Sunday, August 31, 2008

Ramadhan Karim




Ramadhan Karim

Mengalunkan al Quran di bulan penuh keampunan;
Bersedekah di bulan penuh barakah;
Bersujud di setiap malam yang penuh karim;
Marhaban ya Ramadhan,
Ramadhan Karim.


Bila seluruh umur adalah bagian dosa,
maka taqwa dan taubatlah ubatnya;
Bila semua harta adalah racun,
maka zakatlah penawarnya;
Bila seluruh bulan adalah noda,
maka Ramadhanlah pemutihnya.
Selamat menunaikan ibadah Ramadhan.


ALLAHU AKRAM






Saturday, August 30, 2008

51 Tahun







Satu usia yang matang. Hampir persaraan.

Ketaranya; rakyat semakin bijaksana dalam segala-gala. Misalnya bijak berhujjah tentang cara dan bagaimana untuk memulihkan ekonomi negara. Peka harga minyak dunia. Mempunyai pelan pembangunan, lebih hebat dari RMK Sembilan, yang mudah dan dijamin akan mengukuhkan ekonomi bangsa. Dasar pelajaran yang akan menambahkan bilangan profesyenal. Bisa memartabatkan tenaga kerja mahir di merata dunia. Ini bukan bicara menteri atau pakar segala. Tetapi dari siapa saja di kaki lima. Pantang ditanya pendapat; pemandu teksi, penjual roti canai dan nasi lemak. Penganggur dan mat gian penjaga kereta. Semua akan berhujjah pendapat. Roda sudah berputar haluan, setelah 51 tahun mengharungi zaman.

Begitulah 51 tahun merdeka, bangsa Malaysia menjadi bijaksana dalam segala bidang.

51 tahun Merdeka; rakyat bijak ilmu agama. Mubahalah dan sumpah laknah amat diketahui mereka. Pandai menghukum tanpa perlu berbincang dan rujukan kepada apa-apa nas dan pendapat ulamak silam. Tanya apa saja masalah yang rumit dan ada saja pada mereka pendapat dan hukuman. Tanya bab sumpah, mereka akan menambah-nambah. Hukum yang terserlah kononnya cacat sana cacat sini, tidak sah kerana banyak yang tidak munasabah. Bila timbul hal yang mencabar - kes murtad, kes azan, kes pengunaan nama tuhan; mereka diam seolah-olah ini hal ringan.

51 tahun Merdeka; hilang pulau, hilang kuasa, hilang maruah, hilang bangsa, pupus bahasa dan lekang agama. Apa yang disorakkan? Begitu banyak kiasan dan bidalan pada khazanah bangsa. Pak Pandir, Si Luncai, Pak Kadok, Mat Jenin dan pelbagai. Bukan ditimsalkan sebagai panduan tapi hanya menjadi pengelipur lara waktu malam.

51 tahun Merdeka. Malam ini akan ramai muda-mudi tidur berselerak di jalan. Mana lelaki mana perempuan. Tidur berselang-selang pakaian terselak hampir-hampir telanjang. Mereka hanyut dan sesat; hilang akidah, hilang pegangan. Biarkan. Biarkan.


Gambar:
Terima kasih kepada Fahmi Fadzil




Monday, August 18, 2008

Oh Melayu Ku - 51 Tahun Merdeka




MELAYU
= SN Usman Awang =

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan


Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak


Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

(Melayu sudah global merentas dunia, bergadai nyawa; hilang pedoman)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi


Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka


Sunday, August 03, 2008

Pak Imad





Era 70-han, merupakan era peralihan paradigma dalam bidang pembelajaran kepada Bangsa Melayu di Malaysia. Pada era itu, murid-murid Melayu diberikan peluang untuk memasukki pusat-pusat pengajian sains dan teknologi, yang mana sebelumnya pintu masuknya dikunci rapi oleh bangsa-bangsa lain. Usaha ini dipelopori dengan gigihnya oleh Dato Patinggi Abdul Rahman Yaakob dan Tan Sri Ainuddin Wahid, ketika itu Rektor Institut Teknologi Kebangsaan - ITK (kini UTM).

Di samping itu Tan Sri Ainuddin juga menusukkan unsur dakwah kedalam jiwa anak-anak Melayu supaya mereka kelak menjadi teknokrat yang juga berkebolehan sebagai mubaligh. Untuk tujuan ini, dua tokoh yang dikehadapankan beliau. Mereka adalah Almarhum Ustaz Fadhil Nor yang ketika itu baru sahaja pulang dari Al Azhar; dan Ir. Imaduddin Abdul Rahim (Pak Imad) dari Institut Teknologi Bandung (ITB). Kedua-dua tokoh ini berkuliah dan berdakwah dengan gigih sehingga berjaya mempegaruhi ramai penuntut yang dulunya buta agama untuk ke surau ITK. Pada hari Khamis malam Jumaat Pak Imad dengan kuliah tafsirnya dan pagi Jumaat pula Ustaz Fadhil berkuliah subuh dengan Fi Zilaalil Quran karangan Syed Qutb. Kuliah mereka bukan setakat menarik jemaah dari ITK malahan dari pusat-pusat pengajian tinggi lain di KL dan Selangor, seperti UM, ITM, UPM dan UKM.

Kelmarin pagi Sabtu saya dikejutkan dengan sms dari Kamal Omar tentang kepulangan Pak Imad di Jakarta, selepas mengalami stroke beberapa tahun sebelumnya. Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un. Muhammad Imaduddin Abdulrahim dilahirkan pada tanggal 3 Zulhijjah 1349H atau 21 April 1931M, di kota kecil Langkaat yang dikenal sebagai kota dengan tradisi keulamaan dan keislaman yang kuat, dan beliau merupakan juga pengasas Masjid Salman di ITB.