Tuesday, July 24, 2007

Raja Haji Fisabilillah Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu





I.

Selepas Peperangan Dunia ke-2, terbentuklah negara-negara ‘baru’ di Nusantara apabila sempadan kawasan negara antara Malaya, Singapura, Indonesia, Borneo Utara, Brunei, Philippines dan Thailand digariskan semula penjajah. Garisan baru ini bukan setakat memisahkan beberapa wilayah tertentu dari kawasan asalnya, ianya juga telah menghilangkan bersamanya sebahagian dari sejarah bangsa.

Riau yang dulunya sebuah daulah yang dikenali sebagai Johor-Riau dan mempunyai perkaitan yang rapat dengan Tanah Melayu dan Singapura, menjadi terpinggir daripada sejarah Tanah Melayu setelah ianya diserapkan kedalam Indonesia. Dan dengan secara otomatis sejarah Riau menjadi sejarah Indonesia. Meminggirkan sejarah adalah sikap kita sendiri disebabkan tidak mau meletakkan keutamaan kepada apa-apa yang telah menjadi milik sejarah negara-negara lain. Walhal sejarah Riau adalah juga sejarah kita. Pahlawan-pahlawan Riau adalah juga pahlawan kita.

Setelah kejatuhan Melaka, dan seterusnya kerajaan Johor-Melaka, kesultanan Melayu bangun kembali dengan didaulatkan oleh king makers lima bersaudara berketurunan Bugis, daripada keluarga Daing Rilaka yang berasal dari keturunan raja Luwok dari tanah Bugis, yang menetap di Kelang. Mereka adalah terdiri dari Daing Perani, Daing Menambun, Daing Merewah, Daing Chelak dan Daing Kemasi. Mereka bersaudara inilah pendiri dan pembekal modal insan untuk institusi raja-raja terutamanya di Johor-Riau, Pahang, Terengganu, Selangor, dan Perak.

Kesultanan Johor-Riau yang terbentuk pada 1722 dilantik oleh mereka, dan begitu juga kesultanan Terengganu melalui perlantikkan Sultan Zainal Abidin I, pemula silsilah Yang di-Pertuan Agung pada hari ini, pada 1725. Kesultanan Selangor yang bergalurkan dari Raja Lumu (1742 - 1778) adalah juga dari istana Bugis.

Ada yang berpendapat bahawa keluarga Daing Rilaka atau dikenali sebagai Opu Tenriburong, adalah lanun laut (pirates) dari Bugis. Ini adalah sebagai satu helah untuk memperlekehkan institusi raja-raja Tanah Melayu. Sekiranya ini benar, maka di manakah sejarah yang menceritakan tentang keganasan dan kezaliman yang mereka lakukan di Selangor atau di tempat-tempat lain?

Memang banyak sekali peperangan yang dipelopori mereka, tetapi itu adalah untuk menentang penjajahan Portugis dan Belanda di tanah Melayu pada waktu itu. Pengelibatan mereka semata-mata kerana ingin membebaskan negeri-negeri Islam dari penjajahan, dan secara kebetulannya pula raja-raja yang dalam negeri yang berkait adalah dari kaum kerabat mereka. Peperangan-peperangan itulah sebenarnya permulaan perjuangan untuk kemerdekaan tanah air.

Sekiranya umum mengatakan bahawa kemerdekaan Malaya adalah tanpa tumpah darah, maka pendapat ini tak tepat sama sekali. Ukuran garisan-masa perjuangan untuk menuntut kemerdekaan bukanlah semenjak 1956 akan tetapi 200 tahun lebih awal dari itu. Apa yang kita saksikan pada hari ini, terutamanya melalui akhbar The Star bahwa tokoh-tokoh kemerdekaan tanah air terdiri dari anggota parti-parti MCA, MIC dan UMNO, dan hanya UMNOlah yang mengambil berat tentang pembebasan tanah air dari belenggu penjajah, adalah pembohongan. Apa yang sedang berlaku pada hari ini adalah taktik halus untuk menukar sejarah bahwa Malaya adalah milik sama kesemua kaum dan perjuangan kemerdekaan hanyalah milik mereka. Pengelibatan MCA dan MIC adalah kerana British memprasyaratkan bahwa Tanah Melayu akan diberi kemerdekaan sekiranya mereka diberi tempat di tanah ini.

