Friday, January 26, 2007

Harapan

"Siddiqil-'aziz"

begitulah mukadimmah sms dari Ustaz Ghazali (al-Jelebui) kepadaku awal pagi tadi; hari Juma'at sayyidul-ayyam.

"Di kala dini hari dibasahi embun jantan
aku terasa haus dalam kedinginan.
Dan berkali-kali
aku tersentak dalam kesunyian malam yang begitu nyaman,
seolah-olah malam tak mengizinkanku terus dalam kelenaan.

Puas aku ke kiri
ke kanan,
tetapi tak lagi menemui keselesaan pada tilam;
keempokannya tiba-tiba menghilang.

Pada sejadah usang
aku menghamparkan diri kepada-NYA.
Untuk berintih dan bermunajat dalam kesunyian malam
tanpa gangguan deringan talipon tangan.
Tah kenapa, lewat-lewat ini sering air mata berderai
tatkala kesunyian
dan nisan-nisan pula sering terbayang.

Oh TUHAN
ini aku
hamba-MU menadah tangan....
inilah rintihan....
zalimku pada diri dan Tuhan
tapi IA masih izinkan daku untuk bernafas
dan menumpang
di bumi-NYA tanpa halangan.

Beban yang ku bawa,
aduh!
Begitu besar, berat dan hinanya
adakah bisa dibuang?

Oh Tuhan, layakkah aku mendapat kasih-MU?
Berhakkah daku memijak syurga-MU?

Tiba-tiba mendapat lintasan
peringatan-MU pada insan
supaya meminta dengan penuh harapan.
Kasih-MU meliputi langit dan bumi.
Pengampunan-MU lebih besar dari keseluruh dosa-dosa kami
dan seluruh alam.

Ya Allah,
Ampunilah dan sinarkanlah cahaya NUR kedalam hati-hati kami
dan keluarga-keluarga kami
dan pada seluruh sahabat taulan.

Perjalananku telah jauh, namun
duri ranjau
gelora samudera
dan segala apa rintangan kepada-MU
pasti ada noktahnya.

Aku ingin menghampiri-MU ya TUHAN,
kerana rasaku aku sudah lama bermalam
dan sebentar lagi akan pulang.

Wahai teman,
maafkan aku atas apa-apa kesalahan dan kekasaran."



Nota:

Siddiqil-'aziz = temanku yang ku hurmati atau ku muliai. Panggilan penghurmatan kepada kawan;

Sayyidul-ayyam = penghulu segala hari, yakni hari Juma'at.

Sunday, January 21, 2007

Perayaan dan Perayaan




Secara kebetulan atau memang ditakdirkan, proses untuk memupukkan semangat toleransi dan kesetiakawanan di bawah naungan Hadhari di Malaysia, menuju kejayaan.

Pada tahun lalu banyak perayaan yang dikongsi bersama dengan kaum Muslimin di Malaysia. Misalnya 'Eidulfitri dan Diwali. Hari sambutan Christmas pula bersamaan dengan minggu Hari Raya ‘Eidul Adha. Dan minggu ini pula, minggu sambutan Ardh Kumbh Mela bersamaan dengan hari sambutan Awal Muharram. Dan juga tak ketinggalan Hari Ponggal pada minggu lalu.

Dan untuk sambutan bukan sangkut paut dengan agama, kini di KL kami sibuk dengan sambutan Hari Flora sempena Tahun Melawat Malaysia 2007. Dan maaf yek, orang-orang Johor kerana tak dapat menjemput anda kalian ke KL untuk melihat acara bunga api yang begitu menarik sewaktu minggu pelancaran VMY ’07. Biarlah kami di KL merayakan kesemuanya bagi pihak sekalian penduduk Malaysia.

Penyambutan hari Ardh Kumbh Mela, juga ditetapkan berdasarkan kepada rukyah dan falak. Mengikut perkiraan, tepat waktu 1730 GMT pada January 7 lalu, matahari memasukki ruang Tropic of Capricorn, untuk menandakan kemasukkan waktu kedudukan matahari dan cakrawala yang berlaku hanya sekali dalam setiap enam tahun.

