Powered By Blogger

Tuesday, May 22, 2007

tanggal tiga belas mei




Minggu lalu sewaktu aku di kedai buku, seorang lelaki bertanya dengan suara yang kuat, "Ehh, lu ada itu buku May 13 ke? Saya mau baca, mau tau apa itu cerita." Dengan megah.

Disebabkan budak penjaga kedai tak berkata apa-apa dan mulut penanya pula bertambah celupar, aku menyahut, "Excuse me, if you need to know, let me tell you about it as I was around when it happened and I was always a victim of discrimination in school by my non-Malay teachers, years prior to that.

If you need to know about the Penang Hartal, I can relate that to you as well as I was there in Penang when it happened." Aku merenungnya.

Dia diam dan terus berundur.

Kini kerajaan sibuk menapis semula buku-buku yang terkandung sejarah atau kupasan sejarah peristiwa yang berlaku 38 tahun lalu. Sejarah tetap sejarah dan tak usah nak menafikan ianya berlaku. Yang penting ianya ditulis dengan betul dan tepat. Memadailah dengan tidak merayakan peristiwa itu. Tetapi bukanlah bermakna kita mesti melupainya.

Anehnya yang mencungkil kembali peristiwa pahit ini bukanlah orang-orang yang dizalimi seperti aku sendiri. Apakah muslihatnya?

Pasti ada muslihat kerana akhbar tabloid percuma The Sun, berkali-kali menyiarkan rencana dari kolumnis bukan Melayu yang menyuarakan bagaimana mereka ditindas oleh guru-guru dan pegawai-pegawai Melayu sebelum dan selepas berlakunya peristiwa tersebut.

Berapa tahun dah Merdeka?


Nota:

1. Cuba baca: Preparing for a Pogrom.

2. Gambar di Jalan Cambell (sekarang Jalan Dang Wangi) selepas peristiwa 1969.





Saturday, May 19, 2007

Masjid Dang Wangi




Kalau dulu, selepas nonton wayang 1.30 tengah-hari di Odeon, kami masih sempat bersolat zuhur, kerana masjidnya dekat. Dan kala keributan himpunan Reformasi, selepas berhimpun di Sogo, kami berpura-pura tak terlibat sambil melenggang-lenggang masuk ke pekarangan Balai Polis Dang Wangi dan terus bersolat di masjid sebelahnya; dan di kala ada kawan-kawan yang tertangkap, saing-saing berdemonstrasi yang selamat pula, sambil menunggu-nunggu maklumat atau hukuman, juga akan berehat di situ. Itulah Masjid Pakistan Balai Polis Dang Wangi atau Balai Polis Campbell.

Dibina lebih 90 tahun lalu oleh anggota-anggota polis British yang dibawa dari Uttar Pradesh dan Pakistan (kesemuanya berbahasa Urdu) kerana di Campbell-lah kem terbesar mereka di KL. Asalnya hanya sebuah surau, tetapi lebih 13 tahun lalu telah diizinkan oleh MAIWP untuk bersolat Jumaat. Dan inilah satu-satunya masjid yang berkhutbah dalam bahasa Arab. Dan khutbah yang terpendek di KL. Jemaahnya pula duduk berselerak bukan hanya di pekarangan masjid, tapi juga di bawah pokok-pokok dan di kaki-kaki lima jalan Dang Wangi, yang jauh dari saf! Meskipun berkali-kali ditegur, mereka tetap tak berganjak kerana mencari keselesaan. Teguran langsung tak menjadi ajaran. Amat bebal.

Permulaannya keadaan pengurusan masjid begitu dhaif. Taklim sebelum Jumaat bukan dari pensyarah jemputan, akan tetapi dari pita rakaman! Hanya kebelakangan ini saja barulah ada pensyarah jemputan.

Keadaan masjid tentu sekali dhaif kerana binaan sudah tua dan dibina pula diruang kawasan yang sempit. Hala qiblahnya juga menjadi tanda soal. Pernah aku bertanya imam masjid yang berbangsa Pakistan, kenapa sejadahnya miring ke kanan. Jawapnya, ”qiblah”. Maksudnya itulah arah yang betul. Maka saya bertanya, ”Kami pula bagaimana?” sambil menunjukkan kepada arah yang sedikit berbeza dengannya. Dia tak menjawab dan mula menunjukkan rasa kurang senang. Seperti juga bangunan Parlimen atau Mahkamah baru, atapnya bocor. Di beberapa tempat.

Jumaat lalu aku kesana kerana khabarnya masjid ini akan diruntuhkan Jun ini. Jemaahnya masih ramai, dan imam pada hari itu Maulana Nur Muhammad, bersedu-sedu mengajak jemaah bersolat hajat. Dengan harapan keputusan mahkamah pada 22 Mei akan menyebelahi kehendak AJK Masjid.

Meskipun pemaju telah menjanjikan ruang solat yang lebih selesa dan besar dalam kompleks Polis yang baru, AJK masih berkeras mau mempertahankan kedudukan. Dari kawanku yang juga menjadi ahli barisan bertindak, katanya, ”masalahnya bukan untuk memastikan masjid akan kekal, tetapi untuk memastikan AJK masjid kekal.” Oh itulah sebenarnya. Masjid sekecil ini pun tak sunyi dari rebutan kuasa.

Disebabkan masjid tak bertapak di bawah dan bersandar kepada pohon besar yang berusia tua, dan berbanir besar atau akar terjurai, dengan mempunyai batang yang berbidang luas; kemungkinan keputusan untuk meneruskan perobohan akan kekal. Masjid bukannya rumah ibadah yang ada kaitan dengan pokok dan pohon atau sejarah pendatang. Meskipun dalam hal ini ianya ada kaitan dengan pendatang, tetapi bukanlah yang bukan Islam. Kalau ianya berkait, pengumuman akan dihebahkan ke serata dunia. Keseluruh NGO akan meraong. Himpunan sembahyang antara agama akan diadakan. Perarakan berlilin akan dianjurkan di Dataran Merdeka. Dan kabinet akan dipaksa bertindak seperti dalam kes keperluan firma guaman dimestikan mempunyai pemilikkan Bumiputera sebagai syarat menjadi ahli panel guaman Maybank.

Oh Malaysia, 50 tahun Merdeka.



Saturday, May 12, 2007

Che'




Terpahat dibenakku dua hadith yang menjadi peringatan dalam khutbah Jumaat di Masjid INTAN kelmarin.

Seorang sahabat menggendung ibunya dari Medinah ke Makkah untuk mengerjakan haji. Apabila ditanya kepada Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam tentang apakah ini membalas jasa-jasa ibunya kepadanya, Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam menjawab;

"Tidak! Tak memadai untuk membalas meskipun setitik susu dari ibumu."

Seorang yang lain pula mengadu kepada Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam, bahawa ibunya memalukannya serta isterinya dengan meminta-minta bantuan tanpa batasan. Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam pula menjawab:

"Apakah ibumu tak malu membawamu kemana-mana dalam keadaan perutnya memboyot selama 9 bulan?

Adakah ibumu tak malu menyusukan kamu dalam apa keadaan sekalipun apakala kamu merengek-rengek kelaparan?

Adakah kamu pula tak malu dikeluarkan ke dunia melalui kemaluan ibumu?"





Oh Che', begitulah pengorbananmu dan maafkan daku kerana sering berkata 'uuh' kepadamu dulu.

Allahummaghfirli waliwalidayya, warhamhuma kamaa rabbayaanii shogiira.
Allahummaghfirli waliwalidayya, warhamhuma kamaa rabbayaanii shogiira.
Allahummaghfirli waliwalidayya, warhamhuma kamaa rabbayaanii shogiira
.
(Ya Allah ampunilah daku dan rahmati dan belas kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana belas kasihannya mereka kepadaku sewaktu kecil-kecilku dulu.)


Nota:
Che' adalah panggilan sesetengah orang Kelantan dan Terengganu kepada ibu.


Sunday, April 29, 2007

Hak ba'da 50 Tahun Merdeka







Awal-awal pagi lagi saya sudah menerima sms.

"Malays choose party over race. Non-Malays choose race over party. Can you name at all where a Malay candidate (BN/non-BN) won in a non-Malay dominated area?"

