Powered By Blogger

Tuesday, March 21, 2006

Kuala Lumpur, oh Kuala Lumpur

I.

Selalunya di persimpangan lampu isyarat yang sebok. Kerapkali di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail. Pandai beliau mencari mangsanya, dan yang ditujunya pula hanya orang-orang Melayu. Sewaktu kereta berhenti untuk menunggu lampu bertukar warna, atau sewaktu menunggu Polis Trafik yang menjaga memberi laluan, beliau akan datang ke sebelah pemandu dan mengetuk cermin.

Pemandu menurunkan cermin, dan sebelum dapat berkata sesuatu, beliau akan bersuara, “Encik, mintak tolong. Saya kehilangan dompet. Ni nak balik ke Seremban kerana anak sakit.” Sambil menunjukkan anak kecil yang sedang tidor di bahunya. Tak sempat menjawab, beliau akan menyambung, ”Tolong encik, hanya RM10 bagi mencukupi tambang. Ni dah ada RM5 dah.” Dan beliau akan menunjukkan gumpalan wang RM5 dalam tangannya.

Kerana tak mahu menjadi penghalang kepada lalu-lintas sekirannya lampu bertukar hijau, pemandu akan menghulurkan RM5 atau seberapa. Kerana perasaan kasihan. ”Kesian, budak kecil itu,” mungkin terlintas di hati pemandu itu.

Dan esoknya..... ada lagi. Orang yang sama. Pakaian pun sama. Berlari-lari dari kereta ke kereta.

Satu hari sewaktu aku bersama seorang kawan, dia datang ke keretaku. Modus operandi yang sama. Lantas aku menjawab,”

”Hooih, takkan hari-hari kehilangan dompet. Minggu dulu dah bagi RM5 tak balik Seremban lagi ke?”

Sangka ku beliau akan lari apabila ditegur begitu. Tetapi. Aku dimaki hamunnya dan beliau meludah-ludah pula ke arah kereta. Bahaya.


II.

Di masjid pun sama. Kelihatan cemas dan mencari-cari sesuatu di celah-celah tangga dan di sebalik tiang. Selalunya sewaktu jemaah dah tak ramai di masjid.

”Kenapa Bang?”

”Aduh Dik, seluar Abang kena curi. Habis.”

”Kat mana Abang letak?”

”Ni, sewaktu pergi mengambil wudhuk, letak di depan tangga ni, tiba-tiba lepas menyapu muka, tengok-tengok, hilang dah.”

Aku pun tolong-tolong mencari kalau-kalau ada tercampak seluarnya di mana-mana.

”Tak adalah bang.”

”Dik, abang ni nak balik Kuantan dengan anak saya,” sambil beliau pun menunjuk ke arah seorang budak kecil yang berada di tangga masjid. ”Ada kecemasan. Isteri sakit berat. Tolong dik, nak lepas duit bas sahaja. RM25 je.” dengan muka yang sedih.

Kerana ini dalam masjid dan teringatkan sabda Rasul bahawa menolong se-seorang dalam kesusahan dunianya, dijanjikan ganjaran yang besar, maka ”Ni Bang, ambil RM5 lagi untuk belanja minum air.”

Abang itu, bukan setakat berterima kasih, malahan mencium tangan lagi.

Dalam bulan yang sama, sewaktu di masjid KLCC ternampak lagi orang yang sama sedang bercakap-cakap dengan seorang jemaah. Kelihatan merayu-rayu dan jemaah tadi pun menyeluk saku untuk mengambil duit. Aku memerhatikan dari jauh.

Aduh. Terkena lagi.


III.

Suatu hari sewaktu aku dalam kedai mamak di Jalan Bukit Bintang, terdengar orang berlari-lari di depan kedai.

Aku pun keluar dan kelihatan seorang lelaki sedang menggosok-gosok belakang anak kecilnya sambil menyapu-yapu minyak Cap Kapak di dadanya. Mamak kedai tu cepat-cepat mengambil kerusi untuk budak kecil yang nampak dalam kecemasan itu.

Aku yang penyebok, sebagaimana kebiasaannya, bertanya, ”Kenapa?”

”Anak saya ni lelah. Tadi nak ke farmasi untuk beli nebuliser. Duit tak cukup, pergi ke ATM kad pulak kena telan kerana tersalah PIN.”

Terdengar saja ATM, maka aku pun senyum. Ni biasalah.


IV.

Menipu lagi. Dan ayah menggunakan anak lagi.

