Tuesday, May 27, 2008

Masjid di Citadel







Ramai yang ke Citadel (Qala'a) atau Perkubuan atas bukit di mana letaknya Masjid Muhammad Ali, di Kaherah, akan memberi perhatian yang kurang kepada Masjid Nasir ibn Muhammad al Qalawun dari dinasti Mamluk, yang dibina 700 tahun dahulu iaitu 500 tahun sebelum Masjid Muhammad Ali dibina. Ianya mungkin tidak diberi perhatian kerana Muhammad Ali lebih besar dan hebat dari rupa-bentuknya. Meskipun Muhammad Ali terkenal kerana penggunaan alabaster yang menjadikan dinding-dinding dalamannya putih dan menarik, pada saya Masjid Nasir ibn Muhammad lebih menarik kerana ianya dibina dengan ciri-ciri dan penggunaan bahan yang lebih bersejarah.


Tiang-tiangnya dari bangunan zaman Firaun, Romawi, Qibti dan zaman-zaman Islam sebelumnya. Silingnya dari kayu cendana dari India yang masih kukuh dan rapi; dan pada tiang seri pintu utamanya masih ada jam matahari yang bertanda dengan garisan-garisan waktu solat. Ketinggian dan luas ruang solatnya pula memberi akustik yang membolihkan suara khatib didengari di setiap penjuru masjid dengan jelas. Ternyata ilmu pembinaan ketika itu tidak sepintar zaman Uthmaniah dalam pembentukan atap. Justeru, binaan sehigga ke zaman sebelum Uthmaniah, mempunyai ruang-ruang yang luas di tengah bangunan, dan atap bangunan disokong dengan kegunaan tiang-tiang yang banyak. Tiang-tiang yang menjadi penyandang rasuk-rasuk dan alang yang menyangga dan menyandang atap berkonkrit yang amat berat. Pembina dan arkitek Masjid Nasir ibn Muhammad walaubagaimanapun menggunakan bentuk gerbang-gerbang yang menarik pada tiang-tiang yang sebegitu banyak dalamnya, seakan-akan rupa tiang-tiang Alhambra.

Dan pada Masjid Muhammad Ali yang dibina, pada tapak yang hanya di seberang masjid lama ini, dan ketinggian kubahnya pula diletak pada paras yang dapat dilihat sepenuhnya dari ruang solat masjid Nasir ibn Muhammad. Bukan hanya berkubah besar, tapi kini mempunyai ruang dalaman tertutup yang luas. Begitulah pengaruh Byzantine pada seni-bina Turki.


Muhammad Ali berbangsa Albani (dari Albania) dan merupakan panglima perang yang pintar, dan binaan pada eranya pula terserlah pada tempat yang amat strategik meskipun kesemuanya dalam satu kawasan di Citadel.


Sewaktu saya bertahayattul masjid di Muhammad Ali, saya yakin permaidini usang di tempat sujud imam masih semerbak dengan attar yang sungguh luarbiasa wanginya dan tak mungkin sama sekali attar ini disapu pada zaman masakini.

Zamalek, Kaherah
May 17, 2008




Monday, May 19, 2008

Izayyak Kaherah




“Anda sekarang di mana?” aku ditanya pemanggil. Dari teman sepejabat.

“15 Mei.” Sahutku.

“Tamam. Cuba tukar ke 6 Oktober. Pergi kesana, di sebelah kanan. Pasti akan terlihat.” Sahut beliau.

“Ya, ya, Kanan, kanan, kanan ….…. 6 Oktober atau 26 Julai?” aku keliru.

“Tidak tidak, jangan 26 Julai, tapi terus ke 6 Oktober,” perintahnya.

Ini bukannya menukar-nukar waktu melalui mesin-waktu (time machine) tapi tarikh-tarikh tersebut adalah nama-nama jalanraya di Kota Kaherah. Jalan-jalan dinamakan sempena sejarah tertentu. 6 Oktober misalnya - begitulah hari kemenangan pertama melawan Israel dan juga hari Presiden Sadat dipulangkan.

Aku di Kaherah untuk projek yang tak dapat ditolak. Meskipun dibiayai oleh badan dari Amerika. (Abangku berpesan, “Jangan pergi. Itu helah Amerika untuk mengutip data peribadimu”). Projek untuk membangunkan pasaran modal Islam di Mesir.

“Aku ke sini,” terangku kepada ketua projek, Francois, “bukan kerana bayarannya lumayan, tapi kerana aku berhutang sesuatu kepada negara Mesir.”

Dia nampak terkejut. “Hutang apa? Kenapa pula kamu berhutang kepada Negara ini?”

“Dari guru-guruku yang dari Mesirlah aku memperolehi ilmu perbankan Islam, sewaktu menuntut di Cyprus dan Kaherah dulu. Mereka telah bereksperimen dengan sebuah bank di Mit Ghamr, sebuah desa Qibti di sini. Bank ini meskipun kecilan tetapi berjaya membuktikan bahwa perbankan tak semestinya berlandaskan riba. Sayang, mereka akhirnya ditangkap dan diseksa di penjara kerana berada disebalik pagar yang berlainan dari pemerintah sosialis ketika itu. Sebelum aku juga meninggalkan dunia ini seperti mereka, maka sekurang-kurangnya aku dapat meletakkan ilmu yang mereka asaskan pada tempat yang tertinggi di negara ini. Negara asal mereka.”