Saya tak membalas sms tersebut kerana ternyata kawan itu keliru. Beliau keliru dengan keadaan politik di negara kita.
Kita mesti mengalah.
Mesti memberi.
Mesti memelihara hak.
Jangan pentingkan hak kita.
.
..
...
Sebenarnya apakah hak kita?



Sedarlah. Yang berjuang (untuk merampas) Tanah Melayu dengan darah secara sukarela bukannya kita. Itu adalah sumbangan kawan kita yang sudah bersiap sedia dalam senyap. Tak siapa yang menyangka. Tau-tau dah lengkap dengan senjata dan segala apa persiapan. Siap dengan pertubuhan. MPAJA. Bintang Tiga. 14 hari orang Melayu dalam ketakutan.

Kita? Hanya dengan jampi serapah Kiyai Salleh.

Melayu kononnya, terkenal semenjak dulu dengan sikap suka menolak kemajuan. Mereka yang memerangi British adalah dianggap menolak kemajuan. Dan berbanggalah kita dengan kemerdekaan tanpa peperangan. Tapi apa yang tersirat dalam perjanjian Kemerdekaan? Pengadaian.

50 tahun Kemerdekaan yang kita akan rayakan dengan gahnya pada tahun ini bukan bermakna kemenangan bangsa dan kekalahan pejajah. Tak usah menafi-nafikan bahawa kita masih dijajah. Kita bebas. Bebas untuk mengikut minda yang semakin dijajah.

Kata kita, pemikiran kita sekarang adalah pemikiran yang berkemajuan. Sikap kita adalah sikap globalisasi. Kononnya.

Dan perlunya bagi kita untuk yakin dan meyakinkan kepada orang lain yang kita akan mejaga hak mereka. Hingga ke titisan darah terakhir.


Tok Janggut! Tak siapa mengingatinya atau rakan-rakan seperjuangannya. Ramaikah yang tahu tentang mereka? Malahan amat sedikit. Segelintir.

Kenapa? Kerana minda kita sudah dijajah. Teruk dijajah sehingga kerapkali diperbodohkan.





Al Fatihah.

Notakaki:
Ba'da = Selepas
Gambar Barisan MPAJA dari Clare Street.





Saturday, April 28, 2007

Tagged








What a strange way to be tagged.

A meme attached to or disguised as an award now hitting the blogoshere. Being tagged under the guise of you being thought of or considered as one that motivates thinking! I was nominated or actually bestowed by QOTH, the THINKING BLOGGER AWARD. And of course the tag.

Ilker Yoldas started a meme called the Thinking Blogger Award and set it free in the blogosphere. The 5 original nominees each nominated 5 others, and those 25 all nominated five others, which made 125, and they all nominated 5, which made 625, and then 3000, and then 15000, 75000, 400000 . . . well, there’s a lot of thinking bloggers out there.

It’s called link-love. Or website promotion. Or a chain letter. That little 7kb image that is displayed with every award, always linking back to Ilker’s site, means that Ilker can sell advertising space at premium rates.


One has the option to participate or not. I decide to. For want of putting some words of praise to a few blogs that I enjoy reading. Most blogs are daily or weekly personal accounts of the blogger, but some are good entries based on circumstances, events or good thoughts. Many that I have in mind are already being tagged. However I observed a few that are not and they are the ones of my choice. And I do believe that some of these bloggers that I have tagged would not want to participate and continue tagging. Nevertheless they deserve mention.

Loppies is an artist. He paints his memories with creative use of Malay words that one has long forgotten for lack of use. His entries, centring on his days as a seamen; with eyes for details and descriptive to the minutest accounts on his reporting. Strong memories indeed Lope has got. Reading him reminds me of Arenawati. And I am 'annoyed' that Lope that does not update his blog regularly!

Just like Loppies, Bunga Rampai is another blogger with good writing style of picturing and painting her daily accounts or glimpses of life. In poetic forms. Reading her expressions at times touches one’s heart and led one perhaps to blame oneself for being indifferent to surrounding social problems; characteristic of low-cost housing community. Tremendous social problems that we did not realise because we never bother to look into.

Abdullahjones of course would never respond to tags or be a meme-carrier. His writings would put Clint Eastwood to shame. But he has messages. Though sitting himself comfortably in front of the burning logs in the fireplace, thousand of kilometers away, he is aware of what is happening back home. His alter ego is of course the handsome village bilal. Jones carries good memories of the backcountry that he described splendidly. His reminiscence of Kuantan brought memories of my childhood and early working life there. The way he described Kuantan, made me thought that I was just around the corner when he was passing by. What say you Jones? Jones paints as well or maybe better than he writes.

Jiwarasa's entries put me to shame. He reads lots and lots more than I do. And I learnt of books i.e. new books in B. Malaysia mainly, from his blog. This is one blogger who really enjoys reading and collecting books. A very diversified choice of interest. From philosophy to marketing. Strangely, we go to the same bookshops but have never met.

Pegawai Khalwat delivers messages in a different way. He is a theaterist. I believe that he lectures on theatres – acting and producing. Read between the lines! I desire to place lengthy comments to his blogs as he does to mine, but do not have the capability to write on his subject. I really enjoy your entries Tuan Pegawai though I seldom leave my trail there.

And again, there many more that I enjoy reading and as expected, have also been nominated or awarded as Thinking Bloggers. Like HAS or DITH for example.

And a note from the sponsors:



Dear award recipients,

You have to award five others whose blog you think deserve this award.

Should you choose to participate, please make sure you pass this list of rules to the blogs you are tagging. The participation rules are simple:

1. If, and only if, you get tagged, write a post with links to 5 blogs that make you think.
2. Link to this post so that people can easily find the exact origin of the meme.
3. Optional: Proudly display the 'Thinking Blogger Award' with a link to the post that you wrote.
Please, remember to tag blogs with real merits, i.e. relative content, and above all - blogs that really get you thinking!




Sunday, April 22, 2007

Pesanan buat Keng







Keng,

Aku terpanggil untuk mengingatkan kamu, iaitu diriku sendiri, tentang sabda Rasulullah Sollahu 'alaihi Wassalam, " Kenali Allah dalam kelapangan, nescaya Dia mengenalimu dalam kesempitan," dan juga "jagalah Allah, nescaya kamu mendapati-Nya berada di hadapanmu."

Mengingatkan-Nya Keng, bermaksud pendekatan kepada-Nya sebagaimana sabda-Nya melalui hadith Qudsi, "Hambaku senantiasa mendekat kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnat sehingga Aku mencintaiya ..... kalu dia meminta kepada-Ku pasti Aku memberinya, dan kalau dia meminta perlindungan kepada-ku maka pasti Aku melindunginya." Dan menjaga-Nya bermaksud, menjaga hukum-hukum Allah dan memelihara hak-hak-Nya.

Ingatkah kamu Keng tentang apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abi ad-Dunya, ibn Abi-Hatim, Ibn Jarir, dan lain-lain tentang hadith dari Yazid ar-Raqasyi dari Anas secara marfu' yang bermaksud*:

Ketika Nabi Yunus a.s. berdoa dalam perut ikan nun (paus), para malaikat berkata, "Wahai Allah, suara ini adalah suara yang dikenal di negeri asing (dunia)."

Allah bertanya, "Tidakkah kalian mengenal suara itu?"

Para malaikat bertanya, "Siapakah dia?"

Allah menjawab, "Hamba-Ku Yunus."

Malaikat berkata, "Hamba-Mu Yunus, yang senantiasa diberi kepadanya amalan yang diterima dan doa yang dikabulkan?"

Allah menjawab, "Benar."

Mereka merayu kepada Allah, "Wahai Allah, apakah Engkau tidak merahmati apa yang pernah diperbuatnya dalam kelapangan, dan menyelamatkannya dari bencana?"

Allah menjawab, "Tentu."

Lalu Allah memerintahkan ikan paus untuk melemparkan Nabi Yunus a.s. ke darat. Sebagaimana firman Allah dalam Ash-Shaffat 37:142 - 143.

Dan ingatlah kamu Keng, kapada peristiwa Fir'aun yang mengisytiharkan dirinya "Aku beriman" ketika sedang tenggelam, dan firman Allah SWT dalam surah Yunus 10:91, "Apakah sekarang (kamu beriman), padahal kamu sudah derhaka sejak dulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan"

Aku berpesan kepada mu Keng, supaya nanti di akhirat aku tidak dipertanggung-jawabkan atas kelalaian mu.

