Powered By Blogger

Wednesday, September 27, 2006

RAMADHAN KARIM

"Ramadhan Karim".

Begitulah sapaan yang akan sering diterima oleh seseorang apabila bertembong dengan sesiapa sahaja di lorong-lorong di sekitar Hussein, Khan Khalili atau Azhar iaitu di sekitar balad ‘Ataba, di kota Kaherah. Malahan juga dimana-mana sahaja di kota itu. Pembuka kata untuk bersilaturrahmi dalam bulan Ramadhan al Mubarak ini hanyalah dengan “Ramadhan Karim”, dan penerima teguran akan membalasnya dengan “Allahu Akram” serta senyuman.

Kemeriahan Ramadhan di Kaherah bukanlah dengan bunga api atau mercun atau bedil buluh mainan anak-anak, tetapi adalah pada keindahan warna-warni Khemah Ramadhan yang akan dipasangkan di tepi-tepi jalan dan lorong-lorong, dan di sekitar masjid-masjid dan kedai-kedai makan. Khemah berawan larat yang sungguh menarik, di mana iftar di sediakan sewaktu petang, dan untuk bersyisha dan minum teh atau kopi selepasnya. Warga kota Kaherah memang terkenal dengan budaya melepak di kedai-kedai teh. Alasan mereka adalah rumah-rumah mereka sempit dan panas dan hanya ada ruang untuk wanita-wanita. Anak-anak muda dan lelaki mesti menghadirkan diri di luar rumah.

Yang mengingatkan ku kepada Kaherah pada setiap bulan Ramadhan adalah juga pada masah-harati atau mesahharati, atau pelaung untuk mengejut bersahur. Satu budaya yang telah hilang dari negara-negara Arab yang lain. Hanya masih kekal di Kaherah terutamanya. Khabarnya. Pada ketika aku di Kaherah sebagai pelajar dulu, ada seorang masah-harati buta yang mengelilingi lorong-lorong dan jalan-jalan di sekitar ‘Atabah, sambil mengetuk-getuk tin dan melaungkan panggilan untuk bersahur dalam nada yang sungguh merdu. Beliau sungguh masyhur sehingga TV Kaherah menyelang-yelikan video laungan beliau pada malam-malam Ramadhan.

Di Malaysia kebelakangan ini sapaan Ramadhan Karim dibuat melalui sms. Sudah canggih. Mungkin budaya yang dibawa balik oleh pelajar-pelajar dari Mesir. Tetapi dalam sebegitu banyak sms Ramadhan yang aku terima, ada tiga sms yang aku kira begitu menarik.

Yang pertama daripada Bapak Didik Supriyanto dari Malang (Indonesia):

Bila seluruh UMUR adalah bagian DOSA,
maka TAQWA dan TAUBATlah ubatnya;
Bila semua HARTA adalah RACUN,
maka ZAKATlah penawarnya;
Bila seluruh BULAN adalah NODA,
maka RAMADHANlah pemutihnya.
Selamat menunaikan ibadah Ramadhan.

Yang kedua pula daripada Hafiz Abdul Shukur, imam dari Nilai, yang berbunyi:

Ramadhan datang lagi untuk mengulangi tuntutan hakiki,
Tanyalah pada diri.
Apakah Ramadhan tahun ini yang terakhir
dan akan menjadi sama seperti akhir kali,
Yang banyak dibiarkan berlalu,
Tanpa diisikan dengan iqra dan zikir?
Syukur pada Illahi, kerana Ramadhan masih sempat ditempuhi,
Dan kita diberi peluang untuk meperbaikkan kualiti.

Selamat berRamadhan.

Dan sms yang ketiga merupakan pesanan dari Habib Ahmad al Idrus, dari Malang (Indonesia):

Seorang Muslim, pada saat berbuka puasa, membaca:-
”Ya ’Adzhiimu ya ’Adzhiim.
Anta Illahii, laa ilaa ha ghairuk.
Ighfirlil dzanbal ’adzhiim,
fa innahuu laa yaghfirudz dzanbal ’adzhiim,
il-lal ’Adzhiim”

(wahai yang Maha Agung, wahai yang Maha Agung. Engkaulah tuhanku dan tiada tuhan selain Engkau. Ampunilah dosa-dosaku yang sebegitu besar, dan sesungguhnya tiada yang dapat memberi pengampunan ke atas dosa-dosa yang besar selain Engkau, yang Maha Agung)

niscaya akan terhapuslah dosa-dosanya dan menjadi dia persis bayi yang baru lahir.

