Powered By Blogger

Saturday, February 17, 2007

Tuan Mufti




Kalau sudah berkali-kali berjerembong, mungkin tak manis kalau tak bertegur sapa. Sekurang-kurangnya berbalas senyum. Begitulah keadaannya. Empat kali diriku bersua dengannya dalam seminggu. Meskipun sudah menyambut dengan senyuman pada kali pertamanya, tapi rupanya belum mencukupi. Dia datang lagi. Dan lagi dan lagi.

Pertama kali sms (kawan-kawanku suka ber-sms kerana kata mereka lebih berkesan daripada berbual dan juga dapat mengurangkan radiasi kepada otak!) yang saya terima, hanya saya membalasnya dengan senyuman. Dan kerana sms yang dikirim tak terjawab, penghantar mengirim lagi ulangan kepada sms pertama.

“Sheikh, anta tau tak apa-apa tentang swisscash, abbfund, etc. Ramai orang menyertainya. Halal ke?”

Jawapan saya rengkas, hanya, “Itu Labu Peram alam siber. Haram.”

“Tapi ada mufti yang aktif mempromosinya.” Balasnya.

“Mufti bodoh. Mufti mana?” responku lagi.

“Mufti XXXXXX.” Jawabnya rengkas juga. Dan tak ada sms selanjut darinya.

Kali kedua. Pada satu malam sewaktu saya membawa Pak Didik, tamu dari Malang (Jatim, Indonesia) ke sebuah restoran kepala ikan yang ber-wifi di KL, ramai ternampak anak-anak Melayu yang sedang rancak berbincang sambil meneliti-liti skrin laptop mereka yang terpapar dengan ruangan yang penuh dengan angka-angka. Bagus betul fikirku, kerana anak-anak bangsa sudah canggih manggih serta sudah berminat dengan subjek yang berangka. Kebetulan antara mereka ada seorang yang ku kenali dan apabila disapa, jawapan yang diterima adalah “swisscash.” Rupa-rupanya mesyuarat antara peserta-peserta (upliners dan downs mereka). Aha, bakal jutawan yang tak perlu bergantung kepada parti dan projek-projek RM9 (bukan Ringgit 9 tapi Rancangan Malaysia ke-9).

Kali ketiga pula, sewaktu bersarapan, isteriku bertanya “Swisscash tu apa?” Dan hampir-hampir terbelahak diriku dengan soalan yang amat mengejutkan itu.

“Dari mana tau?” tanyaku.

“Dari pekerja Cikgu tuisyen yang bermain gitar tu. Mereka mengiklannya di ruang tangga ke pusat tuisyen.” Jawabnya.

Dan akhirnya, sewaktu kuliahku kelmarin, seorang peserta bertanya, “Kenapa benda yang menguntungkan nak di kira halal-haramnya.”

“Apa?” tanyaku hairan.

Swisscash,” jawabnya serius.

"Dia datang lagi," bisik hatiku.
.
..
...

Pada fikiranku, ini sudah petunjuk kepada diriku supaya menangani subjek ini dengan serius.

Kalau anda mau kaya cepat, tanpa usaha yang berat dan bermodalkan yang sedikit, maka jawapannya adalah swisscash atau abbfund atau yang seumpamanya. Itu kata mereka dan bukan nasihat saya.

Pernah dulu skim ini dikaitkan dengan seorang tokoh korporat yang tertentu. Apabila bersua dengannya pada suatu hari dulu, saya bertanya, “Wak, betul ke kamu pendiri swisscash?”

“Ahh, ini yang buat aku marah kat budak-budak ni. Satu hari depa jemput aku minum teh, dan gambar aku diambil sewaktu sedang kencang berbual. Tau-tau dah masuk website mereka.” Terangnya.

“Ha, padam muka hang, lain kali tanya dulu jemputan tu untuk majlis apa? Mana ada orang bagi minum free!” Ketawa dan ketawa kami.

Dan nasihatku kepada Sohibus Samahah Mufti yang aktif mempromosikan skim ini:


“Tuan. Ini business apa sebenarnya? Tak tau apa latarbelakangnya, maka itu gharar. Tuan lebih ariff dalam bab ini.

