Ramai yang akan keliru dengan azan yang tak serentak dari dua masjid yang berdekatan di KL. Masjid Jamek Bandaraya KL dan Masjid India. Azan ‘Asar di Masjid India lebih kurang sejam selepas Masjid Jamek. Begitu juga di Masjid Haji Salleh di Sentul atau mungkin juga di Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang. Itu ‘Asar Hanafi namanya. Bagi mereka yang non-jemaah Tabligh, ini mungkin sesuatu yang ganjil. Tapi bagi ahli Jemaah Tabligh, mereka tentu sudah kebiasaan dengan amalan ini kerana itu adalah dari amalan mazhab Hanafi yang mengafdhalkan untuk melewatkan ‘Asar.
Sebenarnya ini belum ganjil!
Satu waktu dulu saya telah mengambil peluang selepas persidangan di Tunis untuk menziarahi Masjid Zaitouna. Masjid ini mengambil nama sempena pusat pengajian yang dibina di bawah teduhan pokok zaiton. Pusat ini merupakan antara unibersiti tertua di dunia, sezaman dengan Unibersiti Al Azhar di Kaherah dan Unibersiti Kairaouan di Fez. Kelainan masjid ini adalah lantainya tak beralaskan permaidani tetapi dengan tikar jerami yang tebal. Dan di ruang-ruang utama masjid terdapat beberapa majelis pengajian, meskipun yang mendengar pengajian tak sebegitu ramai. Ramai lagi orang-orang yang sedang bersandar pada dinding masjid tanpa berbuat apa-apa. Hanya menunggu waktu berlalu, agaknya. Sebentar setelah ketibaan saya laungan azan pun kedengaran. Dan saya pun bersama-sama berjemaah. Untung sekali fikir saya kerana dapat berjemaah ‘Asar di masjid yang tua ini.
Setelah solat dan sewaktu saya berjalan-jalan di lorong-lorong Souk yang terdapat di sekeliling masjid, terdengar lagi laungan azan. Inilah yang menghairankan. Dua azan dalam waktu yang tak berapa lama jaraknya dan dari masjid yang sama. Berbeza dengan laungan azan dari dua masjid yang saya ceritakan di KL tadi.
Setelah bertanya saya diberitahu bahawa itu adalah azan ‘Asar dan sebelumnya tak beberapa lama tadi adalah azan Zuhur. Rupa-rupanya amalan Maliki pula ada dua pilihan. Sama ada mengerjakan Zuhur pada awal waktu dan untuk melewatkan Zuhur, hampir kepada waktu ‘Asar. Jadi jemaah solat Zuhur dibuat dua kali untuk memenuhi pilihan yang dibuat jemaah. Dan saya pula telah menunaikan 'Asar bukan pada waktunya pada hari itu.
Tetapi itu belum lagi ganjil agaknya.
Faiz, teman saya yang baru pulang dari Kuwait menceritakan hari pertama beliau di sana, beliau pun ke masjid yang terdekat dengan hotel untuk berjemaah Maghrib. Sewaktu beriktikaf, kedengaran laungan azan dari masjid yang terdekat. Akan tetapi masjid di mana dia berada tak melaungkan azan sehinggalah lebih kurang 20 minit selepasnya. Dan azannya pula ada menyelitkan pujian kepada Sayiddina ‘Ali. Rupa-rupanya beliau dalam masjid Syi’ah. Azan Syi’ah berlainan dan mereka pula menjamakkan Maghrib dan ‘Isya.
Tetapi mungkin ini taklah seganjil keadaan di Istanbul misalnya dalam tahun 30-an.
Yang berkumandang dari menara masjid-masjid pada waktu subuh adalah:
Tanrı Uludur Tanrı Uludur
Tanrı Uludur Tanrı Uludur
Şüphesiz bilirim, bildiririm; Tanrı’dan başka yoktur tapacak
Şüphesiz bilirim, bildiririm; Tanrı’dan başka yoktur tapacak
Şüphesiz bilirim bildiririm; Tanrı’nın elçisidir Muhammed
Şüphesiz bilirim bildiririm; Tanrı’nın elçisidir Muhammed
Haydin namaza haydin namaza
Haydin felaha haydin felaha
Namaz Uykudan Hayırlıdır
Namaz Uykudan Hayırlıdır
Tanrı uludur
Tanrı Uludur
Tanrıdan başka yoktur tapacak
Tanrıdan başka yoktur tapacak
Pada zaman itu Ataturk menitahkan supaya Allah dipanggil hanya dengan nama Tanrı dan azan mestilah tidak dalam bahasa Arab. Begitulah bencinya Ataturk kepada bangsa dan bahasa Arab dan kepada Islam.
p.s.:
Harap-harapnya nanti Simah Hanım akan menterjemahkan azan Ataturk ke B. Malaysia. Lütfen.