Mengikut T H Tan, yang mewakili rombongan Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan dari kerajaan British, bukan setakat MIC dan MCA diruangkan peranan dalam negosiasi kemerdekaan, malahan ruang-ruang kekuasaan dan kepimpinan yang bertambah juga diehsankan oleh UMNO kepada mereka. Katanya,

”They (UMNO) stood willingly in favour of the Chinese and Indian Alliance candidates. Not only they forego seats which would without question would have been theirs, but they worked tirelessly, unselfishly for the Chinese and Indian candidates. And it was notable that not a single Chinese or Indian, 17 of them in all, lost their seat. I salute those UMNO leaders who made the sacrifice and contribution of incalculable value to the cause of Malayan independence.” (Looking Back, the Historic Years of Malaya and Malaysia by Tunku Abdul Rahman Putra, m.s. 50 dan 51)


Bravo!!

Kenapa pengiktirafan untuk pelopor-pelopor kemerdekaan tidak diberi kepada kesemua yang terlibat dalam perjuangan berdarah semenjak dua ratus tahun sebelumnya? Bukankah mereka sebenarnya bapa-bapa kemerdekaan Tanah Melayu yang sohih?


II.

Tidak mencukupi dengan penguasaan Melaka, penjajah Belanda turun pula ke Selatan, ke Riau, untuk menghancurkan kerajaan Riau yang ketika itu menjadi pusat dagangan baru di rantau Tanah Melayu. Akhirnya Riau bertindak balas dan bermulalah peperangan antara Riau dan Belanda. Selepas menenggelamkan kapal perang Belanda, Welvaren, Raja Haji sebagai Yamtuan Muda ke-IV Riau, telah mengusir Belanda dari pelabuhan Riau dan mengejar mereka hingga ke Melaka.

Entah apalah tebiat Sultan Mansur* (Tun Dalam), Sultan yang memerintah Terengganu pada tahun 1733 – 1793, sewaktu Raja Haji menyerang Belanda di Melaka pada tahun 1784, baginda Sultan telah bersubahat dengan Raja Muhammad Ali putera Raja Alam di Siak, untuk membantu Belanda dalam peperangannya dengan pihak Raja Haji.

Setelah selama 6 bulan Melaka dikepung oleh tentera-tentera Islam, ternyata pertahanan Belanda lebih kuat dan akhirnya tentera Islam tewas dengan terkorbannya Raja Haji di Teluk Ketapang.

Diceritakan pada saat beliau mangkat, pada tangan kanannya memegang pedang perangnya dan pada tangan kirinya memegang kejap kitab Dalaail Khairat, himpunan solawat karangan Sheikh Al Jazuli yang mashyur.

Wafatnya adalah pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, pada 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un. Raja Haji bin Upu Daeng Celak adalah adik kepada Raja Lumu, Raja Selangor yang merupakan nenek moyang kepada kesultanan Selangor pada ketika ini.

Mengikut kajian Almarhum Wan Mohd Saghir, dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut:
“Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya....”
(Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)

Begitulah pada bulan Rejab ini 223 tahun yang lampau, wafatnya Raja Haji yang diiktiraf oleh Kerajaan Indonesia sebagai Raja Haji Fisabilillah dalam peperangan untuk memerdekakan Tanah Melayu dari penjajahan Belanda. AL FAATIHAH.

Malaysia tak akan mengiktirafi beliau kerana beliau bukannya dari alif mim nun wau!

Nota:

* Anehnya kerana permaisuri Sultan Mansur, Raja Bulang binti Yamtuan Muda Daing Chelak, adalah mempunyai pertalian adik beradik dengan Raja Haji.





Thursday, July 12, 2007

Roadrunners




Entah kenapa, pemandu di Timur Tengah tertarik dengan bunyi hon. Baik kereta atau pun lori. Kaherah seolah-olah ‘betelanjang’ sekiranya tak kedengaran bunyi hon. Semakin terik matahari, semakin riuhlah bunyinya. Suatu awal pagi sewaktu bas yang membawa kami ke lapangan terbang membunyi-bunyikan honnya dengan riuh apabila melalui lorong-lorong Heliopolis yang sunyi, aku bertanya, “Kenapa anta gemar sangat berhon?”

