Powered By Blogger

Wednesday, June 28, 2006

Dakwah di Masjid Fateh

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, kalau anda menuju ke Manama (ibu Kota Bahrain), di persimpangan mana sekalipun, sama ada menuju ke Shari' (jalanraya) al Malik Faisal ke Budaiya, atau ke Gudaibiya atau pun ke Juffair, anda akan bertemu dengan papan-tanda papan-tanda yang menunjukkan arah yang berlainan ke Saudi Arabia. Tak kiralah, kalau terdahulunya papan arah ini menunjukkan ke kanan, selepasnya ke kiri, kini pula ke depan dan kemudiannya ke belakang. Semuanya halatuju ke destinasi yang sama. Saudi Arabia.

Kalau ditanya kepada Hussain, pemandu teksi (kebanyakan pemandu bermazhab Syi’ah dan nama-nama mereka kalau tidak 'Ali, mungkin Hassan atau Hussain atau Ja'afar. Dan mereka amat selesa berbicara denganku apabila diberitahu bahawa bapaku juga bernama 'Ali, nama kecintaan mereka dan aku juga bersilsilahkan al Hussaini.), kenapa sebegitu pelbagai? Mereka akan menjawab, “The Saudis coming here are always drunk. No matter where they drive, they will reach Saudi Arabia! Because Bahrain is small and the island is round.”

Di sebelah barat daya Bahrain, terdapat jembatan King Fahad, sepanjang 25 km. yang menyambungkan pulau ini ke Al Khubar dan ke Dhahran, daerah-daerah di sebelah Timur Saudi Arabia. Kawasan yang ramai dengan pengikut mazhab Syi’ah. Dan pada hari-hari Khamis mereka akan berduyun-duyun ke Bahrain untuk berihat dan bermaksiat. Bahrain adalah kawasan bebas cukai dan juga bebas maksiat. Mungkin bukan maksiat kepada mereka. Mungkin. Jambatan inilah yang menjadi penghubung nyawa kepada kaum Syi’ah Saudi. Kalau di Al Khubar atau Dhahran mereka tak bebas sepenuhnya untuk hidup dengan pegangan mereka, maka di sini mereka teramat bebas. Mudah dan bebas dengan khamar dan mut’ah.

Di Manama, masjid terbesarnya adalah Masjid Fateh. Tersergam indah di Juffair. Putih bersinar dalam keterikan cahaya matahari Manama. Pintu utamanya setinggi lebih dua puluh kaki dan ruang solatnya dapat memuatkan 7,000 jemaah. Menjadi kemegahan kepada akiteknya dan juga kerajaan yang membinanya.

Akan tetapi pengalamanku bersama-sama Ordinary Superhero dan TH (bosnya) pada suatu subuh yang syahdu, di musim panas beberapa tahun yang lalu, sungguh menyedihkan. Kami bertiga yang menginap di Gulf Hotel, yang letaknya lebih kurang 600 m dari Masjid Fateh, telah pergi ke masjid di awal pagi, untuk menjadikan solat fajar pada hari itu sebagai saksi kami pada pagi pertama kami di Bahrain. Setibanya di masjid, segala pintu-pintu berkunci rapat. Dalam melilau-lilau mencari jalan masuk maka akhirnya datanglah seorang tua untuk membuka pintu dan menyalakan lampu-lampu masjid.

Setelah menunggu selama setengah jam, si tua tadi pun melaungkan azan. Sangkaan kami pasti ahli-ahli kariah akan datang berduyun-duyun untuk berjemaah. Tetapi harapan kami meleset. Sungguh meleset. Setengah jam kemudiannya, hanya kami berlima termasuk imam yang menjadi jemaah solat fajar di Masjid Fateh. Bayangkan, pada hari-hari lainnya pasti sekali jemaah solat fajar hanyalah imam dan bilal. Sahaja. Berdua.

Beberapa tahun kemudian, aku ke Bahrain lagi untuk menghadhiri seminar. Kali ini hanya bersama TH (tanpa Ordinary Superhero). Selepas sessi pembentangan kertas kerjaku, moderator untuk sessi itu berlari anak menujuku dan menyerahkan kartu namanya. Dan dengan tercunggap-tercunggap menjemput aku dan TH untuk membuat lawatan ke pejabatnya.

