Powered By Blogger

Thursday, March 30, 2006

Ikan Aya untuk Orang Kaya

I.


Sewaktu kecilku, kampungku di Kuala Terengganu, merupakan kampung yang termiskin. Mungkin di Malaya. Keseluruhan penduduknya adalah dari golongan kais pagi makan besok, dan kais petang makan kosong. Itulah Kampung Pantai Telok. Kini sudah tak wujud lagi, kerana kekerapan dilanda ombak tengkujuh, maka keseluruhan penduduk telah di tempatkan ke kawasan lain. Kebanyakan ke Seberang Takir.

Aku masih ingat kepada seorang kawan, bernama Awang. Abangnya juga bernama Awang, tetapi dipanggil Awang Long. Bapanya juga Awang. Pak Awang. Kesemuanya Awang. Kemiskinan hingga kepada ketidakupayaan untuk memilih nama-nama untuk keluarga. Hinggakan emaknya juga kami panggil Mak Awang.

Setiap kali aku kerumah Awang, makanan mereka hanya satu. Singgang kepala ikan. Kepala ikan aya. Atau ikan tongkol. Dan singgang ini mungkin sudah mula dimasakkan sebulan dulu. Hanya air yang ditambah setiap hari untuk menambahkan kuah. Kepala ikan tak diluakkan, kerana kalau dimakan, bermakna, habislah ramuan atau perencah utama makanan mereka. Dan yang aku ingat, adalah tentang baunya. Sudah enak. Kebolehan, kepandaian, keistimewaan orang Kuala Terengganu itulah satu-satunya. Menyinggang 'ikang aya'. Atau ikan tongkol. Ikan makanan orang papa dan miskin.


II.

Hari ini adalah kegembiraan kepadaku kerana ikan tongkol telah mencapai martabat yang tinggi. Martabat elit. Satu kepala ikan tongkol lauk nasi dagang telah mencecah tahap harga RM45.00!. Kurang RM5 sahaja daripada RM50. Masakan Mak Ngah Sapiah dari Chendering.

Kalaulah Awang dan Pak Awang dan Awang Long dan Mak Awang masih ada, kemungkinan besar mereka dapat mengaut sama manfaat ini, dan berupayalah mereka untuk menukar nama-nama mereka kepada Danial, Amar, Aina atau Atif.

Bandingkan. Di kawasan Masjid India, kepala kambing yang dimasak kari pekat, dijual pada harga RM25 satu kepala. Dan harga se ekor kambing adalah sekitar RM425. Jadi macam mana kepala ikan tongkol dinisbahkan dengan harga ikan, tak dapat nak dipastikan.

III.

Untuk memastikan yang memang juadah ini wajar diletak harga sebegitu, petang tadi aku menalipon seorang penjual nasi dagang yang aku kenali.

"Hello Mok Mek," aku membuka perbualan.

"Hello, hello. Awang ke tu?" beliau menyahut.

"Ya Mok Mek. Ning nak tanya sikit. Betur ke ppala ikang aya 45 rial se ppala?" Aku mulakan wawancara.

"Hor betur dor-oh lah tu Awang." jawab Mok Mek.

"Dah bak pa gak mahar macang bedir tu?" Aku meninggikan suara.

"Haih Awang. Ning Mok Mek nok kkabor sikit." Mok Mek pun mula meninggikan suaranya. "Le ning gok mung ingak geh berapa se-tong? Kayu api dok sah katalah. Kor mahar lagi pasa pohong kor payah nak cari. Lori upah bawok ikang nya naik arga bukangnya sikit. Doh upah nyyiang ikang pung mung ingat berapa? Naik jugak. Air batu pong bukangnya murah. Naik harga jugak. Doh mung ingak lada, asang gelugur, garang, nnisang, lekuah, gula, nyor dok naik ke? Mung ning gok kkecek melepah je. Harga minyak naik 30 seng, sapa nak beleber? Serema Mok Mek kena tanggung." Mok Mek meleter.

