Powered By Blogger

Saturday, August 04, 2007

Hujan dan Ibu




Hujan di kampungku (di K.Trg.) taklah semurung mendung yang sering menyelimuti kota KL. Hujan kampung meriah dan menyegarkan. Hujan di KL membawa banjir kilat dan kesesakan jalanraya. Segala-galanya terhenti. Hujan di kampung pembuka temasya kerana kanak-kanak akan keluar penuh kesukaan dan berlari-larian sebaik ianya turun. Termasuklah aku sendiri. Mandi di bawah saluran-saluran yang mencurahkan air dari bumbung-bumbung rumah. Air yang mencurah-curah seakan-akan air terjun kecil. Jatuh berketul-ketul di kepala. Kerana terlalu girang, tak terasa akan kesejukan. Hanya apabila sudah berteduh dibawah tangga atau serambi rumah, barulah bibir mula membiru dan mulut berketap-ketap dan badan mula menggigil-gigil. Barulah tersedar kebodohan diri kerana tak mengindahkan larangan ibu.

Untuk menghilangkan kesejukkan tatkala hujan, kami sering berkumpul di sekeliling anglo atau dapur arang yang dibeli ayah. Kami seronok melihat api yang semakin marak, dan berebut-rebut untuk menambahkan arang sambil asyik memerhati percikan bunga-bunga api dari arang yang mula membakar. Lebih-lebih lagi apabila ditabur gula. Hanya itulah sumber kepanasan untuk kami dan untuk kain basuhan yang mengambil waktu berhari-hari untuk kering. Dan sesudah kering pun bau hapak akibat terlalu lama dalam keadaan lembap, melekat tebal pada pakaian. Malamnya pula kesejukan bertambah kerana kelembapan tilam kekabu dimusim hujan. Dan kebiasaannya tidur terganggu berkali-kali kerana terpaksa mengalihkan tempat untuk mengelakkan dari titikan air yang mencuri-curi masuk melalui celah kepingan atap bata senggora yang teranjak-anjak kerana tiupan kuat angin tengkujuh.

Sewaktu tengkujuh ibu tak pernah berihat dari tugasnya di dapur. Aku pula ditugaskan ibu untuk bersedia menukar atap nipah yang terselak akibat tiupan angin yang kuat atau kerana daun-daunnya tak mampu lagi menahan air hujan yang tak henti-henti memukul atap. Mungkin ibu melebihkan masa di ruang dapur pada musim tengkujuh kerana di situlah beliau lebih selesa dengan kepanasan dari api yang membakar kayu-kayu api di dapurnya. Setiap kali beliau mengelap lantai yang terlalu basah akibat air hujan yang menitik tak henti-henti melalui dedaun atap nipah, ibu akan berkata, "Ada rezeki, tukar lantai nibung." Itulah hasrat ibu kerana dapur yang berlantai nibung katanya semakin kuat apabila sering dibasahi. Dalam keadaan hujan memanjang itu ibu pula tak henti-henti memasak untuk menjamu kami yang berterusan lapar akibat tenaga yang cepat berkurangan kerana badan bekerja kuat untuk menjanakan kepanasan pada diri. Lauk pauk taklah seberapa kerana barang jualan di pasar mula berkurangan akibat orang hulu yang membawa sayur-sayuran tak akan bermudik ke kuala dalam keadaan air yang deras ketika itu, dan nelayan-nelayan pula tak ada yang kelaut. Lauk pauk yang ada hanya tulang-tulang atau kepala ikan tongkol singgang atau ikan kering atau telur itek masin. Tak lebih dari itu. Tapi kenangan tentang lazatnya juadah sewaktu itu melekat hingga kini.