Rupa-rupanya dalam keadaan Islam dipinggirkan di Bahrain, terdapat satu badan dakwah, Call to Islam, yang begitu gigih menyampaikan risalah kepada pekerja-pekerja asing. Sewaktu kami tiba di pejabat dakwah tersebut, terdapat kelas-kelas untuk muallaf-muallaf yang terdiri dari wanita Filipina dan Sri Lanka. Akan tetapi dakwah mereka yang paling berkesan adalah di Masjid Fateh.

Di masjid Fateh, ahli-ahli badan ini bertugas sebagai tourist guide. Disebabkan kerajaan Bahrain mengawal kerja-kerja dakwah, maka badan ini telah berjanji kepada kerajaan bahawa yang mereka akan sampaikan kepada pelawat masjid hanyalah tentang bangunan turistik tersebut. Tak akan ada langsung maklumat-maklumat provokasi tentang agama-agama lain. Dan kami pun dibawa ke Masjid Fateh untuk didemonstratkan cara mereka berdakwah. Seorang petugas telah disediakan untuk kami dan kami disuruh bertanya apa-apa saja kepadanya.

This is a mosque, a house for the Muslim worshippers. The foundation stone was laid on December 15, 1983 and the mosque was officially opened on June 2, 1988. The total area covering by the mosque comprises of 150,000 square metres. The centre is named after Shaikh Ahmed Al Fateh who conquered Bahrain in 1783. Beautiful Quranic verses are inscribed across the underside of the dome, and decorate the mihrab and the walls of the edifice.

The large dome is 16 metres high and 22 metres wide and its inside is illuminated by twelve ornate stained glass windows. Two 70 metre imposing minarets frame the dome.”
Begitulah mukkadimahmya. Dan kami pun dibawa masuk keruang solat tengah.

The front part of the hall is the mihrab, where the imam stands and leads the prayer. Each prayer time is indicated by the azan,” dan beliau pun berdiri dihadapan dan melaungkan azan, dengan suara yang sugguh merdu. Perbuatan ini telah menarik perhatian beberapa pengunjung-pengunjung yang lain dan mereka pun datang menyertai kami. Petugas tadi sambung lagi, “Muslims pray five times daily. The one who leads the prayer is called an imam. He can be anybody at all. In Islam any man can lead the prayers.

Tiba-tiba bertanya seorang pengunjung, “Aren’t there any bishops or priests in Islam?” Seorang lagi pula mencelah, “Why do you pray towards Makkah?” Belum sempat petugas menjawab, tanya lagi yang lain, "Why don't ladies pray side by side with men?" Pelawat berebut-rebut untuk menyoal. Dan segala soalan-soalan yang diutarakan dijawabnya dengan cara yang sopan dan amat menarik. Begitulah selalunya keadaan yang dialamai oleh petugas. Pelawat-pelawat seolah-olah kanak-kanak sekolah ke Muzium, berebut-berebut untuk bertanya soalan. Kunjungan pelawat-pelawat selalunya memakan masa lebih 2 jam, kerana keseronokan mereka dengan maklumat yang diberikan. Berbeza dengan pelawat ke Masjid Negara KL yang datang hanya untuk bergambar dan pulang. Kunjungan yang tak melebihi 15 minit.

Begitulah mereka menanamkan minat tentang Islam. Secara indirect. Dengan secara begini, ia itu secara memperkenalkan cara-cara masjid digunakan, telah menarik minat ramai isteri tentera-tentera USA yang bertugas di Bahrain untuk mempelajari tentang Islam. Ramai juga yang telah menerima syahadah.

Begitulah Masjid Fateh dimanfaatkan masakini. Dan itulah caranya berdakwah dengan hikmah. Tak ada petugas-petugas yang memberi maklumat secara bertempik-tempik dan meraung-raung, sehingga bergegar seluruh kampung.

Dan Lope, surau kampung pun tak juga-juga bertambah jemaahnya!

