Powered By Blogger

Wednesday, July 23, 2008

Sibuk Bertalipon




Aku yakin mereka kesemuanya perisik. Pengintip. Cara mereka bercakap-cakap; ada yang berbisik-bisik dan ada yang lantang. Mungkin untuk mengalih pandangan. Pakaian mereka pelbagai. Dan rupa-rupa mereka mencurigakan. Yang pastinya mereka perisik adalah kerana mereka ketahui dengan tepat bahawa aku orang baharu ke situ. Walaupun aku tidak janggal di tempat itu. Tidak seperti rusa masuk kampung, kerana memang aku biasa di situ. Sudah berkali-kali dan malahan ada ruang duduk yang menjadi kesukaanku di situ. Ke tempat itulah tumpuanku, setiap kali aku ke situ. Sudah seperti rumah sendiri. Amat selesa.

Sebaik saja aku bersila di tempat itu, beliau tiba. Seorang dari mereka. Meskipun ruang disekelilingku luas dan lapang, beliau duduk rapat di sisiku. Berlaga lutut, dan terus cuba meminta perhatian. Aku sudah mengagak siapa dia dan terus dengan urusanku. Sebentar. Dua bentar. Masih aku tidak memberi pandangan. Dan akhirnya beliau mencuit lengan kiriku dan berkata, “Miskin. Fakir. Kashmir.” Masih aku tidak memberi perhatian. Dan beliau pun berlalu. Keesokan hari pun sama. Seolah-olah ada tanda pada diriku yang aku baru tiba. Manusia berpuluh ribu di situ, dan anih sekali bagaimana mereka ketahui aku baru tiba. Perkara yang sama berlaku. Pastilah mereka pengintip kelas satu. Mengintip untuk menipu. Kali ini yang lain pula tetapi mempunyai raut muka yang sama. Beliau menarik perhatianku dengan mengucapkan salam. Dan aku tahu menjawab salam itu wajib, tapi sengaja aku tidah menyahut salamnya. Kerana aku yakin sekali yang salam itu tidak ikhlas. Kali ini aku merenung wajahnya dan menuding telunjuk kananku kemukanya dan berkata, "Kamu ini mengaibkan. Ini tempat yang amat dihurmati dan kamu memalukan orang yang kita sedang ziarahi."

Tapi disekelilingku, ternyata keseluruhannya menyakitkan hatiku. Ada yang sedang mencuri-curi bergambar dengan Nokia mereka, dan ada lengkap berkamera digital yang canggih. Walhal dulunya apa jua kamera dan telefon bimbit yang berkamera pun muktamadnya tidak dibenarkan sama sekali ke situ. Masih ramai yang bercakap-cakap dengan lantang dan bergelak ketawa, dan ramai yang hanya tidur. Berdengkur-dengkur.





Aku tidak menceritakan tentang keadaan di kelab atau di rumah persatuan mana-mana, tetapi ini adalah di Masjid Nabawi di Medinah al Munawwarah. Tempat yang paling diberkati Allah SWT dan penuh dengan malaikat-malaikat dan auliya’. Tempat tumpuan para sufi dan mursyid. Tetapi kini tercemar dengan kelaku manusia yang tidak beradab. Suasana di dalam masjid, penuh dengan ketidak sopanan. Seolah-oleh pengunjung mempunyai urusan dunia yang amat penting. Telefon berdering-dering dengan nada deringan yang paling tidak sesuai di tempat itu.



Sibuknya mereka sehingga di Rawdah yang disabdakan sebagai sebahagian dari Syurga pun sama keadaannya. Rawdah menjadi tumpuan yang utama setiap penziarah, dan keadaannya penuh sesak. Tetapi peluang untuk menanggalkan hal-hal dunia pada diri dan menyelimutkan tumpuan kepada taubah dan harapan, juga diganggui oleh urusan menjawab talipon. Rawdah juga adalah ruang rumah Rasululullahi sollahu ‘alaihi wassalam. Apa tidak ada tanda kesopanan lagikah manusia kepada Rasululullah? “Sesiapa yang menziarahiku sewaktu aku mati, adalah seakan-akan mereka menziarahiku semasa aku hidup,” itulah sabda Rasulullahi sollahu ‘alaihi wassalam, dan bagaimanakah akan diharapkan syafa’ah Baginda.

Dulu, Madinah adalah tempat yang amat beradab. Seandainya kita memegang cangkir minuman dengan tangan kiri, akan ada seseorang yang akan menegur dengan sopan supaya mengunakan tangan yang kanan. Sekiranya kita beriktikaf membelakangkan Rasulullahi sollahu ‘alaihi wassalam, akan datang seseorang untuk dengan sopan, meminta kita mengalikan arah ke kiblat. Atau sekiranya kita bercakap dengan kuat, akan ada seseorang yang dengan nada yang sedih minta kita rendahkan suara. “Rasulullah!” Itu sahaja peringatan mereka.



Pada zaman Uthmaniyyah, penghurmatan kepada Rasulullahi sollalahu 'alaihi wassalam amat diberatkan sehingga kubah dan menara masjid-masjid tidak dibenarkan melebihi ketinggian kubah Masjid Nabawi.



Madinah. Inilah kini destinasi pelancongan yang baru. Begitu juga Makkah. Sering aku mendengar,

"You holiday sekolah ni nak ke mana ?"

"Ke Umrah hajatnya, nak bawa keluarga !"



Fi ‘alamatis saat – Tanda-tanda saat (terakhir) atau kiamat. Ini dihuraikan dengan panjang lebar dalam Mishkatul Masabih, kitab hadith yang masyhur.



Segala tempat yang bersejarah yang ada perkaitannya dengan Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam kini sedang giat diroboh. Sehinggakan ada cadangan pula untuk merobohkan kubah maqam Baginda dan bersama sekali memindahkan maqam Baginda. Akan tetapi tempat yang ada perkaitan dengan Yahudi seperti di Khaybar, misalnya, digazetkan sebagai tempat warisan, dan dilindungi. Masjid Tujuh yang mempunyai sejarah dengan Peperangan Khandak, sudah banyak yang diroboh. Masjid Fath, yang merupakan satu-satunya tempat yang dimustajabkan doa oleh Allah SWT (letaknya dibelakang Masjid Salman Al Farsi) hanya menunggu masa untuk dimusnahkan.


--------------------------------
Madinah Al Munawwarah
13 Julai 2008