Powered By Blogger

Thursday, February 22, 2007

Penasihat Agama tak Beragama




Kesian pada Nik Aziz. Maksudku Tuan Guru Nik Aziz. Bukan hanya minggu ini atau yang lepas, malah berminggu-minggu dan bertahun-tahun beliau dan pentadbirannya di kritik.

Minggu ini dilapurkan bahawa SAR (Sekolah Agama Rakyat) di Kelantan tak ada acara untuk murid-muridnya menyanyi lagu Negaraku dan lagu Negeri Kelantan. Dan kelmarin seorang kolumnis bukan Melayu NST dan bukan pula beragama Islam yakni kuffar, menghentamnya kerana menegah sambutan Hari Valentine. Ada ke patut, katanya, hari yang mengpromosikan kecintaaan dan kekasih-sayangan ditegah? Bukankah hidup ini amat memerlukan kepada kasih sayang? Benarlah St. Valentine itu bukan Islam, tetapi tak masuk akal katanya kalau perayaan tak dilihat dari sudut ruh atau maksudnya.

Aku berfikir-fikir kenapa Nik Aziz selalu dihentam. Agaknya? Ya, Nik Aziz, mungkin kekurangan atau tak ada ong dalam hidupnya.




Mengikut kaedah feng shui, Nik Aziz perlu untuk mengubah pintu utama rumahnya memiring ke sebelah kiri dan posisi rumah pula jangan menghadap bukit atau persimpangan jalan. Dan Nik Aziz perlu mengubah anak-tangga dari empat ke lapan sebaik-baiknya. Dan Nik Aziz perlu juga menwarnakan pintu utamanya kepada warna merah. Dan terbaiknya sementara perayaan Tahun Baru Cina ini masih ada lagi ini, panggillah naga dan singa untuk melompat-lompat depan tangganya. Baru nanti dapat ong. Dan kalau tanya lagi mana-mana penasihat dan pakar budaya Cina yang lain (semestilah mereka Cina dan bukannya Siam atau India), beliau akan menasihatkan Nik Aziz supaya tidak memakai serban dan jubah hitam, kerana itu warna yang melambangkan kematian. Beliau bukan hanya memakai warna yang melambangkan kematian akan diujar oleh mereka, malah menjunjungnya! Lagi tatak ong. Beliau sepatutnya berpakaian merah yang bersinar-binar untuk menarik ong yang istimewa.

Yang Nik Aziz tak ada pada sisinya, maksud saya adalah beliau tak ada mempunyai, penasihat berketurunan Cina. Bukan hanya untuk hal-hal untuk meraihkan ong dalam hidup dan politiknya, tetapi dalam segala-gala hal. Termasuklah tentang nasihat dan pandangan dalam hal-hal yang berkait dengan agama Islam. Ya Tuan Guru, kalau keamanan kawasan jalanraya di negeri Kelantan dan kawasan perumahan perlu untuk pembakaran colok dan untuk meletak kotak merah di sekitarnya, maka lihatlah kepada maksudnya dan jangan dipandang atau diambil kira hal ini sebagai ada kaitan dengan agama.

Dan sahabat-sahabat sekalian, apa-apa perbuatan dan keperluan dalam hal yang menyentuh dengan agama Islam, jangan-lah tergopoh gapah melaksanakannya, tanyalah dulu kepada orang-orang bukan Muslim yang lain yang kini sedang bebas memberi pandangan dan kritikan dalam akhbar-akhbar Inggeris tempatan. Nanti tersalah hukum tersinggung pula hati mereka.

Botak Chin saban hari menyanyikan lagu Negaraku, sambil berdiri tegap menghurmati bendera Malaysia. Tapi beliau akhirnya dihukum bunuh. Kemana pulak ongnya dan adakah perlakuannya saban hari itu menjadikannya anak Malaysia yang begitu taat setia kepada negara?


p.s.:
Tuan Guru, bulan April nanti negeri Kelantan boleh menjual telur untuk perayaan Easter. Tak apa-apa, perayaan ini menyeronokkan kanak-kanak. Peluang untuk bergembira. Juga menguntungkan.



Saturday, February 17, 2007

Tuan Mufti




Kalau sudah berkali-kali berjerembong, mungkin tak manis kalau tak bertegur sapa. Sekurang-kurangnya berbalas senyum. Begitulah keadaannya. Empat kali diriku bersua dengannya dalam seminggu. Meskipun sudah menyambut dengan senyuman pada kali pertamanya, tapi rupanya belum mencukupi. Dia datang lagi. Dan lagi dan lagi.

Pertama kali sms (kawan-kawanku suka ber-sms kerana kata mereka lebih berkesan daripada berbual dan juga dapat mengurangkan radiasi kepada otak!) yang saya terima, hanya saya membalasnya dengan senyuman. Dan kerana sms yang dikirim tak terjawab, penghantar mengirim lagi ulangan kepada sms pertama.

“Sheikh, anta tau tak apa-apa tentang swisscash, abbfund, etc. Ramai orang menyertainya. Halal ke?”

Jawapan saya rengkas, hanya, “Itu Labu Peram alam siber. Haram.”

“Tapi ada mufti yang aktif mempromosinya.” Balasnya.