"Ya Mok Mek, betor Mok Mek. OK ya Mok Mek, nak gi semayang ggarik sebetar." Aku letak talipon, kerana jawapan balas tiada padaku.

Lagi-lagi sindrom 30 sen.

Wednesday, March 29, 2006

Logik, Sheikh!

Kegemaranku pada waktu malam, sekiranya keluar bersama teman-teman adalah untuk minum Cokelat Panas. Kerana ini memudahkan untuk tidur. Pada suatu malam, sewaktu aku bersama dengan seorang teman yang agak lama tak bertemu, seperti biasa aku meminta minuman tersebut daripada pelayan di restoran. Mendengar pesananku, Nassar, kawanku, ketawa terbahak-bahak. Sehingga menghairankan pelayan restoran.

"Kenapa Sar?" tanyaku.

"Bukan apa Sheikh," jawabnya. Memang beliau ini semenjak pulang ke tanah air, suka menggunakan gantinama Arab, seperti 'ana' dan 'anta', serta sering menggunakan 'Sheikh' untuk memanggil teman-teman. "Cuma teringatkan zaman jahiliyah dulu-dulu."

"Jahiliyah? Maksud anta?" jawabku.

"Hai, inilah kebodohan manusia," beliau mengeluh,"masa ana mula-mula tiba di Berlin dulu untuk mengambil PhD, setiap hari dalam musim salji, sebelum ke tempat latihan, ana akan minum segelas kecil brandy. Untuk memanaskan badan. Dan tengah-harinya pun sama. Maklumlah kesejukan di sana kadangkala dibawah tahap negatif."

"Habis tu?" aku kurang faham.

"Ini kebodohan Sheikh. Brandy hanya memanaskan badan untuk dua tiga jam. Selepasnya, ana kembali menggeletar kesejukkan. Dan ana hairan bagaimana teman-teman sekerja ana semuanya steady sahaja."

"Kemudian?" masih aku tak faham.

"Jadi satu hari ana tanyakan mereka. Macam mana anda memanaskan badan?" terangnya. "Dan jawapan yang terima daripada mereka amat memalukan ana, 'Heiße Schokolade. Herauf Ihren Körper zu heizen sie ist, das beste.' Minum cokelat panas. Tu terbaik untuk memanaskan badan! Dan keesokan harinya ana pun cuba. Aduh, sungguh malu. Ini ana yang membuat hukum sendiri untuk menogok brandy supaya memanaskan badan, konon-kononnya darurat, bukan saja mendapat dosa. Panas pun tak ada! Hanya akan mendapat kepanasan di neraka. Astaghfirullah."

Aku beristighfar panjang. Nassar juga nampak penyesalan pada air mukanya.

"Ini ana pulang ke tanah air, bukan apa-apa Sheikh. Ana mau mencari ilmu akhirat. Mungkin berkat doa mak ana agaknya. Dah penat ana menggunakan logik untuk membuat hukum hakam dan ternyata otak ana ini, meskipun mendapat PhD dari Germany pun, masih tak dapat memahami keperluan agama."

Tak beberapa lama kemudianya aku terserempak lagi dengan Nassar. Kali ini di Tol Sungai Besi. Beliau berpakaian serba putih dan berserban.

"Assalamu alaikum Sar!" sahutku, "Dari mana?"

"Wa alaikumus salam Sheikh. Ana dari kursus haji."

"Alhamdulillah," aku menyahut dalam hati. Begitu cepat Allah menukar hati manusia, yang begitu lama hanyut dalam arus mantika. Hanya dengan Cokelat Panas.

Monday, March 27, 2006

Ayah Man Yang Aneh

Tak abis-abis Tuan Jones ni mengacah-acah DITH. Siapa dia sebenarnya Imam Mat Zain tu? Imam Masjid Panching ke? Manalah tau kalau-kalau beliau ada mempunyai kepakaran yang betul istimewa untuk mengubat budak-budak demam atau ibu yang sakit buasir. Kemungkinan satu ruang boleh disediakan khas untuk pengubatan secara alternatif untuk dikendalikan oleh Tuan Imam tersebut, di kelinik DITH!

