Powered By Blogger

Friday, June 13, 2008

Qarafa




Qaf antara Qaf; K antara K dan C antara C.

Qal’a atau Citadel yang berdiri megah bertentangan Bukit Muqattam di ‘Ummud-Dunia (Ibu kepada dunia), nama gelaran bagi Kaherah, adalah pemisah antara dua kawasan perkuburan yang luas. Qarafa. Begitulah nama kawasan itu, yang merupakan sebuah necropolis atau city of the dead. Justeru Qal’a antara Qarafa. Kubu (pertahanan) antara kubur dan Citadel antara cemetery.


Di Qarafa, terdapat mungkin berjuta petak-petak perkuburan yang di khaskan untuk keluarga-keluarga yang bergalurkan kepada penduduk asal Kaherah. Qarafa malahan sudah wujud sewaktu kedatangan Ibn Battuta ke Mesir (1326). Pada catitan Ibn Battuta ketika beliau tiba di Kaherah, Qarafa sudah berusia 700 tahun! Bermakna wujud semenjak zaman Khalifah Amr ibn ‘As (seorang sahabat Rasulullah Sollahu ‘alaihi wassalam) lagi. Disebabkan ianya tidak jauh dari Fustat, bandar yang dibuka oleh Khalifah Amr Ibn ‘As, dan dari kawasan-kawasan kediaman yang lain; dan kerana terletaknya pula Qal’a di tengah-tengah kawasan perkuburan maka timbul pertanyaan pada diri saya, “Adakah Qal’a ini asalnya perkuburan untuk tentera-tentera yang mati dalam peperangan menaklukki Kaherah, dan / atau yang tewas dalam serangan untuk menaklukki Qal’a?”

Semenjak lebih dua puluh tahun dulu Qarafa bukan hanya merupakan taman persemadian untuk yang telah kembali menuju Khaliq; juga tempat penginapan bagi pendatang-pendatang dari luar kota yang mulanya hidup melarat. Memang senang untuk berqariah di Qarafa, kerana keluarga-keluarga si mati telah membina bangunan yang berkubah indah serta tembok-tembok untuk memagari kawasan perkuburan keluarga mereka. Dan dengan demikian sesuai sekali tempat-tempat ini untuk dijadikan rumah-rumah. Kecuali peralatan, semuanya telah lengkap. Sememangnya begitulah.

Qal’a atau Citadel menjadi pemisah antara perkuburan utara dan selatan.

Maqam Imam Syafie letaknya di Selatan. Berbeza dengan di Utara, kawasan ini kini kurang beraktiviti kerana ianya keluar sedikit dari laluan raya.

Imam Syafie dilahirkan 150 setelah Hijrah Rasulullahi sollalahu ‘alaihi wassalam dan namanya adalah Abu 'Abdullah Muhammad Ibn Idris Ibn al-Abbaas Ibn 'Uthman Ibn Shaafi' Ibn al-Sa'ib Ibn 'Ubaid Ibn Abd al-Yazid Ibn al-Muttalib Ibn Abd Manaf. Abdul Manaf adalah ninda kepada Rasulullah.

Selain sebagai seorang ulamak yang terkenal, beliau juga seorang penyair yang masyhur, dan syair-syairnya dikumpulkan dalam kitab Diwan Imam Syafie yang masyhur.

Terdengar di qalbuku bayt-bayt dari Diwannya sewaktu aku berdiri pada muka maqamnya:



واﺟﺐ وٲوﺟﺐ
ﻋﺟﭔﺐ وٲﻋﺟﺐ
ﺻﻌﺐ وٲﺻﻌﺐ
ﻗﺭﭔﺐ وٲﻗﺭﺐ


(Wajibun wa aujabu)
Wajib dan lebih wajib
('Ajiibun wa a' jabu)
Pelik dan lebih pelik
(so'bun wa as 'a bu)
Susah dan lebih susah
(qariibun wa aqrobu)
Dekat dan lebih dekat

واﺟﺐ ﻋﻟﻰ اﻟﻧﺎﺲ اﻥ ﻳﺗوﺐ
وﻟﮐﻦ ﺗﺭﻙ اﻟﺫﻧوﺐ اوﺟﺐ
اﻟﺪﻫﺭﻓﻲ ﺼﺮﻑ ﻋﺟﻴﺐ
ﻏﻓﻟﺕ اﻟﻧﺎﺲﻋﻧﮫ ﺃﻋﺟﺐ


Wajib atas manusia untuk ia bertaubat
(waajibun 'alan naasi aan yatuubu)
Tetapi meninggalkan dosa itu lebih wajib
(walaakin tarkiz zunuubi aw wajabu)
Perputaran masa itu sungguh menghairankan
(ad dahruu fii sorfii 'ajiibun)
(Akan tetapi) kelalaian manusia itu lebih menghairankan
(ghaflatuun naasu 'anhu a 'ajabu)

ﺍﻟﺻﺑﺭﻓﯥ ﺍﻟﻧﺎﺀﺑﺂﺕ ﺻﻌﺏ

واﻟﻓواﺓ اﻟواﻧﮫ ا

وڪﺎ ﺘﺭﺘﻲ ﻗﺭﯾﺐ

واﻟوﺕ ﺫا اﻗﺭ

Bersabar dari menghadapi malapetaka itu susah
(as sobru finnaa ibaati so'bun)
Mendapat ganjaran dari Allah Ta’ala pun amat susah
(wal fawaatus sowaabi 'anhu as 'abu)
Apa jua yang kamu cita-cita itu lebih hampir
(wakulluma tar tajii qariibun)
(Akan tetapi) maut itu lebih hampir dari segala-galanya
(wal mawtu dzaaka aq rabu)



Catitan di Zamalek, Kaherah
17 Mei, 2008


Tuesday, May 27, 2008

Masjid di Citadel







Ramai yang ke Citadel (Qala'a) atau Perkubuan atas bukit di mana letaknya Masjid Muhammad Ali, di Kaherah, akan memberi perhatian yang kurang kepada Masjid Nasir ibn Muhammad al Qalawun dari dinasti Mamluk, yang dibina 700 tahun dahulu iaitu 500 tahun sebelum Masjid Muhammad Ali dibina. Ianya mungkin tidak diberi perhatian kerana Muhammad Ali lebih besar dan hebat dari rupa-bentuknya. Meskipun Muhammad Ali terkenal kerana penggunaan alabaster yang menjadikan dinding-dinding dalamannya putih dan menarik, pada saya Masjid Nasir ibn Muhammad lebih menarik kerana ianya dibina dengan ciri-ciri dan penggunaan bahan yang lebih bersejarah.


Tiang-tiangnya dari bangunan zaman Firaun, Romawi, Qibti dan zaman-zaman Islam sebelumnya. Silingnya dari kayu cendana dari India yang masih kukuh dan rapi; dan pada tiang seri pintu utamanya masih ada jam matahari yang bertanda dengan garisan-garisan waktu solat. Ketinggian dan luas ruang solatnya pula memberi akustik yang membolihkan suara khatib didengari di setiap penjuru masjid dengan jelas. Ternyata ilmu pembinaan ketika itu tidak sepintar zaman Uthmaniah dalam pembentukan atap. Justeru, binaan sehigga ke zaman sebelum Uthmaniah, mempunyai ruang-ruang yang luas di tengah bangunan, dan atap bangunan disokong dengan kegunaan tiang-tiang yang banyak. Tiang-tiang yang menjadi penyandang rasuk-rasuk dan alang yang menyangga dan menyandang atap berkonkrit yang amat berat. Pembina dan arkitek Masjid Nasir ibn Muhammad walaubagaimanapun menggunakan bentuk gerbang-gerbang yang menarik pada tiang-tiang yang sebegitu banyak dalamnya, seakan-akan rupa tiang-tiang Alhambra.

Dan pada Masjid Muhammad Ali yang dibina, pada tapak yang hanya di seberang masjid lama ini, dan ketinggian kubahnya pula diletak pada paras yang dapat dilihat sepenuhnya dari ruang solat masjid Nasir ibn Muhammad. Bukan hanya berkubah besar, tapi kini mempunyai ruang dalaman tertutup yang luas. Begitulah pengaruh Byzantine pada seni-bina Turki.


Muhammad Ali berbangsa Albani (dari Albania) dan merupakan panglima perang yang pintar, dan binaan pada eranya pula terserlah pada tempat yang amat strategik meskipun kesemuanya dalam satu kawasan di Citadel.


Sewaktu saya bertahayattul masjid di Muhammad Ali, saya yakin permaidini usang di tempat sujud imam masih semerbak dengan attar yang sungguh luarbiasa wanginya dan tak mungkin sama sekali attar ini disapu pada zaman masakini.

Zamalek, Kaherah
May 17, 2008




Monday, May 19, 2008

Izayyak Kaherah




“Anda sekarang di mana?” aku ditanya pemanggil. Dari teman sepejabat.

“15 Mei.” Sahutku.

“Tamam. Cuba tukar ke 6 Oktober. Pergi kesana, di sebelah kanan. Pasti akan terlihat.” Sahut beliau.

“Ya, ya, Kanan, kanan, kanan ….…. 6 Oktober atau 26 Julai?” aku keliru.

“Tidak tidak, jangan 26 Julai, tapi terus ke 6 Oktober,” perintahnya.