Hujan di KL kebelakangan ini mengingatkan aku kepada tengkujuh di kampung. Persis. Tapi bagaimana lebatnya hujan di KL taklah sehingga terganggu tidur kami setiap malam. Taklah sehingga berbau hapak kain baju kerana lama dalam kelembapan. Taklah selapar keadaan sewaktu dulu. Semuanya lengkap dan makanan mencukupi. Rumah hanya basah di birai longkang. Tapi keadaan pada hari-hari hujan memuramkan. Dan aku semakin tergingatkan ibu.

Ibuku buta huruf maka beliau tak dapat mengerti mengapa aku perlu bersungguh untuk mempelajari sains atau matematik. Malah apa jua pelajaran yang tak bertulis dengan tulisan jawi. Beliau tak mengerti mengapa abang-abangku perlu ke universiti. Malah beliau satu-satunya manusia yang amat ketinggalan teknologi. Memetik suis lampu sudah terlalu canggih baginya dan sehingga ke akhir hayatnya pun beliau masih tak mengerti cara untuk menyalakan lampu.

Tapi kemunduran itu dikurniakan Allah beberapa ketinggian ilmu yang lain. Beliaulah yang memperbetuli saktah ku dalam pembacaan Yaasiin. Beliaulah yang mendedahkan kepadaku fadhilah Al Kahfi pada malam atau hari Jumaat. Beliaulah yang memaksaku untuk menyembahyang jenazah ketika ada kematian di kampung. Beliaulah yang mengajar kami cara-cara membasuh najis dari pakaian. Beliaulah yang mengajar kami cara-cara untuk membilas basuhan dengan sempurna.

Hujan yang berlarutan hingga ke pertengahan Rejab ini, menguatkan lagi ingatanku kepada Ibu. Setiap Rejab beliaulah yang mengarahkan kami untuk ke surau atau masjid untuk memperingati Israk Mikraj, dan beliaulah yang tak putus-putus menyebut tentang harapan untuk ber-Ramadhan. ”Ada ke umur, wahai diri untuk bertemu dengan mu Ramadhan”. Keluhan ibu setiap hari apabila Rejab semakin berkurangan.

Dan dalam Ramadhan, beliau menjadi lebih sayu mengenangkan anak-anaknya yang tiada di rumah. Setiap hari juadah untuk berbuka puasa dan bersahur dipersiapkan untuk arwah abang sulungku di kampus UM, yang agak jauh juga dari rumah (sewaktu itu kami sudah berpindah ke KL). Dan pada hari-hari lainnya pula beliau akan termenung. ”Apa pula makanan abang mu yang jauh di Landang*? Tak boleh ke Che’ hantarkan sedikit kuih dan lauk baginya?” Atau bagaimana pula puasa adikku di Ipoh.

Hujan di KL seolah-olah tak akan henti-henti. Dan hari-hari kini semakin hampir kepada Ramadhan. Semoga Allah mengampunimu Che’ dan menempatkanmu dalam raudhatul Jannah. Aku taklah merindui kepada ubi bakar atau pengat pisang yang sering dihidangmu pada hari-hari hujan sebegini. Tapi Ramadhan semakin hampir, dan kerana mustahil akan dapat ber-Ramadhan lagi bersamamu; itulah pemangkin kerinduanku.




* Landang = London



15 comments:

Pa'chik said...

semuga che' tuan keng tenang di sana bersama-sama mereka yang diredhai Allah. amiin.

Pening pal'le keng kalu dok tahang pal'le bawoh cloghang taing ujang...

zizie ali said...

tiba-tiba aku rindu pada ubi kayu bakar.
dan nostalgia zaman kanak-kanak di bulan ramadhan terasa amat indah.

Bunga Rampai said...

Salam Bro Keng,

Cahaya mentari di luar sana semakin hangat, tapi tidak mampu menghangatkan sayu hati saya kala membaca nukilan ini. Ya, sangat nostalgik. Dikalamkan penuh rasa kasih.

Tengahari atau petang nanti, ntah hujan ntah tidak. Andai hujan, ntah lebat ntah tidak. Ntah banjir ntah tidak. Hujan zaman ini tidak seindah zaman dulu. DIA lebih tahu.