Dan kalau Tuan kata dalam kaedah mudharabah tak wajib berusul-tanya tentang tujuan perniagaan atau pelaburan; memadai mempercayai kepada keupayaan dan kecekapan pentadbir atau mudharib, maka Tuan, pembahagian pulangan kepada keuntungan yang diperolehi dalam kontrak mudharabah, bukannya pulangan tetap keatas modal yang dilaburi. Mesti pembahagian keatas keuntungan yang dicapai. Kalau pulangan tetap dijanjikan keatas modal maka betul tak Tuan, itu sudah menjadi riba. Amat haram!

Dan Tuan, apa-apa yang membawa keuntungan yang berlipat ganda dengan modal amat sedikit, ini namanya maisir atau judi.

Oh Tuan kata, judi mesti ada kalah menang dan dalam skim ini belum ada yang kalah. Semua menang. Betul Tuan, ini perniagaan alam siber Tuan, skim Ponzi pun begitu juga. Nanti akan sampai tahap yang sudah meletup dan bila semua hilang duit, bagaimana?

Tuan tau tak skim piramid? Ya piramid yang hampir dengan tempat yang Tuan nontoni tarian gelek di Kaherah dulu-dulu. Ha itulah dia.

Apa Tuan? Skim ini dikendalikan di Switzerland, dan sekiranya mereka menipu, tentu sudah lama ditangkap! Tuan, di Switzerlandlah penipuan perbankan paling besar berlaku. Hatta Yahudi pun ditipu duit mereka oleh Bank UBS. Kalau Tuan tak percaya tanyalah Tengku Razaleigh di mana Marc Rich yang menipu kerajaan Malaysia dulu dalam perniagaan bijih timah beroperasi? Kalau tidak di Switzerland.

Oleh itu Tuan, baik Tuan jaga halal haram sembelihan ayam dan kerbau lembu. Itu lebih memerlukan pengendalian Tuan kerana setiap hari kita ditipu dengan kehalalan pemyembilahannya.

Faqad.”

Nota:
(i). Swisscash dah diharamkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
(ii). Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibawahnya kuasa menghalalkan atau mengharamkan sesuatu masih belum bertindak.




16 comments:

Bunga Rampai said...

Salam,

Bagusnya entri ini. Amat berfaedah dalam menambahkan ilmu perbankan cara Islam. Terima kasih Bro Keng.

Tarian gelek .. oh, ramainya peminat!

abdullahjones said...

bro, lembut sangat tegerun tu. :)

Pa'chik said...

tuan keng, bagus amat entri ni.

Saya memang tidak berminat dengan benda macam ni. Memang Majlis Fatwa harus segera mengeluarkan fatwa tentang halal haram skim semacam ini. Sebelum lebih ramai yang terlibat.

Terima kasih tuan keng.

NATO said...

ni kena bagitau masaklomak nih...

Anonymous said...

interesting..

Anonymous said...

ha, ha, ha. Berjerembong! Lama dor-oh doh dok dengar pekataang ning.

Kalau Tuan Mufti berkata, "untuk membina ekonomi ummat guana gamak?" Boleh ke dok?

Iman Mawaddah said...

Tuan Keng,

Saya teringat seorang kenalan yang menyertai ab fund bila ditanya tentang soal halal dan haram operasinya. Jawapannya mudah "Aku tak gunakan duit ini untuk makan" . Amboi, senangnya jawapan. Ibarat halal dan haram hanya melibatkan soal makanan sahaja.

Entri ini bagus untuk menyedarkan pembaca yang sesat dalam dalam terang tentang 3 asas kewangan Islam iaitu riba, gharar dan maisir.

sinaganaga said...

Alasan aku senang saja bang:
"Siapa yang bikin piramid?"
"Firaun leee!"
"Ok, siapa yang terlibat dengan piramid - FIRAUN!"
"Tapi, main swisscash ni boleh duduk diam2 juga... tapi dapat sikitlah."
"Abah kau! Duduk diam2 mana boleh dapat duit!"

KakNi said...

Ini memang kes berat kerana benda ni amat berleluasa. Saya harap mereka rugi kerana dengan itu duit tersebut tidak sempat dibelanjakan dan tidaklah makan duit haram.

Harap2 fatwa akan cepat dikeluarkan kerana kalau orang macam saya ni nak cakap benda tu salah, tak reti pulak nak bagi dalil etc.

Anonymous said...

saya pun ada dengar pasal swiss cash ni. tapi duit yang senang datang, senang je dia nak hilang..jadi tak le saya ambik peduli.