Mengikut kepercayaan agama Hindu, sewaktu berlaku peperangan antara tuhan-tuhan dan dewa-dewa jahat di bumi, telah tertumpah manisan dari cangkir atau buyung mereka, di kawasan Allahabad. Untuk mengingati hari ini maka penganut Hindu akan bertumpu ke Ganges, sungai yang paling tercemar di dunia, untuk menikmati apa-apa kemanisan yang masih berbaki di samping membasuh diri mereka dengan air Ganges untuk menghilangkan dosa-dosa mereka.

Dan dijangkan seramai 70 juta penganut Hindu akan merayakan Ardh Kumbh Mela di Ganges untuk sekaligus menyucikan diri mereka dari dosa.

Alangkah baiknya kalau 12 juta umat Islam di Malaysia juga mencari hari untuk berkumpul di mana-mana tempat yang sesuai untuk bertaubat. Sekali setiap 5 atau enam tahun. Acara ini boleh dinamakan JOM TOBAT! atau SURE TOBAT!

Bagaimana JPM tak mengarahkan ucapan selamat hari Ardh Kumbh Mela kepada penganut-penganut Hindu tak pula saya mengerti. Dan sekiranya ini dilaksanakan, mereka pula dapat mengucap balas selamat menyambut Muharram kepada kita.

Saya berharap Mufti Perlis dan Ketua Pengarah IKIM tak akan membantah perayaan bersama seperti ini.

"Hello.... hello ..... Swamiji. Ignore the circular from the shari'ah guy from Takaful Malaysia.

On behalf of IKIM, we wish you a happy Ardh Kumbh Mela."

"Accha Sab. Heppi moharem. Haardik Shubhkaamnaein Sab. Shakria Sab."



Saya amat tertarik dengan penjelasan Pak Malau tentang Hijrah.
Dan jangan lupa berpuasa Muharram.




Nota: Achha Sab. Heppi moharem. Haardik shubhkaamnaein Sab. Shakria Sab. = Yes sir. Happy Muharram. Best Wishes Sir. Thank you Sir.

Friday, January 12, 2007

Saf




Gambar ini mengingatkan saya kepada pesanan Sayyidina 'Umar al Farouk @ 'Umar al Khattab. Khalifah kedua. Sememangnya ada beberapa sabda Rasululullahi sollahu 'alaihi wassalam tentang maudhuk yang sama. Berkenaan saf solat.

Ketika peperangan untuk menaklukki Palestin terlampau berpanjangan, maka Sayiddina 'Umar pun membuat lawatan mengejut untuk menilai keadaan. Didapatinya tentera Islam di bawah 'Amr ibn 'As r.a. bersemangat kental dan gagah berani. Akan tetapi pada malam harinya Sayyidina 'Umar mendapati mereka tidur nyenyak dan pada solat-solat berjemaah pula, safnya renggang dan tak teratur. Solat juga diringankan.

Apabila keadaan ini diubah setelah ditegur Sayiddina 'Umar, keadaan di barisan peperangan mengalamai kemajuan. Tak lama kemudian kemenangan ternyata pada pihak Islam.

Sayiddina 'Umar al Farouk yang dihina dengan panggilan 'anjing' oleh kaum syi'ah, mempunyai kewibawaan yang tinggi. Sewaktu kejatuhan Palestine, pada 636M, dalam peperangan Yarmuk, Patriach Sophoronius sebagai kepala agama dan ketua bandar itu, bersetuju untuk menyerahkan bandar itu sekiranya Sayiddina 'Umar, sebagai Khalifah Islam, datang sendiri ke Palestine untuk menerima penyerahan kota Palestine. Pertemuan antara dua kepala negara atau pasukan itu sungguh dramatik, mengikut Anthony Nutting seorang pengkaji Sejarah Kristian, "'Umar memberi satu pengajaran kepada para pemimpin tentera Kristian dan para bishop tentang tawwadhuk. Penyerahan kota Palestine itu diterima 'Umar dalam keadaan pakaian yang bertampal-tampal dan dengan hanya menunggangi keledai." [The Arabs, New American Library, N.Y. (1964)]