Kuala Lumpur. Oh Kuala Lumpur.

36 comments:

sinaganaga said...

Bang! Buku dah siap. Saya nak jual buku tu Laman Seni... Duit tak ada nak naik teksi; bawa buku-buku tu! Abang ada sepuloh hengget? Boleh bagi saya tak???

Dulu abang juga yang katakan... “Lebih baik minta daripada mencuri...”

HCI said...

Mana pahalanya kalau kita bersungut, tambahan pula kita bersungut dalam hati dan diganding dengan menulis diblog. Apa jadi kalau orang yang membaca merasa sakit hati?

Saya pernah semasa mesyuarat jabatan, staf saya mengadu seorang yang tempang datang meminta bantuan nak buat operation, siap dia tunjuk gambar dia dalam surat khabar dan doktor yang akan membedah. Selanjutnya dia memberitahu perempuan ini menipu kerana ramai kakitangan lain telah tertipu. Saya tanya berapa yang dia beri, kalau tak silap 5 ringgit gitu lah. Lalu saya menjawab, saya telah memberi banyak lagi tetapi saya sudah anggap halalkan kepadanya, samada menipu atau tidak.

Dengarlah semua, sesungguhnya begitu susah seseorang yang daif (kalau dah rasa perlu dapat duit dari orang, maka kita anggap daif lah) untuk mendapatkan duit bantuan. Saya pernah ke Balai Islam dan melihat pak chik dan mak chik meminta2 di counter, tetapi peraturan dapat zakat ketat, dan mesti mendapat sokongan dari Iman sesuatu mukim yang ada kalanya bias ke arah politik. Mungkin si ayah yang mengunakkan anak nya untuk mendapat duit mempunyai cita2 untuk menyekolahkan anak itu supaya menjadi manusia yang berjaya macam Mr. Keng?

Senang saja, kita anggap sesiapa yang sanggup menahan perasaan malu dan meminta maka mereka ada hak. Jika diberi dan diperlekehkan dan di cemuh, maka apakah sebenarnya yang terpantul dari kita. Jika kita tak nak beri, maka berlalulah tanpa membawa perasaan dan prasangka.

Saya lebih suka memberi dengan ikhlas kepada mereka. Cuma saya pantang satu, budak2 sekolah yang memicit loceng rumah bertalu2 untuk dapat derma untuk buat bangunan di sekolah mereka. Saya akan turun ke bawah dan menyuruh mereka memberi tahu cikgu2 mereka yang tidak baik mempergunakan murid2 dalam hal ini, walaupun budak2 itu kata "Oii orang kaya bakhil!".

Sayuti said...

kuala lumpur... begitulah.

p/s: tuan keng, jemputan sudah dikeluarkan.

Ikelah said...

fenomena ini bukan saja di Kuala Lumpur, tapi di merata-rata tempat. Saya masih ingat hingga ke masjidilharam pun ada sendiket peminta sedekah.

sebelum waktu solat zzohor, van atau kereta akan menghantar mereka yang tempang, yang kecil, yang comot untuk ke masjidil haram untuk meminta sedekah. mereka akan bekerja sehingga selapas solat asar yang turut diangkut oleh kenderaan yang sama.

persoalannya, ramai yang tahu mereka penipu tetapi ramai yang memberi, kenapa?
1. tidak mahu banyak kerena
2. konfius
3. apasalahnya bersedekah
4. memang tertipu

walaupun tahu, ada kala saya turut beri kerana tidak mahu banyak kerenah terutamanya bila nak makan. baru nak menyuap nasi ke mulut, terus dia datang. yang kes ni beri seringgit dan terus buat tak tau. kalau tak beri, mereka berdiri macam askr dengan tangan dihulur dan mulut berkumat kamit membaca matera. ini saya tidak anggap sedekah kerana ilmu mengajar kita bahawa ini bukan sedekah dan mereka tidak semestinya jatuh dalam golongan yang layak menerima sedekah. saya tahu bekerjasama dengan penipu, kita juga jatuh martabatnya tetapi kerana gangguan tadi saya kira boleh dimaafkan.

sori panjang lebar sebab mereka memalukan ummat saja.

dith said...

Keng,

Modus operandi ni agaknya boleh ke di guna oleh rakyat seperti kita tatkala kecemasan? hehe

zizie ali said...

saya ada tiga kali pengalaman didatangi manusia sedemikian di k.lumpur. bukan orang sama. tapi modus operandi sama: nak balik seremban!

