Powered By Blogger

Wednesday, October 25, 2006

Benteng


Inilah satu-satunya mercutanda pembakar semangat di Kuala Lumpur. Yang memberikan 'semangat dan harapan' kepadaku sekurang-kurangnya dua kali setiap hari dan lima hari setiap minggu. Letaknya dilaluanku ke pejabat. Terpacak megah di hadapan perkampungan usang di tengah kotaraya.

Benteng Umat Melayu. Tak pasti sama ada benteng untuk mencegah dari maju ke hadapan atau penghalang dari mundur ke belakang. Atau benteng penahan keruntuhan. Yang pastinya rumah-rumah di belakang papan tanda ini sudah usang dan terbiar. Berzaman-zaman.

Perlu diingat bahawa Kota Melaka yang berbenteng teguh jatuh angkara pembelotan penjaganya pada 1511. Terpikat dengan janji-janji manis Alfonso d'Alburquerque, Nina Chattu dan Uthimutha membuka laluan di waktu malam untuk tentera Peringgi menyeludup masuk.

Yang merisaukan kita adalah pergaduhan berpanjangan antara penjaga benteng dengan mantan penjaga benteng. Keadaan ini amat genting kerana kini benteng tak terjaga! Dan sudah terserlah panjang akal beberapa bendahara-bendahara.

Kebetulan pula antara mel-mel ucapselamat 'Eidulfitri yang ku terima, terselit ballada tanpa nama pengarang di bawah ini. (Harap-harap akan dinyanyikan nanti oleh Airmas_sz). Pengajaran darinya, sesamalah kita perhalusi.



Oh Bangsaku

Mim. Lam-Alif. Ya. Wau.
Bangsaku.
Di mana terdapat ramai bangsaku?

Pastinya di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Lumrahnya mereka bertumpu
Ke pasar malam dan pasar minggu
Berduyun-duyun ke Akademi Fantasia, Jom Heboh dan Pesta Lagu
Ada yang berboleng, ramai juga yang bertudung liku
Tua muda berpusu-pusu, tanpa segan silu.
Ada yang meraung bak masuk hantu
Kalau anak gagal jadi Juara Lagu!
Haram tak peduli, malah buat tak tau
Kalau anak gagal pelajaran atau ditendang sekolah,
ekoran pukul guru
Atau anak pulang berbadan dua; keluar dulu hanya satu!


Apa kurang di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu?
Dan di jalan raya, mereka terkenal terlalu
Mat rempit berlumba haram, tengah malam Minggu
Berlagak naik moto, roda dua jadi satu.
Dahlah lari laju, aksi pulak tak pasang lampu.
Kalah orang sarkas atau polis main tatu.
Laki pompuan dah jadi tak menentu
Halal haram dah jadi satu
Perangai macam syaitan, tak dak sapa ambik tau.
Harapkan yang jaga di selekoh
Sama juga ulat bulu.
Duit rasuah depa sapu.

Tak kurang pula di pusat Serenti
Ramai mat gian yang nunggu mati
Akibat ketagih ganja, pil kuda, heroin dan syabu.
Tak dak sapa nak ambik peduli
Mak pak depa pun tak ambik tau.

Kalu malam kemerdekaan dan malam tahun baru
KLCC, Dataran Merdeka, Bangsar dan Zouk mereka tuju
Terkinja-kinja best giler, menari macam dirasuk hantu
Lompat atas meja, buka pakaian satu persatu
Bilang cucu Rose Chan, neneknya dulu pun tak buat gitu!
Tonggang arak kedarah tuak; macam minum ayaq batu.
Guling guling kaki lima tanpa segan-segan silu
Baju nampak pusat; seluar nampak punggung;
Nampak ini dan nampak ituuuu!
Kita pulak yang naik malu.
Tak dak sapa berani ambik peduli
Mak pak depa pun tak ambik tau.

Apa hobi orang bangsaku?
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Ajak bantah Artikel 11, kata mereka tunggu dulu.
Anak jadi murtad, baru sibuk cari tok guru
Suruh baca doa jampi, mau sembuh tang tang tu.
Berlepak, buang masa, umpat-ngumpat tak jemu-jemu
Yang rajin sikit baca Mastika, bab cerita hantu
Mak cik mak cik nonton telenovela, dari Filipina dan Peru
Terpukau dengan hero, hensem giler, pengubat rindu
Leka tugas leka solat, tak henti nanggis sedu-sedu
Sambil makan junk food, kacang dan muruku
Mana tak gendut dan berpenyakit selalu?

Kalau nak berlagak, bukanlah nak mengata,
bangsakulah nombor satu.
Asal bergaya;
sanggup makan nasi dengan toyu.
Mas kahwin dan hantaran beb, dah cecah berjuta;
Bukan lagi ribu-ribu!
Minta derma masjid
Dapatlah sesikat dua pisang layu.

Baru jadi wakil rakyat, duit rakyat abis disapu
Buat rumah macam istana, harga langsir saja puluh ribu.
Berlagak macam rimau, tapi di parlimen lidah kelu
Bangsa dihentam
Agama jadi ejekan...
Tak berani jawab;
hanya duduk diam membisu
Terkencing dalam seluaq, tunduk bodoh macam lembu.
Jadi dungu!
Inilah angkara menang dipilih pengundi hantu!

