memetik-metik hukum-hakam tentang haramya riba. Memberi sepenuh keyakinan. Bukan kepada kafir malahan kepada yang Islam. Tapi pakaian dan kesopanan mereka jauh menafikan kewajipan yang dikehendakki Illahi.

Apabila kau menyebut
“… melata di baruh mula berbondong…”
teringat diriku kepada Hamzah Fansuri dari Baruh.

Dari Baruh ke kota Mekah
Hamzah pergi mencari Allah
Tidak berjumpa di dalam Kaabah
Rupanya ada di dalam rumah

Atau dalam satu versi lainnya,
Hamzah Fansuri di dalam Makkah
mencari Tuhan di Bait al-Ka`bah
di Barus ke Qudus terlalu payah
akhirnya dapat di dalam rumah

Sebenarnya Hamzah bukan tinggal di baruh tapi di daerah yang mengeluarkan barus. Dari getah kayu yang dijadikan camphor, wangi-wangian yang dicampurkan pada air untuk memandikan mayat, dan juga untuk pengeluaran ‘attar (minyak wangi).

Kedekatan penyair sufi ini dengan lingkungan Baruh, dengan lautnya, daratnya, penghidupan, dan budaya masyarakatnya, terserlah apabila memperkenalkan dirinya:

Hamzah di negeri Melayu
Tempatnya kapur di dalam kayu
Itulah barus. Kapur di dalam kayu kamfer.

Hamzah sentiasa bertafakkur. Tak bersantai di pantai tetapi mencari ilham dari badai. Agaknya setiap hari sebelum ‘asar beliau ke pelabuhan untuk melihat-lihat hasil tangkapan lautan yang dibawa pulang oleh nelayan-nelayan, atau untuk menenangkan fikiran sambil berbisik-bisikan dengan angin-angin sepoi yang membelai muka dan mendakap badan; atau sambil bertegur sapa dengan camar-camar laut yang mencari rezeki pada ikan-ikan yang dibuang nelayan. Sambil dibelai dengungan lautan beliau mengadu-gadu pada air tentang kebebalan manusia kepada peringatan Illahi. Maka timbullah ilham dari perahu.

Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah
membetuli jalan tempat berpindah
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat jua kekal diammu
.....

Kenali dirimu di dalam kubur
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur

Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang
......

Dan kalanya pada Hamzah, ikan tangkapan memberi ilham perihal cahaya Junjungan (Nur Muhammad):

Ikan tunggal bernama fâdhil
Dengan air dâim dia wâshil
‘Isyqinya terlalu kâmil
Di dalam laut tiada bersâhil
.....


Pada Hamzah, kelemahan diri dalam usaha untuk mencapai nikmat penyatuan dengan khaliq, bukanlah akibat dari sesiapa malahan angkara sendiri. Dalam merenung dan bermuhasabah, bunyi pingai di hutan memberi ilham dan lenyaplah kemusykilan yang melanda badan

Hamzah sesat di dalam hutan
pergi uzlat berbulan-bulan
akan kiblatnya picek dan jawadan
inilah lambat mendapat Tuhan

Unggas pingai bukannya balam
berbunyi siang dan malam
katanya akal ahlal-‘alam
Hamzah Fansuri sudahlah kalam

Tuhan hamba yang punya alam
timbulkan Hamzah yang kalam
‘isyqinya jangankan padam
supaya warit di laut dalam

Dan apabila ternyata pengajaran Wahdatul Wujud-nya mendapat tentangan hebat terutamanya dari Nuruddin ar Raniri, maka ke pantai lagi beliau bertafakkur, dan ombak dan badai yang tak penat memukul pantai, memberinya ilham untuk mengadu tentang ceteknya fikiran manusia yang tak dapat menampung keluasan ilmu makrifah Illahi:
Hamzah Fansuri terlalu karam
Ke dalam laut yang maha dalam
Berhenti angin ombaknya padam
Menjadi sultan pada ke dua 'alam

Hamzah miskin hina dan karam
Bermain mata dengan Rabb al-'alam
Selamnya sangat terlalu dalam
Seperti mayat sudah tertanam



Begitulah Lope, tingginya martabat tafakkur. Untuk mengenal Allah, tafakkurlah yang diperintahkan-NYA. Apabila kefahaman sudah mendalam, segala apa yang dilihat, itulah dari-NYA. Bagaimana dengan tafakkur kita? Atau tepatnya tafakkurmu di Tremelbye?

Apa agaknya kejutan yang akan membawa perubahan pada keadaan. Kini kita dalam tahun ke-50 Kemerdekaan!

Nota:
Kepada kawan-kawan yang telah meninggalkan komen dan catitan pada entri Sejarah Berdarah, diucapkan terima kasih dan semoga menjadi iktibar dan persiapan kepada apa-apa kemungkinan pada masa hadapan. Ingat pesanan wahai taulan. Bersiap sedia satu kewajipan.


P.S.
Rampai, Blog sengaja dibiarkan bersawang untuk memperingati Hari Dunia!