Anonymous said...

Tuan Keng

Terima kasih di atas maklumat. Baru dua tiga hari lepas teman lama bermanis mulut memujuk supaya menyertai skim yg 'sewaktu' dengannya. Hampir2 terjerumus...

Pegawai Khalwat said...

Tuan Keng,

Saya memang dari dulu tak berminat dan tak suka dengan apa-apa saja benda cepat kaya dari nombor ekor, ke pak man telo, ke piramid, ke swiss cash.

Dah ramai yang saya tengok terkena tapi masih tak serik mencuba. Nak kaya (kaya duit bukan sekaya), tak ada cara yang cepat. Semua kena berusaha. Bila dah malas berusaha, macam tulah jadinya. Semuanya kalau boleh nak duit tu terjumpa tepi jalan.

Lagi satu, kalau diharamkan Majlis Fatwa pun, tapi tak ada tindakan, tak guna juga.

Rokok tu tak salah saya dah lama sangat diharamkan, tapi masih juga berleluasa jualannnya, dan juga orang yang menghisapnya.

Pengisytiharan tanpa penguatkuasaan umpama orang tua yang dah uzur berkahwin dengan anak dara belasan tahun. Hukumnya sah, tapi bolehkah betul-betul anak dara itu dikawal?

Ku Keng said...

Dik Rampai:

Salam kembali. Yang dibenarkan hanya cash-n-carry.

AJ

Bro., lama tak bersuara.

Kalau terlampau keras, mereka akan kata, tak gunakan hikmah.

pa'chik

Hari ini mereka berfatwa "bahwa tak Islam sesiapa yang tak pernah mengamalkan suruhan ugama". Adakah itu keluar dari ugama atau hanya engkar?

NATO:

nanti dia kata ooo...naik lomak yo!

Simah Hanim:

In your absence many interesting things happening here.

Berahing:

Kalau dia nak membina ekonomi ummat, maka kita syorkan supaya Baitulmal melabur keseluruh duit kutipan zakat dalam skim ini.

Iman Mawaddah:

Sama seperti yang berfikir, mengambil pen dari pejabat untuk digunakan di rumah tak mengapa.

Naga:

Ada juga yang diam-diam dapat duit. Si buta yang duk di tepi persimpangan, tak menyanyi dan tak berkata-kata, dapat juga duit.

Madah_berhelah:

Tak usah berdebat, nanti jawap mereka, "Kalu aku tak ada duit, sapa nak bagi?"

~ahni~:

Mereka tak akan keluarkan fatwa kerana hal ini tak ada political mileage.

NBB:

Semua mau senang. Dalam kaedah ilmu marketing di panggil easy entry, easy exit.

soyuz:

Alhamdulillah.

Tuan Pegawai K:

Mereka mencuba berbagai-bagai cara. Yang banyak diiklankan disurau-surau highway, lengkap dengan ayat-ayat al Kuran, dan dengan panggilan untuk berjihad pula.

Hal ini memang susah nak kawal. Sebagaimana hadith Rasul, 'pada dunia akhir zaman, riba akan menjadi seperti debu-debu yang melekat pada baju-baju manusia'.

Semoga kita terhindar dari semua yang menyesatkan ini.

Anggun said...

Tuan..
Masyarakat kita masih lagi berminat dengan untung kilat..tak perlu kerja kuat-kuat..

Saya akur untuk ambil iktibar..semoga tidak tergolong sebagai seorang darinya..

rad said...

Tuan,
Tkasih kerana menyelitkan "(bukan Ringgit 9 tapi Rancangan Malaysia ke-9")
Teringat pertama kali saya masuk kelas Teori Dasar Makro & membaca jurnal article pertama - "Eh, apsal table columns ni ada 7ringgit (RM7), 8ringgit (RM8) etc...?" Heheh.

BTW, saya ada terima email utk penerangan lanjut swisscash -agak detail, mungkin pembaca yg berminat boleh refer: http://www.zaharuddin.com

Unknown said...

Bab dia kata "kalu aku tak da duit sapa bagi" tak pe gak lagi. Tapi buatnye dia kata..."bukan aku guna duit kau, duit aku, aku punya pasallah" lagi haru tuan. Tak sanggup ku berdebat lagi...kwang..kwang..kwang....