Yang saya masih ingat di Masjid Kuantan yang berbentuk seperti flying saucer atau kuali terbalik dulu, ada seorang tua yang dianggap ganjil oleh kebanyakan jemaah masjid. Beliau dikenali dengan nama Ayah Man. Banyak yang mengatakan bahawa Ayah Man ni kurang siuman. Tapi kepada saya, kecuali esentrisitinya yang suka bercakap bersendirian, Ayah Man ni tak berbahaya. Beliau senantiasa berbaju kot khaki hitam dan berserban lilit gaya Patani. Setiap kali membasuh pakaiannya di tempat wudhuk, beliau akan menjemur atau menyidainya di pokok-pokok yang dijadikan pagar di tepi longkang di sekeliling masjid. Tapi pakaiananya taklah banyak, hanya sehelai dua baju dalam Pagoda dan sehelai kain pelikat India.

Kalau pada hari-hari Jumaat, Ayah Man sering duduk di barisan belakang di ruang dalam masjid. Sewaktu khatib membaca khutbah, Ayah Man seolah-olah mengajar atau menyampaikan syarahan kepada entah siapa, kerana kami tak nampak akan sesiapa lagi di sekelilingnya. Selain daripada jemaah solat Jumaat yang memang tak memperdulikannya. Percakapan Ayah Man tu jelas meskipun tak kuat.

Mengingatkan pesanan arwah ibuku, supaya menghulurkan derma atau sedekah sebelum bermusafir, maka Ayah Manlah yang menjadi penerima yang tetap daripadaku setiap kali aku bertujuan untuk pulang kekampungku di Kuala Terengganu atau kerumah bujang di Kuala Lumpur. Keanehan Ayah Man adalah apabila menerima sedekah, beliau akan menepuk-nepuk belakang pemberi sedekah serta membaca doa-doa tertentu. Dan doa-doa ini kadangkalanya panjang juga.

Tak aku ketahui bahawa Ayah Man ni seorang manusia yang mempunyai kebolehan yang luar biasa. Satu hari seorang teman, Nordin Che Lah (bekas pegawai DARA dan sepengetahuanku kini mengendalikan stesen minyak di Jalan Gambang) menziarahiku di pejabat, dan menceritakan tentang anak saudaranya yang hilang selama 4 atau 5 hari. Budak ini merupakan seorang budak yang tak bermasalah di rumah atau di sekolah dan kehilangannya menghairankan kaum keluarga dan kawan-lawan. Setelah habis seluruh pelusuk bandar Kuantan dicari dan masih lagi tak berjumpa, akhirnya terlintas di fikiran Nordin untuk meminta pertolongan Ayah Man.

Pada petang hari kedua kehilangan beliau pergi berjumpa dengan Ayah Man yang ketika ditemui sedang bercakap-cakap bersendirian di serambi Masjid. Setelah diceritakan tentang masalah yang di hadapi oleh keluarganya, Ayah Man tak berkata apa-apa, hanya mengangkat tangan sambil melambai-lambai dan menjerit dengan lantang, "Haih, Awang. Balik." Selepas melakukan sedemikian Ayah Man pun kembali ke alamnya yang tersendiri dan Nordin pun pulanglah dengan perasaan sedikit hampa kerana tak ada apa-apa yang diceritakan oleh Ayah Man tentang masalahnya atau telahannya tentang keadaan budak yang hilang itu.

Keesokan harinya budak yang hilang itu, pulang kerumah. Dalam keadaan yang lesu dan seperti baru terbangun dari tidur. Apabila ditanya beliau menceritakan:

"Awang terdengar satu panggilan sewaktu melintasi stesen bas di bandar dan Awang pun terus menaikki bas. Tak teringat apa yang berlaku di atas bas, tetapi apabila tersedar, ternampak ada sungai dan masjid. Awang pun menuju ke masjid dan telah tinggal di situ. Tak ingat berapa hari di situ. Tapi pada satu petang, terdengar ada suara memanggil Awang dan menyuruh Awang pulang. Lantas Awang pun pergi ke stesen bas yang tak jauh dari masjid tadi dan tau-tau dah sampai di Kuantan."