Sayuti said...

sebab itu lebih elok makan di rumah. kalau tak masak, tapau. dan elakkan daripada melepak lama2 ditempat2 awam.

Ku Keng said...

Naga:Kalu saya bagi tambang, kena kongsi untung.

NBB: Kerapkali berlaku pada saya juga. Bila ajak makan dia maki-maki. Tak apa tanggung jawab kita dah habis. Maki-maki tu menguntungkan kita.

Kak Has: Bukan mengunkit Kak, tapi memberi panduan supaya tak tertipu. Menipu tu bukan hak dia untuk mendapat bantuan. Kalu tak menipu, pasti orang beri bantuan. Dulu di Masjid India ada seorang budak regular di situ, menghampiri saya dan minta pinjaman. Saya kenal dia kerana dia seorang yang tak bekerja tetap. Saya jawab, "Brother, I am not going to lend you any money cos I know you can't pay me back. However I will give you some money for your immediate needs." Dia mulanya terkejut, kemudian menjawab,"You are right brother. I don't think I can pay you back." Sekarang Alhamdulillah dia bekerja sebagai fotographer untuk satu majalah luar negara.

Yut: Sudah saya jawab tentang undangan dalam komen blog saya terdahulu.

Ikelah: Haha. Dan kalau dalam masjid Nabawi, "Brother I am from Kashmir..." Tapi di sekitar masjid ramai yang betul-betul susah. Mereka tak meminta tapi menerima bila diberi.

Yang berkumat kamit tu merata-rata. Malam hari pun ada.

Puan Dr.: Jangan digunakan. Dalam kecemasan, pasti orang membantu.

Zizie: mereka pandai gunakan eye contact. Bila bercontact, habis. Macam-macam tangisan dan rayuan keluar. Tapi kenapa Seremban pula yang dijadikan tempat yang dikaitkan.

Yut:Setuju sesetujunya. Kamu ni betul ke bukan Banjar? Yut, akhirul kalam, besok saya akan ke Singapore untuk lecture saya, maka saya mohon kepada Allah SWT keberkatan untuk majelis anda serta kebahagian dan keharmonian untuk anda berdua, hingga ke akhir hayat. Amin.

Pegawai Khalwat said...

Betul, betul dan betul.

Kadangkala niat kita ni ikhlas nak menolong orang susah, hatta apa jua modus operandinya; bawa anak ka, bawa kaki ka, bawa surat ka.

Tapi kerap terjadi bila wang yang kita sumbang disalahguna ke jalan yang sesat. Kalau kita tak tahu, tak apa, bolehlah beri dengan ikhlas dan tak mengungkit. Tapi kalau kita tahu wang kita mendorong lagi ke arah kesesatan?

Pernah terjadi pada saya dan sahabat-sahabat di sini. Saya memberi wang pada seorang yang agak tua, pakaiannya agak kemas. Malamnya saya nampak dia tunggang todi.

Pernah juga memberi pada seorang yang kata dia perlu pulang ke kampung atas sebab kecemasan (waktu tu di masjid). Petangnya nampak dia di kawasan menghidu gam.

Di Tanjung ni, bila saya bersembang dengan mamak nasi kandar (restoran yang agak mewah), katanya, jangan pandang rendah peminta sedekah di sini. Sebab mereka boleh beli nasi beriani sekurang-kurangnya sehari sekali di kedai dia.

Kita? nak makan nasi beriani pun mungkin sebulan sekali. Itu pun mungkin.

(Heran, kalau aku komen blog Keng mesti berjela)

Yeop-Harley said...

Ayah Keng

Ada satu yayasan yang terkenal kat Kuala Lumpur ni kebetulan kat rumah teman nama nya AL M*****.Menggunakan kanak2 lelaki pakai songkok untuk tujuan jual minyak angin,bookmark,stickers dll..
Pada hakikatnya kita 'kena pau' dgn dia orang.

maklang said...

Maklang and Cik Abang pun pernah kena macam tu masa mula2 pindah Kerteh. Cik Abang kesian terus bagi RM 10. Bila tiba opis kenkawan cakap yang orang tu memang selalu kata gitu. Memang selalu tertinggal bas nak balik KT & tak cukup/ tak de duit... Tulah manusia zaman sekarang.Bersabo je laa...

Queen Of The House said...