Azan telah menjadi inspirasi abdi-abdi yang dipaksa untuk membanting tulang dan adanya mengadai nyawa di Amerika se abad dulu, untuk mencipta Blues pertama mereka. Levee Camp Holler, satu rintihan atau tangisan abdi untuk menghilangkan kerinduan kepada kampung halaman dan kepenatan bekerja, mempunyai banyak persamaan gaya laungan dan dengungannya dengan Azan.
Kredit: Gambar Masjid Zaitouna oleh Adam Harrison.
16 comments:
Tuan Keng,
Menarik cerita tentang azan ni...
Saya tertarik tentang kaitan irama blues dengan orang Islam. Kalau dikaji banyak irama muzik dunia yang datang dari orang Islam.
Saya suka dengan Gipsy Kings. Kalau didengar, nyanyian mereka pun ada pengaruh`Moorish'. Mungkinkah mereka adalah dari keturunan Islam yang lari dari kekejaman Reconquista di Sepanyol?
d
(hadir)
banyak macam sungguh. pening nok ikut hok mana.
buleh jadi juga blues tu, pasal asal dia dari orang kulit hitam, yang banyak juga orang Islam.
Azan berbeza waktu di KL pun saya baru dengar pertama kalinya di sini, inikan pula di luar negeri.
Naive sungguh.
Ayah Keng,
Amat menarik sekali.
Kalu sudi tolong tukarkan warna blog template kerana saya rasa amat bermasalah untuk membaca. Kalau tak dapat tak ape.
Terima kasih di atas maklumat-maklumat yang sungguh menarik.
Selalu singgah utk solat di Masjid India - ramai juga kawan yg rasa takut & teragak2 utk berbuat perkara yg sama. Nampak kelainan mereka - rupa2nya tabligh.
Indahnya bila kita saling berlapang dada dalam fiqh 4 mazhab. Kita tak menyatakan mazhab lain sesat/salah. Maybe bro Keng bleh cite pasai wahabbi plak?
p/s; kalu bleh nanti bro buatkanlah entry pasai perbandingan mazhab. Solat cara hanafi, syafie, maliki & hambali. Boleh gak kita tau amalan kita buat la ni mmg 100% pure syafie atau campur 3 mazhab lain atau mazhab sendiri2(ikutan saja).
setakat ni tak jumpa lagi la ustaz yg boleh hurai perbandingan mazhab ni...
Tuan Keng,
Bagaimana pula ceritanya azan dua kali waktu Subuh. Mazhab manakah itu?
Fahaman saya, azan pertama untuk mengejutkan dan azan kedua menandakan masuk waktu.
Betulkah?
Kesian Faiz, hehe. Mungkin ada tanda2 untuk menentukan mana masjid syiah?
Tapi Keng tak cerita pasal Azan Jumaat dua kali di UIA? :p
Agaknya Institute Zaytuna di California di mana Sheikh Hamzah Yusof adalah pengasasnya mengambil sempena nama masjid ini koot?
wahh keng, pengetahuan baru saya dari pengalaman emas keng. Blog ini adalah jejak rasul versi keng.
Terima kasih bro, kerana menyukai kisah pengembaraan Talib Boyak dan Bosun Sidin.
gitu rupanya ye.
Assalamua'laikum Tuan Keng..saya baru tahu mazhab Maliki ada dua pilihan dalam melewatkan zohor, untuk hampir kepada Asar..agak2 kaum yang suka 'mengumpul zohor asar' tu dari mazhab maliki kot?..
-suria-
Tuan Keng..begitu bencinya Atartuk ye, sampai diterjemahkan pula azan..dahsyat sungguh!!