Dariku

Ku Keng.




Notakaki *:

Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Hatim di dalam Tafsir-nya, sebagaimana disebut dalam Tafsir Ibn Katsir (IV/21), Ibn Jarir (XXIII/64), ath-Thabrani dalan Du'a' (47) dan Ibn Abid Dunya di dalam al Faraj Ba'd asy-Syiddah (hal. 25).

(Dan tak menjadi hal kepada saya sekiranya hadith ini di anggap lemah oleh pengikut al Albani!)

Marfu' = Hadits Marfu' adalah hadits yang sanadnya berujung
langsung pada Nabi Muhammad SAW




Thursday, April 12, 2007

Al Fatihah ila Wan M Saghir








Satu pagi, dua bulan lalu, sebuah teksi menghimpit keretaku di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bandar Dalam (Sentul) dan Karak Highway dan pemandunya memberi isyarat supaya aku menurunkan cermin. Gayanya seakan-akan cemas. Ini membuatkan aku lagi cemas, kerana takut-takut sesuatu yang tak di ingini akan berlaku. Tapi aku memberanikan diri dan melihat apa yang hendak dilakukannya.

”Ustaz sakit!” laungnya.

Apabila aku nampak keliru dengan apa yang disampaikan, beliau laung lagi, ”Ustaz Wan sakit.” Dan barulah aku sedar, siapa yang menegurku. Rupa-rupanya seorang pemuda yang merupakan murid kepada Ustaz Wan Mohd. Saghir.

”Insha Allah,” anggukku, ”nanti ana datang.”

Ustaz Wan Saghir, penyelidik, sejarawan dan pengajar kitab-kitab lama karangan ulamak-ulamak Patani, dan malahan yang telah memertabatkan ulamak-ulamak Melayu (Jawi) silam, juga merupakan saudaraku, diperanakan di Riau.

Tak banyak yang nak ku ceritakan tentang beliau di sini, hanya ingin memanjangkan berita sedih kepulangan beliau pagi tadi lebih-kurang jam 11.30 (12 April 2007), kerahamatullahi ta’ala, setelah diserang angin ahmar (stroke) selama dua bulan. Jenazah beliau pada ketika entri ini ditulis sedang dikebumikan di Pondok Pak Chu Him Gajah Mati di Kedah, untuk memenuhi hasrat almarhum serta juga atas permintaan guru-guru pondok di sana. Allahummagh firlahu warhmahu.

Ustaz Wan Saghir, terkena angin ahmar pada sebelah kiri badannya. Meskipun tak begitu berat keadaannya, beliau hanya boleh bergerak-gerak dan berjalan perlahan-lahan. Terakhir pertemuan kami, ternampak ada kemajuan yang baik pada dirinya, dan sudah mula mau berbual-bual panjang. Meskipun dipesan supaya berihat, semangatnya kuat. Diceritakannya tentang majlis sambutan 70 tahun Madrasah Tuan Haji Ibrahim Bongek yang dihadhirinya, pada 16 Februari sebelumnya meskipun beliau telah berbulan-bulan mengalami sakit buasir, dan terpaksa dipimpin untuk ke kereta; beliau menceritakan tentang progrem yang bakal diadakan di Raub untuk pertemuan suku-sakat Rawa, dan tentang Teuku Daud Beureueh, pejuang Atjeh, yang mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan Sheikh Daud al Patani. Nama Teuku Daud Beureueh itu katanya adalah mengambil sempena nama Sheikh Daud. Beliau juga menceritakan bagaimana keadaan sakitnya telah memberinya beberapa ilham untuk membuat ubat-ubatan sendiri yang dapat melegakan beberapa keadaan dirinya.

Dalam keadaan tidak lagi dapat menyebut dengan betul dan petah, aku bersyukur kerana dia sempat berpesan kepadaku supaya membuat pembetulan kepada silsilah yang menjadi kajian bersama kami, berdasarkan kepada beberapa maklumat yang baru beliau perolehi. Alhamdulillah. Di samping itu ada juga beberapa pesanan yang lain.





Hari ini aku kehilangan kekandaku yang amat ku sayangi. Seorang yang amat mementingkan silatur-rahmi. Tempat aku mencari ilmu. Semoga Allah SWT memberinya kelapangan dan cahaya di alam kuburnya dan keselesaan dalam menantikan akhirah. Semoga berkumpul dirinya dalam barisan ulamak-ulamak yang telah beliau martabatkan. Dikalangan solihin dan muttaqin; awliyak dan anbiyak.

Allahumma 'aj al qabrahu raudhataan mirriyadhil jannah.

Keterangan gambar:

Gambar terakhir beliau bersama Sheikh Salleh b. Sheikh Uthman b. Sheikh Tahir Jamaluddin (Pak Ngah Leh Penanti [kini menetap di Makkah]) pada akhir tahun lepas.



Saturday, April 07, 2007

Sifat Melayu




"Orang Melayu," kata Mohd. Yassin, "berdasarkan kepada anakku yang dah 6 tahun di Malaysia, ada beberapa sifat yang unik." Dia pun menyenaraikannya satu persatu. Aku mendengar dengan khusyuk.
  1. Orang Melayu sangat mementingkan halal dan haram. Bawalah mereka kemana-mana restoran besar dan soalan pertama mereka adalah, "halal ke ni?". Malahan Malaysialah yang mempelopori Global Hub. Tapi apabila diberitahu yang makanan itu atau ini ada kandungan yang tak halal, jawab mereka "aah itu sedikit saja. Kita tak perlu persoalkan. Nanti susah!"
  2. Yang paling mereka benci adalah keturunan BC (tak perlu aku menyebutnya disini). Tapi anihnya, Melayu yang kaya raya, pasti ada keturunan itu di belakang mereka.
  3. Kebencian kedua mereka adalah kepada Singapura. Untuk mengalihkan tumpuan mereka kepada isu politik tempatan yang panas, kaitkan isu itu kepada Singapura. Perhatian mereka serta merta bertukar.
  4. Kebencian ketiga mereka adalah pada Bush. George Bush. Mereka bencikan Bush lebih daripada kebencian orang Arab kepadanya, sekiranya ada perasaan sebegitu.
  5. Kebencian keempat mereka adalah pada Israel. Marahnya orang Melayu kepada perangai seseorang dan mereka akan labelkan orang itu sebagai Yahudi.
  6. Anihnya, meskipun benci membenci, apabila ditanya kedua-dua si Melayu dan si BC tentang Malaysia, mereka masing-masing akan memuji melangit negara mereka. Seolah-olah tak ada masalah.
  7. Orang Melayu takut untuk menerima rawatan perubatan daripada pengamal perubatan allopathy. Apabila sakit, mereka akan mencari air jampi dulu. Sekiranya tak ada kemajuan, maka mereka mencari pengamal herbal. Dan seterusnya mencari bomoh. Yakinnya Melayu kepada doa.
  8. Apabila memulakan sesuatu mereka akan mengadakan kenduri doa selamat. Baca Yasiin dan bikin tahlil.
  9. Apabila mendapat sesuatu, begitu juga. Doa selamat, Yasiin dan tahlil.
  10. Apabila gagal dalam sesuatu, mereka mencari bomoh.
  11. Orang Melayu suka berinsya Allah. Nak buat maksiat pun mereka ikrarkan dengan "Insya Allah." Tapi ujarku, Arab berinsya Allah lagi lebih mudah, tapi sentiasa mungkir.
  12. Berjaya buat maksiat pun mereka bersyukur. "Apa?" tanyaku. "Pengeluaran album oleh penyanyi!' jawab Yassin selamba.

Sekurang-kurangnya Melayu ini, kata Yassin, lebih bertawakal dari Arab. Dan lebih kepekaan mereka tentang Palestine, dari Arab-Arab di Negara Teluk.

P.S.: Saya kira pandangan Yassin taklah dikira menghina.




Sunday, April 01, 2007

Cinta Kepada Baginda




La ilahaa illalLah Ya Rabbi khudz biyadii...

Mawla ya solli wassollim.... sekali lagi dalam hidup kita, kita menempuhi hari milaadunnabi. Hari keputeraan nabi.