Sunday, June 18, 2006

Hari Bapa. Hari Ayah. Hari Pak. Hari Bak.

Hari ini rupa-rupanya Hari Bapa. Aku telah diperingatkan tentang Hari Bapa dari blog-blog yang aku ziarahi, dua tiga hari lepas. Tetapi kerana kebiasaan tak menyambut hari-hari khas sebegini, maka tak ku nukilkan di ingatan bila sebenarnya jatuh Hari Bapa. Hari yang telah ditetapkan tanpa usah berukyah. Hanya berhisab. Tanpa keperluan untuk diistiharkan oleh Pemegang Mohor Majlis Raja-raja. Malahan hari Maulud juga tak ku ingat bila akan bertepatan dengan tarikh Gregorian. Yang aku pasti 12 Rabi’ul Awwal tu tarikh kelahiran Rasululluahi sollallahu ’alaihi wassalam, dan yang aku pelajari dari syarahan Maulud Dato’ Asri Haji Muda dulu, maulud disambut pada bulan-bulan Hijriah yang berakhir dengan awwal dan akhir. Itulah kebiasaan masyarakat pondok di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Patani.

Pagi ini aku dikejutkan oleh anakku Mizdan, dengan ucapan ”Selamat Hari Bapa, Ayah”

”Bila?’ tanyaku.

”Hari ini!” jawabnya.

Seminggu lepas, aku telah keliru dengan hari. Sangkaku pada suatu hari yang lepas adalah hari Khamis dan aku hanya bersantai dirumah meskipun telah diberitau isteri bahwa itu adalah Jumaat. ”Tak,” kataku, "besok Jumaat." Beliau hanya diam kerana sangkanya mungkin beliau yang tersilap. Beberapa minit kemudian, aku menerima panggilan dari pejabat memperingatkan bahawa ada temujanji pada pukul 10 hari itu. ”Besok,” jawabku, ”pada hari Jumaat, bukan hari ini!”. Dan jawapan yang ku terima, membuatku tersentak, bahawa sebenarnya aku tersilap hari.

Hari Jumaat. Ritual ku pada pagi-pagi lagi, menziarahi pusara Ayah, dan pada hari itu ternyata aku sudah amat terlambat. Cepat-cepat aku mempersiapkan diri dan terus ke perkuburan dalam perjalanan ke pejabat. Tetapi hari itu, aku di lupakan oleh Allah SWT tentang banyak perkara-perkara. Sesampai di kubur Ayah, selepas memberi salam, aku menjadi tergamam. Aku terlupa bacaan Selawat Syajarah yang sudah menjadi amalan kebiasaan. Berkali-kali aku cuba memperingatkannya, tetapi selawat tersebut terlepas daripada ingatan. Ku cuba lagi selawat-selawat lain yang selalu menjadi bacaan hadiah untuk arwah-arwah. Juga terlupa. Dan dengan linangan air mata, aku merenung ke kubur ayahku dan menyedari bahawa hari-hariku dan usiaku juga sudah jauh berlalu. Jauh tertinggal dan terbiar sehingga pada hari ini Allah SWT telah mengambil ingatanku hanya buat seketika, dan aku menjadi begitu kelam-kabut.

Meskipun ayahku sudah hampir lima tahun ke alam Barzakh, tetapi ingatanku kepadanya masih kuat sekali. Amat kuat. Aku malu kepadanya kerana tidak menjadi seorang bapa sepertinya. Ayahku tak tinggi pelajarannya. Hanya peringkat Thanawi, dan mempelajari Inggeris hanya di kelas-kelas malam. Tetapi arwah Ayah mempunyai pengetahuan ilmu yang luas. Baik ilmu dunia atau ilmu ukhrawi. Daripada beliaulah kami adik-beradik menimba ilmu-ilmu terutamanya tentang ilmu agama.

