Wednesday, April 29, 2009

Tindak atau Tidak




Satu hari lalu dan hari ini aku telah menerima dua mesej yang menarik. Agak menarik kerana secara kebetulan ada perkaitan antaranya.

Yang pertama adalah sms yang agak panjang dari temanku al ustaz di pedalaman Sabah. Yang kedua dari dua mel yang diterima pada petang tadi, tentang Prinsip 90/10 yang masyhur dari guru motivasi Steven Covey, yakni: '10% dari hidup anda terjadi kerana apa yang langsung anda alami; dan 90% dari hidup anda ditentukan dari cara anda bereaksi.'

Sms panjang dari al ustaz (nama-nama ditukar untuk keselamatan yang diperlukan), rengkasnya:

Dayang, berasal dari Semenanjung telah berkawin dengan Jack, seorang mualaf dari pedalaman Sabah. Jack berniaga kecil-kecilan di Pahang. Pada tahun 2004 Dayang, yang sedang mengandung pulang ke kampung suami bersama anak perempuan berumur 2 tahun untuk jaga mertua yang sakit. Suami tak pulang kerana bekerja dan belajar agama serta untuk menjimatkan perbelanjaan.

Setelah sekian lama di Sabah, Dayang tak dapat pulang kembali ke semenjung kerana masalah kewangan. Dia tinggal bersama mertua, abang ipar dan biras yang mempunyai 6 anak. Abang ipar adalah pastor di SIB. Rumah mereka pula adalah pusat aktibiti SIB.

Beberapa bulan berikutnya Dayang melahirkan anak ke-2 di Sabah. Abang ipar dan mertua sentiasa pujuk supaya Dayang ikut agama mereka dan anak-anak pula dibawa ke gereja setiap minggu. Kebetulannya seorang haji dari Indonesia telah masuk Kristian setelah penyakit kanser yang dihidapnya sembuh setelah disembahyangkan dan didoakan di gereja; dan lelaki ini kini aktif sebagai pendakwah kristian kerana keajaiban penyembuhan penyakitnya. Mualaf yang murtad juga ramai di sana, dan kalau tak murtad pun mereka sentiasa mabuk-mabuk. Bermakna Muslim di situ tak dapat diharapkan untuk apa-apa keperluan.

Dayang terpaksa membanting tulang empat kerat menebas hutan, tanam padi huma dan tanam sayur. Tetapi segala hasil menjadi milik keluarga. Jadi tak ada peluang baginya nak kumpul duit untuk kegunaan sendiri. Suami yang bergantung kepada komisyen jualan pula semkin merosot pendapatannya dan tak mampu kumpul duit untuk bawa anak isteri pulang semenanjung.

Mertua semakin bengis dan Dayang berasa mereka sengaja buat begitu untuk memberi tekanan agar Dayang ikut kemahuan mereka. Abang ipar membuat hukuman bahawa anak-anak mesti diasuh dalam agama asal mereka. Kalau Dayang keladang maka anak-anak mereka dibagi makan masakan babi dengan alasan anak-anaknya yang minta.

Akibahnya Dayang dan keluarga mertua bergaduh dan tegang sepanjang masa gara-gara agama. Aktiviti agama mingguan di rumah mereka, Dayang dipaksa masak dan melayani tetamu. Tak ada pilihan kerana tinggal dengan mereka.

Pengalaman mahal empat tahun ini membuka matahati Dayang. Dalam ceritanya kepada isteri al ustaz dengan loghat Sabah, "Sangat besar rahmat dan belas kesian Allah pada saya kerana titisan iman masih ada pada saya. Saya mau mulakan hidup baru."

Langsung saya memanjangkan sms ini kepada teman-teman dengan pesanan, jangan mencari penderma untuk jumlah yang banyak. Mencukupi sekadar RM10 setiap seseorang, kerana lebih ramai lebih baik. Jumlah yang dianggarkan tak lah banyak. Sekadar RM3000 untuk menguruskan segala keperluan logistik. Kini Dayang dan anak-anaknya sudah dibawa ke tempat yang selamat.

Seperti kata S Covey. Apa yang berlaku adalah kejadian langsung. Selebihnya menunggu tindakan kita.