Sabda Baginda Rasulullah sollahu 'alaihi wassalam kepada sahabatnya,"..... bahawa akan ada umat yang akan datang yang lebih tinggi kedudukannya daripada kamu semua." Kata-kata yang amat mengejutkan sahabat-sahabat yang hadhir, "kerana," kata Baginda apabila ditanya, "mereka cintakan daku meskipun mereka tak pernah menemuiku..."

Cintanya sahabat kepada Baginda Rasulullah sollahu 'alaihi wassalam, dapat kita gambarkan dari peristiwa Bilal ibn Rabah sewaktu diminta untuk melaungkan azan sebelum pengebumian Baginda. Tatkala tiba kepada kalimah 'Asyahadu anna Muhammadur....' berderai-derai keluar air matanya sehingga dirinya menjadi sebak lantas tak dapat meneruskan azannya. "Demi Allah," sumpah Bilal "aku tak akan menjadi muezzin lagi (untuk melaungkan azan)." Begitulah hibanya perasaan Bilal ibn Rabah, untuk melepaskan tuannya yang amat dicintainya, Sayiddina Muhammad sollallahu 'alaihi wassalam.

Dan beberapa tahun selepasnya sewaktu bilal mengunjungi Medinah untuk menziarahi teman-teman, beliau telah diminta oleh Sayyidina Hussein ibn 'Ali untuk melaungkan azan fajr pada keesokkan harinya. Dan berita ini telah tersebar ke seluruh pelusuk Medinah. Maka berduyun-duyunlah penduduk Medinah ke Masjid Nabawi, pada fajr keesokan harinya untuk bersama-sama mengingat kembali waktu-waktu semasa hayat Rasulullah sollahu 'alaihi wassalam.

Benar, laungan azan yang mendayu, menyebabkan linangan air mata pada semua yang hadhir, dan suasana menjadi hiba.

Cinta. Itulah cinta. Dan bagaimana pula ukuran cinta kita kepada Baginda?

Baginda menjanjikan syafa'at kepada umatnya di Mahsyar, dan adakah kita menerima pelawaan ini? Baginda menjanjikan pembawaan selawat yang dilafazkan kita, oleh malaikat Jibril terus kepadanya tatkala selawat itu dibaca, dan beramalkah kita dengan bacaan ini? Dan Allah SWT menjanjikan balasan sepuluh kali ganda kepada setiap kali selawat yang kita lafazkan. Masih menantikah kita untuk menyambut pelawaan Allah ini?
janganlah kau berharap esok saja akan berbuat kebaikan
jangan-jangan esok tika ianya menjelang ....
engkau pula telah menghilang

Selawatlah amalan yang paling senang untuk dibuat. Usah dikirakanlah sunnah-sunnah lain yang kita sibuk perbahaskan penyesuaiannya, pada zaman ini!







ALLAHUMMA SOLLI 'ALA SAYYIDINA MUHAMMAD,
BIQADRI HUBBIKA FIH,
WAZIDNAA YA ALLAH HUBBAN FIH....



p.s.:
tapi jangan dilupakan ibadah yang fardhu!


Saturday, March 24, 2007

Azan Selepas Azan




Ramai yang akan keliru dengan azan yang tak serentak dari dua masjid yang berdekatan di KL. Masjid Jamek Bandaraya KL dan Masjid India. Azan ‘Asar di Masjid India lebih kurang sejam selepas Masjid Jamek. Begitu juga di Masjid Haji Salleh di Sentul atau mungkin juga di Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang. Itu ‘Asar Hanafi namanya. Bagi mereka yang non-jemaah Tabligh, ini mungkin sesuatu yang ganjil. Tapi bagi ahli Jemaah Tabligh, mereka tentu sudah kebiasaan dengan amalan ini kerana itu adalah dari amalan mazhab Hanafi yang mengafdhalkan untuk melewatkan ‘Asar.

Sebenarnya ini belum ganjil!




Satu waktu dulu saya telah mengambil peluang selepas persidangan di Tunis untuk menziarahi Masjid Zaitouna. Masjid ini mengambil nama sempena pusat pengajian yang dibina di bawah teduhan pokok zaiton. Pusat ini merupakan antara unibersiti tertua di dunia, sezaman dengan Unibersiti Al Azhar di Kaherah dan Unibersiti Kairaouan di Fez. Kelainan masjid ini adalah lantainya tak beralaskan permaidani tetapi dengan tikar jerami yang tebal. Dan di ruang-ruang utama masjid terdapat beberapa majelis pengajian, meskipun yang mendengar pengajian tak sebegitu ramai. Ramai lagi orang-orang yang sedang bersandar pada dinding masjid tanpa berbuat apa-apa. Hanya menunggu waktu berlalu, agaknya. Sebentar setelah ketibaan saya laungan azan pun kedengaran. Dan saya pun bersama-sama berjemaah. Untung sekali fikir saya kerana dapat berjemaah ‘Asar di masjid yang tua ini.

Setelah solat dan sewaktu saya berjalan-jalan di lorong-lorong Souk yang terdapat di sekeliling masjid, terdengar lagi laungan azan. Inilah yang menghairankan. Dua azan dalam waktu yang tak berapa lama jaraknya dan dari masjid yang sama. Berbeza dengan laungan azan dari dua masjid yang saya ceritakan di KL tadi.

Setelah bertanya saya diberitahu bahawa itu adalah azan ‘Asar dan sebelumnya tak beberapa lama tadi adalah azan Zuhur. Rupa-rupanya amalan Maliki pula ada dua pilihan. Sama ada mengerjakan Zuhur pada awal waktu dan untuk melewatkan Zuhur, hampir kepada waktu ‘Asar. Jadi jemaah solat Zuhur dibuat dua kali untuk memenuhi pilihan yang dibuat jemaah. Dan saya pula telah menunaikan 'Asar bukan pada waktunya pada hari itu.

Tetapi itu belum lagi ganjil agaknya.

Faiz, teman saya yang baru pulang dari Kuwait menceritakan hari pertama beliau di sana, beliau pun ke masjid yang terdekat dengan hotel untuk berjemaah Maghrib. Sewaktu beriktikaf, kedengaran laungan azan dari masjid yang terdekat. Akan tetapi masjid di mana dia berada tak melaungkan azan sehinggalah lebih kurang 20 minit selepasnya. Dan azannya pula ada menyelitkan pujian kepada Sayiddina ‘Ali. Rupa-rupanya beliau dalam masjid Syi’ah. Azan Syi’ah berlainan dan mereka pula menjamakkan Maghrib dan ‘Isya.

Tetapi mungkin ini taklah seganjil keadaan di Istanbul misalnya dalam tahun 30-an.

Yang berkumandang dari menara masjid-masjid pada waktu subuh adalah:

Tanrı Uludur Tanrı Uludur
Tanrı Uludur Tanrı Uludur
Şüphesiz bilirim, bildiririm; Tanrı’dan baĹźka yoktur tapacak
Şüphesiz bilirim, bildiririm; Tanrı’dan baĹźka yoktur tapacak
Şüphesiz bilirim bildiririm; Tanrı’nın elçisidir Muhammed
Şüphesiz bilirim bildiririm; Tanrı’nın elçisidir Muhammed
Haydin namaza haydin namaza
Haydin felaha haydin felaha
Namaz Uykudan Hayırlıdır
Namaz Uykudan Hayırlıdır
Tanrı uludur
Tanrı Uludur
Tanrıdan başka yoktur tapacak
Tanrıdan başka yoktur tapacak

Pada zaman itu Ataturk menitahkan supaya Allah dipanggil hanya dengan nama Tanrı dan azan mestilah tidak dalam bahasa Arab. Begitulah bencinya Ataturk kepada bangsa dan bahasa Arab dan kepada Islam.

p.s.:
Harap-harapnya nanti Simah Hanım akan menterjemahkan azan Ataturk ke B. Malaysia. Lütfen.



Azan telah menjadi inspirasi abdi-abdi yang dipaksa untuk membanting tulang dan adanya mengadai nyawa di Amerika se abad dulu, untuk mencipta Blues pertama mereka. Levee Camp Holler, satu rintihan atau tangisan abdi untuk menghilangkan kerinduan kepada kampung halaman dan kepenatan bekerja, mempunyai banyak persamaan gaya laungan dan dengungannya dengan Azan.