Ini bukannya menukar-nukar waktu melalui mesin-waktu (time machine) tapi tarikh-tarikh tersebut adalah nama-nama jalanraya di Kota Kaherah. Jalan-jalan dinamakan sempena sejarah tertentu. 6 Oktober misalnya - begitulah hari kemenangan pertama melawan Israel dan juga hari Presiden Sadat dipulangkan.

Aku di Kaherah untuk projek yang tak dapat ditolak. Meskipun dibiayai oleh badan dari Amerika. (Abangku berpesan, “Jangan pergi. Itu helah Amerika untuk mengutip data peribadimu”). Projek untuk membangunkan pasaran modal Islam di Mesir.

“Aku ke sini,” terangku kepada ketua projek, Francois, “bukan kerana bayarannya lumayan, tapi kerana aku berhutang sesuatu kepada negara Mesir.”

Dia nampak terkejut. “Hutang apa? Kenapa pula kamu berhutang kepada Negara ini?”

“Dari guru-guruku yang dari Mesirlah aku memperolehi ilmu perbankan Islam, sewaktu menuntut di Cyprus dan Kaherah dulu. Mereka telah bereksperimen dengan sebuah bank di Mit Ghamr, sebuah desa Qibti di sini. Bank ini meskipun kecilan tetapi berjaya membuktikan bahwa perbankan tak semestinya berlandaskan riba. Sayang, mereka akhirnya ditangkap dan diseksa di penjara kerana berada disebalik pagar yang berlainan dari pemerintah sosialis ketika itu. Sebelum aku juga meninggalkan dunia ini seperti mereka, maka sekurang-kurangnya aku dapat meletakkan ilmu yang mereka asaskan pada tempat yang tertinggi di negara ini. Negara asal mereka.”

Ya, mereka, Dr. Ahmad Abdel Aziz El Naggar dan teman-temannya yang lain telah mempelopori perbankan Islam. Hari ini aku dengan bangganya mengajar pula pegawai-pegawai kanan kerajaan Mesir, ilmu yang dianggap berbahaya beberapa lama dulu. Mereka bukan setakat kagum dengan kemajuan dunia perbankan dalam bidang ini, tetapi lebih kagum kerana yang mengajarnya sekarang bukannya orang Arab. Tetapi yang mengkagumkan diriku adalah saranan ini disahut oleh kerajaan Mesir kerana ianya datang dari kerajaan Amerika, dan bukannya dari dorongan keimanan mereka. Semoga Allah SWT meletakan anda sekalian wahai guru-guruku pada taman jannah antara kalangan yang amat dikasihi-Nya; dan mengharumkan nama dan kubur kalian dengan kasturi yang menyegarkan dari Jannah.

Kaherah jauh telah berubah. Bunyi bunyi hon dari kenderaan jauh amat berkurangan. Keadaan lalu-lintasnya sudah berubah kepada yang lebih efisyen. Jalan-jalan pintasan banyak. Dan kerana telah kehabisan tarikh-tarikh untuk dinamakan jalan, maka ada yang dipanggil Autostrad. Hanya Autostrad. Nama yang sungguh asing bagi Mesir. Walau bagaimanapun orang-orang Kaherah masih ceria. Susah pun ceria, senang pun ceria. Inilah juga yang menarik temanku Idris Tawfik , mantan paderi Katolik yang kini menjadi mubaligh Islam untuk menetap di Kaherah.

Yang paling dibenci di Kaherah adalah pemandu teksi yang suka mencekik darah pelancong. Hari pertama ketibaanku, aku menahan sebuah teksi secara rambang, dan memberikan pemandunya destinasiku. Empat tempat yang berjauhan dan harus melalui jalan-jalan dan liku-liku yang sesak.

“Berapa?” tanyaku.

“Demi Allah, bayarlah sebagaimana yang anda fikir sesuai.” Jawabnya.

Dan ternyata beliau, Ashraf Saad, sungguh jujur. Tak banyak kerenah, dan tidak pula membantah. Pada kali kedua aku menempahnya, beliau yang mengaturkan arah tuju. “Kini sudah hampir Zuhur, kita ke El Manial untuk melihat istana Farouk (tapi dukacita tak dapat masuk disebabkan masih dalam pembaikkan) dan sebelumnya kita bersolat dulu di Masjid terdekat. Kemudian kalau perlu kita makan atau minum.” Dan setelah beberapa tempat yang diziarahi, sebelum pulang, beliau bertanya lagi, “ Mau tak singgah di masjid mana-mana untuk bertahayattul masjid lagi? Ahh ….. itu Sayyidah Zainab”, sambil menunjuk arah beliau pun berpusing melawan arus untuk memintas jalan. Beginilah cara memandu di Kaherah. Tapi Alhamdulillah, satu lagi penyaksian sujud-sujud bagiku di bumi Kaherah.

Kaherah tua sudah hilang keunikannya. Sudah berkurangan mereka yang berpakaian gamis hapak dan kotor. (Mungkin kerana generasi ini sudah ramai yang telah kembali kerahmatullah). Kebanyakan sudah berpantalon dan berjean. Keledai dan kuda-kuda yang menarik kereta pun sudah berkurangan di jalan jalan Gawhar al Qa’id atau Al Mu’izz atau dimana-mana disekitar Makam Sayiddina Hussein. Kereta-kereta sudah moden. Ada Fiat asli dari Itali (kerana dulunya Fiat di Mesir, adalah tiruan dari yang diimpot dari Italy) dan Speranza dari Cina. Ramses, kereta nasional mereka sudah lama pupus. Apabila aku bertanya tentang Ramses, teman-temanku ketawa, “Ahh anda ternyata sudah tua!”

Mesjid-mesjid tua riuh rendah dengan pelancong. Masjid Ahmad Ibn Tulun, yang dibina sekitar 1130 tahun dulu (dibina 876 -879 AD), sunyi sepi dari zikrullah. Hanya suara pelawat-pelawat non-Muslim yang berlari-lari dalam ruang solat yang nyaring kedengaran. Pelawat menjadi bebas di tempat-tempat warisan sebegini kerana yang membaik pulihkannya adalah dari tabungan UNESCO atau badan-badan warisan dunia yang lain. Tidak lagi dari dana waqaf. Justeru mereka yang menentukan apa yang perlu untuk mengimbohkan pelaburan mereka.

Kelihatan ruang-ruang solat, batu-batu tiang dan tembok di Ibn Tulun membisu sepi kerana kejutan kepada keadaan. Jauh sekali perbezaan kegunaan masakini masjid ini dari tujuan asalnya sebagai tempat ibadat dan madrasah. Begitu juga Madarasah Sultan Hassan ibn al-Nasir Muhammad (dibina 1356 – 1363) di Medan Al Qal’a. Masjid ini mempunyai empat serambi ilmu untuk mengajar dan membahaskan ilmu fiqh mengikut mazhab-mazhab empat. Kini ke empat-empat serambi sepi membisu. Di luar, yang dibahaskan adalah bahwa yang diberikan pelancong jauh sudah amat tak memadai dengan hasrat keinginan hati mereka. Tapi Imam Syafie masih kuat pada ingatan mereka yang di sekitar madrasah ini. Bukan diingati tetapi kerana ketinggian maqam ilmunya tapi kerana maqam peresemadiannya yang tidak jauh dari situ. Dan mereka bila-bila saja ingin menawarkan diri untuk menjadi pemandu pelancong ke sana. Bukan kerana ikhlas tapi kerana kemungkinan untuk mendapat habuan yang baik.

Di Maqam Imam Syafie, kelihatan beberapa wanita tua menunggu di luar bangunan, menanti-nantikan rezeki luarbiasaan. Mereka tahu, ini destinasi tetap pengunjung dari Malaysia, dan kebiasaannya pengunjung-pengunjung ini amat bermurah hati. Hingga pada ketika aku di sana, ada antara mereka yang masih menyimpan Ringgit Malaysia yang disedekahkan, kerana tak tau apa yang perlu dibuat dengannya. Kesian mereka, bila di fikirkan kembali. Apa lagi cara untuk hidup di daerah yang penuh kemiskinan ini. Daerah ini sebenarnya adalah daerah perkuburan, dan kerana kemiskinan, mereka menjadikan kawasan-kawasan kubur sebagai tempat tinggal. Uniknya di Kaherah, ada yang tinggal di kawasan perkuburan dan ada pula di tempat pembuangan sampah sarap.

Imam Syafie tersohor sebagai ahli fiqh, tapi tak ramai yang menyedari bahwa beliau juga tokoh perubatan yang terkenal. Setibanya Imam Syafie di Mesir dulu, beliau telah diajak berdiscourse tentang ilmu perubatan oleh pakar-pakar Mesir. Pada akhir majlis, beliau diiktiraf sebagai ahli perubatan yang amat tertinggi ilmunya.

Aku sungguh khusyuk di Imam Syafie, seolah-olah hari itu ruang hanya dibuka untukku kerana tiada pelawat-pelawat lain yang tiba. Imam Syafie bersebelahan dengan bapa saudara kepada Sallehuddin Al Ayyubi serta seorang anak raja dari zaman Abbassid dulu. Hanya tiga maqam di situ. Dan pada malamnya, setelah kepenatan dari seharian berjalan, aku dikejutkan dengan bunyi suis lampu meja di sebelah katilku yang dipetik, lampu dinyalakan dan suruhan kepadaku untuk bersolat isya’ kerana sememangnya aku belum berisya’. Aneh kerana aku berseorangan di kamar, dan aneh lagi kerana setelah aku keluar dari bilik air selesai berwudhuk, lampu yang tadinya bernyala sudah terpadam.