Hadith riwayat Ibn Majah dan ditingkatkan sebagai hadith hasan.



Dan akhirul kalam, Ramadhan Karim dari Ku Keng sekeluarga.
Semoga Ramadhan ini akan dipenuhi dengan kegiatan ibadah yang lebih berkualiti dari yang lampau-lampau.


Nota kaki: Gambar hanya untuk menunjukkan contoh Khemah Ramadhan.

Thursday, September 14, 2006

Adat Gemilang

Almarhum Tun A Razak pasti bangga dengan anak Pahang, kerana pencapaian mereka ke tahap yang amat bejaya dalam bidang ekonomi atau bisnes. Justeru perkahwinan yang dilaksanakan di negeri tersebut kebelakangan ini menjadi bukti bahawa anak-anak Melayu kaya raya. Amat kaya raya. Amat. Beruntunglah mereka yang menerima mas kahwin dan hantaran yang tak akan terfikirkan apatah lagi tercapai oleh kebanyakan penduduk di Baling, Kedah.

Tetapi bagiku adat yang baru dibentuk atau dibuat ini tak hebat. Sewaktu di Jakarta beberapa hari lalu, aku tertarik dengan berita dalam koran Media Indonesia tanggal 12 September.

PERANG SUKU DI MIMIKA BERAKHIR

JAYAPURA (Papua): Dua suku yang bertikai di Kabupaten Mimika, Papau, sepakat untuk mengakhiri perang 14 September mendatang. Kedua-dua suku yang bertikai, yaki suku Dani dan Suku Damal bersepakat untuk melakukan upacara patah panah sebagai tanda mengakhiri perang.....Upacara patah panah merupakan acara simbolis semacam gencatan senjata.

Proses upacara diawali dengan memanah anak babi di markas setiap suku. Kemudian sejumlah perwakilan kedua suku berlari memasuki wilayah suku lawan.

Setelah itu mereka berkumpul di suatu tempat dan saling memaafkan dengan cara saling berpelukan, dan kemudiannya menyerahkan sejumlah anak panah kepada pihak ketiga untuk dipatahkan sebagai tanda perang berakhir. Upacara diakhiri dengan bakar batu, atau menyantap bersama makanan yang dimasak menggunakan batu panas.



Aku bertekad untuk mengimpot budaya ini ke Malaysia supaya dapatlah dianjurkan pelaksanaannya kepada PAS dan UMNO; Tun Mahathir dan Pak Lah; Tun M dan Rafidah; KJ dan MCA; dan, dan, dan .... banyak lagi. Hanya tak perlulah kepada acara memanah babi.

Sunday, September 10, 2006

Salam




SALAAMU ALAIKUM

I pray the prayer the Easterners do,
May the blessings of Allah abide with you,
Wherever you stay, wherever you go,
May the beautiful palms of Allah grow,
Through days of labour and nights of rest,
The love of Allah make thee blest.

So I touch my heart as the Easterners do,
May the blessings of Allah abide with you.

~ author anonymous ~


Kebelakangan ini, pelbagai masalah melanda usaha-usaha untuk mengemaskinikan blog. Masalah streamyx yang berterusan, kesihatan yang terjejas dari sebab terkena hujan, dan kini pula kesibukkan untuk menyelesaikan tugas-tugas sebelum Ramadhan al Mubarak.

Salam dari saya buat teman-teman sakalian, dan terimakasih di atas pesanan-pesanan. Semoga keberkatan Sya'aban masih bersama kita dan tidak pula kita leka dan lalai dengan tidak mengambil peluang yang diluahkan Ilahi dengan Rahmah-Nya pada bulan ini.

Insha Allah akan saya menjawab komen-komen dan akan saya panjangkan pengalaman baru tentang usaha saya untuk membawa Chris dan rakan-rakannya ke pangkuan Islam.