Daripada ceritanya adalah diduga yang telah menaikki bas sehingga ke Kuala Lumpur kerana pada waktu itu stesen bas Kuantan - Kuala Lumpur adalah di Jalan Melaka dan letaknya pula tak jauh dari Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Itulah keanehan Ayah Man. Penuh misteri.

Tuesday, March 21, 2006

Kuala Lumpur, oh Kuala Lumpur

I.

Selalunya di persimpangan lampu isyarat yang sebok. Kerapkali di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail. Pandai beliau mencari mangsanya, dan yang ditujunya pula hanya orang-orang Melayu. Sewaktu kereta berhenti untuk menunggu lampu bertukar warna, atau sewaktu menunggu Polis Trafik yang menjaga memberi laluan, beliau akan datang ke sebelah pemandu dan mengetuk cermin.

Pemandu menurunkan cermin, dan sebelum dapat berkata sesuatu, beliau akan bersuara, “Encik, mintak tolong. Saya kehilangan dompet. Ni nak balik ke Seremban kerana anak sakit.” Sambil menunjukkan anak kecil yang sedang tidor di bahunya. Tak sempat menjawab, beliau akan menyambung, ”Tolong encik, hanya RM10 bagi mencukupi tambang. Ni dah ada RM5 dah.” Dan beliau akan menunjukkan gumpalan wang RM5 dalam tangannya.

Kerana tak mahu menjadi penghalang kepada lalu-lintas sekirannya lampu bertukar hijau, pemandu akan menghulurkan RM5 atau seberapa. Kerana perasaan kasihan. ”Kesian, budak kecil itu,” mungkin terlintas di hati pemandu itu.

Dan esoknya..... ada lagi. Orang yang sama. Pakaian pun sama. Berlari-lari dari kereta ke kereta.

Satu hari sewaktu aku bersama seorang kawan, dia datang ke keretaku. Modus operandi yang sama. Lantas aku menjawab,”

”Hooih, takkan hari-hari kehilangan dompet. Minggu dulu dah bagi RM5 tak balik Seremban lagi ke?”

Sangka ku beliau akan lari apabila ditegur begitu. Tetapi. Aku dimaki hamunnya dan beliau meludah-ludah pula ke arah kereta. Bahaya.


II.

Di masjid pun sama. Kelihatan cemas dan mencari-cari sesuatu di celah-celah tangga dan di sebalik tiang. Selalunya sewaktu jemaah dah tak ramai di masjid.

”Kenapa Bang?”

”Aduh Dik, seluar Abang kena curi. Habis.”

”Kat mana Abang letak?”

”Ni, sewaktu pergi mengambil wudhuk, letak di depan tangga ni, tiba-tiba lepas menyapu muka, tengok-tengok, hilang dah.”

Aku pun tolong-tolong mencari kalau-kalau ada tercampak seluarnya di mana-mana.

”Tak adalah bang.”

”Dik, abang ni nak balik Kuantan dengan anak saya,” sambil beliau pun menunjuk ke arah seorang budak kecil yang berada di tangga masjid. ”Ada kecemasan. Isteri sakit berat. Tolong dik, nak lepas duit bas sahaja. RM25 je.” dengan muka yang sedih.

Kerana ini dalam masjid dan teringatkan sabda Rasul bahawa menolong se-seorang dalam kesusahan dunianya, dijanjikan ganjaran yang besar, maka ”Ni Bang, ambil RM5 lagi untuk belanja minum air.”

Abang itu, bukan setakat berterima kasih, malahan mencium tangan lagi.

Dalam bulan yang sama, sewaktu di masjid KLCC ternampak lagi orang yang sama sedang bercakap-cakap dengan seorang jemaah. Kelihatan merayu-rayu dan jemaah tadi pun menyeluk saku untuk mengambil duit. Aku memerhatikan dari jauh.