Inilah Kaherah yang penuh keistimewaannya. Datanglah dan pasti anda akan kembali lagi. Ada sahaja sebab untuk kemari. Untuk membeli sebiji kitab kuning di sekitar Al Azhar atau untuk bersantai-santai di meja-meja teh tempat langganan kebiasaan sasterawan Naguib Mahfouz (almarhum) di Khan al Khalili, atau untuk memanjat menara Masjid Ibn Tulun. Sebab yang tak dapat sekali diterima oleh akal seseorang. Sebagaimana pesan kawan sekuliahku dulu, Emaad. “Minumlah air Nil dan pasti anda akan kembali.” Dan jawapanku, “Untuk apa? Untuk merana di Kaherah yang penuh dengan kesusahan?”

Dan kini aku kembali ke Kaherah untuk kali ketiganya.

Sayangnya kali ini seorang guruku yang terputus hubungan semenjak dua tahun lalu, sudah tidak ada jawapan pada panggilan ke taliponnya. Mahgoub Mohamed Mahgoub. Al Fatihah bagimu.

Masih segar pada ingatanku, satu waktu dulu aku bertanyamu, “Apa khabar sepupumu Mohammed di Shobra?”

“Alhamdulillah, beliau meninggal.” Rengkas jawapan darimu.

“Alhamdulillah? Kenapa Alhamdulillah?” aku menjawab protes.

“Bukankah tujuan kita untuk menemui yang dikasihi? Allah SWT! Maka Mohammed kini sudah ke alam itu.” Tegas jawapannya.

Apa lagi yang perlu atau patut aku bertanya. Manusia yang mengasihi Allah akan bercita-cita untuk bersama-Nya.

Alhamdulillah ‘ammi Mahgoub, anda juga kini selamat di sana. Wa inna insha Allah, aku kelak juga akan bersamamu.


Zamalek, Kaherah
May 9, 2008




Sunday, April 27, 2008

Tanah Kubur




Hari ini kami berkumpul di padang. Hampir kesemua kaum keluargaku yang berada di KL dan Selangor. Yang tertua dan yang termuda antara kami. Hampir kesemuanya. Tak mengendahkan panas dan lumpur. Ada yang berselut pada badan dan pakaiannya dan ada yang hanya pada kakinya. Begitulah. Dan meskipun tak ada ruang berteduh yang luas, kami berkumpul di tengah kepanasan matahari tengah hari untuk bertanya kabar, dan bertukar-tukar nombor talipon atau alamat. Bukan selalunya dapat berkumpul sebegini. Hanya bila ada kematian. Hari ini kami meyemadikan ibu saudara kami, adik kepada ayahku di Perkuburan Ibu Kota KL. Inna lillahi wa inna ilahi raaji’un.

Hampir keseluruh usianya almarhumah bukannya bermastautin di KL. Hanya pada sisa-sisa usianya sahaja dibawa ke sini untuk memudahkan penjagaannya. Tetapi itu hanyalah sebab. Sebagaimana riwayat at-Tirmizi yang menyebut sabda Rasulullahi sollahu ‘alaihi wassalam:

Apabila Allah memutuskan seseorang hamba mati di sebuah tempat, maka Allah akan menjadikan orang itu mempunyai hajat di tempat itu.*

Dan pada suatu hadith yang diriwayatkan oleh al Dailami secara marfu’, menyebutkan Rasulullahi sollahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Setiap yang diperanakkan yakni kanak-kanak, ditaburkan pada pusatnya (tanah) daripada tanah kuburnya. Maka apabila dia mati dikembalikan dia kepada tanahnya.*

Secara kebetulan juga semenjak bulan Mac lagi saya diperingatkan tentang mati beberapa kali. Kematian beberapa teman karib yang pergi tanpa sakit yang berlarutan. Bermula dari Habib Hassan Khatib. Dan terakhir hanya beberapa hari lalu, saya menerima sms dari seorang teman dari KB, “Whenever we met, Haji Mustaffa Wahab always inquired of you. But last Friday 18 he never did. He died. ” Innalillahi wainna ilahi raaji’un. Sebelumnya Akbar Zainal Abidin yang juga dari KB, hanya dua hari sebelumnya menyatakan kepada saya, “Ambo segar doh. Jjale pon kuat doh.”

Jarak waktu kematian antara ayah dan ibu saudara saya, yang merupakan dua beradik yang begitu akrab, hampir 6 tahun lamanya. Tetapi tak sekali-kali kami menyangka yang mereka ditakdirkan disemadikan pada perkuburan yang sama. Ayah di lot kubur 6660 dan almarhumah 9802. Begitulah persuratan.

Allahumma firlahum warhamhum.

* Kasyful Ghummah: Sheikh Daud al Fatani





Thursday, April 10, 2008

Kenangan Makan Goreng Pisang

Pagi itu (dalam tahun 1999) Dr. Rosli bergegas menemui saya yang baru tiba di pejabat.

"Hang sibuk tak?" Sebelum sempat menjawab, "Ana tak dak kereta pagi ni, boleh tak kita pi ke Parlimen sat?" Beliau bukan orang Penang tapi begitulah gaya cakapnya, bercampur-campur ana dan hang dan dalam loghat Penang.

"Ada apa?" sahutku.

"Hari ni Parlimen mula bersidang. Ana nak jumpa Ustaz Fadzil sat." Mungkin ada sesuatu yang nak dipesankan kepada Ustaz Fadzil kerana Dr. Rosli ketika itu aktif dalam parti; mengetuai biro ekonomi.

Setibanya kami di Parlimen, bilik yang dikhaskan untuk MP pembangkang sudah penuh sesak. Ramai yang datang nak menemani MP-MP baru sebelum mereka masuk ke Dewan. Dan saya hanya tunggu di luar kerana tak mau menjadi nasi tambah pula dalam pertemuan mereka. Apabila loceng sidang berbunyi bergegaslah pahlawan-pahlawan baru yang akan pertama kali masuk gelanggang. Dari jauh saya memandang Ustaz Fadzil yang berjalan keluar dan masih dikerumuni kawan-kawan. Dan pandangan kami berpaut.

Ustaz Fadzil berpatah balik dan berjalan ke arah saya, dan kami berpeluk-pelukan. Katanya yang masih lekat di benak saya, "Kita dah menang." Begitulah. Rengkas.

Saya mengenali Allahyarham lama sebelum itu. Seringkalinya, setiap petang sekembali dari pejabat, saya singgah di Jalan Pahang, dan berbual-bual dengan teman-teman di Pejabat Pas. Syed, Ustaz Nakhaie, Pak Daeng, Subki dan lain-lain. Dan apabila Allahyarham berada sama, beliaulah yang bersusah payah menjamu kami dengan goreng pisang dan teh tarik yang dibeli Syed dari warong di seberang jalan hadapan Pejabat. Perbualan kami selalunya berkisar tentang menteri baru dari ABIM, yang latang dan bengis memerangi PAS ketika itu. Dan kami ketawa panjang apabila menilai keadaan betapa merebaknya lesen perjudian di waktu beliau gigih untuk meng-Islamkan kerajaan Malaysia. Dan PAS pula digelarnya parti kampung.

Itulah kenangan saya yang manis bersama Allahyarham.

Alangkah seronoknya sekiranya beliau bersama ketika ini. Selamat bersidang kepada ahli-ahli Parlimen Rakyat dan BN.

Saturday, April 05, 2008

Kerana Menangguh



Sejak kebelakangan ini kalau ke Singapura, saya tak berkesempatan untuk bersolat di Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Road serta menziarah seorang teman yang bertugas di sana, kerana tabiat suka bertangguh-tangguh. Dan apabila sudah ada waktu terpaksa pula ditangguhkan rancangan kerana ternyata sudah terlewat untuk menziarahi Habib Hassan al Khatib, petugas di Maqam Habib Noh , sebuah maqam yang terletak disebelah masjid. Habib Noh merupakan seorang waliullah yang tersohor di rantau ini.

Pagi tadi saya menerima sms

Sh. Hassan al Khatib, petugas Maqam Habib Noh di Singapura, telah kembali ke rahmatullah sebelum subuh tadi. Jenazah di blok 312 St. 33 Tampines. Solat di Masjid Sultan ba’da zuhur. Semoga Allah SWT merahmati almarhum. Al Fatihah.

Saya mengenali Habib Hassan semenjak lebih 20 tahun lalu. Seseorang yang penuh muhibbah dan amat meraikan teman. Sentiasanya selepas berdoa di maqam dan bersalam dengannya sebelum pulang, beliau akan memegang tangan saya dan berkata, “Tunggu akhi, ini, ambil pisang-pisang dan nasi. Bawa pulang.”

“Ana di hotel Bib, jangan bikin susah.”

“La’ la’ ambil. Ini barakah. Kasi kawan-kawan" desaknya.

Begitulah Habib Hassan. Tak pernah meminta, tapi sentiasa menghulur.