Kasih ibu, kasih ibu, kasih ibu tiada taranya.

Al-Fatihah.

Yeop-Harley said...

Ayah Keng,

Hujan di kampung masih pembuka temasya. Monsoon Cup.

Tapi bukan lagi budak-budak yang keriangan dalam keadaan bertelanjang (saya pun gitu juga dulu-dulu). Hanya mereka yang lebih tua dalam keadaan hampir telanjang (berseluar pendik dan blaus singkat menampak dada).

Inilah kemajuan Ayah Keng weii.

artisticklytouch said...

semakin menghampir Ramadan, semakin aku teringat kesayuan bersahur dengan air mata tatkala papa tidak mahu bersahur dengan kami..

*papa..yang pernah membawa kami ke Landang

dith said...

Keng,

Cerita nostalgia ini menggambarkan kehidupan anda yang susah semasa kecil. Tapi lihat sekarang! Kehiduapn getir itu telah menghasilkan insan2 yang berjaya dan tersohor.

*saya dapat bayangkan baju dan tilam hapak yang melekat kekal dek musim hujan. Curah minyak wangi pon tak hilang weii!

shafarina said...

Bersyukur sebab masih ada mak lagi.. :)


Gambar tu, gambar anglo tu yek? Tak pernah tengok.

Ordinary Superhero said...

Khabarnya bata tanah liat senggora hanya boleh diperolehi dari seorang pakcik tua dari Pasir Puteh sahaja sekarang ni. RM0.60 sekeping....Kalu Ayoh Keng nok, boleh lah ambo dapat kamsen!

Pegawai Khalwat said...

Entri yang mengundang air mata, dan memberikan peringatan.

Terima kasih Tuan Keng.

Apa pula nasib kita dek tangan anak-anak kita nanti.

Anggun said...

Tuan, sayu saya membaca tulisan tuan tentang ibu tuan..Terpancar tulus kasih ibu..benarlah..kasih ibu sepanjang hayat..tiadanya ia lagi, tetapi kehangatan kasihnya masih terasa..MasyaAllah..

Semoga anak-anak saya juga merasakan kehangatan kasih saya bila tiadanya saya lagi di dunia ini..aminn

Anonymous said...

Ayah Keng
Cerita pasal Hujan Dan Ibu teringat saya semasa kecil. Kalau hujan waktu pagi memang malaslah saya hendak kesekolah. Arwah Ibu lah yang menjadi penyelamat,mempertahankan saya sekiranya dimarahi oleh bapa kerana tak sekolah

Unknown said...

Salam Tuan Keng

Entri tuan kali ini mengimbau kembali zaman anak2 saya di kg saya di kota bharu. Bila tiba musim tengkujuh, ramai yang keluar bertemasya di bandar kota bharu. Main air. Saya tak de lah sampai kota bharu main air, depan rumah aje sudah memadai. Selagi tak menggigil badan selagi tu lah tak naik. Bila dah puas main air, naik mandi kemudian makan pulak samada ibu kayu rebus atau pisang rebus gan kelapa atau gula. Mmmmmmm....sedapnya. Lepas solat mengaji quran lepas tu mengulang kaji pelajaran pakai pelita. Pagi2 tengok lubang hidung habis berjelaga...hahahahahahaha. Indahnya sewaktu kecil di kampung ku bersama ibu yang tercinta.

Pa'chik said...

hikhikhik... putri make ibu kayu rebus? oghe lain make ubi kayu...

Ku Keng said...

Pa'chik:

lepah mandi bbawah clogheng, idong ssumbat pat limo hari. Nak kkecek pun payah.

zizie:

puasa di kampung, bermain bedil kabide dan main-main hantu pada malamnya.