Aduh. Terkena lagi.


III.

Suatu hari sewaktu aku dalam kedai mamak di Jalan Bukit Bintang, terdengar orang berlari-lari di depan kedai.

Aku pun keluar dan kelihatan seorang lelaki sedang menggosok-gosok belakang anak kecilnya sambil menyapu-yapu minyak Cap Kapak di dadanya. Mamak kedai tu cepat-cepat mengambil kerusi untuk budak kecil yang nampak dalam kecemasan itu.

Aku yang penyebok, sebagaimana kebiasaannya, bertanya, ”Kenapa?”

”Anak saya ni lelah. Tadi nak ke farmasi untuk beli nebuliser. Duit tak cukup, pergi ke ATM kad pulak kena telan kerana tersalah PIN.”

Terdengar saja ATM, maka aku pun senyum. Ni biasalah.


IV.

Menipu lagi. Dan ayah menggunakan anak lagi.

Kuala Lumpur. Oh Kuala Lumpur.

Saturday, March 18, 2006

Lope. Jom Berbudi

Lope,

I.

Jumaat lepas, sewaktu aku dalam PUTRA LRT dari Taman Bahagia ke Dang Wangi, di depanku, seorang wanita muda berkemeja T merah. Rupanya seiras Aishwarya Rai. Aiih itu bohong Lope, tak serupa, hanya seakan-akan. Tak, ini pun sudah terlebih gambaran, sebenarnya beliau anak Mami. Kebetulan hari tu tak ramai orang dalam LRT jadi suasana taklah bising.

Talipon bimbit anak mami tadi berdering. "Kriing, kriing....." (Sekarang ni talipon berdering tak semestinya berbunyi 'kring, kring'. Sudah terdapat beranika jenis bunyian.)

"HELLO......" aku tak dapat mendengar suara pemanggil, kerana dudukku berhadapan. Seberang tempat duduknya. Jadi berjauhan. Ya berjauhan pun dapat mendengar jelas suara anak Mami tadi. Kerana beliau bukan berbual tapi menengking.

"HAAH? .....Nak APA?.......hah?....HOOI! jangan pandai-pandai,.....hah,...HOOI, HOOI, DENGAR SINI! Tadi mak dah masak dah nasi kau. .......Nanti simpan elok, elok,......HOOI,KAU JANGAN MENGADA-GADA,........HOOI! Mengada kau!....DAH!"

Dalam hatiku, mungkin beliau bercakap dengan anaknya yang pekak atau sudah rosak akal. Atau mungkin dr. jalanan. Mat Gian. Seorang penagih. Agaknya. Tapi beliau ini baru berumur sekitar awal 30-an. Jadi besar kemungkinan anaknya baru 10 tahun. Takkan penagih pulak. Atau mungkin pulak anaknya dilahirkan mongoloid atau istimewa, dan susah nak reti arahan. Tapi takkanlah pulak berhooi-hooi dan berhaaah-haah. Atau mungkin inilah bahasa anak Mami. Tapi dulu aku pernah bersekolah di negeri Mami-Mami di Pulau Pinang, dan yang aku masih ingat percakapan mereka berlenggok-lenggok macam lagu Tamil, dan taklah sebegitu.

Oh ya. Dan aku pun teringat akan blog kamu. Tentu sekali dia ini cemburu kerana tak dapat menikmati habuan berbillion-billion Ringgit dari penjualan Southern Bank Berhad. Jadi kemarahan itu terbawa-bawa.

Tapi yang aku lihat Lope, ramai juga orang-orang KL yang sebegitu. Jadi besar kemungkinan ramai yang cemburu dan bertambah marah juga akibat dari 'Sindrom 30 sen'. Tentang sindrom 30 sen ini pula aku terbaca dalam akhbar tabloid tempatan. Lebih dahsyat dari penyakit ayam atau JE.

II.