Ya, mereka, Dr. Ahmad Abdel Aziz El Naggar dan teman-temannya yang lain telah mempelopori perbankan Islam. Hari ini aku dengan bangganya mengajar pula pegawai-pegawai kanan kerajaan Mesir, ilmu yang dianggap berbahaya beberapa lama dulu. Mereka bukan setakat kagum dengan kemajuan dunia perbankan dalam bidang ini, tetapi lebih kagum kerana yang mengajarnya sekarang bukannya orang Arab. Tetapi yang mengkagumkan diriku adalah saranan ini disahut oleh kerajaan Mesir kerana ianya datang dari kerajaan Amerika, dan bukannya dari dorongan keimanan mereka. Semoga Allah SWT meletakan anda sekalian wahai guru-guruku pada taman jannah antara kalangan yang amat dikasihi-Nya; dan mengharumkan nama dan kubur kalian dengan kasturi yang menyegarkan dari Jannah.

Kaherah jauh telah berubah. Bunyi bunyi hon dari kenderaan jauh amat berkurangan. Keadaan lalu-lintasnya sudah berubah kepada yang lebih efisyen. Jalan-jalan pintasan banyak. Dan kerana telah kehabisan tarikh-tarikh untuk dinamakan jalan, maka ada yang dipanggil Autostrad. Hanya Autostrad. Nama yang sungguh asing bagi Mesir. Walau bagaimanapun orang-orang Kaherah masih ceria. Susah pun ceria, senang pun ceria. Inilah juga yang menarik temanku Idris Tawfik , mantan paderi Katolik yang kini menjadi mubaligh Islam untuk menetap di Kaherah.

Yang paling dibenci di Kaherah adalah pemandu teksi yang suka mencekik darah pelancong. Hari pertama ketibaanku, aku menahan sebuah teksi secara rambang, dan memberikan pemandunya destinasiku. Empat tempat yang berjauhan dan harus melalui jalan-jalan dan liku-liku yang sesak.

“Berapa?” tanyaku.

“Demi Allah, bayarlah sebagaimana yang anda fikir sesuai.” Jawabnya.

Dan ternyata beliau, Ashraf Saad, sungguh jujur. Tak banyak kerenah, dan tidak pula membantah. Pada kali kedua aku menempahnya, beliau yang mengaturkan arah tuju. “Kini sudah hampir Zuhur, kita ke El Manial untuk melihat istana Farouk (tapi dukacita tak dapat masuk disebabkan masih dalam pembaikkan) dan sebelumnya kita bersolat dulu di Masjid terdekat. Kemudian kalau perlu kita makan atau minum.” Dan setelah beberapa tempat yang diziarahi, sebelum pulang, beliau bertanya lagi, “ Mau tak singgah di masjid mana-mana untuk bertahayattul masjid lagi? Ahh ….. itu Sayyidah Zainab”, sambil menunjuk arah beliau pun berpusing melawan arus untuk memintas jalan. Beginilah cara memandu di Kaherah. Tapi Alhamdulillah, satu lagi penyaksian sujud-sujud bagiku di bumi Kaherah.

Kaherah tua sudah hilang keunikannya. Sudah berkurangan mereka yang berpakaian gamis hapak dan kotor. (Mungkin kerana generasi ini sudah ramai yang telah kembali kerahmatullah). Kebanyakan sudah berpantalon dan berjean. Keledai dan kuda-kuda yang menarik kereta pun sudah berkurangan di jalan jalan Gawhar al Qa’id atau Al Mu’izz atau dimana-mana disekitar Makam Sayiddina Hussein. Kereta-kereta sudah moden. Ada Fiat asli dari Itali (kerana dulunya Fiat di Mesir, adalah tiruan dari yang diimpot dari Italy) dan Speranza dari Cina. Ramses, kereta nasional mereka sudah lama pupus. Apabila aku bertanya tentang Ramses, teman-temanku ketawa, “Ahh anda ternyata sudah tua!”

Mesjid-mesjid tua riuh rendah dengan pelancong. Masjid Ahmad Ibn Tulun, yang dibina sekitar 1130 tahun dulu (dibina 876 -879 AD), sunyi sepi dari zikrullah. Hanya suara pelawat-pelawat non-Muslim yang berlari-lari dalam ruang solat yang nyaring kedengaran. Pelawat menjadi bebas di tempat-tempat warisan sebegini kerana yang membaik pulihkannya adalah dari tabungan UNESCO atau badan-badan warisan dunia yang lain. Tidak lagi dari dana waqaf. Justeru mereka yang menentukan apa yang perlu untuk mengimbohkan pelaburan mereka.

