Powered By Blogger

Saturday, June 23, 2007

Ilham Badai





Lope,

Aku tak kemana sebenarnya.

Hanya tiba-tiba dilanda kesibukkan untuk membetulkan keadaan. Keadaan musabbab kepada kekecewaan. Agaknya. Dalam keadaan masakini yang telah menimbulkan minat mendadak dari kalangan bukan Islam untuk menerokai dan menguasai perbankan secara syariah, tiba-tiba lesap anak-anak Muslim dari gelanggang. Seakan-akan dunia kerjaya ini terlalu asing bagi mereka. Itulah kekecewaanku.

Dan di dunia ini seolah-olah dikerumuni semut hitam keluar sarang atau kelkatu berterbangan mencari cahaya, sebelum hujan. Begitulah dunia perbankan dipenuhi tenaga pekerja ala tentera upahan atau mercenaries yang gigih meniagakan produk atas nama Islam. Memetik-metik hukum-hakam tentang haramya riba. Memberi sepenuh keyakinan. Bukan kepada kafir malahan kepada yang Islam. Tapi pakaian dan kesopanan mereka jauh menafikan kewajipan yang dikehendakki Illahi.

Apabila kau menyebut
“… melata di baruh mula berbondong…”
teringat diriku kepada Hamzah Fansuri dari Baruh.

Dari Baruh ke kota Mekah
Hamzah pergi mencari Allah
Tidak berjumpa di dalam Kaabah
Rupanya ada di dalam rumah

Atau dalam satu versi lainnya,
Hamzah Fansuri di dalam Makkah
mencari Tuhan di Bait al-Ka`bah
di Barus ke Qudus terlalu payah
akhirnya dapat di dalam rumah

Sebenarnya Hamzah bukan tinggal di baruh tapi di daerah yang mengeluarkan barus. Dari getah kayu yang dijadikan camphor, wangi-wangian yang dicampurkan pada air untuk memandikan mayat, dan juga untuk pengeluaran ‘attar (minyak wangi).

Kedekatan penyair sufi ini dengan lingkungan Baruh, dengan lautnya, daratnya, penghidupan, dan budaya masyarakatnya, terserlah apabila memperkenalkan dirinya:

Hamzah di negeri Melayu
Tempatnya kapur di dalam kayu
Itulah barus. Kapur di dalam kayu kamfer.

Hamzah sentiasa bertafakkur. Tak bersantai di pantai tetapi mencari ilham dari badai. Agaknya setiap hari sebelum ‘asar beliau ke pelabuhan untuk melihat-lihat hasil tangkapan lautan yang dibawa pulang oleh nelayan-nelayan, atau untuk menenangkan fikiran sambil berbisik-bisikan dengan angin-angin sepoi yang membelai muka dan mendakap badan; atau sambil bertegur sapa dengan camar-camar laut yang mencari rezeki pada ikan-ikan yang dibuang nelayan. Sambil dibelai dengungan lautan beliau mengadu-gadu pada air tentang kebebalan manusia kepada peringatan Illahi. Maka timbullah ilham dari perahu.

Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah
membetuli jalan tempat berpindah
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat jua kekal diammu
.....

Kenali dirimu di dalam kubur
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur

Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang
......

Dan kalanya pada Hamzah, ikan tangkapan memberi ilham perihal cahaya Junjungan (Nur Muhammad):

Ikan tunggal bernama fâdhil
Dengan air dâim dia wâshil
‘Isyqinya terlalu kâmil
Di dalam laut tiada bersâhil
.....


Pada Hamzah, kelemahan diri dalam usaha untuk mencapai nikmat penyatuan dengan khaliq, bukanlah akibat dari sesiapa malahan angkara sendiri. Dalam merenung dan bermuhasabah, bunyi pingai di hutan memberi ilham dan lenyaplah kemusykilan yang melanda badan

Hamzah sesat di dalam hutan
pergi uzlat berbulan-bulan
akan kiblatnya picek dan jawadan
inilah lambat mendapat Tuhan

Unggas pingai bukannya balam
berbunyi siang dan malam
katanya akal ahlal-‘alam
Hamzah Fansuri sudahlah kalam

Tuhan hamba yang punya alam
timbulkan Hamzah yang kalam
‘isyqinya jangankan padam
supaya warit di laut dalam

Dan apabila ternyata pengajaran Wahdatul Wujud-nya mendapat tentangan hebat terutamanya dari Nuruddin ar Raniri, maka ke pantai lagi beliau bertafakkur, dan ombak dan badai yang tak penat memukul pantai, memberinya ilham untuk mengadu tentang ceteknya fikiran manusia yang tak dapat menampung keluasan ilmu makrifah Illahi:
Hamzah Fansuri terlalu karam
Ke dalam laut yang maha dalam
Berhenti angin ombaknya padam
Menjadi sultan pada ke dua 'alam

Hamzah miskin hina dan karam
Bermain mata dengan Rabb al-'alam
Selamnya sangat terlalu dalam
Seperti mayat sudah tertanam



Begitulah Lope, tingginya martabat tafakkur. Untuk mengenal Allah, tafakkurlah yang diperintahkan-NYA. Apabila kefahaman sudah mendalam, segala apa yang dilihat, itulah dari-NYA. Bagaimana dengan tafakkur kita? Atau tepatnya tafakkurmu di Tremelbye?