Jawabnya, “Ini Mesir. Membunyikan hon itu sesuatu yang wajib dan disamping itu menggembirakan ketika memandu, dan penduduk tak akan berasa resah dan bosan dengan bunyi yang riuh ini”.

Begitulah Kaherah. Sekiranya anda menunggu di Medan Tahrir atau di lorong-lorong sekitar Al Azhar, bunyinya yang pelbagai, menjadi musik latar yang menarik kepada suasana. Kenanganku kepada Kaherah adalah pada bunyi keriuhan hon dan juga pada roti ‘isy biladi, yang kepahit-pahitan.

Teman-temanku yang pernah tinggal di Saudi pula ada cerita yang lebih menarik. Sekiranya terdengar bunyi hon dari bilik pameran kereta, janganlah terkejut. Orang Saudi tidak memilih kereta, tetapi memilih hon. Jadi yang pertama-pertama diuji mereka adalah hon. Terakhirnya baru uji-pandu. Tak kiralah apa jenama kereta sekali pun. Justeru VW tak mendapat pasaran di sana kerana bunyi honnya seolah-olah bunyi anak kambing.

Nik, yang baru pulang dari Teheran menyuruh kami meneka keadaan di sana.

”Lagi riuh,” aku menjawab.

”Tak mungkin berbeza dari Saudi,” sahut Syed yang lama di sana.

”Salah,” Nik menyapa, ” sunyi sepi. Kereta-kereta yang banyak seolah-olah ikan yang sedang berenang. Tidak berlanggar antara mereka meskipun sesak keadaannya. Orang Teheran, amat bersabar. Tak ada yang membunyikan hon meskipun untuk meminta laluan.”

”Tapi di India yang tak jauh dari Iran berbeza,” sahutku. ”Riuh, seolah-olah Kaherah”.

Aku menceritakan pengalamanku menaikki taksi dari New Delhi ke Agra. Amat mengerikan. Jalannya sempit dan senantiasa sibuk. Tapi adab berkereta disana adalah, yang kecil mesti memberi jalan kepada yang besar, meskipun di lorong yang salah. Setelah tiga jam aku menahan keresahan kerana amat bimbang akan keselamatan kami, aku bertanya kepada pemandu.

”Pernah ke ditimpa kemalangan?”

”No Sir,” jawabnya.

”How come,” aku hairan.

”In India, you must have four good things, to be safe.” Jawabnya.

“Apa?”

“Good car, good driver, good horn and good luck.” Jawabnya dengan penuh keyakinan.

Dan sambungnya lagi, “I am a good driver.”

Apa bezanya pula dengan keadaan dari Jakarta ke Cirebon?

Kecuali pemandu dan temanku Affan (almarhum), kesemua yang didalam Kijang cemas di sepanjang perjalanan. Maklum saja, perjalanan pada waktu malam. Adab di jalanraya di sana juga persis di India. Sesampainya di Cirebon keadaan kami terlalu penat kerana tekanan (stress) yang timbul dari keresahan.

”Affan,” kataku, ”pulang nanti ana ngak mau lagi bermobil. Berkereta-api aje deh!”

Dan begitulah, dari Cirebon ke Jakarta, kami bekereta api. Sangka kami itulah terselamat.

Sebulan selepasnya kereta-api yang sama tergelincir dari landasan dan lebih 200 penumpang maut.

Mungkin kerana kereta-api tak mengamalkan tabiat membunyi-bunyikan hon sewaktu dalam perjalanan.



Nota:
Roadrunner: karekter dari kartun Looney Tunes, yang selalu mengeluarkan bunyi 'beep-beep' (seperti hon kereta), sambil berlari-lari. Dan ini amat menyakitkan hati si coyote, yang berhasrat untuk memerangkapnya.


Monday, July 09, 2007

Toleransi dan Jabatan yang tak bermisi





But only a brief moment
is granted to the brave
one breath or two, whose wage is
The long nights of the grave.

IQBAL
Secara kebetulan aku melayari web Malaysiakini dua hari lalu dan terkejut dengan dua kenyataan kurang sopan oleh Lim Kit Siang. Kenyataan tersebut, walaubagaimanapun telah diturunkan dari lamanweb berkenaan, berkait dengan kes penyanyi yang ditangkap di Ipoh kerana pakaian yang mendedahkan aurat, dan kes Ravathi yang dilahirkan sebagai Siti Mariam akan tetapi dibesarkan secara Hindu.

