Powered By Blogger

Sunday, June 18, 2006

Hari Bapa. Hari Ayah. Hari Pak. Hari Bak.

Hari ini rupa-rupanya Hari Bapa. Aku telah diperingatkan tentang Hari Bapa dari blog-blog yang aku ziarahi, dua tiga hari lepas. Tetapi kerana kebiasaan tak menyambut hari-hari khas sebegini, maka tak ku nukilkan di ingatan bila sebenarnya jatuh Hari Bapa. Hari yang telah ditetapkan tanpa usah berukyah. Hanya berhisab. Tanpa keperluan untuk diistiharkan oleh Pemegang Mohor Majlis Raja-raja. Malahan hari Maulud juga tak ku ingat bila akan bertepatan dengan tarikh Gregorian. Yang aku pasti 12 Rabi’ul Awwal tu tarikh kelahiran Rasululluahi sollallahu ’alaihi wassalam, dan yang aku pelajari dari syarahan Maulud Dato’ Asri Haji Muda dulu, maulud disambut pada bulan-bulan Hijriah yang berakhir dengan awwal dan akhir. Itulah kebiasaan masyarakat pondok di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Patani.

Pagi ini aku dikejutkan oleh anakku Mizdan, dengan ucapan ”Selamat Hari Bapa, Ayah”

”Bila?’ tanyaku.

”Hari ini!” jawabnya.

Seminggu lepas, aku telah keliru dengan hari. Sangkaku pada suatu hari yang lepas adalah hari Khamis dan aku hanya bersantai dirumah meskipun telah diberitau isteri bahwa itu adalah Jumaat. ”Tak,” kataku, "besok Jumaat." Beliau hanya diam kerana sangkanya mungkin beliau yang tersilap. Beberapa minit kemudian, aku menerima panggilan dari pejabat memperingatkan bahawa ada temujanji pada pukul 10 hari itu. ”Besok,” jawabku, ”pada hari Jumaat, bukan hari ini!”. Dan jawapan yang ku terima, membuatku tersentak, bahawa sebenarnya aku tersilap hari.

Hari Jumaat. Ritual ku pada pagi-pagi lagi, menziarahi pusara Ayah, dan pada hari itu ternyata aku sudah amat terlambat. Cepat-cepat aku mempersiapkan diri dan terus ke perkuburan dalam perjalanan ke pejabat. Tetapi hari itu, aku di lupakan oleh Allah SWT tentang banyak perkara-perkara. Sesampai di kubur Ayah, selepas memberi salam, aku menjadi tergamam. Aku terlupa bacaan Selawat Syajarah yang sudah menjadi amalan kebiasaan. Berkali-kali aku cuba memperingatkannya, tetapi selawat tersebut terlepas daripada ingatan. Ku cuba lagi selawat-selawat lain yang selalu menjadi bacaan hadiah untuk arwah-arwah. Juga terlupa. Dan dengan linangan air mata, aku merenung ke kubur ayahku dan menyedari bahawa hari-hariku dan usiaku juga sudah jauh berlalu. Jauh tertinggal dan terbiar sehingga pada hari ini Allah SWT telah mengambil ingatanku hanya buat seketika, dan aku menjadi begitu kelam-kabut.

Meskipun ayahku sudah hampir lima tahun ke alam Barzakh, tetapi ingatanku kepadanya masih kuat sekali. Amat kuat. Aku malu kepadanya kerana tidak menjadi seorang bapa sepertinya. Ayahku tak tinggi pelajarannya. Hanya peringkat Thanawi, dan mempelajari Inggeris hanya di kelas-kelas malam. Tetapi arwah Ayah mempunyai pengetahuan ilmu yang luas. Baik ilmu dunia atau ilmu ukhrawi. Daripada beliaulah kami adik-beradik menimba ilmu-ilmu terutamanya tentang ilmu agama.