Insha Allah Bunga Rampai akan menyebarkan maklumat tentang nomor akaun yang berkait. Bergantung kepada tindakan anda.


Saturday, April 25, 2009

Affandi Effendi




Hari itu aku yang dulu menantinya. Kalau kebiasaan, beliau menantiku. Bukan kerana tabiat ku yang suka datang lambat untuk pertemuan, tapi kerana tempat pertemuan, di KLCC (tempat kesukaannya) menjadi masalah bagiku. Jauh dari pejabatku dan selalunya sukar bagiku untuk keluar awal kerana akan ada-adanya saja tugas yang perlu diselesaikan sebelum keluar.

Mungkin kerana kebiasaan beliau menunggu, maka aku dipanggilnya 'Boss' dan aku pula memanggilnya Bro.

Terakhir aku bertemu Bro, dua bulan lalu. Untuk pertemuan yang diatur oleh seorang kenalan yang lain dan aku sama sekali tidak teragak akan berjumpa dengan beliau. Apabila aku masuk ke tempat pertemuan (bukannya di KLCC tapi di tempat lain), beliau dulu menyambutku.

"Boss. I have been wanting to see you,"

"Bro," sahutku, "ha, ha."

"Boss, it's Islamic banking. I need your input."

Dan kami berbual-bual. Seronok berbual dengan Bro ini. Apa saja yang dibicarakan, beliau pasti tak asing dengan maudhuknya. Aku menyebut tentang hasratku untuk meninggalkan perbankan tetapi menumpukan kepada projek-projek Bottom of Pyramid (BOP), dan beliau terus menceritakan tentang pengarang buku tersebut, Prahalad, dan kandungan kajiannya. Dan apabila ditanya oleh teman-teman yang berserta kami tentang BOP, beliau mengulasnya panjang lebar. Amat terperinci.

Dan hari itu kami berbual dari satu topik ke topik yang lain. Tidak teratur.

Hari itu pula beliau seolah-olah membongkar sejarah dirinya. "The King was under my care in school and university ....." dan apabila ditanya lagi tentang ehwal mereka ketika itu, banyaklah yang kami tertawakan. Beliau bercerita tentang waktu-waktu beliau menjadi MP termuda di Malaysia, tentang teknologi encryption yang terkini; dan langsung tak menyentuh tentang tajuk yang sepatutnya menjadi tujuan pertemuan kami. Bila ditanya tentang politik wang, yang menjadi perbualan umum yang hangat ketika itu, beliau mengulasnya satu persatu modus operandi setiap yang bertanding untuk jawatan MKT Amno.

"Betulke Bro?" aku mengusik.

"Look here Boss, I have 50 bahagian under me from SXXXX. I am negotiating with those candidates on how they will decide."

Dan banyak lagi yang dibicarakan. Sehingga aku terpandang jam dan cepat-cepat meminta diri, kerana 'Asar sudah larut.

Sebelum aku beredar, "Boss, let's do a project together," pesannya.

"Buat apa Bro?"

"Tanam betik. Fantastic return. Senang. We just need three Banglas," dan beliau mula menerangkan apa yang berkait dengannya.

Hari itu, selepas pertemuan dulu, aku kali ini yang terawal. Mesej yang aku terima sehari sebelumnya, "The jenazah will be leaving our house at 9.30 and will proceed to Jalan Ampang.". Malah aku yang terawal di perkuburan Ampang, tempat yang dimaksudkan.

Tepat jam 10.05 jenazahnya tiba. Affandi TMFS. Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un. Aku kehilangan seorang kawan yang sungguh baik hati. Amat berendah diri. Hari itu, pagi Jumaat, beliau disemadi tak jauh dari KLCC, tempat kebiasaannya.

Apabila diimbas kembali cerita-cerita yang almarhum memaklumkan dua bulan dulu, terlintaslah padaku tanda-tanda akhir seseorang. Jelas sekali.

Semoga ruhmu dicucuri Allah dengan rahmat dan maghfirah-NYA. Dan hari ini sudah 11 hari pemergianmu.


Nota: Effendi = Encik (b. Turki)