“Mufti bodoh. Mufti mana?” responku lagi.

“Mufti XXXXXX.” Jawabnya rengkas juga. Dan tak ada sms selanjut darinya.

Kali kedua. Pada satu malam sewaktu saya membawa Pak Didik, tamu dari Malang (Jatim, Indonesia) ke sebuah restoran kepala ikan yang ber-wifi di KL, ramai ternampak anak-anak Melayu yang sedang rancak berbincang sambil meneliti-liti skrin laptop mereka yang terpapar dengan ruangan yang penuh dengan angka-angka. Bagus betul fikirku, kerana anak-anak bangsa sudah canggih manggih serta sudah berminat dengan subjek yang berangka. Kebetulan antara mereka ada seorang yang ku kenali dan apabila disapa, jawapan yang diterima adalah “swisscash.” Rupa-rupanya mesyuarat antara peserta-peserta (upliners dan downs mereka). Aha, bakal jutawan yang tak perlu bergantung kepada parti dan projek-projek RM9 (bukan Ringgit 9 tapi Rancangan Malaysia ke-9).

Kali ketiga pula, sewaktu bersarapan, isteriku bertanya “Swisscash tu apa?” Dan hampir-hampir terbelahak diriku dengan soalan yang amat mengejutkan itu.

“Dari mana tau?” tanyaku.

“Dari pekerja Cikgu tuisyen yang bermain gitar tu. Mereka mengiklannya di ruang tangga ke pusat tuisyen.” Jawabnya.

Dan akhirnya, sewaktu kuliahku kelmarin, seorang peserta bertanya, “Kenapa benda yang menguntungkan nak di kira halal-haramnya.”

“Apa?” tanyaku hairan.

Swisscash,” jawabnya serius.

"Dia datang lagi," bisik hatiku.
.
..
...

Pada fikiranku, ini sudah petunjuk kepada diriku supaya menangani subjek ini dengan serius.

Kalau anda mau kaya cepat, tanpa usaha yang berat dan bermodalkan yang sedikit, maka jawapannya adalah swisscash atau abbfund atau yang seumpamanya. Itu kata mereka dan bukan nasihat saya.

Pernah dulu skim ini dikaitkan dengan seorang tokoh korporat yang tertentu. Apabila bersua dengannya pada suatu hari dulu, saya bertanya, “Wak, betul ke kamu pendiri swisscash?”

“Ahh, ini yang buat aku marah kat budak-budak ni. Satu hari depa jemput aku minum teh, dan gambar aku diambil sewaktu sedang kencang berbual. Tau-tau dah masuk website mereka.” Terangnya.

“Ha, padam muka hang, lain kali tanya dulu jemputan tu untuk majlis apa? Mana ada orang bagi minum free!” Ketawa dan ketawa kami.

Dan nasihatku kepada Sohibus Samahah Mufti yang aktif mempromosikan skim ini:


“Tuan. Ini business apa sebenarnya? Tak tau apa latarbelakangnya, maka itu gharar. Tuan lebih ariff dalam bab ini.

Dan kalau Tuan kata dalam kaedah mudharabah tak wajib berusul-tanya tentang tujuan perniagaan atau pelaburan; memadai mempercayai kepada keupayaan dan kecekapan pentadbir atau mudharib, maka Tuan, pembahagian pulangan kepada keuntungan yang diperolehi dalam kontrak mudharabah, bukannya pulangan tetap keatas modal yang dilaburi. Mesti pembahagian keatas keuntungan yang dicapai. Kalau pulangan tetap dijanjikan keatas modal maka betul tak Tuan, itu sudah menjadi riba. Amat haram!

Dan Tuan, apa-apa yang membawa keuntungan yang berlipat ganda dengan modal amat sedikit, ini namanya maisir atau judi.

Oh Tuan kata, judi mesti ada kalah menang dan dalam skim ini belum ada yang kalah. Semua menang. Betul Tuan, ini perniagaan alam siber Tuan, skim Ponzi pun begitu juga. Nanti akan sampai tahap yang sudah meletup dan bila semua hilang duit, bagaimana?

Tuan tau tak skim piramid? Ya piramid yang hampir dengan tempat yang Tuan nontoni tarian gelek di Kaherah dulu-dulu. Ha itulah dia.

Apa Tuan? Skim ini dikendalikan di Switzerland, dan sekiranya mereka menipu, tentu sudah lama ditangkap! Tuan, di Switzerlandlah penipuan perbankan paling besar berlaku. Hatta Yahudi pun ditipu duit mereka oleh Bank UBS. Kalau Tuan tak percaya tanyalah Tengku Razaleigh di mana Marc Rich yang menipu kerajaan Malaysia dulu dalam perniagaan bijih timah beroperasi? Kalau tidak di Switzerland.

Oleh itu Tuan, baik Tuan jaga halal haram sembelihan ayam dan kerbau lembu. Itu lebih memerlukan pengendalian Tuan kerana setiap hari kita ditipu dengan kehalalan pemyembilahannya.

Faqad.”

Nota:
(i). Swisscash dah diharamkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
(ii). Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibawahnya kuasa menghalalkan atau mengharamkan sesuatu masih belum bertindak.