Semoga Allah SWT menempatkan roh beliau di taman yang indah, antara syuhadak dan auliya’. Allahummagh firlahu warhamhu. Allahummagh firlahu warhamhu. Allahummagh firlahu warhamhu.



Nota: Gambar Maqam Habib Nuh dengan ehsan LilMudPie


Thursday, March 13, 2008

Belumpun belum






Sesuai dengan nama belantara itu, Belum, maka begitulah keadaan pentadbiran politiknya. Belum. Belum berkerajaan. Belum berpakat. Belum mencukupi. Belum direstui. Segala-galanya belum.

Ternyata kali ini Barisan Unggas setelah berpuluh tahun menguasai belantara, kalah dalam pemilihan suara untuk menubuh kerajaan baru. Taklah kekalahan yang teruk sangat, tetapi tidak memadai untuk menubuh kerajaan untuk penggal baru ini. Barisan lawannya yang secara kumpulan mempunyai jumlah suara yang jauh melebihi Barisan Unggas masih belum bersepakat. Sekejap pungguk yang dicadangkan menjadi ketua, meskipun pungguk tidak mempunyai majoriti antara mereka. Sekejap layang-layang yang diutarakan. Kumpulan ini berjaya mengaut jumlah undian yang melebihi pungguk. Akan tetapi bersungguh-sungguh pula ciak dari kumpulan ciak cauvinis yang mendesak supaya mereka mengepalai kerajaan belantara di sebabkan mempunyai majoriti yang terbanyak antara mereka. Meskipun undang-undang belantara hanya menetapkan kriteria seseekor kepala kerajaan mestilah dari jenis pemastautin asal belantara, ciak masih bertegas. Ciak tidak memenuhi syarat ini kerana merupakan unggas migrant, dan bukannya unggas tempatan. Mereka bermigrasi kabarnya dari sejauh negara Siberia.

Kecoh jadinya Belum. Setiap hari unggas-unggas lain bergegas ke istana raja belantara untuk menyaksikan upacara penobatan kerajaan baru, tetapi ternyata kecewa. Sepatutnya urusan ini sudah diselesaikan kelmarin, tetapi apabila penasihat agong sang ciak cauvinis membantah pemilihan pungguk, acara tertunda lagi. Begitulah permusuhan ketara antara ciak dan pungguk. Sebabnya hanya satu. Pungguk mempelopori pelaksanaan undang-undang yang tegas keatas unggas penjenayah. Tapi ini dibantah ciak kerana asalnya merekalah kepala penjenayah. Mencuri-curi padi dan tanaman manusia. Malahan mencuri juga makanan unggas lain. Begitu adalah budaya ciak biasa. Apatah lagi ciak cauvinis.

Tadi pungguk bermesyuarat lagi untuk mencari jalan keluar.

“Kita mesti mengepalai kerajaan belantara ini,” tegas presiden pungguk, dari yang tertua antara mereka, dan berkepala pun sudah putih.

“Tapi kita bukan majoriti,” tegas seekor pungguk lain “kita hanya menumpang kemenangan unggas-unggas lain, terutamanya ciak cauvinis!”

“Tak menjadi hal,” tegas presiden lagi, “ini agenda kita. Dok payoh peduli mereka. Mereka sesat. ” katanya dalam pelat yang berbeza dari pungguk Belum.

Dan teruslah mereka berbantah dan berpolemik.

“Oook ook ook,” kedengaran sayu laungan pungguk dari sedahan durian berhampiran. “Dengarlah daku. Aku banyak mengembara dan izinkan aku berkongsi bersamamu apa yang aku perhati dari kalangan manusia. Ook ook ook.”

Terdiam presiden pungguk. Tersentak pungguk-pungguk lain. Segala perhatian ditumpukan kearah dahan durian tadi.

“Ya, ya ceritakan!” laung pungguk-pungguk muda yang masih belum berkepala putih.

“Ehem, ehem,” pungguk dari mulakan, “manusia pun serupa kita. Mereka mempunyai sistem apa yang dinamakan demokrasi. Dan apa yang kita mengalami juga dilalui mereka. Persis seperti keadaan kita.”

Semua pungguk terdiam.

“Dan ada antara mereka yang mempunyai fahaman atau anutan ruhani yang menjadi landasan fikiran atau fikrah mereka.”

“Ya ya, ook ook ook,” sambut pungguk-pungguk muda tadi.

“Yang aku dengar, apa yang mereka berhujjah begini bunyinya.” Pungguk tadi yang kelihatan bijaksana menyambung. Kali ini dengan lebih tegas bunyinya. “Buat apa kita dalam barisan eh ini. Bersuara seorang yang agak pertengahan umur antara yang hadhir. Tak pastilah apa yang dimaksudkan dengan barisan eh, tapi biar aku teruskan.” Rayu pungguk itu.

“Barisan eh ini tak mempunyai prinsip yang berlandaskan anutan keruhanian. Sambung orang tadi. Tak seperti kita. Kita mempunyai dasar dan prinsip duniawi dan ukhrawi. Bezanya pula dengan barisan en, iaitu barisan yang telah kita kalahkan adalah mereka mempunyai kecenderungan kepada duniawi. Bezanya mereka dengan kita adalah dalam pengamalan hal-hal ukhrawi mereka agak liberal. Dan dalam keadaan sama-sama tersepit ini, mari kita membuat pilihan. Untuk kekal dalam Barisan eh dan menjadi boneka kepada puak cauvinis yang memegang majoriti antara kita, atau bersaing degan Barisan en yang kemungkinan besar dapat kita kawal?”

“Ketika itu,” pungguk itu teruskan ceritanya, “tak ada orang yang membantah. Mungkin mereka cuba memahami apa yang disarankan.”

“Tiba-tiba bangun melenting seorang dari hadhirin, yang agak tua kelihatannya, sambil melaung ‘bantah, bantah’. Dan semua perhatian tertumpu kepadanya. ‘Ini bercanggah dengan agama kita, bersekongkong dengan musuh.’ Tiba-tiba majlis menjadi panas. Ketika itulah ramai terdengar suara-suara yang membantah. Tapi yang menyarankan usul awalan tadi hanya diam. Dia membiarkan keadaan reda kembali.”

“Musuh? Siapa musuh? Bukankah ada terdapat puak cauvinis yang juga musuh ketat kita dalam Barisan eh?” pungguk itu meneruskan cerita. “Mereka sebolehnya mau menghapuskan kita. Tapi Barisan en taklah begitu teruknya. Hanya mau kita leka dalam amalan kita. Melebihkan hiburan dan acara-acara yang melekakan.”

“Sambungnya lagi.” Pungguk itu meneruskan ceritanya. “Saya, eh eh ana pun ada hujjah juga. Pertama: Ad dharurah tubiihul mahzhurah. Keperluan mengizinkan apa yang tidak diizini dalam keadaan dharurah. Kedua: Umum balwa. Yang memberi manfaah yang melebihi kepada masyarakat, diutamakan. Ketiga: Maslahah ‘ammah. Iaitu maslahah atau kepentingan umum. Apa tak mencukupikah hujjah-hujjah ana? Sambungnya. Apakah, katanya, kita mengenepikan hujjah fiqah ini semata-mata untuk memenuhi dendam kita. Akhirnya siapa yang rugi? Kita yang rugi. Barisan eh, ternyata tak ambil pusing tentang matlamat keruhanian kita, malah membencinya, dan Barisan en taklah setakat membenci, tetapi hanya tidak mau melebihi dalam pengamalannya. Manakah yang lebih afdhal. Berkerjasama dengan pihak yang ada persamaan atau bersekongkol dengan musuh yang ketara?”

“Dan sebaik dia bersuara, orang tadi pun bangun dan keluar dari majlis. Tak taulah kesudahannya tapi intisarinya, ini adalah satu iktibar yang baik bagi kita.” Begitulah tegas pungguk tadi. “Oook oook ook.”

Dan kehari ini Belum masih belum. Hari ini majlis dibantah lagi. Kali ini oleh layang-layang pula, setelah ciak cauvinis mulai berlembut.

Mungkin esok atau lusa unggas dan manusia akan berjaya mencari jalan keluar.







Saturday, March 08, 2008

Contengan




Tadi aku ke sekolah di depan rumahku; sekali lagi kesana selepas empat tahun.

Bukan untuk bersekolah tapi untuk mengundi.

Apa yang mengejutkan aku adalah grafiti yang banyak diconteng pada dinding pemisah antara kelas-kelas. Pelbagai grafiti yang tertulis dengan dakwat kekal. Kenapalah kecomokan ini dibiarkan. Fikirku. Adakah guru-guru atau petugas-petugas tak terkeleh akan cakaran-cakaran ini dan sekiranya ia, adakah ianya tidak menyakitkan pandangan mereka?

Dan antara grafiti-grafiti itu apa yang tertera di dinding belakang meja petugas SPR mengejutkan aku.

"Mau janda best? Taip ON JANDA dan hantarkan mesej ke 019-XXXXXXX"

Aku kurang pasti kualiti murid apakah yang dijanakan dari sekolah ini.