Islam is an intolerant religion,” katanya tentang kes penyanyi dan “Ravathi must make public as to what she went through whilst under detention,” tentang kes kedua. Kedua-duanya berhaba dan berbahang.

Kes Ravathi; usahlah diambil pusing. Dia dibesarkan oleh neneknya seorang penganut Hindu sebagai orang Hindu. Tak ada kes. Nokhtah. Faqad.

Tapi kes pertama? Wajarkah komen sebegitu dibuat? Atau wajarkah Jabatan Islam menyerbu segala pub dan disco yang ada di Ipoh dan menangkap kesemua penghibur Melayu yang mendedahkan aurat? Apa bezanya mendedahkan aurat yang sedikit dan yang terlampau? Mungkin beliau bekerja di situ untuk mengumpul duit supaya dapat menghantar ibu atau neneknya ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah!

Kebetulan Sheikh M. Yassin kawanku dari Somalia berada di KL dan kami membincangkan hal ini. Katanya, ”Mengikut teladan Rasulullahi solallahu ’alaihi wassalam, ada tiga perkara yang mesti kita lakukan:

1. Berdakwah kepada keluarga,
2. Berdakwah kepada masyarkat yang sudah Islam, dan
3. Berdakwah kepada masyarakat yang bukan Islam.

Baginda tak pernah mengeluarkan arahan supaya Abdullah bin Ubay, bapak segala munafik ditangkap atau dibunuh, meskipun hal keadaan Abdullah diketahui umum di Madinah.

Jadi, katanya apa yang wajar kita buat tentang penyanyi tadi?”

Aku berdiam diri dan menyahut, ”Maaf akhi, aku nak pulang berdakwah kepada keluarga.”

Sebut mengenai toleransi, terlintas padaku dua peristiwa yang lampau.

Pertama tentang buku Rangila Rasul, karangan Rai Phal, seorang ekstremist Hindu dari kumpulan Arya Samajists, di India pada tahun 1927 (kandungannya sama seperti Satanic Verse). Buku ini telah menimbulkan kemarahan kaum Muslimin di India (sebelum wujudnya Pakistan) dan telah meletuskan demonstrasi yang berlarutan, untuk beberapa bulan.

Rai Phal telah disaman oleh masyarakat Islam, akan tetapi tidak didapati bersalah oleh mahkamah Lahore yang dihakimi oleh Kanwar Dallep Singh. Ini telah memberikan semangat yang lebih meninggi kepadanya dan seterusnya pelbagai lagi buku-buku yang mencaci Rasululullahi sollahu ’alaihi wassalam telah diterbitakan oleh kumpulan Arya Samajists.

Dengan tidak disangka, seorang anak kampung yang buta huruf, Ilm-ud-Din namanya, telah bertindak membunuh Rai Phal, pada suatu siang hari di satu tempat terbuka. Ilm-ud-Din tak menganggotai mana-mana parti atau persatuan, tapi kerana telah rasa terluka yang amat apabila diberitahu yang buku Rangila Rasul dan penerbitan-penerbitan yang lain menceritakan keburukan tentang Baginda dan menganggap Baginda sebagai seorang yang gila, beliau telah bertindak sedemikian. (Gila ada perkataan asal dari bahasa Hindi). Dan cekalnya pemuda ini, apabila ditawarkan khidmat guaman untuk membelanya, beliau bertanya, ”untuk apa? Memang aku yang membunuhnya dan wajarlah aku mati. Dan aku rela mati kerana aku akan syahid!”

Begitu juga dengan Pak Muchlis anak Bugis dari Surabaya, yang rasa tersinggung apabila Ibu Tien dalam tahun 70-han dulu, yang khabarnya, sebagai patron kepada Gereja Sedunia di Indonesia, telah menyetujui untuk mengadakan persidangan antarabangsa badan tersebut di Indonesia. Akibah dari cadangan ini telah berlaku demonstrasi dan rusuhan hampir setiap hari di seluruh pelusuk pulau Jawa. Tapi Presiden sewaktu itu masih terus mau mengizinkan persidangan dilangsungkan. ”Toleransi,” katanya.