Kredit: Gambar Masjid Zaitouna oleh Adam Harrison.





Friday, March 09, 2007

Komen: Jahil-tukil



Terima kasih joe penang, hjghaz, ~ahni~, Pa'chik, NBB, Jiwa Rasa, Anon 1, Tuan Pegawai Khalwat, panwalla, dingin, Anon 2, tuan tanah, Rampai, wan, zara dan madah berhelah, untuk komen-komen anda.

Andainya benar kelaku Arab-Arab yang saya bertembong di masjid dan musholla itu sememangnya mengikut pendirian mazhab-mazhab mereka, maka bayangkan:

Imam Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman al Sudais, pada suatu petang berlenggang-lenggang masuk dari Bab Malek Abdel-Aziz, menuju ke Ka’abah, sambil melaung-laungkan azan maghrib melalui cordless microphone-nya. Seterusnya beliau pun beriqamah juga sambil sedang berjalan. Setibanya di tempat yang disediakan di hadapan Ka’abah, beliau pun mengimami solat maghrib. Beliaulah bilal dan beliaulah imam! Satu pembaharuan.

Dan ketika solat maghrib itu kekecohan berlaku. Si Arab yang berjemaah bersebelahan Si Melayu bergaduh. Kesnya, Arab itu menarik kain pelikat Melayu hingga terlucut dan menyebabnya berboleng-boleng. Sebabnya, Melayu yang bermazhab Syafi’e yang datang lambat untuk menyertai solat tidak rukuk serentak bersama imam, kerana ingin menghabiskan Fatihah-nya dulu. Kebiasaan bagi sang Arab, sekiranya ada makmum lain yang tak turut serta pergerakan mengikut imam dengan serentak, makmum itu akan di tarik dengan kuat.

Pada ketika dan tempat lain pula, solat bercelaru kerana ada makmum yang menamatkan solat mendahului imam. Kalau mereka yang telah menyelesaikan solat ini berada di barisan belakang mungkin taklah sangat kekecohannya. Akan tetapi mereka ini di barisan tengah. Haru biru jadinya!

Sebenarnya kesemua kelaku yang ganjil ini bukannya dari perbezaan mazhab, tetapi dari keadaan jahil-tukil mereka. Perebezaan antara mazhab dalam solat tak lah ketara. Sekiranya ada, perbezaannya amatlah sedikit. Misalnya antara ada dan tiadanya qunut. Antara cara meletakkan tangan ketika qiyam. Antara Fatihah dengan ber-Bismillah atau tidak.

Dan baiknya kita di sini di Malaysia adalah kita tak menghukum sesiapa saja yang bersolat secara mazhab yang berlainan dari kita sebagai salah. Memang benar di Malaysia ada kejahilan. Akan tetapi yang jahil itu tak menghukum orang lain disebabkan perlakuan mereka berbeza dengan yang jahil tadi. Dan selalunya pula si jahil pandai mengasingkan diri jauh dari yang lain.

Apabila saya mengatakan susah beribadat secara Syafi’e bukannya bermakna susah bagi saya untuk menyesuaikan diri dengan pengikut-pengikut mazhab lain. Akan tetapi, susah kerana mereka yang bermazhab lain tak menghurmati cara-cara orang yang berlainan mazhab darinya.

P.S. Cik NBB:
Sekiranya yang memegang bahu itu lelaki, maka tak sah menjadi imam kepadanya. Sekiranya perempuan, maka apa kata Anon 1 itu betul.


Tuesday, March 06, 2007

Jahil-tukil



Bukan senang untuk bersolat di negara-negara Arab. Apa lagi sekiranya solat itu mengikut kaedah Syafi'e.

Aku pernah dimarahi, selepas menjadi imam di sebuah masjid di Bilad, Jeddah, untuk solat jama' taqdim 'isya kepada rakan-rakan, pada suatu masa. Selepas salam, ada orang lain yang turut ikut sama berjemaah menegurku kerana katanya kami solat tak lengkap dengan hanya melakukan dua raka'at. Selepas dinyatakan bahwa kami jama' qasar, mereka menafikan adanya solat secara demikian. Selepas kejadian ini kami mengambil sikap, untuk bersolat jama' qasar bersendirian pada ketika-ketika yang lain untuk mengelak hal-hal sedemikian.

Pada ketika lain pula sewaktu di musshola di lapangan terbang Dubai, aku melihat seorang Arab melakukan jama' qasar 'isya, tetapi solatnya di belakang imam yang tamam atau bersolat yang lengkap. Apabila aku menegurnya bahawa tak ada solat di mana makmum mendahulukan salam sebelum imam, aku dimarahi juga dengan katanya, "engkau tak tahu". Begitulah. Jangan sangkakan bahwa semua Arab tahu akan cara bersolat.

Baru-baru ini satu lagi kejahilan aku perhatikan juga di musholla yang sama. Aku memerhatikan seorang Arab separuh umur sambil melangkah ke hadapan, melaungkan iqamah dan sesudahnya, beliau menjadi imam! Meskipun ramai yang bersamanya. Lagi haru.

Sebenarnya aku tak suka berjemaah di tempat-tempat sedemikian, kerana selain dari keinginan untuk mengelakkan diri dari keadaan jahil-tukil mereka, aku juga khuatir sama ada mereka yang menjadi imam berwudhuk atau pun tidak. Pada mereka, mandi (mandi yang biasa) sudah mencukupi syarat berwudhuk. Yang menimbulkan was-was kepadaku adalah keadaan mereka yang baru tiba dari perjalanan yang jauh, dan selepas tidur berdengkur sewaktu penerbangan. Masih berwudhukkah mereka?

Sesungghuhnya solat hanya menjadi ikutan kepada mereka. Ada juga pemuda-pemuda berseluar jeans yang hujung kakinya meleret sehingga menyapu lantai; sama arasnya pula dengan tapak kasut, bersolat tanpa apa-apa kewaswasan kepada keadaan kebersihan seluar. Aku melihat mereka masih berstokin dan tak ada kesan air pada lengan atau muka mereka. Berwudhukkah? Apa pula keadaan saf dengan termasuknya orang sebegini?

Dalam bab solat, ternyata kita di Malaysia, lebih ariff dan lebih berdispilin. Alhamdulillah.



Thursday, February 22, 2007

Penasihat Agama tak Beragama




Kesian pada Nik Aziz. Maksudku Tuan Guru Nik Aziz. Bukan hanya minggu ini atau yang lepas, malah berminggu-minggu dan bertahun-tahun beliau dan pentadbirannya di kritik.

Minggu ini dilapurkan bahawa SAR (Sekolah Agama Rakyat) di Kelantan tak ada acara untuk murid-muridnya menyanyi lagu Negaraku dan lagu Negeri Kelantan. Dan kelmarin seorang kolumnis bukan Melayu NST dan bukan pula beragama Islam yakni kuffar, menghentamnya kerana menegah sambutan Hari Valentine. Ada ke patut, katanya, hari yang mengpromosikan kecintaaan dan kekasih-sayangan ditegah? Bukankah hidup ini amat memerlukan kepada kasih sayang? Benarlah St. Valentine itu bukan Islam, tetapi tak masuk akal katanya kalau perayaan tak dilihat dari sudut ruh atau maksudnya.

Aku berfikir-fikir kenapa Nik Aziz selalu dihentam. Agaknya? Ya, Nik Aziz, mungkin kekurangan atau tak ada ong dalam hidupnya.




Mengikut kaedah feng shui, Nik Aziz perlu untuk mengubah pintu utama rumahnya memiring ke sebelah kiri dan posisi rumah pula jangan menghadap bukit atau persimpangan jalan. Dan Nik Aziz perlu mengubah anak-tangga dari empat ke lapan sebaik-baiknya. Dan Nik Aziz perlu juga menwarnakan pintu utamanya kepada warna merah. Dan terbaiknya sementara perayaan Tahun Baru Cina ini masih ada lagi ini, panggillah naga dan singa untuk melompat-lompat depan tangganya. Baru nanti dapat ong. Dan kalau tanya lagi mana-mana penasihat dan pakar budaya Cina yang lain (semestilah mereka Cina dan bukannya Siam atau India), beliau akan menasihatkan Nik Aziz supaya tidak memakai serban dan jubah hitam, kerana itu warna yang melambangkan kematian. Beliau bukan hanya memakai warna yang melambangkan kematian akan diujar oleh mereka, malah menjunjungnya! Lagi tatak ong. Beliau sepatutnya berpakaian merah yang bersinar-binar untuk menarik ong yang istimewa.

