I.
Selepas Peperangan Dunia ke-2, terbentuklah negara-negara ‘baru’ di Nusantara apabila sempadan kawasan negara antara Malaya, Singapura, Indonesia, Borneo Utara, Brunei, Philippines dan Thailand digariskan semula penjajah. Garisan baru ini bukan setakat memisahkan beberapa wilayah tertentu dari kawasan asalnya, ianya juga telah menghilangkan bersamanya sebahagian dari sejarah bangsa.
Riau yang dulunya sebuah daulah yang dikenali sebagai Johor-Riau dan mempunyai perkaitan yang rapat dengan Tanah Melayu dan Singapura, menjadi terpinggir daripada sejarah Tanah Melayu setelah ianya diserapkan kedalam Indonesia. Dan dengan secara otomatis sejarah Riau menjadi sejarah Indonesia. Meminggirkan sejarah adalah sikap kita sendiri disebabkan tidak mau meletakkan keutamaan kepada apa-apa yang telah menjadi milik sejarah negara-negara lain. Walhal sejarah Riau adalah juga sejarah kita. Pahlawan-pahlawan Riau adalah juga pahlawan kita.
Setelah kejatuhan Melaka, dan seterusnya kerajaan Johor-Melaka, kesultanan Melayu bangun kembali dengan didaulatkan oleh king makers lima bersaudara berketurunan Bugis, daripada keluarga Daing Rilaka yang berasal dari keturunan raja Luwok dari tanah Bugis, yang menetap di Kelang. Mereka adalah terdiri dari Daing Perani, Daing Menambun, Daing Merewah, Daing Chelak dan Daing Kemasi. Mereka bersaudara inilah pendiri dan pembekal modal insan untuk institusi raja-raja terutamanya di Johor-Riau, Pahang, Terengganu, Selangor, dan Perak.
Kesultanan Johor-Riau yang terbentuk pada 1722 dilantik oleh mereka, dan begitu juga kesultanan Terengganu melalui perlantikkan Sultan Zainal Abidin I, pemula silsilah Yang di-Pertuan Agung pada hari ini, pada 1725. Kesultanan Selangor yang bergalurkan dari Raja Lumu (1742 - 1778) adalah juga dari istana Bugis.
Ada yang berpendapat bahawa keluarga Daing Rilaka atau dikenali sebagai Opu Tenriburong, adalah lanun laut (pirates) dari Bugis. Ini adalah sebagai satu helah untuk memperlekehkan institusi raja-raja Tanah Melayu. Sekiranya ini benar, maka di manakah sejarah yang menceritakan tentang keganasan dan kezaliman yang mereka lakukan di Selangor atau di tempat-tempat lain?
Memang banyak sekali peperangan yang dipelopori mereka, tetapi itu adalah untuk menentang penjajahan Portugis dan Belanda di tanah Melayu pada waktu itu. Pengelibatan mereka semata-mata kerana ingin membebaskan negeri-negeri Islam dari penjajahan, dan secara kebetulannya pula raja-raja yang dalam negeri yang berkait adalah dari kaum kerabat mereka. Peperangan-peperangan itulah sebenarnya permulaan perjuangan untuk kemerdekaan tanah air.
Sekiranya umum mengatakan bahawa kemerdekaan Malaya adalah tanpa tumpah darah, maka pendapat ini tak tepat sama sekali. Ukuran garisan-masa perjuangan untuk menuntut kemerdekaan bukanlah semenjak 1956 akan tetapi 200 tahun lebih awal dari itu. Apa yang kita saksikan pada hari ini, terutamanya melalui akhbar The Star bahwa tokoh-tokoh kemerdekaan tanah air terdiri dari anggota parti-parti MCA, MIC dan UMNO, dan hanya UMNOlah yang mengambil berat tentang pembebasan tanah air dari belenggu penjajah, adalah pembohongan. Apa yang sedang berlaku pada hari ini adalah taktik halus untuk menukar sejarah bahwa Malaya adalah milik sama kesemua kaum dan perjuangan kemerdekaan hanyalah milik mereka. Pengelibatan MCA dan MIC adalah kerana British memprasyaratkan bahwa Tanah Melayu akan diberi kemerdekaan sekiranya mereka diberi tempat di tanah ini.