Yang sedihnya, di masjid/surau pun orang-orang ni boleh nak menipu. (But my brother-in-law memang betul-betul pernah hilang seluar bag, wallet dll di masjid/surau. Sekali lagi, di tempat ibadat pun orang sanggup buat perkara tak elok). But like Has said, maybe sebab terdesak sangat sampai hilang malu/conscience, atau pun prang tu memang tak berapa siuman. Wallahualam.

Anonymous said...

Walaupun tak salah bersedekah, malah digalakkan lagi, tapi bukan ke kita patut teliti dengan lebih mendalam masalah yang lebih besar daripada 'dosa bersungut, tak ikhlas, enggan memberi' dsb? Masalah sindiket pengemis yang berleluasa yang sememangnya satu sindiket jenayah dan eksploitasi kanak-kanak, wanita, dan golongan terdesak Negara Dunia Ketiga spt. Bangladesh, Myanmar, dll, jauh lebih membimbangkan kalau nak dibandingkan dengan 'dosa-dosa' si pemberi yang disebutkan tadi--jika kita asyik melihat secara luaran (face value) isu-isu sebegini, sampai bila tak akan selesai jenayah ini. These syndicates thrive on the people's lack of reaction against them, all this while proving to be a lucrative 'field' to harvest money from. Reports have to be made to thwart these underground groups that are actually organized in nature, led by cunning criminal masterminds. They're not the ones you see in the field doing the dirty work, but instead you see all these poor helpless and powerless impoverished souls shipped from their homelands harvesting for them, and returning with their catch of the day with God knows how little they get in return. So are we to just turn a blind eye to this phenomenon in KL, for the sake of 'sadaqah' everytime, never mind the much uglier scenes behind the curtain?

Ordinary Superhero said...

Saya sendiri pun selalu terjebak. Tapi saya selalu mengambil sikap "aku bagi ni ikhlas nak tolong, kalau kau tipu itu antara engkau dengan Tuhan. Engkau dengan aku, aku dah halal". Dan berdoa dalam hati semoga dia tidak menipu lagi...

Anonymous said...

diketuk cermin tingkap kereta oleh seorang penjual saham di sebuah trafik light.

"mapiau"
"mapiau"

kat kl dah tak nampak dah. tapi kat jb hidup lagi..

abdullahjones said...

oh! saya selalu kena dan sangat gembira! haha.

Muhammad, kenapa kamu berikan note begitu besar? tanya saya kepada Muhammad, budak palestine.
mungkin dia menipu. tambah saya.

Mungkin. kata Muhammad. bagaimana jika dia tidak? tambah dia.

cerita lama dulu. di masjid imam mat zin. 15 tahun dulu.

sesiapa yang anak demam atau bini buasir, hubungi saya. haha.

tuan tanah said...

saya juga pernah terkena.
di hentian puduraya.
entah lepas dia bercerita, ringan saja tangan mengeluarkan dompet dan memberikan dia sedikit wang.

selepas dia pergi, baru saya seakan tersedar.
apa yang aku buat ni?
aku kena pukau ke?

Sayuti said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Sayuti said...

Tuan Keng, betul saya bukan banjar. waktu buat kerja kursus sejarah salasilah keluarga dulu dah check.

ramai jugak bercerita tentang pengalaman masing2. saya nak cerita jugak, tapi banyak pulak; beberapa kali di perhentian bas butterworth (dulu2), beberapa kali di puduraya, ketika sesat di stesen star pudu waktu cari puduraya, di masjid zahir alor setar, di masjid negeri ipoh, di stesen putra kelana jaya, di city plaza alor setar, di klcc, di kedai mamak, ketika makan di uptown, di beberapa parking lot.

tapi itu dulu2, ketika saya pakai ketayap hijau bila pergi berjalan2 (sebab malas sikat rambut).

skang sudah jarang sangat di approach. mungkin sebab jarang berada di tempat awam. kalau seorang diri di tempat awam, saya buat wajah serius sebab saya kelihatan garang kalau berwajah serius tanpa kacamata. pernah ditegur kawan2 satu ketika dulu.

eh, perkara lalu jgnlah diungkit2. rosak amalan nanti.

dith said...

AJ,

Imam Mat Zin yang mana ni? Sama ke dgn Ustaz Mat ZIn yg kurus tu?

abdullahjones said...

Iman Mat Zin yang terkenal tu la dr. :)

blackpurple @ jowopinter said...

Itu kreatif namanya...tapi kreatif tak kena tempat, menyalahi susila dan agama......

Dunia semakin hampit kepenghujungnya...