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku?
Ahh, mencari majalah hiburan dan buku skandal pak menteri!
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu?
Ya, duduk setengah jam, panas punggung mula nak lari!
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu?
Ada, tapi kurang sangat ke situ. Walaupun kelas free!

Kenapa bangsaku jadi begitu?
Nak salahkan sapa?
Mak pak atau guru?
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu?
Pak Lah ke, Mahathir ke, Tun Razak atau Tunku?

Jawapan yang lazim diberi,
Mereka malas terlalu
Nak harap kerajaan saja bantu.
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Dapat projek juta-juta, juai kat tokei ratus ribu!
Megah sana sini nak tayang kereta baru
Tak habis-habis gaduh, nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu.

Sampai bila kita nak tunggu,
Bangsaku jadi bangsa termaju?
Boleh!
Dengan beberapa syarat tertentu.

Pertama, dengan banyak menguasai ilmu
Kurangkan tengok TV, rajin-rajinlah baca buku
Kata Rasul, ikutlah al Quran dan sunnahku.
Dan gugurkan yang batil, yang haq mesti di tuju
Dan jangan cakap bohong, serta jangan jadi penipu
Dan kerja rajin-rajin, berkualiti dan bermutu

Al Quran yang diturunkan 1400 tahun dulu
Tiap rumah pasti ada satu
Atas rak sampai berdebu
Tapi apakah yang kita tahu?
Hanya buat jampi serapah untuk halau hantu!


Oh bangsaku.

Dan .....
Aku pun satu
Komen aje tau!

~ pengarang: taksapatau ~




p.s. Mengenai Mantan Penjaga Benteng, sila baca komen dari Sdr. Loppies.

10 comments:

Sang Pencinta said...

ayahanda, maaf lama tak mengonline, almaklum beraya di kampung yang tercinta, tiada hotspot kat sana.di mana kampung sang pencinta?.."dangerous from mount"pernah dengar...
apa pun melayu tetap melayu, tidak mungkin jadi ca ya nun alif,cuma raya baru2 ni ramai yang pakai baju melayu, berbangga memakainya di sinag hari. pada sang pencinta mungkin melayu hanya hari raya, hari jumaat serta 'malam jumaat', wallahu 'alam

blackpurple @ jowopinter said...

Agaknya kita cuma boleh berbangga dengan 'baju melayu' dan 'keretapi tanah melayu'...!!!

Anonymous said...

Keng,

Saya dari dulu cukup tak berkenan dgn mantan penjaga benteng! La ni lagi-lagi lah tak kenan nya! Agaknya penjaga benteng elok lah minta bantuan mantan timbalan kepada mantan penjaga benteng sekurang2nya kawan tu boleh menjawab segala tohmahan dan tuduhan dgn cepat dan penuh sindir dan sinis. Tak payah la dok diam membisu sampai orang dah hilang percaya dah!

KakNi said...

Nak komen pun tak tahu.....

Sayapun sama aje. Ada wawasan, ada rancangan, ada tujuan tapi tiada tindakan dan tiada kerja keras.

Sang Pencinta said...

Ayahanda, nak tambah

bagaimana pula, mantan Pembantu Penjaga Benteng VS Pembantu Penjaga sedia ada..terfikir juga nak SMS survey kepada Mantan Penjaga Benteng berbunyi" Penjaga Bentang Sekarang OK dan Bagus, Anda Setuju?" takut SANG PENCINTA ditempelak seperti mana ditempelak MANTAN Penjaga Gol Manchester United. Ayahanda tentu fahamkan

Sya said...

Assalamualaikum Tuan Keng

SELAMAT HARU RAYA dari kak sya

Ordinary Superhero said...

Ayoh Keng,

Bernas sungguh balada dari taksapatau itu.

Bunga Rampai said...

Salam Bro Keng,

Pada pandangan peribadi saya, suatu ketika masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang paling beradab. Besopan, manis, lemah lembut. Madah berkias, kata berhias. Teguh pribadi, utuh rohani. Quran dijunjung, sunnah didamping.

Kini itu semua hanya gah berkumandang dalam segala jenis media. Ya, peringatan demi peringatan supaya Melayu tidak lupa.

Saya kira itulah benteng baru untuk Melayu Baru! Untuk ditertawakan oleh bukan Melayu, untuk ditangisi oleh Melayu Lama!

Gajah sama gajah berlawan, pelanduk mati di tengah-tengah. Kera-kera di sekeliling bersorak-sorai!

Salam.

CERITAKUASN said...

salam saudara keng..

tertarik dengan apa yang dikatakan taksapatau. benar, itulah hakikatnya sekarang. kebenaran yang tidak dapat disanggah. sebab itulah bangsa kita mudah dijajah. terlalu mengagungkan unsur yang datang dari luar. terlalu banyak sifat tolak ansur dgn budaya luar (orang tolak kita ansur ke tepi). melayu yang semakin melayu... saya pun berbangsa melayu....

Sayuti said...

seperti yang dinyatakan dulu, yang patut dipersalahkan adalah diri kita sendiri.

harta yang paling berharga adalah ilmu. kita mengabaikan harta ini...