Yang Nik Aziz tak ada pada sisinya, maksud saya adalah beliau tak ada mempunyai, penasihat berketurunan Cina. Bukan hanya untuk hal-hal untuk meraihkan ong dalam hidup dan politiknya, tetapi dalam segala-gala hal. Termasuklah tentang nasihat dan pandangan dalam hal-hal yang berkait dengan agama Islam. Ya Tuan Guru, kalau keamanan kawasan jalanraya di negeri Kelantan dan kawasan perumahan perlu untuk pembakaran colok dan untuk meletak kotak merah di sekitarnya, maka lihatlah kepada maksudnya dan jangan dipandang atau diambil kira hal ini sebagai ada kaitan dengan agama.

Dan sahabat-sahabat sekalian, apa-apa perbuatan dan keperluan dalam hal yang menyentuh dengan agama Islam, jangan-lah tergopoh gapah melaksanakannya, tanyalah dulu kepada orang-orang bukan Muslim yang lain yang kini sedang bebas memberi pandangan dan kritikan dalam akhbar-akhbar Inggeris tempatan. Nanti tersalah hukum tersinggung pula hati mereka.

Botak Chin saban hari menyanyikan lagu Negaraku, sambil berdiri tegap menghurmati bendera Malaysia. Tapi beliau akhirnya dihukum bunuh. Kemana pulak ongnya dan adakah perlakuannya saban hari itu menjadikannya anak Malaysia yang begitu taat setia kepada negara?


p.s.:
Tuan Guru, bulan April nanti negeri Kelantan boleh menjual telur untuk perayaan Easter. Tak apa-apa, perayaan ini menyeronokkan kanak-kanak. Peluang untuk bergembira. Juga menguntungkan.



Saturday, February 17, 2007

Tuan Mufti




Kalau sudah berkali-kali berjerembong, mungkin tak manis kalau tak bertegur sapa. Sekurang-kurangnya berbalas senyum. Begitulah keadaannya. Empat kali diriku bersua dengannya dalam seminggu. Meskipun sudah menyambut dengan senyuman pada kali pertamanya, tapi rupanya belum mencukupi. Dia datang lagi. Dan lagi dan lagi.

Pertama kali sms (kawan-kawanku suka ber-sms kerana kata mereka lebih berkesan daripada berbual dan juga dapat mengurangkan radiasi kepada otak!) yang saya terima, hanya saya membalasnya dengan senyuman. Dan kerana sms yang dikirim tak terjawab, penghantar mengirim lagi ulangan kepada sms pertama.

“Sheikh, anta tau tak apa-apa tentang swisscash, abbfund, etc. Ramai orang menyertainya. Halal ke?”

Jawapan saya rengkas, hanya, “Itu Labu Peram alam siber. Haram.”

“Tapi ada mufti yang aktif mempromosinya.” Balasnya.

“Mufti bodoh. Mufti mana?” responku lagi.

“Mufti XXXXXX.” Jawabnya rengkas juga. Dan tak ada sms selanjut darinya.

Kali kedua. Pada satu malam sewaktu saya membawa Pak Didik, tamu dari Malang (Jatim, Indonesia) ke sebuah restoran kepala ikan yang ber-wifi di KL, ramai ternampak anak-anak Melayu yang sedang rancak berbincang sambil meneliti-liti skrin laptop mereka yang terpapar dengan ruangan yang penuh dengan angka-angka. Bagus betul fikirku, kerana anak-anak bangsa sudah canggih manggih serta sudah berminat dengan subjek yang berangka. Kebetulan antara mereka ada seorang yang ku kenali dan apabila disapa, jawapan yang diterima adalah “swisscash.” Rupa-rupanya mesyuarat antara peserta-peserta (upliners dan downs mereka). Aha, bakal jutawan yang tak perlu bergantung kepada parti dan projek-projek RM9 (bukan Ringgit 9 tapi Rancangan Malaysia ke-9).

Kali ketiga pula, sewaktu bersarapan, isteriku bertanya “Swisscash tu apa?” Dan hampir-hampir terbelahak diriku dengan soalan yang amat mengejutkan itu.

“Dari mana tau?” tanyaku.

“Dari pekerja Cikgu tuisyen yang bermain gitar tu. Mereka mengiklannya di ruang tangga ke pusat tuisyen.” Jawabnya.

Dan akhirnya, sewaktu kuliahku kelmarin, seorang peserta bertanya, “Kenapa benda yang menguntungkan nak di kira halal-haramnya.”

“Apa?” tanyaku hairan.

Swisscash,” jawabnya serius.

"Dia datang lagi," bisik hatiku.
.
..
...

Pada fikiranku, ini sudah petunjuk kepada diriku supaya menangani subjek ini dengan serius.

Kalau anda mau kaya cepat, tanpa usaha yang berat dan bermodalkan yang sedikit, maka jawapannya adalah swisscash atau abbfund atau yang seumpamanya. Itu kata mereka dan bukan nasihat saya.

Pernah dulu skim ini dikaitkan dengan seorang tokoh korporat yang tertentu. Apabila bersua dengannya pada suatu hari dulu, saya bertanya, “Wak, betul ke kamu pendiri swisscash?”

“Ahh, ini yang buat aku marah kat budak-budak ni. Satu hari depa jemput aku minum teh, dan gambar aku diambil sewaktu sedang kencang berbual. Tau-tau dah masuk website mereka.” Terangnya.

“Ha, padam muka hang, lain kali tanya dulu jemputan tu untuk majlis apa? Mana ada orang bagi minum free!” Ketawa dan ketawa kami.

Dan nasihatku kepada Sohibus Samahah Mufti yang aktif mempromosikan skim ini:


“Tuan. Ini business apa sebenarnya? Tak tau apa latarbelakangnya, maka itu gharar. Tuan lebih ariff dalam bab ini.

Dan kalau Tuan kata dalam kaedah mudharabah tak wajib berusul-tanya tentang tujuan perniagaan atau pelaburan; memadai mempercayai kepada keupayaan dan kecekapan pentadbir atau mudharib, maka Tuan, pembahagian pulangan kepada keuntungan yang diperolehi dalam kontrak mudharabah, bukannya pulangan tetap keatas modal yang dilaburi. Mesti pembahagian keatas keuntungan yang dicapai. Kalau pulangan tetap dijanjikan keatas modal maka betul tak Tuan, itu sudah menjadi riba. Amat haram!

Dan Tuan, apa-apa yang membawa keuntungan yang berlipat ganda dengan modal amat sedikit, ini namanya maisir atau judi.

Oh Tuan kata, judi mesti ada kalah menang dan dalam skim ini belum ada yang kalah. Semua menang. Betul Tuan, ini perniagaan alam siber Tuan, skim Ponzi pun begitu juga. Nanti akan sampai tahap yang sudah meletup dan bila semua hilang duit, bagaimana?

Tuan tau tak skim piramid? Ya piramid yang hampir dengan tempat yang Tuan nontoni tarian gelek di Kaherah dulu-dulu. Ha itulah dia.

Apa Tuan? Skim ini dikendalikan di Switzerland, dan sekiranya mereka menipu, tentu sudah lama ditangkap! Tuan, di Switzerlandlah penipuan perbankan paling besar berlaku. Hatta Yahudi pun ditipu duit mereka oleh Bank UBS. Kalau Tuan tak percaya tanyalah Tengku Razaleigh di mana Marc Rich yang menipu kerajaan Malaysia dulu dalam perniagaan bijih timah beroperasi? Kalau tidak di Switzerland.

Oleh itu Tuan, baik Tuan jaga halal haram sembelihan ayam dan kerbau lembu. Itu lebih memerlukan pengendalian Tuan kerana setiap hari kita ditipu dengan kehalalan pemyembilahannya.

Faqad.”

Nota:
(i). Swisscash dah diharamkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
(ii). Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibawahnya kuasa menghalalkan atau mengharamkan sesuatu masih belum bertindak.