Kali terakhir aku bersamanya adalah dua hari sebelum beliau pulang kerahmatullah. Pada satu pagi Jumaat sewaktu dalam perjalanan ke pejabat aku memarahi diriku sendiri kerana tak menjadikan tabiat membaca al Quran atau wirid-wirid sewaktu dalam perjalanan ke pejabat atau kemana-mana. Sebagaimana kebiasaan Ayah. Dan pada tengah-hari tersebut sebaik melangkah keluar dari masjid, aku menerima panggilan daripada anak saudaraku Nadiah, untuk memberitahu bahawa Tok Wan-nya rebah di masjid, sewaktu bersolat Jumaat. Aku menerima berita itu dengan tenang, dan memang terlintas pada hatiku bahwa beliau telah meninggal, meskipun kesihatannya seperti biasa. Aku menalipon abangku di London untuk menyampaikan berita dan menalipon lagi kepada adikku (bapa kepada Anak Saudara MIA), dan kepada anak sulungku Adem supaya membuat persiapan sekiranya betul Ayah telah meninggal. Dan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah barulah terlerai air mata kerana kehibaan kehilangan ayah. Bukan hanya kehilangan seorang bapa tetapi kerana kehilangan tempat kami menimba ilmu.

Seminggu dua ini memang ingatanku kepadanya kuat kembali kerana hanya dua minggu lalu tiga orang rakan masjidnya datang menziarahiku dan seorang daripada mereka, yang tak pernah aku ketemui, menanggis apabila melihatku. ”Ini anak Pak Wan ke?” tanyanya, ”He was my colleague many years ago. I remember when I was in Kota Baru, he used to call me from Kuala Terengganu, and his first question was always, ’Dah sembahayang ke?' In fact, in 1961, I advised him to accept his promotion and be transferred to KL.” Tak habis-habis beliau menceritakan pengalamannya bersama Ayah, dan apa-apa yang dipelajarinya daripada arwah Ayahku.

Setahun selepas kematian Ayah, sewaktu aku di Masjid Nabawi, terlintas pada ingatanku akan kebiasaan pesanan Ayah untuk disampaikan salamnya kepada Rasulullahi sallahu ‘alaihi wassalam. Dan apabila aku membuka buku Do’a Ziarah, terjatuh sekeping kertas yang tertulis rapi dengan tulisan Ayah, “Assalamu 'alaika ya Rasulullah. Assalamu ‘alaika ayyuhan nabi, warahmatullahi wabarakatuh.” Seakan-akan Ayah ketahui tentang ziarahku ke makam Rasul.

Dan hari ini pula adalah Hari Bapa. Aku tak dapat memberi ucapan yang sama kepadamu Ayah, sebagaimana ucapan yang aku telah terima daripada anakku yang juga cucumu. Tetapi hanya do’a yang dapat ku mohonkan kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT memberi kepada mu, wahai Ayah, kasihan belas sebagaimana belas kasihannya kamu, wahai Ayah, kepada kami, sewaktu kami kecil-kecil dulu. Semoga kuburmu menjadi sebahagian daripada kebun-kebun di syurga, wahai Ayah. Semoga aku menerima syafa’at Rasulullahi sollallahu ’alaihi wassalam wahai Ayah, supaya aku dapat bertemu lagi denganmu dan dengan Che (ibu), di alam akhirat nanti.


Wa inna inshaa Allahu bikum la hiquun.

Thursday, June 15, 2006

Tahukah Anda tentang Negara Champa?

Di sebabkan kesibukkan tugas, pada ketika ini, saya muatkan disini untuk pandangan para sahabat bloggers, satu bahagian dari penyelidikkan yang sedang saya persiapkan tentang Negara Champa. Sebuah negara yang kerapkali dikelirukan dengan Negara Kemboja. Champa mempunyai pertalian yang erat dengan sejarah orang-orang Melayu dan perkembangan Islam di Nusantara.

Malah, Wali Songo yang dimasyhurkan di tanah Indonesia, adalah para mubaligh dari Champa, yang ada perkaitan kekeluargaan dengan Raja-raja Patani dan dengan ulamak-ulamak Patani yang masyhur seperti Sheikh Daud al Patani.

Demikian seterusnya:


Kerajaan Baru Champa di Panduranga.
Adakah ini kerajaan Islam Champa?