B Rampai;

Salam Dik,

Ya KL semakin panas kebelakangan ini, rupa-rupanya mau gempa. Tapi hati masih sayu. Itulah hubungan ibu dan anak.

Yeop:

Betul Yeop, sekarang bertemasya secara lain pula.

artisticklytouch:

Bagaimana puasa di Redang? Tak pernah sampai lagi saya ke sana meskipun kadangkala kelihatan dari tingkap rumah.

Puan dith:

Anak-anak masih tak dapat gambarkan kenapa begitu susahnya hidup dulu-dulu. Ini satu bahaya.

:-))

O Superhero:

Mahar tu. Di Kapong Rajo ado lagi hok buak jokong tu buat atap seggoro. Tapi nak beli wak apo, hak ado buate KL pun comel lagi.

Tuan Pegawai:

Sekali sekala yang dewasa pun perlu bernostalgia.

Anggun:

Anggun seorang ibu, tentu merasai begitu. Insha Allah anak-anak akan tak melupai.

Wak Jawa:

Ibu lagi yang membela anak. Begitulah lainnya sayang ibu.

Putri:

Haih, Puan Putri pun mandi hujan juga. Dan sebagaimana kata Pa'chik selepas komen tadi, hok Putri makan tu ibu kayu apa?

Pa'chik,:

Kalu bapa kayu tu Tongkat Ali, maka kita kena tanya Putri, hok ibu kayu tu apa pula.

Anonymous said...

Salam bro, sudah lama tidak ketemu, apapun inilah entry saya tentang hujan, kalaupun bahasanya lain namun ikatan kita kepada masa lalu begitu sinonim, bro merasainya spt saya merasakan, begitulah tali yg tersambung antara kita yang tertutup oleh zaman yang tidak menemukan. Lope

June 15, 2007
Hujan
Filed under: Uncategorized
Kalau mahu dikira, bulan june ini bukanlah musim hujan seperti apa yang berlaku tahun tahun terdahulu. Namun cuaca tidaklah lagi menentu kerana barangkali juga atas kesan pemanasan global yang tidak dipeduli sebilangan kita namun tetap akan memberi impak yang besar.

Kebelakangan ini selalu saja hujan. Hujan mula turun pada sekitar jam 5 petang. Kalau di bandar besar, tentulah waktu itu adalah waktu puncak bilamana orang berpusu pusu keluar dari pejabat, sekolah, kilang atau bengkel untuk pulang ke rumah atau bergegas mahu ke rumah pengasuh mengambil anak atau juga mengejar laluan terhampir sebelum jalan menjadi amat sesak seperti urat jantung yang penuh kolestrol. Kalau kita selalu mengunakan LRT, stesyen Masjed Jamek di waktu waktu seperti ini adalah ruang paling sesak dan penggap.

Hujan adalah air yang turun dari awan. Kalau dulu ketika aku masih menjadi kanak kanak, saat hujan adalah ketika yang begitu menyeronokkan. Mandi hujan di halaman rumah atau di sawah sungguh terasa alamiah, aku merasa sungguh rapat dengan alam, dengan keadaan semulajadi, kita bergulat dengan alam yang sungguh indah, sungguh istimewa lalu kita terasa rapat dengan pencipta alam ini dan hubungan itu terasa sungguh hangat.

Di sawah, berlari di dalam hujan mengejar belalang yang basah sayapnya. Mandi di kolam, menaiki kerbau ketika hujan amat licin dengan selutnya. Mengejar anak wak wak di celah batang padi, menjala puyu dan sepat ketika muka sungai berbintik bintik di corakkan ciuman hujan sungguh bahagia. Hujan membawa dingin dan tumbuh tumbuhan girang segar, bumi indah Tuhan ini terasa dialirkan kemesraan yang tidak terbatas. Hujan, kampung dan sawah adalah pakej bermesra dengan alam yang kini tidak lagi dapat kugapai kerana hidup kini bergulat dengan kitaran baru kota yang tidak memperdulikan alam.

