Powered By Blogger
Showing posts with label Che'. Show all posts
Showing posts with label Che'. Show all posts

Saturday, August 04, 2007

Hujan dan Ibu




Hujan di kampungku (di K.Trg.) taklah semurung mendung yang sering menyelimuti kota KL. Hujan kampung meriah dan menyegarkan. Hujan di KL membawa banjir kilat dan kesesakan jalanraya. Segala-galanya terhenti. Hujan di kampung pembuka temasya kerana kanak-kanak akan keluar penuh kesukaan dan berlari-larian sebaik ianya turun. Termasuklah aku sendiri. Mandi di bawah saluran-saluran yang mencurahkan air dari bumbung-bumbung rumah. Air yang mencurah-curah seakan-akan air terjun kecil. Jatuh berketul-ketul di kepala. Kerana terlalu girang, tak terasa akan kesejukan. Hanya apabila sudah berteduh dibawah tangga atau serambi rumah, barulah bibir mula membiru dan mulut berketap-ketap dan badan mula menggigil-gigil. Barulah tersedar kebodohan diri kerana tak mengindahkan larangan ibu.

Untuk menghilangkan kesejukkan tatkala hujan, kami sering berkumpul di sekeliling anglo atau dapur arang yang dibeli ayah. Kami seronok melihat api yang semakin marak, dan berebut-rebut untuk menambahkan arang sambil asyik memerhati percikan bunga-bunga api dari arang yang mula membakar. Lebih-lebih lagi apabila ditabur gula. Hanya itulah sumber kepanasan untuk kami dan untuk kain basuhan yang mengambil waktu berhari-hari untuk kering. Dan sesudah kering pun bau hapak akibat terlalu lama dalam keadaan lembap, melekat tebal pada pakaian. Malamnya pula kesejukan bertambah kerana kelembapan tilam kekabu dimusim hujan. Dan kebiasaannya tidur terganggu berkali-kali kerana terpaksa mengalihkan tempat untuk mengelakkan dari titikan air yang mencuri-curi masuk melalui celah kepingan atap bata senggora yang teranjak-anjak kerana tiupan kuat angin tengkujuh.

Sewaktu tengkujuh ibu tak pernah berihat dari tugasnya di dapur. Aku pula ditugaskan ibu untuk bersedia menukar atap nipah yang terselak akibat tiupan angin yang kuat atau kerana daun-daunnya tak mampu lagi menahan air hujan yang tak henti-henti memukul atap. Mungkin ibu melebihkan masa di ruang dapur pada musim tengkujuh kerana di situlah beliau lebih selesa dengan kepanasan dari api yang membakar kayu-kayu api di dapurnya. Setiap kali beliau mengelap lantai yang terlalu basah akibat air hujan yang menitik tak henti-henti melalui dedaun atap nipah, ibu akan berkata, "Ada rezeki, tukar lantai nibung." Itulah hasrat ibu kerana dapur yang berlantai nibung katanya semakin kuat apabila sering dibasahi. Dalam keadaan hujan memanjang itu ibu pula tak henti-henti memasak untuk menjamu kami yang berterusan lapar akibat tenaga yang cepat berkurangan kerana badan bekerja kuat untuk menjanakan kepanasan pada diri. Lauk pauk taklah seberapa kerana barang jualan di pasar mula berkurangan akibat orang hulu yang membawa sayur-sayuran tak akan bermudik ke kuala dalam keadaan air yang deras ketika itu, dan nelayan-nelayan pula tak ada yang kelaut. Lauk pauk yang ada hanya tulang-tulang atau kepala ikan tongkol singgang atau ikan kering atau telur itek masin. Tak lebih dari itu. Tapi kenangan tentang lazatnya juadah sewaktu itu melekat hingga kini.

Hujan di KL kebelakangan ini mengingatkan aku kepada tengkujuh di kampung. Persis. Tapi bagaimana lebatnya hujan di KL taklah sehingga terganggu tidur kami setiap malam. Taklah sehingga berbau hapak kain baju kerana lama dalam kelembapan. Taklah selapar keadaan sewaktu dulu. Semuanya lengkap dan makanan mencukupi. Rumah hanya basah di birai longkang. Tapi keadaan pada hari-hari hujan memuramkan. Dan aku semakin tergingatkan ibu.

Ibuku buta huruf maka beliau tak dapat mengerti mengapa aku perlu bersungguh untuk mempelajari sains atau matematik. Malah apa jua pelajaran yang tak bertulis dengan tulisan jawi. Beliau tak mengerti mengapa abang-abangku perlu ke universiti. Malah beliau satu-satunya manusia yang amat ketinggalan teknologi. Memetik suis lampu sudah terlalu canggih baginya dan sehingga ke akhir hayatnya pun beliau masih tak mengerti cara untuk menyalakan lampu.

Tapi kemunduran itu dikurniakan Allah beberapa ketinggian ilmu yang lain. Beliaulah yang memperbetuli saktah ku dalam pembacaan Yaasiin. Beliaulah yang mendedahkan kepadaku fadhilah Al Kahfi pada malam atau hari Jumaat. Beliaulah yang memaksaku untuk menyembahyang jenazah ketika ada kematian di kampung. Beliaulah yang mengajar kami cara-cara membasuh najis dari pakaian. Beliaulah yang mengajar kami cara-cara untuk membilas basuhan dengan sempurna.

Hujan yang berlarutan hingga ke pertengahan Rejab ini, menguatkan lagi ingatanku kepada Ibu. Setiap Rejab beliaulah yang mengarahkan kami untuk ke surau atau masjid untuk memperingati Israk Mikraj, dan beliaulah yang tak putus-putus menyebut tentang harapan untuk ber-Ramadhan. ”Ada ke umur, wahai diri untuk bertemu dengan mu Ramadhan”. Keluhan ibu setiap hari apabila Rejab semakin berkurangan.

Dan dalam Ramadhan, beliau menjadi lebih sayu mengenangkan anak-anaknya yang tiada di rumah. Setiap hari juadah untuk berbuka puasa dan bersahur dipersiapkan untuk arwah abang sulungku di kampus UM, yang agak jauh juga dari rumah (sewaktu itu kami sudah berpindah ke KL). Dan pada hari-hari lainnya pula beliau akan termenung. ”Apa pula makanan abang mu yang jauh di Landang*? Tak boleh ke Che’ hantarkan sedikit kuih dan lauk baginya?” Atau bagaimana pula puasa adikku di Ipoh.

Hujan di KL seolah-olah tak akan henti-henti. Dan hari-hari kini semakin hampir kepada Ramadhan. Semoga Allah mengampunimu Che’ dan menempatkanmu dalam raudhatul Jannah. Aku taklah merindui kepada ubi bakar atau pengat pisang yang sering dihidangmu pada hari-hari hujan sebegini. Tapi Ramadhan semakin hampir, dan kerana mustahil akan dapat ber-Ramadhan lagi bersamamu; itulah pemangkin kerinduanku.




* Landang = London