Akhirnya pada 1471, Kerajaan Ðai Viět di zaman Dinasti Le, sewaktu pemerintahan Le Thanh Ton (1460 – 1479), berjaya merampas Vijaya, ibu negeri Champa ketika itu. Le Thanh Ton telah mengambil sebagai tahanan seramai 30,000 orang Cham dan membunuh sekitar 60,000 orang tahanan-tahanan perang termasuklah Raja Champa dan ahli-ahli keluarganya.

Dengan kejatuhan Vijaya pada 1471 maka keluasan Negara Champa semakin mengecut dan ibu negara Champa berpindah untuk kesekian kalinya. Kali ini jauh ke selatan ke Panduranga. Mengikut sejarah, semenjak perlantikan Po Tri Tri sebagai raja untuk keseluruh Champa dan dengan perpindahan beliau ke Panduranga untuk menubuhkan kerajaan yang baru, maka bermulalah perkembangan Islam secara besar-besaran di Champa. Bahasa Sanskrit yang selama ini menjadi bahasa rasmi Champa juga tidak digunakan lagi.

Semenjak era inilah Champa bertukar corak. Tidak pasti sama ada Champa terus menerus diperintah oleh raja Islam sehingga kejatuhannya ke Vietnam, akan tetapi berdasarkan kepada keunikan sistem pentadbiran yang di amalkan di Champa di mana terdapat pelbagai kerajaan dalam satu wilayah pada masa yang sama, maka berkemungkinan bahawa ada raja-raja Islam yang memerintah Champa pada zaman tiga abad selepas kejatuhan Vijaya.

Keunikan sistem pemerintahan Champa adalah kerana Champa terdiri daripada perseketuan pelbagai kaum yang dikenali majmuknya sebagai 'Urang Champa'. Selain daripada kaum Cham sendiri, penduduknya juga terdiri daripada pelbagai kaum etnik daripada rumpun lain yang juga daripada rumpun bahasa Austronesia iaitu puak bukit (hill tribes) yang terdiri daripada kaum-kaum Chru, Edê, Hroy, Jörai, Rhade (Koho), dan Raglai dan termasuk juga mereka daripada rumpun bahasa Austroasiatic seperti kaum Dera atau montanagards[1]yang terdiri daripada kaum-kaum Ma, Sré dan Stieng.

Meskipun terdapat raja, yang memerintah Champa secara keseluruhannya, terdapat juga raja-raja kecil misalnya Raja Bao Dai, yang menjadi raja untuk kaum etnik yang tertentu. Ini mempunyai persamaan dengan kaum Batak dan Mandiling di Indonesia, misalnya, yang mempunyai raja-raja mereka sendiri, tetapi semata-mata sebagai raja adat. Dalam mengkaji sejarah Champa mungkin pengkaji sejarah tidak memahami kedudukan raja pada kaum masing-masing dan hal ini telah menimbulkan kekeliruan di sebabkan dalam satu zaman yang sama akan terdapat rujukan kepada dua atau tiga raja yang berlainan nama. Dalam tradisi pemerintahan Champa, hanya raja yang mempunyai kekuatan tentera dan kekuasaan politik negara diiktiraf sebagai ‘Raja kepada Raja-raja ('Rajatiraja') Champa’ (“King of Kings of Champa”). Berdasarkan kepada manuskrip-manuskrip yang terdapat berkemungkinan besar selepas kejatuhan Vijaya, kuasa ini pernah untuk beberapa ketika dipegang oleh raja yang beragama Islam.

Mengikut rekod sejarah Negeri Johor, pada 1594 kerajaan Champa telah menghantar bala tenteranya untuk membantu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II Sultan Johor (memerintah: 1571 – 1597) dalam peperangannya dengan Portugis[2]. Daripada rekod-rekod Belanda pula terdapat catatan bahawa perhubungan baik antara Kerajaan Melayu Johor dan Champa wujud pada 1607, iaitu sewaktu Champa di bawah pemerintahan Po Nit dan Johor pula di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah II (memerintah: 1597 – 1614).