Di sebelah wanita tadi ada dua orang lagi budak-budak pompuan Melayu. Pakaian mereka serupa dengan anak Mami tadi, jadi sudah tentu mereka semua bertugas di tempat yang sama.

Yang seorang, gemuk sedikit bertanya kepada kawannya yang kecil sedikit, "Kenapa supervisor tu selalu manggil kau?"

"Ah dia tu syok kat aku."

"Habih tu, macam mana?" tanya kembali yang membuka pertanyaan tadi.

"Tak maulah. Tak ingin aku!"

"Kenapa?"

"Ah, dia tak bersunat!" jawabnya selamba.

Fikirku dalam kepalaku Lope, (sudah tentu berfikir dalam kepala, kerana otak berada dalam kepala), macam manalah anak-anak gadis ni, tak ada finesse langsung dalam pertuturan sesama mereka di tempat umum.

III.

Justeru, tepat sekali Kerajaan Malaysia (bukan Malaya) melancarkan kempen Budi Bahasa.

Sewaktu kecilku dulu, kempen yang sering diadakan adalah yang berslogankan BAHASA JIWA BANGSA.

Entah apa jadi kesudahannya!

IV.

Sekian adanya Lope. Manikkam. Itu saja peristiwa atas Putra LRT.


p.s. Seperti juga Tuan Jones, ini blog yang tak dapat dibaca kembali kerana masalah untuk melayari blog masih berterusan. Hanya dapat menulis. Mungkin Administrator blog, ingin menjimatkan tenaga kerana kenaikkan harga minyak.

Tuesday, March 14, 2006

Saturday, March 11, 2006

Porno

“Indonesia berevolusi terlampau deras.” Itulah pendapat teman saya Pak Rachmat, pada suatu pagi sewaktu kami berbincang tentang politik Indonesia di bawah Bapres SBY. Di Indonesia, kesemuanya di akronimkan. ‘Bapak President’ menjadi ‘Bapres’. ‘SBY’ pula adalah singkatan kepada ‘Susilo Bambang Yudhoyono.’

“Maksud Bapak?” seruku.

“Ya ngapa tidak, Pak Keng, sekarang demokrasi terlampau maju sehingga segala apa yang hendak dijadikan undang-undang, perlu dibicang secara terbuka terlebih dulu sebelum diputuskan oleh MPR sebagai undang-undang.” Balasnya. "Ramai rakyat Indonesia masih bingung dan terkejut dengan kebebasan yang tertiba begini, sebegitu cepat dan berlainan terus dari keadaan semenjak Bung Karno dan kemudiannya Pak Harto dan seterusnya sehingga Bu Mega."

“Kan baik begitu!” ujarku pula.

”Ya, kok gitu sekali, ada isu yang bisa dibawa ke umum secara meluas, dan ada yang tak perlu.”

”Tak paham Pak,” aku menjawab, ”Maksud Bapak bagaimana?”

”Yah, ini isu pornografi dan pornoaksi yang mau diharamkan di seluruh Indonesia. Apa perlu dibincang-bincang? Kan budaya Indonesia sendiri teratur dan bertertib serta bersopan. Apa perlu dibincangkan tentang apa itu budaya dan apa pula vulgarita?”

Secara kebetulan sewaktu aku di Jakarta, heboh tentang Ainul Rokhimah (’Ainul Rohimah atau Mata yang Penuh Penyayang), yang berentap dengan Hj. Raden Oma Irama atau Rhoma Irama, raja dangdut Indonesia. Ainul amat berkecil hati kerana dalam hujahnya kepada satu badan penilai, Rhoma menyokong kuat pengharaman keatas pornografi dan pornoaksi kerana kesan-kesan negatifnya kepada umum. Dan dalam memberikan contoh yang dimaksudkan, Rhoma telah mengungkit tentang pornoaksi yang diaksikan oleh Ainul.