Setelah mendapat fatwa dari beberapa ulamak bahawa wajib bagi umat Muslim menghalangi Persidangan tersebut, Muchlis membuat perancanaan persendirian. Beliau telah melengkapkan dirinya dengan 7 bilah belati tajam. Tiga bilah belati yang pertama telah ditusukkan keperut anjing yang mengawal kawasan rumah ketua persidangan, seorang paderi ’bulek’ dari luar Indonesia. Belati ke-empat ditusukkan kedada sang paderi yang ketika itu sedang di bilik bacaan untuk menyiapkan kerja-kerja bersabit dengan persidangan. Dan bakinya habuan tiga lagi tentera yang datang untuk membantu mangsa setelah mendengar jeritan paderi. Apabila ternyata beliau telah dikepung, Muchlis cuba melarikan diri dengan melompat dari loteng bangunan, setinggi lebih 15 kaki. Lompatan ini ternyata terlalu tinggi baginya, dan akibahnya kaki kanannya patah.

Sewaktu dalam tahanan, apabila disyorkan tentang khidmat peguambela, Muchlis juga berpendirian seperti Ilm-ud-Din, walhal beliau tak pernah pun tahu tentangnya. Walaubagaimanapun pembicaraan tak dilaksanakan kerana campur tangan Almarhum al Malik Faisal. Muchlis dibawa ke Makkah dan telah diberi igamah untuk menetap di sana sehingga beberapa tahun yang lalu.

Begitulah keadaannya dengan toleransi.

Yang salahnya bukan Islam tetapi jabatan yang kononnya menjalankan tugas untuk Islam. Merekalah yang perlu diperbetulkan dulu, dirikan prioritis yang tertentu untuk menghindar dan membendung keadaan yang terkeluar dari landasan syari'ah.

Kita? Berdakwahlah kepada keluarga dan kepada non-Muslim tentang Islam. Supaya mereka fahami apa yang dibenarkan dan tidak dibenarkan oleh hukum Islam.



Sunday, July 01, 2007

Tetamu Mongol




I.

Kelak papan-tanda nama jalan-jalan di Pulau Pinang akan ditulis dalam Bahasa Cina. Ini, tegas kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gerakan, parti yang dulunya bertanggungjawab mengapikan kebencian terhadap kaum Melayu sehingga meletusnya kejadian Mei 13, adalah untuk menarik pelancong dari negeri China.

Mengapa Datuk Bandar KL juga tak memikirkan strategi pemasaran sedemikian taklah aku faham. Tulislah dalam bahasa Arab, Thai, German, Perancis dan juga Russia. Atau Swahili dan Afrikaan. Bukankah mereka juga berduyun-duyun ke Malaysia sebagai pelancung? Malah ramai pula yang telah menetap secara haram dan melibatkan diri dalam perniagaan malam. Dan mengapa tidak juga dalam bahasa Mongolia? Bukankah kebelakangan ini ramai orang-orang Mongolia ke Malaysia?

II.

Pada 1289, dalam agenda untuk meluaskan empayar Mongol ke dunia selatan, Kublai Khan telah menghantar satu armada ke Singosari, kerajaan Hindu di Pulau Jawa, untuk memaksa pemerintahnya Kertanagara, supaya tunduk kepada pemerintahan China. Setelah watikah Kublai Khan dibaca dengan megah oleh dutanya Meng Ki di hadapan Kertanagara, beliau hanya tunduk seolah-olah akur dan menerima takdir untuk taat setia kepada kuasa yang telah menggeletarkan kuasa-kuasa dunia yang lain. Dengan penuh kesopanan kraton, Kertanagara menjemput rombongan duta dan wakil Kublai Khan untuk jamuan santapan malam sambil mabuk-mabukan. Sangkaan rombongan ini bahwa Kertanagara telah berjaya ditundukki dengan gampang, pastinya menggembirakan Kublai Khan kerana beliau akhirnya dapat dinobatkan sebagai raja di darat dan lautan.