Thursday, March 06, 2008

Hujan Kertas




Masyarakat di semak samun kebelakangan ini dalam keadaan cemas. Tempat tinggal mereka banyak dicerobohi. Terutamanya pokok-pokok buluh tempat tinggal ciak dan tempat berteduh merak. Licin jadinya rumpun-rumpun buluh ditebang manusia. Hal ini diluar pemikiran masyarakat unggas. Kenapa tiba-tiba manusia berminat dengan buluh. Tiba-tiba berduyun-duyun mereka berkunjung untuk menebang buluh-buluh yang ada.

Unggas bermesyuarat lagi.

"Kenapa dengan manusia-manusia ini," tanya ciak.

Kesian nampaknya ciak kerana semenjak masyarakat mereka teralih dari tempat tinggal kebiasaan, telah timbul perseteruan antara mereka. Begitu juga dengan merak yang terpaksa lari mencari tempat perteduhan yang lain. Dan juga gagak, yang tak sunyi dari gangguan manusia yang mencerobohi kawasan-kawasan gagak dengan membentangkan rintangan plastik yang berwarna biru muda dan tua dan juga hijau dan merah. Rintangan ini menyekat ruang penerbangan gagak, dan tak kurang pula yang terlanggar dengannya dan telah cedera atau mati.

"Tak taulah aku,"balas merak, "tapi dari apa yang aku fahami mereka mempunyai masalah seperti kami juga kaum merak. Ada manusia yang mengakui bahawa mereka pemastautin asal tempat ini, jadi sepatutnya mempunyai hak yang lebih. Macam kami jugalah, kaum merak. Kami yang bertempat hanya di bumi kerana tak berupaya untuk terbang, mestilah mempunyai hak yang lebih keatas bumi ini. Kamu ciak dan gagak boleh terbang dan tempat-tempat kamu di merata-rata. Kamu lebih berkeupayaan."

Dan bermulalah perbalahan antara mereka. Masing-masing menuntut hak yang lebih. Unggas-unggas yang lain yang tak mau mencampuri barisan burung itu, mencari jalan keluar. Mereka pergi ke burung yang dianggap lebih bijak. Seekor murai tua menjadi pilihan mereka kerana pada mereka murai sentiasa gembira. Sentiasa bernyanyi-nyanyi.

Murai mendengar saja ulasan dan keluhan unggas-unggas tadi dan akhirnya bersuara.

"Dengar pandanganku," kata murai dengan penuh bijaksana. "Aku sudah tua dan sudah arif dengan tabiat manusia. Apa yang kamu saksikan, iaitu pencerobohan semak samun kita ini dan rintangan-rintangan kain yang berwarna-warna ini akan membawa petanda yang mungkin tak baik. Itu namanya tanda gelombang yang membawa kekuatan yang luar biasa. Gelombang biru, gelombang merah, gelombang hijau dan pelbagai lagi. Gelombang ini membawa perpecahan kepada manusia. Akan tetapi gelombang yang akan berkuasa akhirnya akan di dahalui oleh hujan. Bukan hujan air dari langit, tapi hujan kertas yang beraneka saiz dan bentuk. Hujan ini nanti akan menjadi perebutan antara mereka dan ramai akan mabuk kerananya. Perhati sajalah, dan ambil iktibar darinya. Selepas hujan ini manusia akan kembali tenang, sehingga beberapa tahun."

Dan tepat sekali keesokan harinya turun dari langit hujan-hujan kertas. Ramai manusia yang berlari-lari mengejar hujan dan tepat sekali seperti kata murai, hujan itu menamatkan gelombang dan gegaran.

Segala-galanya terlupa. Dan ramai dari mereka kembali kekal dalam kesusahan.







SELAMAT MENGUNDI.
JADILAH PENGUNDI YANG BIJAK.
YANG DAPAT MENENTUKAN ANTARA HAQ DAN BAATHIL


Wednesday, February 13, 2008

Nombor 4




Khabarnya nombor itu penting.
Menjadi penentuan. Meskipun berkali-kali berkata tidak dan tidak*, akhirnya ternyata ia. Kerana telah difirasatkan kepada nombor.

Segala-galanya berdasarkan kepada kaedah feng shui.

Sekiranya penamatnya 4 maka mati lawan.
Begitulah.

Parlimen bubar pada 13 bulan 2. Jumlah angkanya? 6
Khabarnya penamaan calon oleh plesiden amnu pada 21 bulan 2. Berjumlahnya 5.
Dan khabarnya pula tarikh hari undian 1 bulan 3 yang berjumlah 4.
4 mati lo!!
Giliran pilihanraya: ke 12 - jumlah angka 3. Turutan dari 4.

Susunan yang sungguh teratur mengikut firasat feng shui untuk mengatur kemenangan. Bermula dari nombor yang hidup dan berakhir pada kematian.

Begitulah minatnya amnu dengan nombor.




Tak pasti sama ada mamat ini dari persidangan ke, dari kenduri kawin ke atau dari masjid. Tapi ternyata budaya yang digilap oleh amnu, memupuk cintanya pada nombor.

P.S.: Minta-minta dia hanya ingin menukar duit kecil untuk membayar parking. Atau mungkin dia hanya sopir dan tugasnya membeli untuk bosnya.

Nota:
* BANGI, Feb 12 (Bernama) -- Parliament will not be dissolved tomorrow to pave the way for the 12th general election, Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi said today.

"No, not tomorrow," he told reporters.




Thursday, February 07, 2008

Gongxi Gong





GONG XI FA CAI

kepada

Al Walid Low, Faisal Lee, Danyal, Ariff Hew, Taufik Kang,
Chris Chan, CH Goh, Syazwina, Rodziah Chin, Hodhori, Yahya Tung, Daniel,Talmisani, Kamal Koh, Zhulixin, Ahmad Johari, Kassim Koh,
dan ahli keluarga masing-masing

dan juga
teman-teman tionghua yang lain






Sunday, February 03, 2008

Barisan Burung











Hari itu gagak, merak dan ciak berkumpul lagi.

Mereka bersepakat untuk menubuhkan barisan untuk menguasai saki baki hutan belantara yang telah beratus tahun menjadi dunia mereka dan nenek moyang mereka. Asalnya hutan itu tempat asli bagi merak. Akan tetapi lama kelamaan tibalah pemastautin baru seperti ciak yang dibawa angin monson tenggara, dari benua utara; dan gagak yang dibawa khas oleh peladang-peladang British untuk menjaga kebun dari gangguan tikus dan lain-lain serangga perosak, dari pulau Serendib. Lama kelamaan mereka dapat atau cuba menyesuaikan diri dan di situlah mereka membiak dan hidup bebas.

Hanya kebelakangan ini kawasan itu telah dicerobohi oleh manusia dan kehidupan menjadi bertambah sukar. Dulu hutan dan sekarang semenjak pembalakan semakin bebas, kawasan itu sudah semakin menjadi semak samun. Bush, kata bahasa gomen. Kehidupan mereka lama kelamaan akan tertakluk kepada undang-undang semak. Law of (the) Bush. Tersekat dan tidak lagi sebebas dulu kala. Kawasan ragut menjadi bertambah sempit.

Maka terjadilah perebutan kawasan. Unggas-unggas menjadi semakin kasar tingkah laku mereka. Bermain jahat. Sudah mula mencuri dan mencerobohi kawasan.

"Kita mesti menawan kawasan-kawasan ini. Kalau dibiarkan burung-burung lain menguasainya, habis peluang kita untuk membolot hasil hutan." Kata merak, selaku ketua dan bertindak sebagai jurucakap kumpulan.

"Betul, betul,” kata gagak. “Kita main jahat sikit. Berak atas kepala mereka. Tugas itu, anda semua letakkan kepada kami kaum gagak."

Ciak yang hanya memikirkan pasal makanan dan peluang masa depan untuk menjadi penyorok makanan, mengangguk saja. "Bagaimana?" dia menyelit. Dia tidak begitu khusyuk dalam perbincangan kerana sedang memikirkan sesuatu. Tentang hal keselamatan kaum sejenisnya selepas peristiwa ketua mereka yang diskodeng sewaktu berdua-duan di celah dedaunan. “Celaka betul jurugambar National Geographic,” fikirnya, “nak bercumbu pun dah jadi susah. Tak ada tempat yang selamat dari lensa kamera mereka. Sudahlah di ambil gambar, dihebah-hebahkan pula di kaca-kaca TV dan wayang. Konon-nya kajian ilmiah.”

"Kita mengambil kuasa melalui pilihanraya, seperti manusia," kata merak, "kita berikan janji-janji manis; kita gemburkan kemajuan yang kita pasti bawa kepada alam burung; kemudahan, keselamatan...."

"Keselamatan macam mana?" bentak ciak, "Hari-hari anak-anak kita diracik atau dibunuh."

"Ya," sahut gagak, "banyak gagak-gagak yang menghadapi masalah sama. Hari-hari ditembak penguasa Bandaraya. Nak tidur pun jadi susah. Dan dulu kami dijanjikan bahwa Bandaraya disebelah kita."

Merak tak berkata apa-apa, “Padan muka, bukan setakat bising, jahat pula. Asyik mencuri-curi saja,” terlintas dibenaknya, “habis pokok-pokok yang lama, tua dan besar, dijadikan markas mereka. Konon-kononnya ruh-ruh raja dan dewa mereka bersemadi di sana!”

Semua terdiam.