Ainul pula berhujjah kembali bahawa beliau amat sedih, kerana dalam aksi-aksinya pakaiannya sopan. Tidak mendedahkan kulit atau isi yang kental. ”Kok gue dibilang lucah. Ini keterlaluan, deh. Apa gue lebih teruk dari pengacara di kaca tivi yang menonjol pangkal payudara dan peha mereka? Kenape gue difitnah gini deh? Gue sedih mas, sungguh ngak adil Haji Rhoma bilang gue gitu.”

Gitulah perentapan antara Ainul yang lebih dikenali dengan nama glamornya Inul Darutista dan Rhoma Irama. Darutista pula bererti ’Dara yang berdada besar', yang masyhur dengan persembahan dangdut bergaya bekel atau loncat sana, loncat sini dengan liar membuat orang menjadi gempar. Masyhur dengan gerudi pinggul atau ngeburnya.

Memang diketahui umum bahawa matlamat Rhoma adalah untuk menghalang penginulisasi (INULisation) ketitisan darahnya yang terakhir. ”Dada Inul membara dengan hasutan; lebih bahaya dari SARS,” ujar Rhoma.

”Ya, Pak Keng, beginilah Indonesia. Dan ada pula yang anti undang-undang itu bilang bahawa telanjang bukan lucah. Itu satu seni.” Keluh Pak Rachmat.

‘Ainul Rokhimah binti ‘Abdullah. Jo' sedih mbak, Yo wis goyang teruuus. Kalaulah mbak bukan dari jenis yang akan mati. Teruskan. Teruskan.

Dan di Malaysia, apa kurangnya. Sudah banyak juga orang yang berkepala sebegitu.

Ini pertunjukkan Inul di Malaysia tahun dulu. Usah bilang yang penonton yang gila-gila tu dari masyarkat Indon. Yang memberi izin tu siapa?

Tuesday, March 07, 2006

mohon maaf

Maaf, sedara-mara sekalian. Tak membalas komen-komen dan juga mengupdate blog. Sekarang di Jakarta semenjak pagi Ahad lalu. Mungkin pulangnya hari Rabu sore dan awal pagi esoknya pula akan ke Labuan.

Jadi macet dong minggu ini. Capek total.

Mas-mas dan kang-kang, ibu-ibu dan nona-nona di Jawa semua bertitip salam. Mereka semua waras-waras dan pesanan mereka jangan kuatir, Keng disini sihat-sihat kerana aqua Jakarta putih, bersih dan enak.

Akan update insha Allah.

Friday, March 03, 2006

Bull

In a nutshell, our messages to Puncak Niaga Sdn Bhd, the State Multimedia, Environment and New Village Development Permanent Committee and also the Cabinet, are that the respective explanations on the stench in the water, the safety of the water and the reason for the increase in petrol, are:



SO, our message to them is simple:

Thursday, March 02, 2006

logik yang tak logik

Berdasarkan kepada logik Negara, jangan menyusahkan diri sendiri. Maka:

  1. Berg, kamu mesti kawin empat sekaligus. Jangan satu dan satu dan satu dan satu. Menyusahkan. (Sayuti, kamu tak layak kerana kamu dah berkahwin).
  2. NBB minta pada zee bozz kenaikan gaji dan elaun untuk tiga atau empat tahun sekaligus. Usah minta untuk tahun ke tahun.
  3. DITH, kalau ada pasyien yang sakit kronik jangan caj dia untuk setiap kali lawatan dan rawatan. Caj terus untuk setahun atau paling baik tiga tahun. Beres.

Berg, jangan lupa minta diskaun untuk wang hantaran. Dan NBB dan DITH, jangan lupa bagi diskaun untuk bayaran berganda itu.

Apa? Anda katakan ini cadangan orang gila? Aku tak gila berdasarkan kepada rasional untuk kenaikkan minyak oleh kabinet Malaysia baru-baru ini.


THAT FUEL PRICE HIKE:

The net reason
Azura Abas

KUALA LUMPUR, Wed.
------------------------
The Government tonight offered the stoutest defence yet for its decision to raise petrol and diesel prices by 30 sen per litre.

