Powered By Blogger

Saturday, June 28, 2008

Kasihnya




Saya masih ingat kepada satu ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Almarhum Dato' Mohd. Asri Hj. Muda, lama dulu. "Orang-orang Melayu mengingati Maulid dalam sepanjang bulan yang berekor dengan 'awal' dan 'akhir'. Rabi'ul Awwal, begitulah bulan kelahiran Baginda dan seterusnya perayaan berlarutan kepada Rabiu'il Akhir, Jamadil Awwal dan Jamadil Akhir..."

Dan kini sudah 23 Jamadil Akhir. Hanya seminggu sahaja menjelang Rajab, bulan yang kini dipertikaikan amalan-amalannya seperti puasa-puasa dan juga fadhilah-fadhilahnya, oleh ilmuan-ilmuan kitab baru (ulamak-ulamak lama ditakrifkan mereka sebagai ulama kitab kuning).

Saya teringat kepada satu cerita ........

Seorang pedagang dalam perjalanan ke Makkah untuk berniaga sewaktu musim haji yang bakal menjelang. Dalam perjalanan, beliau ditimpa musibah dan terpisah dari kafilahnya. Maka merayau-rayaulah beliau bersendirian dalam ketakutan kerana tiada mempunyai apa-apa bekalan makanan atau minuman dan juga kerana telah kehilangan arah untuk ke Makkah. Dalam bermundar-mandir bersendirian di padang pasir, dan dalam keadaan dibakar kepanasan matahari, beliau terserempak dengan seorang pejalan kaki. Juga bersendirian. Selepas tegur menegur, ternyata pejalan itu seorang 'abid Yahudi. Yahudi itu pun berjanji akan menunjukkannya arah ke Makkah.


Tiba di satu tempat, Yahudi bertanya, "anta tak lapar ke?"

"Ya, memang, tapi apa yang ada?" jawab si pedagang.

Yahudi lantas berlutut dan mendongakkan muka ke langit sambil kumat kamit berdoa. Sepantas kilat, tibalah di hadapan mereka dua keping roti dan secangkir air. Alangkah gembiranya si pedagang. Makan dan minumya dengan lahap sekali.

Setibanya waktu malam, kelaparan dan kehausan menguasai mereka lagi, lantas si pedagang meminta Yahudi tadi untuk berdoa. Langsung dijawab oleh Yahudi tersebut, "Tidak. Tadi ana telah memohon rezeki dari tuhan ana, dan sekarang giliran anta pula."

Tersentak si pedagang kerana beliau bukannya manusia yang alim dan berdoa pun jarang sekali. Tetapi untuk tidak memalukan dirinya di hadapan Yahudi tadi, beliau, lantas bertayammun dan bersolat. Usai bersolat, doanya panjang sekali dan sambil menangis-nangis.

Usai doa si pedagang, Yahudi tadi tersenyum kerana tiada makanan yang tiba, dan sebaik beliau mahu berkata sesuatu kepadanya, suatu cahaya memancar dan terhidang di hadapan mereka satu hidangan yang sungguh istimewa. Bukan hanya dua keping roti dan secangkir air, tapi lebih dari itu, dan terhidang pula di atas hamparan yang cantik.

Alangkah seronoknya mereka.

Selepas berehat, dan sebelum tidur, Yahudi tadi bertanya, "Apakah kehebatan anta sehingga doa anta sungguh mustajab?"

Si pedagang tadi termenung sebelum mejawab, dan akhirnya, "Aku tahu niat sebenar kamu tadi. Kamu hanya menunggu kegagalanku untuk mendapatkan makanan. Jadi apa lagi yang ada padaku melainkan merayu kepada Allah. Lantas aku berdoa, Ya Allah, janganlah engkau malukan kekasih Mu, Rasulullah, kerana sekiranya doaku untuk memohon makanan dari Mu ini gagal, maka tidak mengapa bagiku untuk menanggung cacian dan hinaan si Yahudi ini, tapi janganlah diberinya peluang untuk mengaibkan kekasih Mu dan nabiku. Hatta cacian yang sedikit sekalipun. Tolonglah ya Allah. Tolonglah."

Si Yahudi hanya berdiam diri. Langsung tidak berkata apa-apa.

Dan keesokkan harinya mereka terserempak dengan satu kafilah yang kebetulannya juga akan ke Makkah. Maka berpisahlah mereka. Si Yahudi ke arahnya dan si pedagang ke Makkah.

