Saturday, March 24, 2007

Azan Selepas Azan




Ramai yang akan keliru dengan azan yang tak serentak dari dua masjid yang berdekatan di KL. Masjid Jamek Bandaraya KL dan Masjid India. Azan ‘Asar di Masjid India lebih kurang sejam selepas Masjid Jamek. Begitu juga di Masjid Haji Salleh di Sentul atau mungkin juga di Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang. Itu ‘Asar Hanafi namanya. Bagi mereka yang non-jemaah Tabligh, ini mungkin sesuatu yang ganjil. Tapi bagi ahli Jemaah Tabligh, mereka tentu sudah kebiasaan dengan amalan ini kerana itu adalah dari amalan mazhab Hanafi yang mengafdhalkan untuk melewatkan ‘Asar.

Sebenarnya ini belum ganjil!




Satu waktu dulu saya telah mengambil peluang selepas persidangan di Tunis untuk menziarahi Masjid Zaitouna. Masjid ini mengambil nama sempena pusat pengajian yang dibina di bawah teduhan pokok zaiton. Pusat ini merupakan antara unibersiti tertua di dunia, sezaman dengan Unibersiti Al Azhar di Kaherah dan Unibersiti Kairaouan di Fez. Kelainan masjid ini adalah lantainya tak beralaskan permaidani tetapi dengan tikar jerami yang tebal. Dan di ruang-ruang utama masjid terdapat beberapa majelis pengajian, meskipun yang mendengar pengajian tak sebegitu ramai. Ramai lagi orang-orang yang sedang bersandar pada dinding masjid tanpa berbuat apa-apa. Hanya menunggu waktu berlalu, agaknya. Sebentar setelah ketibaan saya laungan azan pun kedengaran. Dan saya pun bersama-sama berjemaah. Untung sekali fikir saya kerana dapat berjemaah ‘Asar di masjid yang tua ini.

Setelah solat dan sewaktu saya berjalan-jalan di lorong-lorong Souk yang terdapat di sekeliling masjid, terdengar lagi laungan azan. Inilah yang menghairankan. Dua azan dalam waktu yang tak berapa lama jaraknya dan dari masjid yang sama. Berbeza dengan laungan azan dari dua masjid yang saya ceritakan di KL tadi.

Setelah bertanya saya diberitahu bahawa itu adalah azan ‘Asar dan sebelumnya tak beberapa lama tadi adalah azan Zuhur. Rupa-rupanya amalan Maliki pula ada dua pilihan. Sama ada mengerjakan Zuhur pada awal waktu dan untuk melewatkan Zuhur, hampir kepada waktu ‘Asar. Jadi jemaah solat Zuhur dibuat dua kali untuk memenuhi pilihan yang dibuat jemaah. Dan saya pula telah menunaikan 'Asar bukan pada waktunya pada hari itu.

Tetapi itu belum lagi ganjil agaknya.

Faiz, teman saya yang baru pulang dari Kuwait menceritakan hari pertama beliau di sana, beliau pun ke masjid yang terdekat dengan hotel untuk berjemaah Maghrib. Sewaktu beriktikaf, kedengaran laungan azan dari masjid yang terdekat. Akan tetapi masjid di mana dia berada tak melaungkan azan sehinggalah lebih kurang 20 minit selepasnya. Dan azannya pula ada menyelitkan pujian kepada Sayiddina ‘Ali. Rupa-rupanya beliau dalam masjid Syi’ah. Azan Syi’ah berlainan dan mereka pula menjamakkan Maghrib dan ‘Isya.

Tetapi mungkin ini taklah seganjil keadaan di Istanbul misalnya dalam tahun 30-an.