On the rationale for raising fuel prices by 30 sen and not 10 sen or 12 sen as before, he said: "Last year, we raised the retail price of petrol, diesel and LPG three times."

Collectively, he noted, these three increases amounted to 45 sen.

"Which is better? Raising it three times or only once?"

He said there was no reason for traders to increase the prices of goods and services.

Mengikut stail A Jones, "hahahahaha hahahahaakuhahaha haahahasungguhhahaha hahahahageli hahahaha hahahahaha hahahahahatihaha mengikutihahaha hahahahahaha hahahalogikhahayang hahahahaha hahahahahahbegituhaha hahahatakhaha hahahahahahalogik. Hahahahahaha hahaha"

Inilah namanya logik Phua Chu Kang atau juga logik Mr. Bean. Yeop, kalau orang asyeli kawan deme tu mereka guna logik lebih hebat kan?

"Everything faded into mist. The past was erased, the erasure was forgotten, the lie became the truth." - George Orwell, 1984

Wednesday, March 01, 2006

Excess Ammonia? More like Hydrogen Sulphide!



Hah. Akhirnya hilanglah bau yang menghantui kami di Selangor dan KL. Tapi, kenapa Kerajaan Selangor tak mengeluarkan Kenyataan Akhbar dari awal, supaya tidak dimaki, dikecam, dikutuk dan tidak dilemparkan dengan tohmahan dan tuduhan yang bukan bukan?


Residents happy water no longer smells bad

KUALA LUMPUR: The stench in the water has diminished and some residents are calling for a rebate for the smelly water.

On Monday, readers of The Star complained that they could not drink, wash or cook with the water that flowed from their household taps because of a foul odour emitting from it.

Some went as far as saying that the water smelled of faeces.

But the Selangor state government said the water was safe to drink and was not contaminated.

Read more ....



UPDATE:

AMMONIA IN THE WATER??

The Malay Mail reported this afternoon that:

An official from Puncak Niaga Sdn Bhd gave this explanation to State Multimedia, Environment and New Village Development Permanent Committee chairman, Datuk Ch'ng Toh Eng, yesterday.

Ch’ng was informed that the ammonia reading at the three phases of the scheme stood at 1.2 parts per million (ppm), which is below the normal reading of 1.5ppm.

"I was told that the ammonia level in Sungai Selangor was very high, recording a reading of more than 9ppm on Feb 25. However, it has come down to a safe level."

Ch’ng said he was told that chlorine had to be added to reduce the ammonia content.

"However, the mixture of the two elements created the foul stench," he said.

Ch’ng said the smell would disappear in the next few days. "I have asked the Department of Environment to investigate the reason for the excessive ammonia in the river," he said.

Ch’ng said the water was safe for drinking.

"The health department has given the assurance that the water is drinkable and poses no threat to health," he said.

It was reported in The Malay Mail yesterday that thousands of Klang Valley households had received stinking water from their taps since last Saturday.

Now, let us try to understand the report:

  1. Normal reading of ammonia in water should be 1.5 parts per million (ppm);
  2. Recorded level (yesterday?) was 1.2 ppm. Meaning that this is below the maximum level allowed; BUT
  3. On Feb 25, the recorded level was 9 ppm.
How did the ammonia get into the water? They will investigate, according to Dato Ch'ng.

But according to a journalist friend,
"Hari tu hujan lebat bang, jadi paras air sungai naik dan telah melimpah ke dalam takungan air di loji. Dan bang, kebetulan ada kilang yang mengambil kesempatan dari hujan yang lebat itu telah membuang sisa toksid kilang yang mengandungi ammonia ke dalam sungai."
And now this answers the question of how the excess ammonia got landed in the water. But why tell us of excess ammonia in the water. Is ammonia used in the process of filtering water? Not that we know of. Chlorine, definetely.

But to quote Dato Ch'ng, ""The health department has given the assurance that the water is drinkable and poses no threat to health."

It might be OK with you Dato. I'm not.