Mengikut T H Tan, yang mewakili rombongan Tunku Abdul Rahman ke London untuk menuntut kemerdekaan dari kerajaan British, bukan setakat MIC dan MCA diruangkan peranan dalam negosiasi kemerdekaan, malahan ruang-ruang kekuasaan dan kepimpinan yang bertambah juga diehsankan oleh UMNO kepada mereka. Katanya,
”They (UMNO) stood willingly in favour of the Chinese and Indian Alliance candidates. Not only they forego seats which would without question would have been theirs, but they worked tirelessly, unselfishly for the Chinese and Indian candidates. And it was notable that not a single Chinese or Indian, 17 of them in all, lost their seat. I salute those UMNO leaders who made the sacrifice and contribution of incalculable value to the cause of Malayan independence.” (Looking Back, the Historic Years of Malaya and Malaysia by Tunku Abdul Rahman Putra, m.s. 50 dan 51)
Bravo!!
Kenapa pengiktirafan untuk pelopor-pelopor kemerdekaan tidak diberi kepada kesemua yang terlibat dalam perjuangan berdarah semenjak dua ratus tahun sebelumnya? Bukankah mereka sebenarnya bapa-bapa kemerdekaan Tanah Melayu yang sohih?
II.
Tidak mencukupi dengan penguasaan Melaka, penjajah Belanda turun pula ke Selatan, ke Riau, untuk menghancurkan kerajaan Riau yang ketika itu menjadi pusat dagangan baru di rantau Tanah Melayu. Akhirnya Riau bertindak balas dan bermulalah peperangan antara Riau dan Belanda. Selepas menenggelamkan kapal perang Belanda, Welvaren, Raja Haji sebagai Yamtuan Muda ke-IV Riau, telah mengusir Belanda dari pelabuhan Riau dan mengejar mereka hingga ke Melaka.
Entah apalah tebiat Sultan Mansur* (Tun Dalam), Sultan yang memerintah Terengganu pada tahun 1733 – 1793, sewaktu Raja Haji menyerang Belanda di Melaka pada tahun 1784, baginda Sultan telah bersubahat dengan Raja Muhammad Ali putera Raja Alam di Siak, untuk membantu Belanda dalam peperangannya dengan pihak Raja Haji.
Setelah selama 6 bulan Melaka dikepung oleh tentera-tentera Islam, ternyata pertahanan Belanda lebih kuat dan akhirnya tentera Islam tewas dengan terkorbannya Raja Haji di Teluk Ketapang.
Diceritakan pada saat beliau mangkat, pada tangan kanannya memegang pedang perangnya dan pada tangan kirinya memegang kejap kitab Dalaail Khairat, himpunan solawat karangan Sheikh Al Jazuli yang mashyur.
Wafatnya adalah pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, pada 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un. Raja Haji bin Upu Daeng Celak adalah adik kepada Raja Lumu, Raja Selangor yang merupakan nenek moyang kepada kesultanan Selangor pada ketika ini.
Mengikut kajian Almarhum Wan Mohd Saghir, dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut:
“Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.
Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya....”
(Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)
Begitulah pada bulan Rejab ini 223 tahun yang lampau, wafatnya Raja Haji yang diiktiraf oleh Kerajaan Indonesia sebagai Raja Haji Fisabilillah dalam peperangan untuk memerdekakan Tanah Melayu dari penjajahan Belanda. AL FAATIHAH.
Malaysia tak akan mengiktirafi beliau kerana beliau bukannya dari alif mim nun wau!
Nota:
* Anehnya kerana permaisuri Sultan Mansur, Raja Bulang binti Yamtuan Muda Daing Chelak, adalah mempunyai pertalian adik beradik dengan Raja Haji.