Sewaktu menerima kekalahan tentera atau kerajaan Kristian Palestine, Khalifah 'Umar dalam ucapannya, yang dikenali sebagai Perjanjian 'Umar, menyatakan:
"Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Ini adalah wa'ad (perjanjian) pada mana 'Umar, hamba Allah; sebagai Amir kepada kaum Mukminin, janjikan kepada penduduk Aelia. Dia memberikan mereka keselamatan pada nyawa, hartabenda, gereja-gereja dan salib-salib mereka. Mereka tak akan disusahkan dalam hal-hal agama mereka dan juga tidak akan ditindas... sesiapa yang meninggalkan bandar ini akan dijaminkan keselamatan pada diri dan hartabenda, sehinggalah mereka tiba kepada destinasi tujuan mereka."

Balek kepada gambar di atas. (Klik disini dan nilai sendiri apa yang tersurat.) Sekali pandang, hebat nampaknya. Jemaah di Malaysia, bersolat tak kira tempat. Di padang-padang dan di kaki lima. Merata-rata.

Pertanyaan pada diri saya adalah, "Siapakah yang menentukan bahawa sah solat Juma'at dengan saf yang putus seperti dalam gambar tersebut. Ada yang dibawah pokok dan ada pula di tepi jalan untuk keselesaan." Apa kata kalau bawa saja kereta ke tepi kawasan itu dan mengikuti khutbah dalam keselesaan dari dalam kereta? Saya berharap-harap akan kawan saya Sayuti, Yeop, atau sang pencinta, taklah termasuk dalam saf bawah pokok.

Sekiranya peperangan Palestine menjadi tanda-ukur, maka jauh lagilah kemenangan bagi umat Islam di Malaysia, dalam bidang apa sekali pun.

Dan ini juga peringatan pada diri saya sendiri.


Saturday, January 06, 2007

Ilmu



Di kala usainya musim Haji 1427H/2006M dan kesepian yang akan menyelubungi kota Makkah buat seketika, saya teringat akan almarhum Sheikh ‘Abdul Karim al Banjari. Asalnya dari Kalimantan; berketurunan Banjar. Guru di Masjidil Haram, Makkah. Beliau pulang kerahmatullah sekitar empat tahun lalu. Di samping sempat dimanfaatkan beberapa ilmu dari Almarhum, saya mempunyai beberapa kenangan manis bersama beliau.

Sewaktu hayatnya, setiap kali saya ke Makkah, saya tak akan lupa menziarahi beliau di halaqah pengajiannya di Masjidil Haram. Ketika itu kalau ada pemuda-pemuda beraut muka atau berwajah Nusantara, berserban dan tak banyak bercakap-cakap, yang berkumpul di ruang-ruang di sebelah kiri laluan Bab 'Abdel-'Aziz ke Ka'abah, untuk pengajian, itu pastilah murid-murid beliau. Berbeza sekali dengan murid guru-guru Salafiah yang hanya berselubung merah atau putih. Khabarnya sekarang ruang itu sudah sunyi dan kebanyakan murid-muridnya telah pulang ke negara masing-masing, kerana ketiadaan igamah (atau surat keizinan) untuk bermastautin di sana.

Beliau seorang guru yang tegas. Sekiranya murid-muridnya tak dapat menjawab apa-apa soalan setelah ditanyainya sebanyak 3 kali, maka beliau akan menutup majlis pengajian. Kerana bermakna murid-murid belum faham apa yang telah diajari sebelumnya, tapi enggan atau malas bertanya. Maklumlah kesemua murid-muridnya bekerja pada siang harinya, sama-ada sebagai pemandu jemaah atau pekerja-pekerja kedai. Tetapi Almarhum adalah seorang guru yang amat baik dan pemurah.