Malamnya sewaktu tetamu sedang asyik bersukaria dan dibelai dengan ulikan gamelan, panglima-panglima raja Singosari mecabuli segala protokol diplomasi, dan menawan dengan mudahnya kesemua tetamu jemputan. Tiba-tiba terserlahlah kehandalan panglima Jawa.

Muka Mongol dikelar-kelar seperti ikan sebelum dipanggang, sebagai tanda amaran dan mereka kemudiannya diseret balik ke kapal dan dinyahkan pulang membawa watikah amaran dari Kertanagara.


Paduka Kublai Khan,

Sembah puji dari hamba yang hina ini hanya ke bawah duli sang pelindung jagat. Raja yang senantiasa tenang tenggelam dalam samadi, raja segala raja, pelindung orang miskin, mengatur segala isi negara. Sang dewa-raja, lebih diagungkan dari yang segala manusia dan dewa yang tampak di atas tanah. Merata, serta mengatasi segala rakyatnya:

Nirguna bagi kaum Wisnawa,
Iswara bagi Yogi,
Purusa bagi Kapila,
Hartawan bagi Jambala,
Wagindra dalam segala ilmu,
Dewa Asmara di dalam cinta berahi,
Dewa Yama di dalam menghilangkan penghalang dan menjamin damai dunia.

Demi Dewa Yama, hamba Kertanagara, raja dan wakil dewata yang memerintah Singosari, tidak tunduk kepada mana-mana kuasa dunia dan memberi amaran ke atas paduka tuan, atas apa-apa tindakkan dan niat jahat pemusnahan dan penaklukan. Pelakuanku keatas utusan Paduka Tuan, menjadi amaran.

Tingkah laku Kertanagara terhadap rombongan armada Mongol amat memurkakan Kublai Khan kerana beliau tidak pernah sebelumnya menerima pengaiban apa lagi kekalahan.

Dalam persediaan untuk mengahalang serang balas Kublai Khan melalui darat, Kertanagara telah mengarahkan tenteranya dengan kerjasama kerajaan Champa, supaya menaluki tanah Melayu, Sri Vijaya dan Temasek. Ekspedisi tentera ini dikenali dengan nama Penaklukkan Pamelayu.

Tepat sekali telahan Kertanagara, beberapa tahun kemudian pada tahun 1292, rombongan Mongol yang lebih besar dan lengkap, datang kembali ke Jawa untuk membalas dendam.

Kebetulannya pada tahun itu Singosari mengalami kekacauan dalaman, dan Kertanagara pula telah dibunuh oleh seorang pembesarnya dari Kediri, Jayakatwang, dalam suatu keramaian agama. Apabila kedua-dua berita kedatangan Mongol dan kematian Kertanagara diterima oleh Raden Vijaya (Pendiri Kerajaan Majapahit), yang merupakan menantu kepada Kertanagara, beliau tiada pilihan melainkan menerima penaklukkan Mongol yang beberapa tahun sebelumnya ditolak oleh bapa mertuanya. Dengan kerjasama Mongol Vijaya berjaya menghapuskan tentera Jayakatwang dan kembalilah kedamaian di Singosari.

Di waktu inilah, Raden Vijaya yang juga sepintar Kertanagara, berpaling tadah terhadap tentera Mongol, dan diriwayatkan dalam sejarah bahawa sejumlah 3,000 tentera Mongol mati terbunuh. Inilah ketewasan Mongol kali kedua (kali pertamanya di ’Ayn Jalut 1260) di medan perang dunia. Hancurlah impian Mongol untuk menaklukki Nusantara.

Sejarah Mongol dalam peperangan darat pula berlainan. Merekalah jaguh. Merekalah johan. Amat kejam. Dan kedatangan mereka seperti api yang membakar padang ragut. Menjarah kawasan, bandar dan perkampungan.








"The greatest happiness is to vanquish your enemies,
to chase them before you,

to rob them of their wealth,
to see those dear to them bathed in tears,
to clasp to your bosom their wives and daughters"


-GENGHIS KHAN



Sewaktu Khalifah Abbassid dijatuhkan Hulagu Khan dan Baghdad dijarah pada 1258, sejarah menceritakan tentang kehilangan segala sifat kejantanan pada kaum lelaki Islam. Begitu sekali Mongol digeruni, sehingga sewaktu melintas meskipun seorang penunggang kuda Mongol melalui kampung, orang-orang lelaki akan keluar ke jalan untuk menyerah leher-leher mereka untuk dicantas. Begitulah kedayusan yang menjalar dikalagan mereka.