Kali terakhir aku bersamanya adalah dua hari sebelum beliau pulang kerahmatullah. Pada satu pagi Jumaat sewaktu dalam perjalanan ke pejabat aku memarahi diriku sendiri kerana tak menjadikan tabiat membaca al Quran atau wirid-wirid sewaktu dalam perjalanan ke pejabat atau kemana-mana. Sebagaimana kebiasaan Ayah. Dan pada tengah-hari tersebut sebaik melangkah keluar dari masjid, aku menerima panggilan daripada anak saudaraku Nadiah, untuk memberitahu bahawa Tok Wan-nya rebah di masjid, sewaktu bersolat Jumaat. Aku menerima berita itu dengan tenang, dan memang terlintas pada hatiku bahwa beliau telah meninggal, meskipun kesihatannya seperti biasa. Aku menalipon abangku di London untuk menyampaikan berita dan menalipon lagi kepada adikku (bapa kepada Anak Saudara MIA), dan kepada anak sulungku Adem supaya membuat persiapan sekiranya betul Ayah telah meninggal. Dan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah barulah terlerai air mata kerana kehibaan kehilangan ayah. Bukan hanya kehilangan seorang bapa tetapi kerana kehilangan tempat kami menimba ilmu.

Seminggu dua ini memang ingatanku kepadanya kuat kembali kerana hanya dua minggu lalu tiga orang rakan masjidnya datang menziarahiku dan seorang daripada mereka, yang tak pernah aku ketemui, menanggis apabila melihatku. ”Ini anak Pak Wan ke?” tanyanya, ”He was my colleague many years ago. I remember when I was in Kota Baru, he used to call me from Kuala Terengganu, and his first question was always, ’Dah sembahayang ke?' In fact, in 1961, I advised him to accept his promotion and be transferred to KL.” Tak habis-habis beliau menceritakan pengalamannya bersama Ayah, dan apa-apa yang dipelajarinya daripada arwah Ayahku.

Setahun selepas kematian Ayah, sewaktu aku di Masjid Nabawi, terlintas pada ingatanku akan kebiasaan pesanan Ayah untuk disampaikan salamnya kepada Rasulullahi sallahu ‘alaihi wassalam. Dan apabila aku membuka buku Do’a Ziarah, terjatuh sekeping kertas yang tertulis rapi dengan tulisan Ayah, “Assalamu 'alaika ya Rasulullah. Assalamu ‘alaika ayyuhan nabi, warahmatullahi wabarakatuh.” Seakan-akan Ayah ketahui tentang ziarahku ke makam Rasul.

Dan hari ini pula adalah Hari Bapa. Aku tak dapat memberi ucapan yang sama kepadamu Ayah, sebagaimana ucapan yang aku telah terima daripada anakku yang juga cucumu. Tetapi hanya do’a yang dapat ku mohonkan kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT memberi kepada mu, wahai Ayah, kasihan belas sebagaimana belas kasihannya kamu, wahai Ayah, kepada kami, sewaktu kami kecil-kecil dulu. Semoga kuburmu menjadi sebahagian daripada kebun-kebun di syurga, wahai Ayah. Semoga aku menerima syafa’at Rasulullahi sollallahu ’alaihi wassalam wahai Ayah, supaya aku dapat bertemu lagi denganmu dan dengan Che (ibu), di alam akhirat nanti.


Wa inna inshaa Allahu bikum la hiquun.

28 comments:

Anonymous said...

Selamat hari saya tujukan kepada Keng dan juga seluruh bapa-bapa.

Keng, saya print doa itu untuk hafalan, saya pun doakan untuk bapa dan arwah ibu.

[V]landa said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

Happy fathers day to you, tok wan and daddy.

Kalau nak tunggu awak datang, berjanggutlah saya. Nampaknya saya lah yang kena pergi menjenguk.

Anonymous said...

Selamat hari bapa...yang atas tu terpadam perkataan bapa!

dith said...

DO you mean to say for the last 5 years you've been making the ziarah to arwah's kubur every friday? Masyallah!

Pegawai Khalwat said...

Aku rasa Tuan Keng lebih arif dari kami semua.

Tapi pada aku, tiap-tiap hari adalah hari Bapa dan Ibu. Sebab tiap-tiap hari 5 kali sehari kita mendoakan kesejahteraan ibu bapa kita.

Tapi aku suka ambil yang jernih dari pada perkara mengadakan 'Hari Hari Khas' seperti ini. Kerna biarpun kita mendoakan kesejahteraan orang tua kita, tapi kerap kalinya kita mungkin tak dapat berbakti pada mereka (bukan semua).