Friday, January 26, 2007

Harapan

"Siddiqil-'aziz"

begitulah mukadimmah sms dari Ustaz Ghazali (al-Jelebui) kepadaku awal pagi tadi; hari Juma'at sayyidul-ayyam.

"Di kala dini hari dibasahi embun jantan
aku terasa haus dalam kedinginan.
Dan berkali-kali
aku tersentak dalam kesunyian malam yang begitu nyaman,
seolah-olah malam tak mengizinkanku terus dalam kelenaan.

Puas aku ke kiri
ke kanan,
tetapi tak lagi menemui keselesaan pada tilam;
keempokannya tiba-tiba menghilang.

Pada sejadah usang
aku menghamparkan diri kepada-NYA.
Untuk berintih dan bermunajat dalam kesunyian malam
tanpa gangguan deringan talipon tangan.
Tah kenapa, lewat-lewat ini sering air mata berderai
tatkala kesunyian
dan nisan-nisan pula sering terbayang.

Oh TUHAN
ini aku
hamba-MU menadah tangan....
inilah rintihan....
zalimku pada diri dan Tuhan
tapi IA masih izinkan daku untuk bernafas
dan menumpang
di bumi-NYA tanpa halangan.

Beban yang ku bawa,
aduh!
Begitu besar, berat dan hinanya
adakah bisa dibuang?

Oh Tuhan, layakkah aku mendapat kasih-MU?
Berhakkah daku memijak syurga-MU?

Tiba-tiba mendapat lintasan
peringatan-MU pada insan
supaya meminta dengan penuh harapan.
Kasih-MU meliputi langit dan bumi.
Pengampunan-MU lebih besar dari keseluruh dosa-dosa kami
dan seluruh alam.

Ya Allah,
Ampunilah dan sinarkanlah cahaya NUR kedalam hati-hati kami
dan keluarga-keluarga kami
dan pada seluruh sahabat taulan.

Perjalananku telah jauh, namun
duri ranjau
gelora samudera
dan segala apa rintangan kepada-MU
pasti ada noktahnya.

Aku ingin menghampiri-MU ya TUHAN,
kerana rasaku aku sudah lama bermalam
dan sebentar lagi akan pulang.

Wahai teman,
maafkan aku atas apa-apa kesalahan dan kekasaran."



Nota:

Siddiqil-'aziz = temanku yang ku hurmati atau ku muliai. Panggilan penghurmatan kepada kawan;

Sayyidul-ayyam = penghulu segala hari, yakni hari Juma'at.

Sunday, January 21, 2007

Perayaan dan Perayaan




Secara kebetulan atau memang ditakdirkan, proses untuk memupukkan semangat toleransi dan kesetiakawanan di bawah naungan Hadhari di Malaysia, menuju kejayaan.

Pada tahun lalu banyak perayaan yang dikongsi bersama dengan kaum Muslimin di Malaysia. Misalnya 'Eidulfitri dan Diwali. Hari sambutan Christmas pula bersamaan dengan minggu Hari Raya ‘Eidul Adha. Dan minggu ini pula, minggu sambutan Ardh Kumbh Mela bersamaan dengan hari sambutan Awal Muharram. Dan juga tak ketinggalan Hari Ponggal pada minggu lalu.

Dan untuk sambutan bukan sangkut paut dengan agama, kini di KL kami sibuk dengan sambutan Hari Flora sempena Tahun Melawat Malaysia 2007. Dan maaf yek, orang-orang Johor kerana tak dapat menjemput anda kalian ke KL untuk melihat acara bunga api yang begitu menarik sewaktu minggu pelancaran VMY ’07. Biarlah kami di KL merayakan kesemuanya bagi pihak sekalian penduduk Malaysia.

Penyambutan hari Ardh Kumbh Mela, juga ditetapkan berdasarkan kepada rukyah dan falak. Mengikut perkiraan, tepat waktu 1730 GMT pada January 7 lalu, matahari memasukki ruang Tropic of Capricorn, untuk menandakan kemasukkan waktu kedudukan matahari dan cakrawala yang berlaku hanya sekali dalam setiap enam tahun.

Mengikut kepercayaan agama Hindu, sewaktu berlaku peperangan antara tuhan-tuhan dan dewa-dewa jahat di bumi, telah tertumpah manisan dari cangkir atau buyung mereka, di kawasan Allahabad. Untuk mengingati hari ini maka penganut Hindu akan bertumpu ke Ganges, sungai yang paling tercemar di dunia, untuk menikmati apa-apa kemanisan yang masih berbaki di samping membasuh diri mereka dengan air Ganges untuk menghilangkan dosa-dosa mereka.

Dan dijangkan seramai 70 juta penganut Hindu akan merayakan Ardh Kumbh Mela di Ganges untuk sekaligus menyucikan diri mereka dari dosa.

Alangkah baiknya kalau 12 juta umat Islam di Malaysia juga mencari hari untuk berkumpul di mana-mana tempat yang sesuai untuk bertaubat. Sekali setiap 5 atau enam tahun. Acara ini boleh dinamakan JOM TOBAT! atau SURE TOBAT!

Bagaimana JPM tak mengarahkan ucapan selamat hari Ardh Kumbh Mela kepada penganut-penganut Hindu tak pula saya mengerti. Dan sekiranya ini dilaksanakan, mereka pula dapat mengucap balas selamat menyambut Muharram kepada kita.

Saya berharap Mufti Perlis dan Ketua Pengarah IKIM tak akan membantah perayaan bersama seperti ini.

"Hello.... hello ..... Swamiji. Ignore the circular from the shari'ah guy from Takaful Malaysia.

On behalf of IKIM, we wish you a happy Ardh Kumbh Mela."

"Accha Sab. Heppi moharem. Haardik Shubhkaamnaein Sab. Shakria Sab."



Saya amat tertarik dengan penjelasan Pak Malau tentang Hijrah.
Dan jangan lupa berpuasa Muharram.




Nota: Achha Sab. Heppi moharem. Haardik shubhkaamnaein Sab. Shakria Sab. = Yes sir. Happy Muharram. Best Wishes Sir. Thank you Sir.

Friday, January 12, 2007

Saf




Gambar ini mengingatkan saya kepada pesanan Sayyidina 'Umar al Farouk @ 'Umar al Khattab. Khalifah kedua. Sememangnya ada beberapa sabda Rasululullahi sollahu 'alaihi wassalam tentang maudhuk yang sama. Berkenaan saf solat.

Ketika peperangan untuk menaklukki Palestin terlampau berpanjangan, maka Sayiddina 'Umar pun membuat lawatan mengejut untuk menilai keadaan. Didapatinya tentera Islam di bawah 'Amr ibn 'As r.a. bersemangat kental dan gagah berani. Akan tetapi pada malam harinya Sayyidina 'Umar mendapati mereka tidur nyenyak dan pada solat-solat berjemaah pula, safnya renggang dan tak teratur. Solat juga diringankan.

Apabila keadaan ini diubah setelah ditegur Sayiddina 'Umar, keadaan di barisan peperangan mengalamai kemajuan. Tak lama kemudian kemenangan ternyata pada pihak Islam.

Sayiddina 'Umar al Farouk yang dihina dengan panggilan 'anjing' oleh kaum syi'ah, mempunyai kewibawaan yang tinggi. Sewaktu kejatuhan Palestine, pada 636M, dalam peperangan Yarmuk, Patriach Sophoronius sebagai kepala agama dan ketua bandar itu, bersetuju untuk menyerahkan bandar itu sekiranya Sayiddina 'Umar, sebagai Khalifah Islam, datang sendiri ke Palestine untuk menerima penyerahan kota Palestine. Pertemuan antara dua kepala negara atau pasukan itu sungguh dramatik, mengikut Anthony Nutting seorang pengkaji Sejarah Kristian, "'Umar memberi satu pengajaran kepada para pemimpin tentera Kristian dan para bishop tentang tawwadhuk. Penyerahan kota Palestine itu diterima 'Umar dalam keadaan pakaian yang bertampal-tampal dan dengan hanya menunggangi keledai." [The Arabs, New American Library, N.Y. (1964)]

Sewaktu menerima kekalahan tentera atau kerajaan Kristian Palestine, Khalifah 'Umar dalam ucapannya, yang dikenali sebagai Perjanjian 'Umar, menyatakan:
"Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Ini adalah wa'ad (perjanjian) pada mana 'Umar, hamba Allah; sebagai Amir kepada kaum Mukminin, janjikan kepada penduduk Aelia. Dia memberikan mereka keselamatan pada nyawa, hartabenda, gereja-gereja dan salib-salib mereka. Mereka tak akan disusahkan dalam hal-hal agama mereka dan juga tidak akan ditindas... sesiapa yang meninggalkan bandar ini akan dijaminkan keselamatan pada diri dan hartabenda, sehinggalah mereka tiba kepada destinasi tujuan mereka."