Kelihatan ruang-ruang solat, batu-batu tiang dan tembok di Ibn Tulun membisu sepi kerana kejutan kepada keadaan. Jauh sekali perbezaan kegunaan masakini masjid ini dari tujuan asalnya sebagai tempat ibadat dan madrasah. Begitu juga Madarasah Sultan Hassan ibn al-Nasir Muhammad (dibina 1356 – 1363) di Medan Al Qal’a. Masjid ini mempunyai empat serambi ilmu untuk mengajar dan membahaskan ilmu fiqh mengikut mazhab-mazhab empat. Kini ke empat-empat serambi sepi membisu. Di luar, yang dibahaskan adalah bahwa yang diberikan pelancong jauh sudah amat tak memadai dengan hasrat keinginan hati mereka. Tapi Imam Syafie masih kuat pada ingatan mereka yang di sekitar madrasah ini. Bukan diingati tetapi kerana ketinggian maqam ilmunya tapi kerana maqam peresemadiannya yang tidak jauh dari situ. Dan mereka bila-bila saja ingin menawarkan diri untuk menjadi pemandu pelancong ke sana. Bukan kerana ikhlas tapi kerana kemungkinan untuk mendapat habuan yang baik.

Di Maqam Imam Syafie, kelihatan beberapa wanita tua menunggu di luar bangunan, menanti-nantikan rezeki luarbiasaan. Mereka tahu, ini destinasi tetap pengunjung dari Malaysia, dan kebiasaannya pengunjung-pengunjung ini amat bermurah hati. Hingga pada ketika aku di sana, ada antara mereka yang masih menyimpan Ringgit Malaysia yang disedekahkan, kerana tak tau apa yang perlu dibuat dengannya. Kesian mereka, bila di fikirkan kembali. Apa lagi cara untuk hidup di daerah yang penuh kemiskinan ini. Daerah ini sebenarnya adalah daerah perkuburan, dan kerana kemiskinan, mereka menjadikan kawasan-kawasan kubur sebagai tempat tinggal. Uniknya di Kaherah, ada yang tinggal di kawasan perkuburan dan ada pula di tempat pembuangan sampah sarap.

Imam Syafie tersohor sebagai ahli fiqh, tapi tak ramai yang menyedari bahwa beliau juga tokoh perubatan yang terkenal. Setibanya Imam Syafie di Mesir dulu, beliau telah diajak berdiscourse tentang ilmu perubatan oleh pakar-pakar Mesir. Pada akhir majlis, beliau diiktiraf sebagai ahli perubatan yang amat tertinggi ilmunya.

Aku sungguh khusyuk di Imam Syafie, seolah-olah hari itu ruang hanya dibuka untukku kerana tiada pelawat-pelawat lain yang tiba. Imam Syafie bersebelahan dengan bapa saudara kepada Sallehuddin Al Ayyubi serta seorang anak raja dari zaman Abbassid dulu. Hanya tiga maqam di situ. Dan pada malamnya, setelah kepenatan dari seharian berjalan, aku dikejutkan dengan bunyi suis lampu meja di sebelah katilku yang dipetik, lampu dinyalakan dan suruhan kepadaku untuk bersolat isya’ kerana sememangnya aku belum berisya’. Aneh kerana aku berseorangan di kamar, dan aneh lagi kerana setelah aku keluar dari bilik air selesai berwudhuk, lampu yang tadinya bernyala sudah terpadam.

Inilah Kaherah yang penuh keistimewaannya. Datanglah dan pasti anda akan kembali lagi. Ada sahaja sebab untuk kemari. Untuk membeli sebiji kitab kuning di sekitar Al Azhar atau untuk bersantai-santai di meja-meja teh tempat langganan kebiasaan sasterawan Naguib Mahfouz (almarhum) di Khan al Khalili, atau untuk memanjat menara Masjid Ibn Tulun. Sebab yang tak dapat sekali diterima oleh akal seseorang. Sebagaimana pesan kawan sekuliahku dulu, Emaad. “Minumlah air Nil dan pasti anda akan kembali.” Dan jawapanku, “Untuk apa? Untuk merana di Kaherah yang penuh dengan kesusahan?”

Dan kini aku kembali ke Kaherah untuk kali ketiganya.

Sayangnya kali ini seorang guruku yang terputus hubungan semenjak dua tahun lalu, sudah tidak ada jawapan pada panggilan ke taliponnya. Mahgoub Mohamed Mahgoub. Al Fatihah bagimu.

Masih segar pada ingatanku, satu waktu dulu aku bertanyamu, “Apa khabar sepupumu Mohammed di Shobra?”

“Alhamdulillah, beliau meninggal.” Rengkas jawapan darimu.

“Alhamdulillah? Kenapa Alhamdulillah?” aku menjawab protes.

“Bukankah tujuan kita untuk menemui yang dikasihi? Allah SWT! Maka Mohammed kini sudah ke alam itu.” Tegas jawapannya.

Apa lagi yang perlu atau patut aku bertanya. Manusia yang mengasihi Allah akan bercita-cita untuk bersama-Nya.

Alhamdulillah ‘ammi Mahgoub, anda juga kini selamat di sana. Wa inna insha Allah, aku kelak juga akan bersamamu.


Zamalek, Kaherah
May 9, 2008