Pada aku, masa yang khas inilah (atau masa khas yang lain) masa untuk kita buat sesuatu yang istimewa untuk orang tua kita. Belanja makan yang sedap ka, bawak jalan-jalan ka, dan lain-lain lagi.

Tuan, terima kasih atas doa-doa itu. Moga saham tuan terus meningkat.

Psss.. aku heran, kalau aku komen blog Keng mesti panjang berjela.

Anggun said...

Tuan Keng,

Terharu membaca tulisan Tuan pagi ini. Bergenang kelopak mata. Sungguh Tuan anak yang soleh, amin..

Saya bersyukur mak dan abah masih ada. Moga Allah penjangkan umur mereka dalam iman yang teguh, kesihatan yang sempurna dan hati yang bahagia. Akan saya teladani segala ilmu baik yang tuan unjurkan di sini.

Selamat hari bapa untuk tuan..

Ordinary Superhero said...

Selamat Hari Bapa kepada tuan.

Tuan juga apa kurangnya, selalu menelefon hamba di petang hari dan bertanya 'dah sembahyang ke belum?'. Terima kasih atas ingatan tuan.

Anonymous said...

Tuan Keng

Hiba dan berair mata saya membaca tulisan Tuan. Semoga Allah (swt) mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham...amin.

Saya rasa banyak perkara yang saya ingin laksanakan untuk kedua ibu bapa saya. Saya berdoa Allah(swt) memperkenankan hajat saya itu.
Semoga Allah memberikan kedua-duanya umur yang panjang, kesihatan yang baik serta apa yang mereka hajati.

Teringat saya, pada maksud Hadith Nabi (saw),bunyinya lebih kurang begini. "Berjasa dan berbuat baiklah kepada ibu-bapa jika inginkan umur yang panjang".

NATO said...

Alhamdulillah..sejuk perut che tok mengandungkan tok dulu..semoga tak putus doa yg tok panjatkan buat ayah dan che tok..itu sahaja penghubung antara anak dan ibubapa yg telah tiada..

saya bersyukur ibubapa masih hidup dan cuba sedaya mungkin membahagiakan hati mereka..dan membalas jasa mereka walaupun saya tau takkan sama dgn apa yg tlh dicurahkan..

harapan dan doa saya..semoga anak2 saya pula akan menjadi anak2 yg soleh dan taat seperti tok dan dpt mendoakan saya bila saya tiada kelak..Ya Allah..Kau perkenankanlah..

sinaganaga said...

Untuk Keng - selamat hari bapa. Maaf, aku terlambat macam biasa.

Untuk Kak Nor - selamat hari ibu. Dah makan ke belum? Ha ha. Sambutan 50 tahun DBP tak dijemput ke?

KakNi said...

Syukur Alhamdulillah kepada Tuan Keng kerana dapat buat apa amalan2 yang mulia seperti ini. Lupa yang sedikit tu adalah nak bagi ingat lagi banyak tu. Semoga dengan amalan2 yang baik itu juga, anak2 tuan keng dapat juga mengambil teladan.

Saya juga berharap agar dapat berbakti kepada orang tua, baik masa depa hidup atau masa mereka dah tiada nanti.

Tok Rimau said...

Setiap hari. hari Ibubapa. Aku nak call kampung malam ni.

simah said...

selamat hari bapa kepada keng bey..

bapa keng bey menjadi inspirasi kepada keng bey..dan saya rasa keng bey pun sudah menjadi inspirasi kepada ramai orang lain.. terutamanya anak anak..

Sayuti said...

saya berharap agar dapat menjadi bapa yang baik pada suatu hari nanti. doa2kanlah ye tuan.

Kak Teh said...

Al- Fatehah.

loppiess said...

syeik keng,

ana terkesan dan sebak.
Al Fatehah buat mereka yg pergi terdahulu.

P@P@LLoN@ GRoG@ said...

syeik keng,

ana terkesan dan sebak.
Al Fatehah buat mereka yg pergi terdahulu.rgi terdahulu.

Anonymous said...

ayah keng,

happy belated fathers day. kehadiran tok wan masih lagi kami semua rasai dengan adanya ayah keng.

thank you for everything.

