Powered By Blogger

Sunday, December 02, 2007

Sakit




Minggu lalu KL dibanjiri kaum Tamil yang datang dari merata ladang dan kampung. Berduyun-duyun untuk ke Kedutaaan Inggeris. Bersemangat sekali mereka kerana dijanjikan akan pulang dengan cek bernilai sejuta Ringgit setiap peserta. Kalau satu keluarga lima orang yang menjadi peserta, gambarkanlah. Akan pulang dengan lima keping cek. “Raya Hindu” kata orang Kedah. Alalahi, senang betul. Lebih baik dari swisscash. Halal pula tu. Tanpa gharar dan riba! Benar-benar hasil titik peluh dari keterikan cahaya matahari tengah-hari.

Sekiranya saya juga menukar nama kepada muthu, maniam atau sekaran, pasti juga akan dijanjikan akan mengaut habuan yang sama dari langit. Syaratnya saya mesti menyertai sama dalam himpunan tersebut. Tapi malangnya kepada mereka yang hadhir. Yang datang dari langit bukannya cek tapi air berwarna semburan pasukan berberet merah.

Masyarakat memang sedang sakit. Bermacam-macam penyakit. Tapi bukan sakit fisikal yang akan melarat dan menyebabkan mati. Hanya sakit yang akan menyusahkan jasad dan ruh apabila sudah mati.

Di Selangor dikhabarkan, Bonda Andi dapat membersihkan segala apa dosa seseorang. Begitulah lapuran Harian Metro minggu ini. Bukan secara percuma. Ada upahannya. Beratus ribu. Ada pula yang terkena.

Di penjuru negara yang lain pula, muncul Tok Hassan. Dari Kemaman, Terengganu. Pernah mengistihar dirinya berjaya menahan tiang ‘Arasy dari runtuh. Hasilnya? Alam terselamat dari kiamat. Bukan menahan banjir atau puting beliung. Kiamat. Tapi tak dinyatakan pula tiang itu dari cahaya atau bahan apa dan bagaimana pula tiang itu ditahan. Adakah dengan membuat reinforcement baru seperti kerja-kerja pembaikkan pada MRR2 atau diganti tiang lain. Dan tambah Tok Hassan lagi, beliau pernah berdialog dengan Allah dan Rasulullah. Astaghfirullah. Kesimpulannya bahawa Rasulullah membohongi al Koran! Na’uzubillah min dzaalik. Begitulah akuan Tok Hassan. Lebih top dari Bonda.

Bonda Andi di Selangor dan Tok Hassan di Terengganu. Dari dua tempat yang berbeza kultur dan kemajuan pembangunan. Akan tetapi sama taraf dalam kemunduran minda. Dan ini baru sebahagian dari yang terdedah. Banyak lagi yang tidak. Dulu Ayah Pin, dan sekarang lain pula. Hebat betul orang-orang Malaysia ini. Hebat betul orang-orang kita ni.

Minda kaum ternyata belum berubah meskipun telah 50 tahun Merdeka. Meskipun telah ditarbiyahkan dengan pendekatan kepada Islam dengan pelbagai cara baru.

Keadaan terkini tak jauh bezanya dari keadaan yang pernah terjadi ratusan tahun dulu. Dulu di Parsi setelah kejatuhan Alamut dan selepas kematian Hassan Sabbah, pelopor kumpulan Hashashin dari sekta Ismaili, muncul pula guru baru. Beliau mengambil kesempatan dari kalangan orang-orang miskin yang telah lama melarat.

"Tuan-tuan," katanya, "sudah lama kamu dalam kemelaratan. Sekarang saya bebaskan kamu semua dari keadaan ini. Makanlah dan bersenanglah. Inilah syurga. Dulunya adalah neraka."

"Benar, benar" laung pendengar.

"Hari ini tak ada lagi hukum keatas kamu. Tak ada lagi yang wajib. Semua hukum digugurkan. Apa yang haram dihalalkan. Inilah undang-undang syurga."

"Betul, betul", sorak mereka.

Dengan pidato yang singkat, beliau mendapat pengikut segera. Yang bertambah dan mula bertambah. Satu lagi cabang Ismaili.