Kenangan kenangan semasa kecil di kampung itu timbul baru baru ini bilamana aku berseorangan berjogging di sekitar Peoples Park. Hujan tiba tiba turun sedikit sedikit lalu kemudian menjadi amat lebat. Aku yang pada mula ingin mencari pondok untuk berteduh membatalkan hasrat itu bilamana sebahagian bajuku telah lenjun. Aku terus saja berlari lari anak di dalam hujan tersebut dan angin mendesah desah di pohonan sekeliling, tiba tiba sahaja kenikmatan timbul, darahku bagai di alirkan semula kenangan puluhan tahun lampau tentang bermandi hujan di sawah atau di pancuran atap sisi halaman. Jiwa dan sekujur tubuh terasa amat segar, kenangan lama itu kembali ku nikmati dan kuhayati, Peoples Park kini bagai sawah padi di kg ku, Tuhan, bagaimana ketidaksengajaan ini Engkau berikan padaku setelah ia hilang puluhan tahun lalu.

Hujan adalah tubuh alam yang kini tidak kita pedulikan lagi. Barangkali kerana banjir atau kesesakkan lalulintas membuat kita benci kepada hujan. Hujan telah menjelma di zaman masakini kita sebagai pengganggu. Hujan tidak lagi kita nikmati sebagai tangan alam yang membelai, yang memberi warna dingin pada keringat kehidupan. Kita amat heboh dengan kitaran kita yang terbentuk dari kemahuan keduniaan yang tinggi dan nafsu yang tidak terbendung.

Setahun yang lalu, ketika kitaran hidup sangat mengikatku dan rutin yang membunuhku secara senyap senyap berlingkar disekeliling lingkaran ku, aku di ajak sahabatku Jai untuk mendaki Gunung Kinabalu. Tentulah aku tidak akan menolaknya kerana itu adalah peluang yang sangat menarik untuk bermesra, bergulat, berkasih, berasmaradana dengan alam. Memang itulah yang terjadi. Hujan sepanjang pendakian melupuskan segala tekanan dan lelah yang kuhadapi sepanjang terjerat dalam lingkaran rutin sebelumnya. Aku bagai menjadi manusia baru. Hujan, angin yang dingin, pepohonan, batu batu, gunung dan awan dan lukisan2 pemandangan membasuh semua keluluhan jiwa, hati kembali berkembang bagai bunga di musimnya. Ohh..tidak dapat kugambarkan, betapa alam rupa rupanya berupaya untuk mengembalikan kita kepada satu point dimana kita boleh memulakan semula sesuatu yang baru yang bebas dari rusuh dan luluh jiwa, tekanan dan bimbang, murung dan rasa ketidakberhasilan. Kita kembali menjadi manusia yang bebas.

Beberapa bulan lalu aku ke Mulu. Kami ditemani hujan ketika bersampan sekitar 8 km menyisir liuk lentuk Sg Melinau yang airnya jernih dan lambai akar kayunya menyapu dada sungai. Demikian, keadaan itu sungguh nyaman, ia tidak terperi. Aku melihat bangau bangau putih berteduh di celah gua, aku melihat lonjak ikan2 kecil disisip batu batu bulat. Usai saja melayani Sg Melinau kami naik ke tebing Kuala Litut, demi Tuhan, sepanjang 9 KM meredah hutan hujan tropika, hanya hujanlah yang menemani kami. Ohh..alam begitu indah, pohon pohon tegar menunjang menujah langit, sungai sungai kecil yang jernih dan berarus laju, jambatan2 gantung, bukit bukit dan kolam kolam kecil tidak pun sedikit melelahkan kami hingga ketika kami sampai ke Camp 5 disisi banjaran Mount Api, kami amat puas. Hujan, hutan dan gunung gunung kemudian menyedarkan kami betapa Mulu ini amat alamiah, Maha Besar Allah.