Anonymous said...

alfatihah juga buat abah..

Chika Chika said...

kalini...sy membaca dengan pilu sekali..

Bunga Rampai said...

Salam.

Terharu.

Semoga Bro Keng dalam damai dan tenang selalu mengemudi hidup bersama keluarga.

Ku Keng said...

Kim-Labu:

Kita doakan untuk semua ibu-ibu dan bapa-bapa, semoga mereka diampuni Allah SWT.

Anak Saudara:

Thanks for dropping by. Hope you were not late for work.

Puan Dr.:

Rememebered the years but never counted the days, until you pointed out. Ziarah kubur is a habit acquired from my days growing up in KT. It was (and I believe still is) a popular Friday ritual there.

Tuan Pegawai:

Ada saya terbaca, tak diterima doa yang tak termasuk doa untuk kedua ibu bapa. Setiap waktu adalah khas bagi mereka.

Sekiranya komen blog panjang, doa pun harus panjang-panjang juga.

Madah Berhelah:

Kalau berjauhan, dekatkan dengan doa. Jangan bersyahdu. Dan jangan jadikan jarak sebagai helah!

Anggun:

Jangan terharu. Bertenang. Dan bersyukur kerana Abah dan Mak masih ada dan masih dapat berbakti kepada mereka.

O S:

Terima kasih kepada Tuan yang juga seorang Bapa.

Lain kali saya buat reverse charge calls!

Wafa:

Dan juga ibu dipentingkan selepas ibu dan selepas ibu. Barulah bapa.

McKay:

Syukur kerana anda pun masih dapat berbakti kepada ibu dan bapa. Dan semoga anak-anak akan mendoakan yang lebih baik lagi.

Naga:

Dari saya: Terima kasih.

Dari Kak Nor: Juga terima kasih. Kak Nor bilang, mungkin DBP hilang senarai kakitangan lama yang telah berhenti atau bersara. Tak mengapa buatkan perayaan dan jamuan khas di warong-warong depan DBP.

~ahni~:

Insha Allah, tak berat untuk kita semua mengamalkannya.

Simah Hanim:

Semoga begitulah hendaknya.

Sayuti:

Saya nampak dari riak Tuan Yut akan menjadi bapa tak lama lagi dan akan menjadi seorang bapa yang terbaik.

Kak Teh:

Banyak kali ternampak nama Kak Teh dan baru kali ini menziarahi blog Kak Teh. Rupa-rupanya amat kenal. Ya semoga Allah menerima doa-doa kita semua.

Lope:

Bagaimana dengan kesihatan Busu? Semoga beliau tak pergi.

Rosa Maria:

Ini ahli plagiat!

Ummu Ali:

Dan jangan lupa pesanan-pesanan Tok Wan supaya tidak melupai Allah SWT.

Gitartong:

Alfatihah.

Lentiform:

Yang pergi senantiasa menjadi ingatan.

Chikadior:

OK jangan berpilu lagi. Pergi habiskan projek.

Rampai:

Antara dua alam. Mereka pergi ke alam yang lebih kekal.

Ku Keng said...

Tok Rimau:

Maaf Tok, tertinggal tadi. Dah buat ke call yang dijanjikan? Lain kali buat 3G call, baru cun.

Unknown said...

Rasulullah s.a.w pernah bersabda;

apabila matinya anak Adam maka terputus amal ibadatnya kecuali 3 perkara,

1. ilmu yang bermanfaat,
2. sedekah jariah dan
3. doa anak-anak yang soleh.

Moga Ayah Tuan Keng dan ayah-ayah lain, diberi keampunan dan digolongkan dalam golongan orang yang soleh...

Sayuti said...

tuan keng, terima kasih. moga2 ada berita gembira menanti saya menjelang hujung minggu ini.

Ku Keng said...

Jiwa Rasa:

Ya, hendak-hendak kita pun tak leka dari kesempatan sebegitu.

Dan Amin kepada doa yang dipanjatkan.

Deb:

Thanks Deb, once in a while I need to have wake up calls.

Sayuti:

Jangan lupa hebahkan Yut. Kami menunggu dengan berdebar-debar.

Anonymous said...

Looking for information and found it at this great site...
Interior decoration for children room Red hot poker dots