Apa agaknya kejutan yang akan membawa perubahan pada keadaan. Kini kita dalam tahun ke-50 Kemerdekaan!

Nota:
Kepada kawan-kawan yang telah meninggalkan komen dan catitan pada entri Sejarah Berdarah, diucapkan terima kasih dan semoga menjadi iktibar dan persiapan kepada apa-apa kemungkinan pada masa hadapan. Ingat pesanan wahai taulan. Bersiap sedia satu kewajipan.


P.S.
Rampai, Blog sengaja dibiarkan bersawang untuk memperingati Hari Dunia!



12 comments:

abdullahjones said...

selamat datang balik bro.

Pa'chik said...
This comment has been removed by the author.
Pa'chik said...

alamak ku...
saya melayu
yang tidak tahu..
syair perahu...
hu hu hu...

Bunga Rampai said...

Blog dah bersih disapu badai :)

Ingatkan Hari Dunia milik Mawi seorang ;)

Ilham pencinta Alam dalam diam, datang dari tafakur yang tidak berkesudahan. Mata hati mencecah kerak bumi, menyelam dasar laut, mencapai langit tujuh.

Anak-anak Muslim tafakurnya hingar di kompleks membeli-belah, bertempek di pentas-pentas hiburan, bergurukan tivi. Lupa pada Masa.

Selamat kembali berblog Bro.

Salam.

Mak Su said...

tengok bukan sebarang tengok

Unknown said...

Selamat kembali Tuan Keng

Rindu dendam pada tuan yang telah lama menyepikan diri. Bukannya apa blog tuan ni selalu dapat menyedarkan kami2 yang kurang sedar ni termasuk lah gan saya2 sekali. Terima kasih tuan keng...

Queen Of The House said...

Apa agaknya yang diperbetulkan oleh Tuan Keng? Curious.

Dulu biasanya buat bayaran kereta kepada H*ong L*eong Bank. Lepas tu terima surat minta buat bayaran kepada H*ong L*eong Islamic Banking ... tersedak kejap, sebab janggal bunyinya.

Pegawai Khalwat said...

Indahnya seni bahasa Hamzah Fansuri.

Membuktikan dakwah itu luas caranya.

Moga saya akan dapat menuju ke arah itu.

Anonymous said...

Baru saya faham apa yang Fansuri kalamkan.

Butaseni@Wan Raja said...

salam bro keng,
takde samungan lagi ke sejarah berdarah tu.gua baca sampai meremang bulu bro hehe

dith said...

Keng,

Saya akui ini adalah entry yang paling dalam maknanya serta penuh dengan insunuasi2 (insinuations) yang abstrak yang pernah tuan tulis.

Bila baca entry sedemikian saya terpaksa baca ulang kali dan cuba cerna intipati sebenar.

Harap betul lah apa yang saya fahamkan, :P

Ini adalah entry yang hanya org seni seperti Lope, Jiwarasa dll faham, :p

Ku Keng said...

AJ:

Terima kasih Bro. Saya masih lagi membaca-baca puisi pada laman saudara, untuk memahami intinya. Amat sukar.

Pa'chik:

jangan nnangih. Nati gi ppata keleh, keleh ko ombak, keleh ko perahu, keleh ko langi, lamo lamo jadi pahe lah.

B Rampai:

Anak-anak Muslim di pusat-pusat hiburan menyambut seruan kerajaan supaya memeriahkan keadaan. Jom, jom dan jom.

Mak Su:

Tengok mmolek Mak Su. Terima kasih kerana datang mengziarah.

Putri:

Sama-sama Puan Puteri. Bukan untuk menyedarkan pembaca, tapi untuk menyedarkan diri sendiri.

QOTH:

Untuk memperbetulkan apa yang disebut dalam para ke-2 itu. Ha ha.

Tuan PK:

Hamzah Fansuri dalam menyendiri, meneroka hati. Menjelajah ke alam Illahi. Mengenali diri dan akhirnya mengenal Rabbi.

Anon:

Sama-samalah kita.

Butaseni:

Ingat, ingat, tak semestinya tak akan berulang. Dulu Bintang Tiga, Sungai Manik, Hartal, 13 Mei, dan mungkin banyak lagi.

Puan idth:

Insha Allah mendapat kefahamannya.