Ramadhan di Saudi lebih meriah dari bulan lain-lainnya. Maksudku bukan kemeriahan suasana ibadat. Itu pasti sekali. Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dimakmurkan dengan sumbangan dermawan yang berlumba-lumba untuk menjamu di kala iftar. Yang dimaksudkanku, suasana kerja.
Simposium yang dihadhiriku di Jeddah berlangsung dari selepas Tarawih sehingga ke sahur (jam 3.30 pagi) dan selepas bersolat Fajr, kami tidur hinggalah ke 10.00 pagi dan seterusnya memulakan kembali urusan-urusan kerja di Jeddah. Dari satu segi mereka lebih produktif.
Tetapi yang agak menyusahkan sedikit adalah untuk ke kedai-kedai kerana kedai dibuka hanya sebentar selepas 'Asar dan tutup pada waktu Maghrib, dan seterusnya buka kembali selepas Terawih hingga jam 3.00 pagi. Pada suatu petang bersama-sama seorang kawan, kami ke
Hayyu Balad, berhampiran Kornish untuk membeli ihram buat kegunaan ke umrah.
Setiba di Balad, sudah hampir maghrib, kerana kali ini kami tinggal jauh dari bandar, di penghujung
Sharie Hara'a, berhampiran Kornish baru berhadapan Laut Merah. Dengan tergesa kami memilih ihram dan menyatakan kepada penjual bahwa kami harus segera kerana sudah hampir maghrib.
"Tidak. Hari ini kamu berdua tetamu kami. Iftar bersama kami," pelawa mereka. Begitulah selalunya sikap peniaga dari Yaman yang berniaga di souk di Balad.
"Usah," sahut saya, "kami ke
mat'am (kedai makan) sahaja."
"Tidak," tegasnya, "kamu berdua tetamu kami. Keberkatan pada kami." Sambil beliau menunjuk kearah hidangan yang sedang disediakan di kaki lima berhadapan kedai.
Dan sebaik azan, kami bersila di kaki lima untuk merasai hidangan yang paling lazat bagiku. Inilah keberkatan pada jamuan yang sungguh ikhlas. Dijamukan juadah beramai persis sunnah Rasulullahi sollahu 'alaiahi wassalam.
Jazakallahu khairan 'ankum kathiraan.
- 7 September, 2008 -