Tetapi alangkah terkejutnya si pedagang kerana perpisahanya dengan si Yahudi tadi rupanya tidak lama. Sewaktu sedang bertawaf di Kaabah, beliau terserempak lagi dengan Yahudi tadi yang sedang tersedu-sedu di tepi Multazam. Dan setelah tanya menanya dan soal bersoal, berceritalah si Yahudi tadi. Sebaik mendengar jawapan si pedagang kepada pertanyaannya selepas menjamu makan dulu, beliau telah berfikir-fikir tentang Rasululullah. Dan akhirnya ini telah membuka hatinya dengan hidayah yang bercahaya dan berkilauan dengan ilmu yang penuh rahsia. Beliaupun memperakui kenabian Muhammad sebagai nabi pengganti, yang diceritakan dalam kitab Taurat dan Zabur. Dan sememangnya sebagaimana perakuan si Yahudi, beliau berniat untuk menghina Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam, sekiranya doa si pedagang tidak dimakbuli Allah.


Pada sikap dan laku saya dan kita sendiri, tanpa disedari, kita sering memalukan Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam. Apakah sudah sebegitu kerasnya hati kita dan hati masyarakat kita sehingga tiada lagi kasih sayang kita kepada Baginda? Apa pula sikap kita terhadap yang mengkeji nabi dan rasul? Baik di terbitan umum, di dewan-dewan negeri dan negara dan apa lagi di blog-blog tempatan. Kononnya kawan dalam pakatan, rupaya musuh dalam lipatan. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan Kekasih-Mu dimalukan berpanjangan.

Allahumma solli wassalim 'ala Sayyidina Muhammad, Habibullah. Syafi'na Ya Rasulullah.


12 comments:

dith said...

Semoga kita sentiasa mengingati Rasul junjungan kita, tentang sunnah dan seerahnya. Dan semoga kita mendapat syafaatnya di akhirat nanti. Ameen.

Semoga Rejab, Syaaban dan Ramadhan kali ini dipenuhi ibadah lebih dari yang lepas serta di redhai Allah swt.

Lily Abdullah said...

Terima kasih untuk entri yang menginsafkan ini.

Saya masih datang ke sini. Membaca dan mencerna dalam diam.

Semoga diberkati. AMIN

Unknown said...

Tuan Keng,

Terima kasih di atas ingatan ini. Saya sependapat dengan Tuan. Kadang-kadang rasa lelah, lemas dan cemuih bila membaca kenyataan-kenyataan tersebut.

Moga Allah beri kita kekuatan untuk berkata benar walaupun pahit.

Anonymous said...

bro, selamat rejab.bila mau minum-minum? :)



jones

Awang Goneng said...

Di 'kampung' saya sekarang majlis mawlid digantikan dengan gendang rebana yang mengiringi penyanyi-penyanyi yang menyuarakan 'nasyid', dan majlis mawlid menjadi seperti konsert sahaja. Tak ada lagi majlis marhaban seperti yang kita pernah nyanyikan untuk mera'ikan rasulullah (s.a.w). Satu hari seorang Arab berdiri di masjid dan menegur orang-orang yang membaca al-Qur'an semasa menunggu khutbah Juma'at. Membaca al-Qur'an semasa itu tak ada dalam sunnah Rasulullah, katanya. Semasa di Kuala Lumpur saya tercengang dengan Pendakwah Bebas yang berlagak tak kuranglah daripada stand-up comedian, berjenaka sehingga masjid penuh gelak ketawa. Di masjid pula (Masjid KLCC) ada video wall yang menunjukkan para penceramah (seperti di kaca TV) di dinding depan (di tingkat bawah) betul-betul di arah kiblat orang bersembahyang. Alangkah seronoknya hidup di zaman moden.

Butaseni@Wan Raja said...

salam tuan,
semoga hati dan mata orang orang ni dubukak.semoga sedar.
semoga...

Bunga Rampai said...

Salam Bro Keng,

Alhamdulillah hari ini Jumaat, hari pertama bulan Rejab – hari baik, bulan mulia. Semoga Allah mengangkat martabat bicara murni dan mulia di ruang kecil ini sebagai Majlis Ilmu Nya. Amin.

Selawat.

Pegawai Khalwat said...

Rindunya pada Marhaban. Dulu ikut juga, di kampung.

Sekarang......

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
MYA MARJA said...

Assalamualaikum,
Salam rejab, Tuan Keng. Lambaian syakban dan ramadan makin menggamit. Semoga sunnah akan tetap menjadi pakaian harian.