Sya said...

Tuan Keng.. baru tadi makan tengahari di hadapan pejabat pos Jalan TAR.. seorang lelaki meminta duit.. "saya musafir.." teman yg makan bersama... mengajak duduk dan akan bayarkan makanan baginya kalau dia lapar.. dia terus berkata "saya sudah kenyang" dan berlalu ke meja lain.. begitulah. Pernah juga mengekori seorang buta dan seorang celik yg meminta bantuan dgn menghulurkan tisu.. rupa-rupanya mereka berdua memandu Honda Accord.. sedangkan saya.. lampun Honda Accord pun tak mampu dibeli

Anonymous said...

Keng,
Sumpah bukan aku hak dok juai mapio tu. Aku lama dah dak pi beratok kedai ekoq tu.

Anonymous said...

assalamualaikum tuan keng,
saya teringat akan kisah mak saya beberapa tahun dulu. ada seorang hamba Allah dtg ke rumah dengan kaki yang cedera agak teruk. meminta duit tambang utk balik kampung di kelantan. perasaan belas kasihan seorang wanita bernama ibu yang begitu tinggi bukan sahaja telah memberikan tambang bas tetapi telah memberi makan tengahari dan juga sedikit bekalan makanan untuk dimakan kemudian.

Kami sekeluarga marah kerana risaukan keselamatan mak yang pada masa itu hanya duduk seorang diri di rumah dan telah membenarkan orang yang tidak dikenali masuk bukan sahaja itu malah telah memberikan makan.

Jawap mak 'mana tahu kalau kalau orang tadi malaikat yg datang nak menguji'. Tapi ternyata salah tanggapan mak kerana hamba Allah itu sebenarnya telah dtg meminta di kawasan kejiranan berdekatan.

moga murah rezeki mak saya.

Anonymous said...

Baca, Ngah. Siapa kata tidak baca? :)

loppiess said...

jual mapiau pun ok dari meminta-minta, ya tak keng?

Anonymous said...

Tuan Keng, yang lucunya tentang mapiau ni, pada satu hari dulu-dulu, polis trafik yang menjaga di tepi jalan tu pun tengok-tengok keputusan dalam mapiau yang dibawa oleh penjual tu. Baik buruk Malaysia, inilah keadaan sebenarnya. Kelucuan dimana-mana. Nampaknya sambutan tentang entry ini bagus kerana semua ada pengalaman yang dilalui. banyak pula persamaannya.

Pak Malau said...

Bukan dikehendakki yang kita memberi kerana ikhlas memandangkan rupanya dalam keadaan kesian. Islam juga kehendakki supaya kita meneliti dan menyelidik. Kalau kerana kesian habsilah anak-anak gadis dinikahkan secara senang kerana yang datang melamar tu nampak baik dan bersopan. Dan baik entry ini kerana memberi peringatan supaya kita dalam keadaan yang sentiasa awas dan berifkir. Bukan begitu Nurul?

Terima kasih Keng

Chika Chika said...

lebih baik jd kanak-kanak depan masjidil haram yg kejenya mina sedekah secara terus tanpa segan silu....

"kakak... 50 riyal...50 riyal..."

sy hulur 5 riyal.

geleng kepala tanak..

"50 riyal...50 riyal.."

rasa nak sekeh je budak tu. Rasa nak gelak jugak.

Ku Keng said...

Tuan Pegawai:Mereka ni pandai mereka metode-metode untuk mengena. Dulu saya pernah bagi duit kepada India yang datang berhinjut-hinjut dengan kaki berbendej. Selang dua tiga rumah apabila dikejar anjing, dia pun berlari-lari, tanpa menunjukkan apa-apa kecacatan. Dan seminggu selepasnya saya terserempaknya di Brickfields, sedang minum bir brek kapai.

Jangan bimbang, saya seronok membaca komen yang menarik spt komen Tuan Pegawai.

Yeop:Bersongkok, berbaju putih dan berseluar hitam. Berduyung-duyung mereka keluar dari van, di KL. Jual kalendar, kopi, buku dan bermacam-macam. Sampai di Brunei pun mereka sampai jugak.

Maklang:Modalnya sama, tertinggal bas, tertinggal bas.

QOTH:Motto mereka serupa dengan Sarawak Rangers, 'Agi Hidup Agi Ngelaban'.

eyes: Welcome to the blog.

Obviously the Myanmmars are an organised syndicate. And also the Chinese now. Was told that they are protected by certain officers from the enforcement agencies in the city.