Sebagai guru yang mengajar di Masjidil Haram, beliau sentiasa dalam intipan pengawal Masjid kerana beliau dari fahaman kaum tua iaitu bukan dari golongan Salafi. Maka setiap pengajiannya cuba dirakamkan oleh pentabir Masjidil Haram, untuk tujuan penapisan.

Dan pada suatu waktu selepas selesainya pengajian, datang sang pengintip untuk mengambil perakam suara yang tadinya diletak hanya beberapa inci di depannya. Almarhum mencuit saya dan berkata, ”Lihat tu,” sambil menunjuk kepada sang pengintip tadi. Almarhum senyum dan ketawa kecil. Sambil berjalan sang pengintip tadi meletakkan alat perakam rapat ke telinganya dan cuba-cuba mendengar apa yang direkodkan. Berkerut-kerut mukanya kerana tak ada apa-apa suara yang telah dirakamkan. Baik bunyi Melayu ataupun Banjar dan apatah lagi Arab. Selain dari bunyi putaran pita, yang kedengaran dari pita itu hanyalah kesepian. Kerana tak ada apa-apa bunyi langsung yang tertangkap pada pita rakaman tersebut. Begitulah kejadiannya setiap kali beliau mengajar. Allah SWT tak mengizinkan suaranya dirakam.

Malahan sewaktu beliau menyampaikan pengajian, suaranya pun tak kedengaran. Akan tetapi kesemua muridnya mendengar apa yang diajarinya. Kalau ada sesiapa yang melihat majlis pengajian tersebut, mereka akan menyangkakan bahawa itu adalah majlis pengajian orang bisu. Kerana tak ada bunyi dan suara yang kedengaran langsung, baik dari guru apatah lagi dari murid yang taat mendengar. Demikianlah Almarhum Sheikh ’Abdul Karim al Banjari. Seorang manusia yang aneh. Semoga Allah SWT merahmatinya dan meletakkannya di taman yang terindah di sisi-NYA. Al Fatihah kepada ruhnya.

Satu waktu Almarhum menceritakan kepada saya tentang mula-mula kedatangannya dari tanah Bandjarmasin ke kota Makkah untuk belajar. Berbulan-bulan beliau mencari guru untuk mengabdikan dirinya semata-mata untuk mencari ilmu. Setelah puas bertanya-tanya beliau dinasihatkan supaya berguru dengan seorang ulamak yang asalnya dari tanah Hindi. Apabila bertemu dengan guru yang dimaksudkan, alangkah terperanjatnya. Tak terhingga. Kerana orang yang bakal menjadi gurunya itu sering ditemuinya, malah setiap hari, dalam perjalanan dari rumah tumpangannya ke Masjidil Haram dan apabila waktu pulangnya. Beliau penjual haruman dan wangian ’attar di lorong yang menjadi laluannya ke Masjid. Dan beliau tak sekali-kali menyangka yang penjual 'attar ini seorang guru dan ulamak Hadith.




Begitulah Cik Rampai, aneh sungguh hidup ini kadang-kadang. Pemberi ilmu itu di tempat yang paling tak disangka.

Dan terima kasih Cik Rampai di atas puisi, sempena 'Eidul Qurban, yang begitu indah:

Korban

Rasa kehambaan yang mukhlis
tenang
dalam pelukan
cinta hakiki
harum
sebuah munajat
kamil
sekeping
hati.

Allahuakbar!

Wahai Tuhan
dalam kami menyisir
kehidupan
hiaskanlah di hati nan redup
puncak keunggulan
malai syahdu
keimanan.

~ Bunga Rampai ~



Gambar: Pandangan dulukala sekitar Masjidil Haram. Dalam bulatan adalah Rumah Maulud atau tempat kelahiran Rasulullahi sollallahu 'alaihi wassalam.