"Ahhh... itu salah kamu," sergah ciak,"kaum kamu terlalu bising. Macam keling karam. Nak pulang petang pun riuh rendah. Berak pula merata-rata. Burung-burung lain pun tak selamat dari najis kamu." Ciak ni garang. Asyik membentak sahaja. Kadangkala takut merak dibuatnya.

“Tapi boleh ke kita menang?” Tanya gagak. “Kaum sejenis kamu banyak yang tak setuju dengan sikap kelembutan kamu.” Gagak mengajukan pertanyaan kepada merak.

"Mampukah kita mengatasi pengaruh pungguk yang asyik merindukan bulan itu, atau helang yang sepantas roket?" Ciak juga bertanya. Musykil.

“Kalau nak buat secara lurus bendul, mustahil kita akan menang,” jawab merak. “Kita tipulah sikit.”

“Bagaimana?” ciak mengerling tajam.

“Ya, bagaimana?” sambut gagak.

“Kita jangan beri mereka peluang untuk mengundi.” Perintah merak dengan tegas.

“Hah?” serentak keriau gagak dan ciak.

“Mana boleh begitu? Kan undi itu akan dijadikan hak semua burung dewasa?” Ciak menyoal.

“Setiap habis mengudi kita tandakan paruh mereka dengan warna kesumba atau inai.” Merak menjawab tenang.

“Tapi mereka tetap akan mengundi!” ciak bertanya hairan, “itu tak akan menafikan mereka dari mengundi.”

Gagak senyap. Terlalu sukar baginya untuk memahami kaedah ini. Yang gagak tahu hanya berak di kepala-kepala mereka. Senang.

“Kenapa kamu jadi bodoh?” sekarang merak cuba berlagak pandai. “Apa kesukaan burung-burung?”

“Padi” serentak ciak dan gagak.

“Nah itulah caranya. Kita taburkan padi yang direndam dalam sedikit air warna, jadi apabila mereka mematuk dalam air untuk mengambil padi, pastilah paruh mereka terkena air dan akan berwarna. Tidaklah serta merta tapi beberapa waktu kemudian pasti akan bertanda merah. Dan apabila mereka ke tempat mengundi, kita arahkan pegawai-pegawai yang bertugas menghalau mereka atas tuduhan bertujuan hendak menipu. Hendak mengundi dua kali!”

“Cip, cip..” ketawa ciak.

“Khaw, khaw..” sambut gagak.

“Tapi pasti akan terdedah juga.” Ciak mula berfikit serius.

“Jangan bimbang tentang helah. Banyak lagi caranya.” Merak jawab sombong.

“Bagaimana?” Gagak asyik bertanya saja tapi kurang menyumbang pendapat.

“Bulan depan, rakyat di bandar akan mengadakan pilihanraya umum. Kita lihat dan pelajari bagaimana mereka menipu.” Arah merak.

Semak samun di mana mereka sedang bermesyuarat bergegar dengan ketawa mereka.

.
.
.

Burung-burung lain yang di sekitar kehairanan tentang apa yang amat menyeronokkan ketiga ekor burung tadi. Tidak sekali-kali menyedari tentang komplot untuk menipu mereka.




Gambar:
Conference of the Birds: Farid-ud-Din 'Attar

Mantiq-ut-Thoyir, karangan ahli sufi tersohor Farid-ud Din ‘Attar, menceritakan tentang burung-burung, sewaktu dilanda masalah dan kekeliruan, megambil keputusan untuk melantik se-ekor raja, Simurgh atau burung phoenix. Pencarian mereka kepada yang layak menjadi Simurgh, membawa burung-burung tersebut ke 7 lembah. Tetapi kerana kesusahan yang mereka alami untuk mencari Simurgh sang raja, akhirnya hanya 30 ekor burung berjaya ke tempat tuju terakhir. Tetapi tiada Simurgh yang ditemui. Hanya mereka, yakni 30 ekor burung yang berada di situ. 30 ekor burung atau si-murgh (si=30 dan burung=murgh) sebenarnya itulah kekuatan yang dicari mereka; kejayaan yang dicapai setelah menghadapi segala kesusahan melalui pegorbanan, kecekalan dan keutuhan. Itulah timsal yang digambarkan Farid-ud Din dalam perjalanan menuju Allah.





Friday, February 01, 2008

Permintaan Ruh




Budaya Mesir berlainan dengan budaya kita. Apabila dikhabarkan tentang kematian, jawapan yang diterima adalah "Alhamdulillah". Ini mungkin akan memberi kejutan kepada masyarkat Melayu, seolah-olah kematian itu disyukuri. Mungkin kerana si mati itu amat dibenci, sangkaan pada si pendengar.

Apabila saya menyahut secara sama sewaktu menerima berita kematian Sohibus Samahah Datuk Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor yang disayangi ramai, reaksi yang diterima juga dengan ketidaksenangan. Lantas saya menjawab, "Syukur kerana almarhum tidak menanggung kesakitan yang lama; dan syukur kerana beliau pasti gembira menemui Khaliqnya."

Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un.
Allahummaghfirlahu warhamhu.



Ada dua permintaan ruh kepada malaikat. Pertama kepada malaikat maut, sewaktu nyawa akan dicabut,
"Tunggu sebentar, kerana aku ingin melakukan sedekah."
Begitulah besarnya fadhilat amalan sedekah, sehingga akan menyenangkan keadaan sewaktu akan mati.

Dan permintaan kedua, sewaktu akan disoal selepas mati,
"Tunggu. Hidupkan aku kembali kerana aku ingin beribadat."


Untung sekiranya kedua-dua diperkenankan! Tapi alangkah lebih beruntung sekiranya kedua-dua itu istiqamah dilakukan.



Tuesday, January 22, 2008

Reinkarnasi





Hari ini bukti teori reinkarnasi semakin kukuh. Yakni doktrin perpindahan ruh ka suatu jasad yang lain untuk mengelakkan kematian. Mengikut kepercayaan Buddhisma, ruh yang jahat berpindah kepada binatang yang garang seperti serigala atau ular sawa; yang baik kepada kucing parsi, mungkin.

Apabila Lingam menyatakan bahwa “Aku punya rupa, aku punya suara, tapi itu jugak itu bukan aku. Aku takda cakap sama itu Firooz punya orang. Yenadeei.” Untungnya kerana itu pegangan dan kepercayaannya. Mungkin Chua tidak. Kalau ia mempercayainya, pasti dia akan berhujjah sama seperti itu. Chua sebaliknya mengaku, “Itu gua lor, itu gua punya amoy, tapi aiyaa, itu celaka gua punya kawan kasi jual itu gua punya wayang.” Mungkin dia juga percaya tapi "Gua bulom mati lor, mana bolih gua sulah li-inkarnate!"

Inilah kemajuan yang membuka tirai tahun. Beberapa hari lagi kita akan masuk ke tahun tikus dan ternyata sudah menyerlah sifat ketikusan.

Demonstrasi jalanan akhirnya dieterima sebagai penyebab untuk mengubah dasar negara. Hari Rabu cuti. Yapedeei, yapedeei! Logiknya? Kerana kesesakan jalanraya.

Sebagaimana saksi minggu lepas, dalam kes Lingam, “Entri ini, saya tak ingat menulisnya. Mungkin qarin saya yang menulis. Bukan saya.”




Friday, January 18, 2008

'Asyura






Demi 10 Muharram,

Kesungguhan taubat
sehingga terampunnya Adam
dari kesilapan di Syurga;
Hilangnya zat kepanasan api Namrud
dalam kehangatan Cinta Ibrahim kepada Khaliqnya yang Esa;
Laut kehilangan gelora
serta terbelah dua di hujung tongkat Musa;
Firaun tetap hampa.

Kesejukan cinta Yusuf
mencelekkan buta yang menutupi penglihatan ayahnya;
Ayyub terubat
dari bala penyakit yang begitu terseksa;
Tenang cuaca dan surut air
hingga selamat mendarat Nuh dan ahli bahtera;
Yunus yang cekal dalam keimanan;
termuntahnya nun di pantai, bebas ia dari bahaya.

Hari ini hari kemenangan
Sambutlah dengan puasa dan kedermawanan.







Thursday, January 10, 2008

hijrah






“Wahai Ka’abah, kalaulah tidak kerana kaumku menghalauku, aku tidak akan meninggalkan kamu. Sesungguhnya aku berjanji akan datang kembali mendapatkan mu”

~ kata-kata nabi sewaktu akan berhijrah ke Medinah ~


Itulah permulaan Hijrah.

Kepiluan hujjaj adalah ketika usai tawaf wida’ kerana akan berpisah dengan Ka’abah dan akan sering merinduinya setelah berpulang kenegara masing-masing. Takut-takut tidak akan bertemu kembali.

Aduhai diri. Ketika menyambut tarikh Hijrah Rasul; ketika berlalunya tahun demi tahun; kepiluan menyelubungi diri dan terasa takut dan bimbang bahwa hari-hari yang berlalu atau tahun yang berundur akan membawa penyaksian yang memberatkan timbangan kiri.



Mujurnya ......

“Perbuatan dosa yang menimbulkan rasa rendah hati dan pengharapan kepada rahmat Allah serta pengampunan-Nya adalah lebih baik daripada perbuatan taat yang membangkitkan rasa sombong, ‘ujub dan bangga diri.”