Superhero:Right attitude. However we need to be smart also. Baik jaga kereta, sekurang-kurang berusaha.

Gitartong:Dah terlupa akan 'mapiau'. Dik, boleh tak karang satu lagu berkenaan mapiau?

A Jones:Mungkin betul. Tapi cerita demam dan buasir ni macam mana pulak? Tolonglah ceritakan.

Tuan Tanah: Hai, terkena jugak? Bagi Ringgit ke Pounds?

Yut:Cek betul-betul yang datang kenduri tu. Kot kot ada yang datang tanpa dijemput. Tapi betul ke pakai kopiah kerana malas sikat rambut?

Puan Dr.:Siapa pulak Imam ni?

A Jones: Imam ler, bukang iman! Tok Imang! Macam mana dia terkenal tapi orang Kuantan pun tak tahu?

Black:Mereka ada keistimewaan kreativiti semula jadi. Tu belum lagi dari mat gian. Lagi real bang!

Sya:Depan Coliseum dulu-dulu, berpura-pura buta kerana bila ada gadis cun lalu dia pun kaleh melihat.

Maideen: Ni apa kena, tiba-tiba timboi lepaih lama menghilang dan membuat konfesi tentang aktiviti lama. Kah, kah.

Anon: Kesian kat emak. Nasib baiklah 'malaikat' tu tak buat apa-apa. Atau dia betul-betul malaikat yang menyerupai mat gian tu!

Anak Saudara: Haih, jangan sebut Ngah, nanti semua orang tau.

Lentiform: Actually so. Di merata-rata ceruk ada. Di Kaherah lagi teruk.

Lope:Ya Lope, lebih baik tapi berdosa jugak.

Gari:Ni kita kena repot ke Police Commission. Ingat tak nombor badge dia?

Pak Malau:Ya supaya lebih berwaspada. Tapi bila makan di kedai Waspada di Wisma Yakin tu pun terkena juga.

Simah: Ha ni orang baru. Hos Geldiniz. Yang di Turki tu kebanyakkan Cingene (Gypsies). Jaga-jaga, pandai mencuri.

Chikadior: Hairan, saya tak pernah terkena. Har mungkin ni malaikat datang nak menduga!

Anonymous said...

Reminds me story of a golfer, when he won a tournament prize of USD250,000.00.

Before leaving the club, at the parking lot, a tired looking woman carrying a baby approached him and said that her baby was very sick and needed operation immediatley.

He felt very symphatetic and wrote a cheque of the amount he won to the ladies name.

Two days later, soemone told him that the lady was a fraud and she actually cheated him....

When the media interviewed him about what had happened, his respond was......"I am happy at least there is no sick baby"

How many of us can forget and forgive like the golfer.

Ku Keng said...

Wafa:That is indeed a good attitude. I shall take it as a lesson for me. Shukran.

madah berhelah:Tu lah kepandaian mereka. Memerhati seperti harimau mau menerkam. Mungkin dia datang ke ofis, tapi belum bersedia nak masuk lagi kerana duit belum cukup.

simah hanim: zaman muda-muda dulu belajar di Turkish Cyprus. Dah lama dah. Dan memang suka ke Istanbul terutamanya, kerana gemar bersolat di masjid-masjid di sana dan juga kerana ramai kawan-kawan sesama belajar dulu. Ada budak Perak di Istanbul (ex Arqam), Izham Istar namanya, yang mengendalikan tour services. Ofisnya kalau tak silap tak berapa jauh dari Taksim Meydani.

Ne var ne yok?

Ku Keng said...

Simah Hanim: Saya sering ke Eyup untuk solat subuh hari Ahad. Dan selepasnya bersarapan di kedai-kedai di hadapannya. Pokok-pokok kelapa plastik berwarna hijau dan kuning dan merah yang amat menjelekkan tu masih ada lagi tak di jalan-jalan depan masjid?

Sayuti said...

Tuan Keng, takpe... makanan cukup. saya halalkan.

alamak, kantoilah dengan Tuan. terpaksalah saya mengaku. tujuan utama ketayap tersebut sebenarnya untuk cover tanduk.

hehe

Anonymous said...

Walaupun saya sendiri tak selalu sangat jumpa the likes of these people, I'm still very wary of them. Many times I'll just smile politely and walk off.

Still, memang ada yang betul2 memerlukannya, so of those instances where I do give something I'd hope it will get to the right hands and halalkan everything.