Ini tak mungkin berlaku sekiranya tidak ada persamaan atau ikatan yang kuat antara kedua negara tersebut. Apakah asas setiakawan antara mereka? Adakah kerana mereka menganuti agama yang sama atau disebabkan oleh persamaan rumpun bangsa?

Daripada rekod-rekod yang terdapat di Belanda pula, terdapat maklumat yang meperkukuhkan pendapat bahawa pada tiga abad tersebut, Raja Champa adalah terdiri daripada raja yang beragama Islam dan Bahasa Melayu pula digunakan dengan meluas di Champa. Terdapat sepucuk surat yang dikirimkan oleh Raja Champa pada 1680 kepada Penguasa Syarikat Dutch East Indies (“VOC”) di Betawi[3], dalam bahasa Melayu. Raja Champa sewaktu itu, Po Saut, di dalam surat tersebut telah menggelarkan dirinya sebagai “Paduka Seri Sultan”. Dengan gelaran ini, sebagaimana yang diterangkan, besar kemungkinan bahawa kedudukannya adalah sebagai Rajatiraja atau ‘Raja kepada Raja-raja di Champa’! Pada zaman itu pengaruh Bahasa Melayu di negara-negara pesisiran pantai di Asia Tenggara sungguh meluas sehinggakan Raja Kemboja juga menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik dalam perhubungan surat menyuratnya dengan pihak-pihak Portugis dan Belanda[4].


Nota Kaki:


[1]. Rumpun kaum yang sama dengan kaum Kadazan di Sabah dan Alisan di Taiwan.
[2]. Lafont, P. B., "Aperçu sur les relations entre le Campa et l'Asie du Sud-Est," Actes du Séminaire sur le Campa organisé à l'Université de Copenhague, le 23 mai 1978 (Paris: 1988b) pp. 71-82. Lihat William Collins: ibid. m.s. 18.
[3]. Batavia sebelumnya dipanggil Jayakerta. Sekarang ini letaknya di Jakarta.
[4]. Manguin, Pierre Yves, "Etudes cam II; l'introduction de l'Islam au Campa," Bulletin de l'Ecole Française d'Extrême-Orient, Vol. LXVI (1979) pp. 255-287. Lihat William Collins: ibid. m.s. 18.

Sunday, June 04, 2006

Petanda-petanda

I.

Petanda negara yang menuju kemerosotan ekonomi adalah berkembangnya warong-warong dan perniagaan di kaki-lima. Disamping pengangguran yang meningkat. Dan meningkatnya penipuan dan kecurian.

Di Malaysia terutamanya di KL, warong-warong tumbuh biak seperti cendawan yang muncul, selepas hujan lebat, di kebun getah. Pengangguran semakin meningkat. Setiap tahun tak kurang dari 5,000 graduan yang tak dapat pekerjaan. Penipuan? Bacalah akhbar-akhbar.. kalu tak menipu bank atau syarikat sendiri; pesakit ditipu bomoh atau Datin ditipu selebriti. Kecurian? Juga bacalah akhbar-akhbar. Ganasnya pencuri masakini sehingga bas dari bengkel pun dihijack. Persis adengan filem Holywood. Itulah hakikatnya. Gaya hidup KL sudah bertukar.

Biaknya Ah Long pula, kerana susahnya untuk berurusniaga dengan bank-bank. Cubalah ke mana-mana bank untuk meminta pembiayaan sama ada secara Islam atau kafir, anda akan pulang dengan kecewa sekecewanya. Tinggalah kereta anda dimana-mana di kota raya; tak sampai setengah jam akan terselit di celah wiper-blades, pelbagai kad-kad khidmat dari syarikat-syarikat Ah Long yang menjanjikan perkhidmatan yang pantas dan senang. Bukan untuk jumlah yang kecil-kecilan tapi juga besar-besaran.