Yang berkumandang dari menara masjid-masjid pada waktu subuh adalah:

Tanrı Uludur Tanrı Uludur
Tanrı Uludur Tanrı Uludur
Şüphesiz bilirim, bildiririm; Tanrı’dan başka yoktur tapacak
Şüphesiz bilirim, bildiririm; Tanrı’dan başka yoktur tapacak
Şüphesiz bilirim bildiririm; Tanrı’nın elçisidir Muhammed
Şüphesiz bilirim bildiririm; Tanrı’nın elçisidir Muhammed
Haydin namaza haydin namaza
Haydin felaha haydin felaha
Namaz Uykudan Hayırlıdır
Namaz Uykudan Hayırlıdır
Tanrı uludur
Tanrı Uludur
Tanrıdan başka yoktur tapacak
Tanrıdan başka yoktur tapacak

Pada zaman itu Ataturk menitahkan supaya Allah dipanggil hanya dengan nama Tanrı dan azan mestilah tidak dalam bahasa Arab. Begitulah bencinya Ataturk kepada bangsa dan bahasa Arab dan kepada Islam.

p.s.:
Harap-harapnya nanti Simah Hanım akan menterjemahkan azan Ataturk ke B. Malaysia. Lütfen.



Azan telah menjadi inspirasi abdi-abdi yang dipaksa untuk membanting tulang dan adanya mengadai nyawa di Amerika se abad dulu, untuk mencipta Blues pertama mereka. Levee Camp Holler, satu rintihan atau tangisan abdi untuk menghilangkan kerinduan kepada kampung halaman dan kepenatan bekerja, mempunyai banyak persamaan gaya laungan dan dengungannya dengan Azan.


Kredit: Gambar Masjid Zaitouna oleh Adam Harrison.





Friday, March 09, 2007

Komen: Jahil-tukil



Terima kasih joe penang, hjghaz, ~ahni~, Pa'chik, NBB, Jiwa Rasa, Anon 1, Tuan Pegawai Khalwat, panwalla, dingin, Anon 2, tuan tanah, Rampai, wan, zara dan madah berhelah, untuk komen-komen anda.

Andainya benar kelaku Arab-Arab yang saya bertembong di masjid dan musholla itu sememangnya mengikut pendirian mazhab-mazhab mereka, maka bayangkan:

Imam Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman al Sudais, pada suatu petang berlenggang-lenggang masuk dari Bab Malek Abdel-Aziz, menuju ke Ka’abah, sambil melaung-laungkan azan maghrib melalui cordless microphone-nya. Seterusnya beliau pun beriqamah juga sambil sedang berjalan. Setibanya di tempat yang disediakan di hadapan Ka’abah, beliau pun mengimami solat maghrib. Beliaulah bilal dan beliaulah imam! Satu pembaharuan.

Dan ketika solat maghrib itu kekecohan berlaku. Si Arab yang berjemaah bersebelahan Si Melayu bergaduh. Kesnya, Arab itu menarik kain pelikat Melayu hingga terlucut dan menyebabnya berboleng-boleng. Sebabnya, Melayu yang bermazhab Syafi’e yang datang lambat untuk menyertai solat tidak rukuk serentak bersama imam, kerana ingin menghabiskan Fatihah-nya dulu. Kebiasaan bagi sang Arab, sekiranya ada makmum lain yang tak turut serta pergerakan mengikut imam dengan serentak, makmum itu akan di tarik dengan kuat.

Pada ketika dan tempat lain pula, solat bercelaru kerana ada makmum yang menamatkan solat mendahului imam. Kalau mereka yang telah menyelesaikan solat ini berada di barisan belakang mungkin taklah sangat kekecohannya. Akan tetapi mereka ini di barisan tengah. Haru biru jadinya!

Sebenarnya kesemua kelaku yang ganjil ini bukannya dari perbezaan mazhab, tetapi dari keadaan jahil-tukil mereka. Perebezaan antara mazhab dalam solat tak lah ketara. Sekiranya ada, perbezaannya amatlah sedikit. Misalnya antara ada dan tiadanya qunut. Antara cara meletakkan tangan ketika qiyam. Antara Fatihah dengan ber-Bismillah atau tidak.