- Al Hikam: Sheikh Ibn ‘Ataaillah As-Sakandari –





Sunday, January 06, 2008

oh my god!





Dalam mentasydidkan bahawa tiada tuhan (Ilah) melainkan Allah, kita menerima Allah sebagaimana yang didefinisikan dalam surah Al Ikhlas.

Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha Esa.
Allah adalah Ilah yang bergantung kepada-Nya segala urusan.
Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan.
Dan tidak ada suatu apa pun yang setara dengan Dia.

Allah itu Ahad atau tunggal. Tidak diperanakkan dan tidak pula mempunyai anak. Allahu Shomad: segala sesuatu bergantung pada Allah. Sebuah kedekatan yang berada pada wilayah tanpa batas. Allah tidak perlu untuk dihidangkan dengan limau atau pisang atau asap dari colok atau kelapa muda. Allah adalah khaliq dan makhluk bergantung kepadanya. Dan tiada sesuatu yang menyerupai-Nya. Itulah Allah.

Justeru takrif tuhan bukannya kepada Allah, secara umumnya. Bermakna kita tidak boleh mengunakan Allah sebagai istilah kepada tuhan kerana Allah dan tuhan tidak sinonimos.

Sewaktu Bahasa Malaysia mula dipinggirkan dalam kegunaan harian, terdapat kumpulan gereja yang berusaha keras untuk menggunakan Allah sebagai istilah kepada god dalam kitab-kitab mereka. Bukan kerana sayangnya mereka kepada Bahasa Malaysia atau Melayu, tetapi inilah jarum halus mereka yang ingin ditusukkan kepada orang Islam, untuk mengelirukan akidah. Mereka berkeras untuk menggunakan istilah Allah meskipun perkataan Allah itu sendiri asing bagi kitab mereka, baik di dalam Bahasa Armaic atau Hebrew. Antara nama-nama tuhan di dalam Injil, adalah Eloi. Misalnya:

From the sixth hour until the ninth hour darkness came over all the land. About the ninth hour Jesus cried out in a loud voice, "Eloi, Eloi, lama sabachthani?" ("My God, my God, why have you forsaken me?")

- Matthew 27:45-46, NIV -

Begitu juga seterusnya terdapat panggilan Shaddai, Elohim, Yahweh, El dan lain-lainnya dalam Perjanjian Lama. Memang sudah terdapat nama-nama yang khusus untuk tuhan yang mereka mempercayai. Tetapi tidak sekali-kali dengan panggilan Allah.

Dalam Injil yang diterjemahkan ke pelbagai bahasa, God dibahasakan kepada tuhan sebagaimana istilah yang digunakan di kalangan pembacanya. Misalnya: Dewata di Bali, Gusti di Jawa; Diyos di Filipina, Dio di Sepanyol, Tua Pek Kong atau Dai di China. Di negara-negara Arab pula, Allah digunakan.

Bermakna tuhan dalam Injil memakai nama yang di istilahkan kepada god, di tempat ianya diterjemahkan. Di Malaysia pula dicadangkan dengan nama Allah. Meskipun istilah god yang diterima secara umum di negara kita adalah tuhan.

Ulamak-ulamak Pas di Kelantan, menyokong penuh cadangan untuk menggunakan Allah sebegai pengertian tuhan dalam Injil, kerana mereka berpegang kepada kebiasaan di negara-negara Timur Tengah. Di mana Allah digunakan untuk dimengertikan kepada tuhan orang Yahudi dan Nasrani. Disinilah kekeliruan kita. Tak semestinya apa yang diamalkan oleh orang Arab itu betul. Kerana ini membawa Allah kepada takrif yang keluar dari apa yang dimaksudkan dalam surah Al Ikhlas. Usahlah kita perbahaskan di sini bahawa mereka ada hak untuk menggunakannya kerana mereka Ahli Kitab sebenarnya. Sikap yang menyokong penggunaan sebagaimana lumrah di kalangan orang Arab akan membawa kita pula kepada apa yang dimaksudkan sebagai reverse orientalism. Iaitu pendekatan kepada bukan Islam semata-mata untuk membina jambatan kepada mereka dan seterusnya, mengambil sikap toleransi yang berlebihan dalam pengamalan agama; dalam usaha untuk meredakan sikap hostiliti mereka terhadap kita.

Bayangkan nanti sekiranya pengunaan Allah dibenarkan. Di celah-celah kedai di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur. Di atas rumah urut dan bar. Terdapat papan-tanda ‘Gereja Perhimpunan Allah – Church of the Assembly of God’. Di belakang-belakang kereta terpampang “Jesus anak Allah adalah penyelamat”. Dan gadis-gadis Kristian di samping memakai lambang salib di dada mereka yang mendedahkan bukan setakat kepercayaan tetapi juga lambang seksualiti mereka, juga memakai loket yang bertulis dengan kalimah Allah. Adakah boleh dianggap salah kerana itulah kepercayaan mereka? Kita yang mengizinkannya.

Sekiranya sang-sang pendita di gereja masih berkeras untuk menggunakan kalimah yang menjadi hak mutlak penganut Islam, maka mereka mestilah menerima Allah dengan sebenarnya, ia itu dengan menolak kepercayaan kepada trinitas (al Maidah 5:73), dan bahawa Jesus bukanlah anak tuhan (An Nisaa’ 4:171 & Maryam 19:88-92). Antaranya.

Dan Tuhan itu bukannya makhluk sebagaimana yang digambarkan oleh Michelangelo; sebagai seorang tua dalam keadaan yang mengaibkan.

Orang-orang Yahudi amat berhati-hati dalam menggunakan perkataan ‘god’ dalam penulisan mereka. Meskipun nama yang lengkap tidak digunakan, apa saja ejaan yang bermaksudkan kepada tuhan yang mereka percayai ditulis hanya dengan “G_d”; dengan meninggalkan vowel “o” sebagai hurmat. Berbeza sekali dengan orang Melayu Islam yang tidak menghurmati langsung kepada ayat-ayat Koran yang dicetak dalam akhbar-akhbar. Kerapkali saya sendiri terjumpanya sebagai pembalut nasi lemak, dan dicampakkan ke bakul sampah selepas nasi habis dimakan!






Nota:
Khabarnya pada awalnya pi-em telah menyetujui hasrat gereja untuk menggunakan kalimah Allah, apabila Gereja Sabah mengugut untuk menyaman kerajaan. Tapi syukur kerana Rabu lalu, keizinan ini ditarik balik oleh Kabinet.



Friday, December 28, 2007

Dakwah di Pedalaman




Dua hari lalu saya menerima 4 sms yang panjang dari seorang pendakwah bebas, Saudara Abdul Halim Abbas, yang aktif di pedalaman Sabah. Kumpulan beliau amat gigih di sana bukan dengan tujuan untuk meng-Islamkan orang yang masih animis, akan tetapi semata-mata untuk mendidik mualaf-mualaf di pedalaman yang sudah lama tertinggal dan terlupa oleh pentadbir-pentadbir agama Islam. Saya paparkan di sini untuk tatapan bersama, lapuran dari beliau dan sekiranya tersentuh hati untuk membantu bolehlah talipon terus ke 019 851 6968.

Assalamu alaikum WW: Kursus kem remaja di Pulau Banggi mendapat sambutan yang baik. Peserta 50 orang. Penduduk kaum kaum ibu bapa turut serta menjadi peserta kursus dalam 30 orang. Mereka dahagakan ilmu. Kursus ini diatur oleh Ustaz Basal. Bayangkan kalau di seluruh Sabah ada progrem seumpama ini dibuat. Tentu masyarakat kita akan menjadi masyarakat terdidik dengan agama. Salam. A Halim Abbas.

Assalamu alaikum WW: pada 10 Zulhijjah sahabat-sahabat kita telah menyembelih qurban di Kampong Napong Satu, 20 km dari Pekan Ranau. Islam bertapak di sini sebelum melebihi 50 tahun. Makin berkembang dalam tahun 70-han. Kampung yang terletak di celah lembah yang subur. Di celah-celah banjaran Crocker yang menyambung ke puncak Kinabalu. Mengalir sebatang sungai yang jernih membelah lembah ini. Tak ada pendakwah buat mendidik mereka pada masa ini. Sejak 1975 – 1994 ada ikhwan kita Che Gu Jamil yang mendidik mereka. Tapi dia telah pindah ke Kampung Lohan. Surau hampir mati, kami solat Aidil Adha di surau asrama anak yatim Yayasan Suria Tuaran. 3 lembu disembelih sebagai kurban. Setelah khutbah saya mengisi tazkirah untuk mualaf yang hadhir sebelum makan kenduri kurban. Salam. A Halim Abbas.