Nak tanya..kenapa ye mazhab Maliki melewatkan Asar? Bukanke qiamat nanti lepas Asar..jadi lebih baik dipercepatkan..harap tuan keng tak keberatan bercerita lebih panjang lagi..topik menarik nie..
Rupanya pelbagai style pula berazan ni. Bila sudah banyak berjalan bermacam-macam 'keganjilan' boleh jumpa, itu baru azan.... :)
(Saya tertarik alunan P Ramlee melaungkan azan di dalam 'Semerah Padi' itu...)
Alhamdulillah kalau kat shah alam atau kat kampung saya masih selaras dalam perkara azan ni, kalau lewat pun cuma dalam beberapa minit sahaja. macam kat apartment saya ni, suraunya selalu azan lambat, bukan sebab perbezaan fahaman ke mazhab ke tapi sebab bilal memang lambat kot. Selalu sebab nak cepat atau nak waktu yang tepat (berbuka puasa) saya kenalah dengar radio ikim tu. Ada jugak beberapa kali saya terlepas azan kat tv dan surau pun tak azan, lewat sangat - sampai orang dah kenyang pun saya belum buka puasa lagi. Eh panjang pulak komen saya ni (bukan komen pun- bercerita pulak)
Saya macam saudara joe penang juga, suka kalau pak keng bercerita. Macam saya ni oversea pun tak pernah sampai lagi, memang tak tahu macam mana kehidupannya kat luar sana tu
Jiwa Rasa:
Malahan kawan saya yang ke Solo, tak dapat meneruskan solat maghrib berjemaah, pada hari pertama dia ke sana, kerana imam di surau kampong membaca Fatihah, berentak Bengawan Solo!
Sayuti:
hadir dengan laptop baru ke?
Pa'chik:
Kesimpulannya orang kulit hitam ada rhythm.
wan:
Jangan terkejut, ramai yang berniaga di sekitar Masjid India sendiri tak menyedari perbezaan waktu antara dua masjid tersebut!
ismail;
dah cuba tukar, tapi nampak hambar sangat.
Madah_berhelah:
Saya dah kata dah, ramai yang disekitar kawasan tak menyedari.
rad:
Kalau ke Sri Petaling, lagi ramai dan lagi aneh pakaian mereka. Dan mereka bersireh.
joe penang:
Ahai, pasal wahabbi tu kena tanya sahabat saya bahrussofa (lihat pada blog-link abu muhammad) dan juga pada blog forgotten lessons. Dan tentang percampuran amalan mazhab, dibolehkan asalkan tak bercanggah dalam satu amalan. Misalnya jangan campur adukkan cara-cara yang berbeza dalam solat. Boleh berwudhuk secara Hanafi dan bersolat secara Shafie.
Tuan Pegawai:
Itu azan di Mekkah dan Madinah. Azan untuk fajar call. Betul seperti kata Tuan, tentang tujuannya.
Puan dith;
Mengikut kata Faiz, beliau akhirnya mendapat tahu yang masjid-masjid Syi'ah berkubah hijau. Dan pada ruang masuk ada bakul yang berisi batu-batu kecil untuk alas sujud.
Lope Tremelbye:
Saya yakin Bosun Sidin akhirnya akan kembali ke pangkuan. Anak kelasi Melayu Lope, mana boleh lupakan asam pedas dan surau.
Anon:
Itu bukan dari mazhab Maliki tapi dari mazhab malas nak buang make-up.
Anggun:
Yang diamalkan oleh mazhab-mazhab bersandarkan kepada amalan Rasulullah. Bukan yang direka-rekakan. Ada kalanya Rasulullah bersolat asar lambat kerana hari panas atau cuaca terlampau panas, dan begitu juga dengan solat zuhur. Jadi inilah keadah yang diambil oleh imam-imam yang muktabar dalam persoalan fiqh, dan mereka meggunakan asas yang kuat untuk menjadi amalan mazhab mereka.
blackpurple:
Ya saya pun tertarik dengan azan Semerah Padi.
~ahni~:
Mungkin bilal di Shah Alam tu bertugas di dua tempat. Selepas habis azan di tempat yang lagi satu baru dia bergegas ke surau itu. Dan ada kalanya tak larat, jadi dia tingglkan surau itu.
Tak, ini tak mungkin!!
Post a Comment