Ramai yang akan keliru dengan azan yang tak serentak dari dua masjid yang berdekatan di KL. Masjid Jamek Bandaraya KL dan Masjid India. Azan ‘Asar di Masjid India lebih kurang sejam selepas Masjid Jamek. Begitu juga di Masjid Haji Salleh di Sentul atau mungkin juga di Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang. Itu ‘Asar Hanafi namanya. Bagi mereka yang non-jemaah Tabligh, ini mungkin sesuatu yang ganjil. Tapi bagi ahli Jemaah Tabligh, mereka tentu sudah kebiasaan dengan amalan ini kerana itu adalah dari amalan mazhab Hanafi yang mengafdhalkan untuk melewatkan ‘Asar.
Sebenarnya ini belum ganjil!
Satu waktu dulu saya telah mengambil peluang selepas persidangan di Tunis untuk menziarahi Masjid Zaitouna. Masjid ini mengambil nama sempena pusat pengajian yang dibina di bawah teduhan pokok zaiton. Pusat ini merupakan antara unibersiti tertua di dunia, sezaman dengan Unibersiti Al Azhar di Kaherah dan Unibersiti Kairaouan di Fez. Kelainan masjid ini adalah lantainya tak beralaskan permaidani tetapi dengan tikar jerami yang tebal. Dan di ruang-ruang utama masjid terdapat beberapa majelis pengajian, meskipun yang mendengar pengajian tak sebegitu ramai. Ramai lagi orang-orang yang sedang bersandar pada dinding masjid tanpa berbuat apa-apa. Hanya menunggu waktu berlalu, agaknya. Sebentar setelah ketibaan saya laungan azan pun kedengaran. Dan saya pun bersama-sama berjemaah. Untung sekali fikir saya kerana dapat berjemaah ‘Asar di masjid yang tua ini.
Setelah solat dan sewaktu saya berjalan-jalan di lorong-lorong Souk yang terdapat di sekeliling masjid, terdengar lagi laungan azan. Inilah yang menghairankan. Dua azan dalam waktu yang tak berapa lama jaraknya dan dari masjid yang sama. Berbeza dengan laungan azan dari dua masjid yang saya ceritakan di KL tadi.
Setelah bertanya saya diberitahu bahawa itu adalah azan ‘Asar dan sebelumnya tak beberapa lama tadi adalah azan Zuhur. Rupa-rupanya amalan Maliki pula ada dua pilihan. Sama ada mengerjakan Zuhur pada awal waktu dan untuk melewatkan Zuhur, hampir kepada waktu ‘Asar. Jadi jemaah solat Zuhur dibuat dua kali untuk memenuhi pilihan yang dibuat jemaah. Dan saya pula telah menunaikan 'Asar bukan pada waktunya pada hari itu.
Tetapi itu belum lagi ganjil agaknya.
Faiz, teman saya yang baru pulang dari Kuwait menceritakan hari pertama beliau di sana, beliau pun ke masjid yang terdekat dengan hotel untuk berjemaah Maghrib. Sewaktu beriktikaf, kedengaran laungan azan dari masjid yang terdekat. Akan tetapi masjid di mana dia berada tak melaungkan azan sehinggalah lebih kurang 20 minit selepasnya. Dan azannya pula ada menyelitkan pujian kepada Sayiddina ‘Ali. Rupa-rupanya beliau dalam masjid Syi’ah. Azan Syi’ah berlainan dan mereka pula menjamakkan Maghrib dan ‘Isya.
Tetapi mungkin ini taklah seganjil keadaan di Istanbul misalnya dalam tahun 30-an.
Yang berkumandang dari menara masjid-masjid pada waktu subuh adalah:
Tanrı Uludur Tanrı Uludur
Tanrı Uludur Tanrı Uludur
Şüphesiz bilirim, bildiririm; Tanrı’dan başka yoktur tapacak
Şüphesiz bilirim, bildiririm; Tanrı’dan başka yoktur tapacak
Şüphesiz bilirim bildiririm; Tanrı’nın elçisidir Muhammed
Şüphesiz bilirim bildiririm; Tanrı’nın elçisidir Muhammed
Haydin namaza haydin namaza
Haydin felaha haydin felaha
Namaz Uykudan Hayırlıdır
Namaz Uykudan Hayırlıdır
Tanrı uludur
Tanrı Uludur
Tanrıdan başka yoktur tapacak
Tanrıdan başka yoktur tapacak
Pada zaman itu Ataturk menitahkan supaya Allah dipanggil hanya dengan nama Tanrı dan azan mestilah tidak dalam bahasa Arab. Begitulah bencinya Ataturk kepada bangsa dan bahasa Arab dan kepada Islam.
p.s.:
Harap-harapnya nanti Simah Hanım akan menterjemahkan azan Ataturk ke B. Malaysia. Lütfen.
Azan telah menjadi inspirasi abdi-abdi yang dipaksa untuk membanting tulang dan adanya mengadai nyawa di Amerika se abad dulu, untuk mencipta Blues pertama mereka. Levee Camp Holler, satu rintihan atau tangisan abdi untuk menghilangkan kerinduan kepada kampung halaman dan kepenatan bekerja, mempunyai banyak persamaan gaya laungan dan dengungannya dengan Azan.
Kredit: Gambar Masjid Zaitouna oleh Adam Harrison.