Assalamu alaikum WW: 24 Dec. Majlis Khatam al Quran madrasah Manzalilul Masakin yang baru dibuka pada 4 Mac 07. Hari ini 15 orang layak khatam al Quran. Menurut penduduk inilah majelis khatam yang pertama di Pulau Banggi. Madrasah ini didirakan dari kayu bakau, atapnya dari zink berkarat dan bocor sana sini. Tak ada dinding. Tempias hujan terpaksa bertahan sahaja. Hujan sangat lebat. Hadhir dalam 150 orang. Mereka ingin tau bentuk majlis khatam al Quran itu dan ibu-bapa begitu bangga anak-anak mereka khatam al Kuran pada hari itu. Ustaz Basal yang menjadi guru sukarela dukung perpaduan ini begitu gigih dengan mendidik anak-anak kampung ini; pagi-pagi kelaut menjadi nelayan, dan malam mengajar dari maghrib hingga jam 10 malam. Sewaktu madrasah ini dibuka hanya ada 12 buah naskah Iqra’ dan 5 buah al Quran untuk menampung keperluan 86 murid. Pada May 07 barulah ada derma Iqra’ dan al Quran untuk
diberikan kepada madrasah ini. Insha Allah jika ada bantuan kepada Madrasah ini generasi al Quran akan dapat dibangunkan. 2 ekor lembu korban yang di buat di sini oleh saudara-saudara dari KL pada tahun ini. Program hari ini akan disambung dengan kursus selama 2 hari. Salam. A Halim Abbas.

Assalamu alaikum WW. 25 Dec.: Malam tadi program dakwah di surau Parong Laut, Kota Marudu. Jemaah yang hadhir 30 orang. Semuanya mualaf suku Dusun. Mereka baru 4 tahun Islam. Walau bagaimanapun taraf hidup dhaif tapi mereka mau menimba ilmu. Sebuah al Quran pun tak ada. Tersentuh juga perasaaan lihat Ust. Halim beri ajar kepada mereka. Sebenarnya petang tadi kami hanya meninjau ke sini. Rupa-rupanya ketua kampung sudah suruh anak-buahnya berkumpul, katanya ada orang datang mengajar malam ini. Ketika nak keluar dari kampung ini orang kampung mula tiba di surau. Jadi Ustaz Halim kata, "kesian mereka, kita dakwah dululah", jadi kami pun berpatah balik ke surau tu. Ana berkata dalam hati, nanti mereka ini pasti menuntut hak mereka wal muslima ikhwana kepada kita di hadapan Allah. Apa nak jawab? Masya Allah ... kita perlu pendakwah dan prasarana asas untuk dakwah. Laporan dari Rosnani Untul.


Sebaik-baik derma adalah ketika kita sendiri dalam kesusahan.


Saturday, December 22, 2007

Mencari Pertemuan




Bulan ini keadaan kelam-kabut lagi. Sebagaimana tahun-tahun yang lalu. Dan yang lalu-lalu. Bulan menjadi punca kelam-kabut.

Temu janji yang dijangkakan pada 14 Zulhijjah tidak ditepati oleh ahli korporat dari Malaysia. Meskipun pengesahan tarikh dan waktu telah dibuat berkali-kali sebelumnya oleh Si Saud peniaga yang tiba jauh dari Saudi. Setelah menunggu beberapa jam, Si Mamat tidak juga muncul. Anih. Puas Si Saud yang datang khusus dari Riyadh ke KL menunggu. Tak pasti Mamat tidak mau menerima kontrak berbillion Riyal untuk projek mercutanda di Mina. Fikir Si Saud.

”Mana anta?” Si Saud bertanya setelah berjaya menghubungi Si Mamat melalui talipon bimbitnya.

”Ana di Kota Baru. Balik raya. Malam ini ana tiba.” jawab si Mamat.

”Kenapa malam ini, kita kan ada temu janji sekarang?” herdik si Saud. Keadaan sudah terbalik. Kalau dulunya orang Saudi yang selalu mungkir, kini dia pula yang tepat pada janjinya. Maklumlah dia graduan UIA, jadi kultur menjaga waktu sudah bertukar.

”Apa pulak sekarang? Kita kan dah confirm pada 14 Zulhijjah?” Si Mamat bekeras.

”Hai Mamat,” Saud menjawab dalam bahasa Malaysia pula. ”Hari ini dah 14. Anta tidur ke? Anta pakai kalendar apa?” Saud berhujjah.

”Akhi. Ana belum nyanyok. Hari ini 13 Zulhijjah. Masih hari tasyrik. Ni cuba anta dengar, masih lagi bertakbir.” Mamat mendekatkan gagang telipon pada cermin tivi, yang kebetulan sedang menayangkan orang bertakbir raya.

”Ya Salam,” Saud mengeluh, ”anta bikin ana bingung. Mana ada lagi takbir ini hari. Ini betullah eid hadhari. Hari ini 14 Zulhijjahlah baghal .....”

Dan mereka terus bertengkar. Berpanjangan.



Bukan salah Si Mamat dan tidak juga salah Si Saud. Kita merayakan ’Eidul Adaha pada hari Khamis dan mereka di Saudi pada hari Rabu. Wukuf di Arafah pada hari Selasa. Dan pastinya 'Eidul Adha sehari selepas wukuf. Hukum yang muktamad.

Jadi sebagaimana biasa, hari di Saudi yang terkemudian menerima matahari dari kita, apabila menjelang 'Eidul Adha menjadi awal sehari dari Malaysia. Yang dikatakan matahari naik dari barat, dan akibahnhya hari akan berkucar-kacir; ini agaknya yang dimaksudkan hadith.




Dan saya juga menunggu kalau-kalau IKIM akan mengeluarkan arahan untuk menggalakkan kita bersama-sama meraikan Hari Krismas; perayaan pagan yang sudah dikomersialkan.



Sunday, December 02, 2007

Sakit




Minggu lalu KL dibanjiri kaum Tamil yang datang dari merata ladang dan kampung. Berduyun-duyun untuk ke Kedutaaan Inggeris. Bersemangat sekali mereka kerana dijanjikan akan pulang dengan cek bernilai sejuta Ringgit setiap peserta. Kalau satu keluarga lima orang yang menjadi peserta, gambarkanlah. Akan pulang dengan lima keping cek. “Raya Hindu” kata orang Kedah. Alalahi, senang betul. Lebih baik dari swisscash. Halal pula tu. Tanpa gharar dan riba! Benar-benar hasil titik peluh dari keterikan cahaya matahari tengah-hari.

Sekiranya saya juga menukar nama kepada muthu, maniam atau sekaran, pasti juga akan dijanjikan akan mengaut habuan yang sama dari langit. Syaratnya saya mesti menyertai sama dalam himpunan tersebut. Tapi malangnya kepada mereka yang hadhir. Yang datang dari langit bukannya cek tapi air berwarna semburan pasukan berberet merah.

Masyarakat memang sedang sakit. Bermacam-macam penyakit. Tapi bukan sakit fisikal yang akan melarat dan menyebabkan mati. Hanya sakit yang akan menyusahkan jasad dan ruh apabila sudah mati.

Di Selangor dikhabarkan, Bonda Andi dapat membersihkan segala apa dosa seseorang. Begitulah lapuran Harian Metro minggu ini. Bukan secara percuma. Ada upahannya. Beratus ribu. Ada pula yang terkena.

Di penjuru negara yang lain pula, muncul Tok Hassan. Dari Kemaman, Terengganu. Pernah mengistihar dirinya berjaya menahan tiang ‘Arasy dari runtuh. Hasilnya? Alam terselamat dari kiamat. Bukan menahan banjir atau puting beliung. Kiamat. Tapi tak dinyatakan pula tiang itu dari cahaya atau bahan apa dan bagaimana pula tiang itu ditahan. Adakah dengan membuat reinforcement baru seperti kerja-kerja pembaikkan pada MRR2 atau diganti tiang lain. Dan tambah Tok Hassan lagi, beliau pernah berdialog dengan Allah dan Rasulullah. Astaghfirullah. Kesimpulannya bahawa Rasulullah membohongi al Koran! Na’uzubillah min dzaalik. Begitulah akuan Tok Hassan. Lebih top dari Bonda.

Bonda Andi di Selangor dan Tok Hassan di Terengganu. Dari dua tempat yang berbeza kultur dan kemajuan pembangunan. Akan tetapi sama taraf dalam kemunduran minda. Dan ini baru sebahagian dari yang terdedah. Banyak lagi yang tidak. Dulu Ayah Pin, dan sekarang lain pula. Hebat betul orang-orang Malaysia ini. Hebat betul orang-orang kita ni.

Minda kaum ternyata belum berubah meskipun telah 50 tahun Merdeka. Meskipun telah ditarbiyahkan dengan pendekatan kepada Islam dengan pelbagai cara baru.

Keadaan terkini tak jauh bezanya dari keadaan yang pernah terjadi ratusan tahun dulu. Dulu di Parsi setelah kejatuhan Alamut dan selepas kematian Hassan Sabbah, pelopor kumpulan Hashashin dari sekta Ismaili, muncul pula guru baru. Beliau mengambil kesempatan dari kalangan orang-orang miskin yang telah lama melarat.

"Tuan-tuan," katanya, "sudah lama kamu dalam kemelaratan. Sekarang saya bebaskan kamu semua dari keadaan ini. Makanlah dan bersenanglah. Inilah syurga. Dulunya adalah neraka."

"Benar, benar" laung pendengar.

"Hari ini tak ada lagi hukum keatas kamu. Tak ada lagi yang wajib. Semua hukum digugurkan. Apa yang haram dihalalkan. Inilah undang-undang syurga."

"Betul, betul", sorak mereka.

Dengan pidato yang singkat, beliau mendapat pengikut segera. Yang bertambah dan mula bertambah. Satu lagi cabang Ismaili.

Penyakit tetap sama.