Itulah petandanya ekonomi negara semakin sempit. Akibatnya, tekanan jiwa dan mental semakin dialami oleh penduduk kotaraya KL. (Pasti lebih pening dari yang dialami Cik Rampai minggu lalu). Penduduk di Kampung Indah hidup dalam ketakutan kerana khuatirkan kampung akan diratakan angkara kerakusan ahli-ahli politik kampungan, dan penduduk di kawasan yang lebih elit pula dalam kebimbangan rumah akan ghaib ditimpa tanah runtuh akibat hujan yang berterusan. Kecualilah penduduk di Tremelbye Estate.

Itulah yang dinamakan perkembangan Kerbside Economy. Ekonomi kaki-lima. Dan rakyat pun mula 'berminda kaki-lima'.

II.

Kelmarin buat kesekian kalinya Kerajaan Kelantan diberi amaran supaya tak meneruskan usaha untuk mengeluarkan Dinar Emas. Bukannya satu usaha yang baru. Bahkan merupakan satu daripada inisiatif untuk melepaskan diri dari dibelenggu oleh matawang US Dollar. Satu projek yang dibibitkan oleh Tun M sewaktu beliau menjadi PM.

Kelantan telah tidak menggunakan kebijaksanaan untuk melaksanakan Dinar. Dan Menteri yang menjawab tidak menggunakan kepandaian untuk menangani hal ini. Sepatutnya pelaksanaannya yang dicadangkan oleh Kelantan janganlah bertembong dengan undang-undang negara kerana Malaysia terikat kepada peraturan IMF, yang terikat pula kepada Bretton Woods Convention 1944. Di bawah Convention ini, matawang tak lagi bersandarkan emas. Malahan di bawah peraturan IMF negara-negara ahli diharamkan dari mengeluarkan matawang yang bersandarkan kepada emas. Sandaran utama mestilah kepada Dollar USA.

Untuk lari dari keadaan ini banyak insiatif yang dijalankan dibawah konsep Community Currency , iaitu matawang khas yang digunakan untuk komuniti yang mempunyai keahlian khas. Komuniti seperti ini banyak berkembang di alam siber dan ada juga kelab-kelab di Eropah yang mula menggalakkan ahli-ahli untuk berurusan dengan emas. Sepatutnya begitulah yang perlu diperkenalkan di Kelantan. Kelantan memang sesuai untuk mengeksperimenkan kaedah ini kerana banyak perantaraan pertukaran yang berlandaskan barang-kemas emas, melalui sistem Ar Rahnu, yang begitu populer.

Menteri yang memantau keadaan sepatutnya mengkaji keperluan ini dari segi sumbangannya kepada kekayaan orang ramai dan keupayaan Dinar Emas untuk membendung inflasi (masakini pada kadar 4.8%)

Saya pernah aktif dalam pletform untuk melaksanakan Dinar dan Dirham bersama-sama Umar Vadillo, yang mempelopori pelaksanaan Dinar dalam masyarkat Islam. Tetapi buat seketika kami mengundurkan diri kerana ada beberapa eksperimen yang sedang kami jalankan supaya pelaksanaan ini licin dan teratur. Permulaannya insha Allah adalah untuk memperkenalkan sistem matawang haji dalam bentuk Dinar dan Dirham.

Bayangkan sekeping Dinar yang saya beli 5 tahun dulu pada nilai RM185 sekeping, sekarang nilainya hampir RM350. Begitulah keupayaan Dinar untuk mengatasi inflasi. 1500 tahun dulu di tanah Hijaz, se ekor ayam berharga 1 Dirham, dan kini di Makkah begitulah juga nisbah harganya.

Banyak terdapat keupayaan sistem Dinar dan Dirham untuk mengatasi masalah kemunduran ekonomi, inflasi, pentadbiran kekayaan dan lain-lain. Dan terpentingnya untuk mengatasi masalah terbesar umat Islam iaitu riba. Menurut hadith Rasulullahi sallahi 'alihi wassalam, "Sekecil-kecil dosa orang yang mengamalkan riba adalah seperti ianya berzina dengan ibunya sendiri."



Nota:
1 Dinar mempunyai kandungan 4.25 grammes emas 22k.
1 Dirham pula mempunyai timbangan perak (100%) seberat 3 grammes.

Banyak terdapat penjual dinar dan dirham di KL, tetapi hubaya bahaya.