Takdir Allah mengatasi segala-galanya. Sewaktu Mongol menyerang Mesir pada 1252, mereka telah menawan seorang budak bernama Mahmoud Mermi, yang kebetulannya anak saudara kepada Khalifah. Mahmud kemudiannya dijual beberapa kali sebagai hamba dan sewaktu beliau di Sham beliau telah bermimpi didatangi seorang yang memakai serba putih mengkhabarkan bahawa beliau akan menghancurkan kaum Mongol dan Tartar, dan akhirnya akan memerintah Mesir. Mimpi ini dita’birkan oleh Izza al Din, seorang ulama bahwa yang mengkhabarkan berita itu adalah Rasulullahi sollahu ’alaihi wassalam. Mahmud akhirnya dimerdekakan dan dengan kepintarannya beliau di terima ke istana dan akhirnya ditabalkan sebagai Khalifah Mesir. Beliau telah bergelar dengan nama khalifah Saifuddin Qutuz.

Cerita Saifuddin Qutuz ada persamaan dengan Kertanagara. Mongol dengan angkuhnya telah mengutuskan surat yang biadab kepada Saifuddin, memberi amaran keras supaya Saifuddin tunduk kepada mereka:


Dari Raja-di-Raja Timur dan Barat,
Khan yang Agung,
kepada Qutuz pemerintah Memluk yang lari dari pedang-pedang kami.

Fikirkanlah apa yang telah berlaku kepada negara-negara lain dan menyerahlah kepada kami.

Kamu tentu ketahui bagaimana kami menakluki jajahan yang luas serta telah membersihkan bumi dari kekacauan yang telah menodainya. Kami menaklukki kawasan di merata-rata serta telah membunuh penduduknya. Kamu tak pasti terlepas dari kehebatan tentera kami. Kemana kamu akan lari? Jalan manakah kamu akan lalui dari kami? Kuda-kuda kami pantas, panah-panah kami tajam, pedang-pedang kami pantas mencantas, hati-hati kami keras seperti batu, dan seldadu-seldadu kami ramai dan tak terbilang bak pasir yang banyak. Tembok dan kota tak dapat menahan kemaraan kami dan alat-alat senjata tak menakutkan kami.

Doa-doa kamu kepada tuhan kamu tak bermakna bagi kami. Hati-hati kami tak cair kepada tangisan dan tersentuh dengan rayuan. Hanya yang menyerah kepada kami untuk perlindungan akan selamat.

Cepatlah dengan jawapanmu sebelum api-api peperangan disemarakan. Tentang, dan kamu akan alami akibat yang dahsyat. Kami akan musnahkan masjid-masjid kamu dan membuktikan kelemahan tuhan kamu untuk menjaga kamu, dan seterusnya akan membinasakan kanak-kanak dan orang-orang tua sekali gus.

Kini hanya kamu sahaja musuh yang kami hadapi dan akan tentangi.


Qutuz membalas surat ini dengan memenggal kepala wakil-wakil Mongol dan telah menggantungkan kepala-kepala mereka di Bab Zuweila di Kaherah.

Sebagaimana Kublai Khan murka kepada Kertanagara, begitulah juga kemurkaan pemerintah Mongol kepada Saifuddin. Akhirnya kedua-dua bala tentera bertemu di Lembah ’Ayn Jalut dan 20,000 tentera Mongol menemui ketewasan yang menghinakan di situ. Saifuddin akhirnya berjaya menebus kekalahan tentera Islam.

III.

Apa bezanya umat Islam Malaysia dan sewaktu Abbassid dulu? Kali ini kedatangan Mongol ke Kuala Lumpur bukanlah untuk menjarah negara, akan tetapi akan meninggalkan keaiban yang mendalam kepada kita semua. Kita yang kononnya mengamalkan Islam Hadhari. Kita yang mempegerusikan OIC. Kita, kita, kita.........

Aku teringat akan khabarnya pesanan Tun M untuk disampaikan kepada seorang Menteri tempatan, ”Tell him to stop womanising, and then divorce his wife..”

Kepada siapa?

Wallahu a’lam.