
Satu pagi, dua bulan lalu, sebuah teksi menghimpit keretaku di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bandar Dalam (Sentul) dan Karak Highway dan pemandunya memberi isyarat supaya aku menurunkan cermin. Gayanya seakan-akan cemas. Ini membuatkan aku lagi cemas, kerana takut-takut sesuatu yang tak di ingini akan berlaku. Tapi aku memberanikan diri dan melihat apa yang hendak dilakukannya.
”Ustaz sakit!” laungnya.
Apabila aku nampak keliru dengan apa yang disampaikan, beliau laung lagi, ”Ustaz Wan sakit.” Dan barulah aku sedar, siapa yang menegurku. Rupa-rupanya seorang pemuda yang merupakan murid kepada Ustaz Wan Mohd. Saghir.
”Insha Allah,” anggukku, ”nanti ana datang.”
Ustaz Wan Saghir, penyelidik, sejarawan dan pengajar kitab-kitab lama karangan ulamak-ulamak Patani, dan malahan yang telah
memertabatkan ulamak-ulamak Melayu (Jawi) silam, juga merupakan saudaraku, diperanakan di Riau.
Tak banyak yang nak ku ceritakan tentang beliau di sini, hanya ingin memanjangkan berita sedih kepulangan beliau pagi tadi lebih-kurang jam 11.30 (12 April 2007), kerahamatullahi ta’ala, setelah diserang angin ahmar (
stroke) selama dua bulan. Jenazah beliau pada ketika entri ini ditulis sedang dikebumikan di Pondok Pak Chu Him Gajah Mati di Kedah, untuk memenuhi hasrat almarhum serta juga atas permintaan guru-guru pondok di sana.
Allahummagh firlahu warhmahu.
Ustaz Wan Saghir, terkena angin ahmar pada sebelah kiri badannya. Meskipun tak begitu berat keadaannya, beliau hanya boleh bergerak-gerak dan berjalan perlahan-lahan. Terakhir pertemuan kami, ternampak ada kemajuan yang baik pada dirinya, dan sudah mula mau berbual-bual panjang. Meskipun dipesan supaya berihat, semangatnya kuat. Diceritakannya tentang majlis sambutan 70 tahun Madrasah
Tuan Haji Ibrahim Bongek yang dihadhirinya, pada 16 Februari sebelumnya meskipun beliau telah berbulan-bulan mengalami sakit buasir, dan terpaksa dipimpin untuk ke kereta; beliau menceritakan tentang progrem yang bakal diadakan di Raub untuk pertemuan suku-sakat Rawa, dan tentang
Teuku Daud Beureueh, pejuang Atjeh, yang mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan Sheikh Daud al Patani. Nama Teuku Daud Beureueh itu katanya adalah mengambil sempena nama Sheikh Daud. Beliau juga menceritakan bagaimana keadaan sakitnya telah memberinya beberapa ilham untuk membuat ubat-ubatan sendiri yang dapat melegakan beberapa keadaan dirinya.
Dalam keadaan tidak lagi dapat menyebut dengan betul dan petah, aku bersyukur kerana dia sempat berpesan kepadaku supaya membuat pembetulan kepada silsilah yang menjadi kajian bersama kami, berdasarkan kepada beberapa maklumat yang baru beliau perolehi. Alhamdulillah. Di samping itu ada juga beberapa pesanan yang lain.

Hari ini aku kehilangan kekandaku yang amat ku sayangi. Seorang yang amat mementingkan silatur-rahmi. Tempat aku mencari ilmu. Semoga Allah SWT memberinya kelapangan dan cahaya di alam kuburnya dan keselesaan dalam menantikan akhirah. Semoga berkumpul dirinya dalam barisan ulamak-ulamak yang telah beliau martabatkan. Dikalangan solihin dan muttaqin; awliyak dan anbiyak.
Allahumma 'aj al qabrahu raudhataan mirriyadhil jannah.
Keterangan gambar:
Gambar terakhir beliau bersama Sheikh Salleh b. Sheikh Uthman b. Sheikh Tahir Jamaluddin (Pak Ngah Leh Penanti [kini menetap di Makkah]) pada akhir tahun lepas.