Penyakit tetap sama.



13 comments:

Bunga Rampai said...

Salam Bro Keng,

Ada nada pilu dalam tulisan ini yang memahami senario semasa dan silam.

Iya, perubahan yang pi mai pi mai dok tang tu jugak! Kasihan oh kasihan!

Hebat kita hanya pada struktur yang tidak beremosi. Gah kita hanya pada bendera yang dikibar di puncak gunung, di lautan, di ais beku, dan nun di angkasa sana. Cukup nyaman situasi itu mengaburi setiap mata hati. Sedar tak sedar, nilai spiritual kita kecundang sebenarnya.

Tapi saya kira, kita-kita yang di peringkat sakit hati dan masih sedar ini tidak harus mengalah. Kembali kita kepada Quran dan Sunnah. Kembali kita membimbing ummah.

Janganlah kita hanya pandai mengeluh-ngeluh tentang korupsi minda, tentang ketidakadilan politik, tentang itu dan ini yang menyakitkan ... kemudian melihat keruntuhannya tanpa berbuat apa-apa.

Sedikit yang kita usahakan dengan niat baik, pulangannya lumayan dunia akhirat.

Usah biarkan sakit itu menjadi barah.

Wallahu'alam.

Pa'chik said...

kesian orang india... yang menjadi bidak catur yang tidak bernilai...

dan jugak orang melayu... tak abes-abes kena tipu...

err... jugak Islam versi baru yang serba lengkap itu... hu hu hu...

Kaklong Syikin said...

salam,

cukup menakutkan melihat nipisnya iman2 melayu yg mudah ditipu oleh ajaran2 sesat ni terutama mrk yg menyesatkan orang drp mentauhidkan Allah.

blackpurple @ jowopinter said...

Salam sdra keng,

Isi dunia sudah semakin tua, semakin menghampiri penghujungnya. Hampir-hampir nyanyuk semuanya.

Yeop-Harley said...

Ayah Keng

Ada sesat dalam gelap dan banyak sesat dalam terang.

shafarina said...

Kenapa masih ada yang tertipu ya, padahal kerja profesional.

Jalan singkat apa yg dia nampak, kita pun tak pasti.

KakNi said...

Doa saya semoga tidak ada antara kita yang tertipu... saya tak paham macam mana dia orang tu boleh tertipu tapi kemungkinan itu ada yang kita juga mungkin tertipu. Semoga Allah selamatkan kita.

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,
Selagi kita punya kekuatan, dan masih punyai akal waras serta iman sekecil mana sekali pun, usaha tetap kita jalankan agar orang di sekeliling kita selamat daripada kerosakan akalnya; walau sekecil mana pun. Kita tidak dapat mengubah semua orang, tetapi jika sebahagian kecil itu masih mahu melihat dan menerima, di situ usaha kita kembalikan akalnya. Mudah-mudahan...

Saladin Convoy said...

Saya kurang mengerti maksud Tuan (kerana majoriti posting Tuan ini memang agak mendalam maksudnya, hehe), apakah perhimpunan HINDRAF itu didalangi oleh orang tertentu? Peserta perhimpunan dijanjikan bayaran? Siapa menjanjikannya? Apakah pertumpahan darah dan kerosakan harta benda yang dipaparkan itu suatu gurauan?

Pegawai Khalwat said...

Menang bersorak, kampung tergadai.

Anonymous said...

Salam Tuan Keng

Macam-macam orang boleh buat sekarang ni yek. Boleh cuci dosa, bolah tahan dari kiamat. Terror orang lo ni. Harap2 di hari akhirat esok, dema2 ni pun terror jugak nak jumpa dengan Pencipta kita.

tegezoot said...

Sabda Rasulullah;
Umatku akan berpecah menjadi 73 golongan. 1 sahaja yg akan masuk syurga. Iaitu yg berdiri diatas jalanku dan jalan sahabat2ku.
Hadis Bukhari&Muslim.

david santos said...

Hi, Ku Keng,

I wish you a good end of 2007 and a good year of 2008.