Dan baiknya kita di sini di Malaysia adalah kita tak menghukum sesiapa saja yang bersolat secara mazhab yang berlainan dari kita sebagai salah. Memang benar di Malaysia ada kejahilan. Akan tetapi yang jahil itu tak menghukum orang lain disebabkan perlakuan mereka berbeza dengan yang jahil tadi. Dan selalunya pula si jahil pandai mengasingkan diri jauh dari yang lain.

Apabila saya mengatakan susah beribadat secara Syafi’e bukannya bermakna susah bagi saya untuk menyesuaikan diri dengan pengikut-pengikut mazhab lain. Akan tetapi, susah kerana mereka yang bermazhab lain tak menghurmati cara-cara orang yang berlainan mazhab darinya.

P.S. Cik NBB:
Sekiranya yang memegang bahu itu lelaki, maka tak sah menjadi imam kepadanya. Sekiranya perempuan, maka apa kata Anon 1 itu betul.


Tuesday, March 06, 2007

Jahil-tukil



Bukan senang untuk bersolat di negara-negara Arab. Apa lagi sekiranya solat itu mengikut kaedah Syafi'e.

Aku pernah dimarahi, selepas menjadi imam di sebuah masjid di Bilad, Jeddah, untuk solat jama' taqdim 'isya kepada rakan-rakan, pada suatu masa. Selepas salam, ada orang lain yang turut ikut sama berjemaah menegurku kerana katanya kami solat tak lengkap dengan hanya melakukan dua raka'at. Selepas dinyatakan bahwa kami jama' qasar, mereka menafikan adanya solat secara demikian. Selepas kejadian ini kami mengambil sikap, untuk bersolat jama' qasar bersendirian pada ketika-ketika yang lain untuk mengelak hal-hal sedemikian.

Pada ketika lain pula sewaktu di musshola di lapangan terbang Dubai, aku melihat seorang Arab melakukan jama' qasar 'isya, tetapi solatnya di belakang imam yang tamam atau bersolat yang lengkap. Apabila aku menegurnya bahawa tak ada solat di mana makmum mendahulukan salam sebelum imam, aku dimarahi juga dengan katanya, "engkau tak tahu". Begitulah. Jangan sangkakan bahwa semua Arab tahu akan cara bersolat.

Baru-baru ini satu lagi kejahilan aku perhatikan juga di musholla yang sama. Aku memerhatikan seorang Arab separuh umur sambil melangkah ke hadapan, melaungkan iqamah dan sesudahnya, beliau menjadi imam! Meskipun ramai yang bersamanya. Lagi haru.

Sebenarnya aku tak suka berjemaah di tempat-tempat sedemikian, kerana selain dari keinginan untuk mengelakkan diri dari keadaan jahil-tukil mereka, aku juga khuatir sama ada mereka yang menjadi imam berwudhuk atau pun tidak. Pada mereka, mandi (mandi yang biasa) sudah mencukupi syarat berwudhuk. Yang menimbulkan was-was kepadaku adalah keadaan mereka yang baru tiba dari perjalanan yang jauh, dan selepas tidur berdengkur sewaktu penerbangan. Masih berwudhukkah mereka?

Sesungghuhnya solat hanya menjadi ikutan kepada mereka. Ada juga pemuda-pemuda berseluar jeans yang hujung kakinya meleret sehingga menyapu lantai; sama arasnya pula dengan tapak kasut, bersolat tanpa apa-apa kewaswasan kepada keadaan kebersihan seluar. Aku melihat mereka masih berstokin dan tak ada kesan air pada lengan atau muka mereka. Berwudhukkah? Apa pula keadaan saf dengan termasuknya orang sebegini?

Dalam bab solat, ternyata kita di Malaysia, lebih ariff dan lebih berdispilin. Alhamdulillah.