Balek kepada gambar di atas. (Klik disini dan nilai sendiri apa yang tersurat.) Sekali pandang, hebat nampaknya. Jemaah di Malaysia, bersolat tak kira tempat. Di padang-padang dan di kaki lima. Merata-rata.

Pertanyaan pada diri saya adalah, "Siapakah yang menentukan bahawa sah solat Juma'at dengan saf yang putus seperti dalam gambar tersebut. Ada yang dibawah pokok dan ada pula di tepi jalan untuk keselesaan." Apa kata kalau bawa saja kereta ke tepi kawasan itu dan mengikuti khutbah dalam keselesaan dari dalam kereta? Saya berharap-harap akan kawan saya Sayuti, Yeop, atau sang pencinta, taklah termasuk dalam saf bawah pokok.

Sekiranya peperangan Palestine menjadi tanda-ukur, maka jauh lagilah kemenangan bagi umat Islam di Malaysia, dalam bidang apa sekali pun.

Dan ini juga peringatan pada diri saya sendiri.


Saturday, January 06, 2007

Ilmu



Di kala usainya musim Haji 1427H/2006M dan kesepian yang akan menyelubungi kota Makkah buat seketika, saya teringat akan almarhum Sheikh ‘Abdul Karim al Banjari. Asalnya dari Kalimantan; berketurunan Banjar. Guru di Masjidil Haram, Makkah. Beliau pulang kerahmatullah sekitar empat tahun lalu. Di samping sempat dimanfaatkan beberapa ilmu dari Almarhum, saya mempunyai beberapa kenangan manis bersama beliau.

Sewaktu hayatnya, setiap kali saya ke Makkah, saya tak akan lupa menziarahi beliau di halaqah pengajiannya di Masjidil Haram. Ketika itu kalau ada pemuda-pemuda beraut muka atau berwajah Nusantara, berserban dan tak banyak bercakap-cakap, yang berkumpul di ruang-ruang di sebelah kiri laluan Bab 'Abdel-'Aziz ke Ka'abah, untuk pengajian, itu pastilah murid-murid beliau. Berbeza sekali dengan murid guru-guru Salafiah yang hanya berselubung merah atau putih. Khabarnya sekarang ruang itu sudah sunyi dan kebanyakan murid-muridnya telah pulang ke negara masing-masing, kerana ketiadaan igamah (atau surat keizinan) untuk bermastautin di sana.

Beliau seorang guru yang tegas. Sekiranya murid-muridnya tak dapat menjawab apa-apa soalan setelah ditanyainya sebanyak 3 kali, maka beliau akan menutup majlis pengajian. Kerana bermakna murid-murid belum faham apa yang telah diajari sebelumnya, tapi enggan atau malas bertanya. Maklumlah kesemua murid-muridnya bekerja pada siang harinya, sama-ada sebagai pemandu jemaah atau pekerja-pekerja kedai. Tetapi Almarhum adalah seorang guru yang amat baik dan pemurah.

Sebagai guru yang mengajar di Masjidil Haram, beliau sentiasa dalam intipan pengawal Masjid kerana beliau dari fahaman kaum tua iaitu bukan dari golongan Salafi. Maka setiap pengajiannya cuba dirakamkan oleh pentabir Masjidil Haram, untuk tujuan penapisan.

Dan pada suatu waktu selepas selesainya pengajian, datang sang pengintip untuk mengambil perakam suara yang tadinya diletak hanya beberapa inci di depannya. Almarhum mencuit saya dan berkata, ”Lihat tu,” sambil menunjuk kepada sang pengintip tadi. Almarhum senyum dan ketawa kecil. Sambil berjalan sang pengintip tadi meletakkan alat perakam rapat ke telinganya dan cuba-cuba mendengar apa yang direkodkan. Berkerut-kerut mukanya kerana tak ada apa-apa suara yang telah dirakamkan. Baik bunyi Melayu ataupun Banjar dan apatah lagi Arab. Selain dari bunyi putaran pita, yang kedengaran dari pita itu hanyalah kesepian. Kerana tak ada apa-apa bunyi langsung yang tertangkap pada pita rakaman tersebut. Begitulah kejadiannya setiap kali beliau mengajar. Allah SWT tak mengizinkan suaranya dirakam.

Malahan sewaktu beliau menyampaikan pengajian, suaranya pun tak kedengaran. Akan tetapi kesemua muridnya mendengar apa yang diajarinya. Kalau ada sesiapa yang melihat majlis pengajian tersebut, mereka akan menyangkakan bahawa itu adalah majlis pengajian orang bisu. Kerana tak ada bunyi dan suara yang kedengaran langsung, baik dari guru apatah lagi dari murid yang taat mendengar. Demikianlah Almarhum Sheikh ’Abdul Karim al Banjari. Seorang manusia yang aneh. Semoga Allah SWT merahmatinya dan meletakkannya di taman yang terindah di sisi-NYA. Al Fatihah kepada ruhnya.

Satu waktu Almarhum menceritakan kepada saya tentang mula-mula kedatangannya dari tanah Bandjarmasin ke kota Makkah untuk belajar. Berbulan-bulan beliau mencari guru untuk mengabdikan dirinya semata-mata untuk mencari ilmu. Setelah puas bertanya-tanya beliau dinasihatkan supaya berguru dengan seorang ulamak yang asalnya dari tanah Hindi. Apabila bertemu dengan guru yang dimaksudkan, alangkah terperanjatnya. Tak terhingga. Kerana orang yang bakal menjadi gurunya itu sering ditemuinya, malah setiap hari, dalam perjalanan dari rumah tumpangannya ke Masjidil Haram dan apabila waktu pulangnya. Beliau penjual haruman dan wangian ’attar di lorong yang menjadi laluannya ke Masjid. Dan beliau tak sekali-kali menyangka yang penjual 'attar ini seorang guru dan ulamak Hadith.




Begitulah Cik Rampai, aneh sungguh hidup ini kadang-kadang. Pemberi ilmu itu di tempat yang paling tak disangka.

Dan terima kasih Cik Rampai di atas puisi, sempena 'Eidul Qurban, yang begitu indah:

Korban

Rasa kehambaan yang mukhlis
tenang
dalam pelukan
cinta hakiki
harum
sebuah munajat
kamil
sekeping
hati.

Allahuakbar!

Wahai Tuhan
dalam kami menyisir
kehidupan
hiaskanlah di hati nan redup
puncak keunggulan
malai syahdu
keimanan.

~ Bunga Rampai ~



Gambar: Pandangan dulukala sekitar Masjidil Haram. Dalam bulatan adalah Rumah Maulud atau tempat kelahiran Rasulullahi sollallahu 'alaihi wassalam.

Friday, December 29, 2006

Keliru







Adapun sewaktu blog ini sedang ditulis, jemaah haji sudah mula berkumpul di Mina, kerana keesokannya mereka akan ke Arafah untuk berwukuf. Kini pukul 6.15 pagi di KL bermakna 1.15 awal pagi Jumaat di Mina.

Dan pada siangnya nanti, berbondonglah manusia ke Arafah untuk berwukuf sehingga sebelum Maghrib. Arafah, tempat pertemuan Adam dan Hawa di bumi. Dari Arafah, jemaah akan ke Muzdalifah untuk mengutip batu untuk melontar, serta juga untuk mabid atau bermalam sebentar, sebelum meneruskan perjalanan ke Mina. Dan esoknya pada pagi Sabtu akan bergaunglah Jamratul Aqabah dengan laungan takbir. Manusia akan berpenuh sesak untuk membuat lontaran pertamanya. Ada yang membaling anak-anak batu yang dikutip sebelumya di Muzdalifah dan ada juga yang kerana terlalu emosi, membaling selipar-selipar mereka.

Di Makkah pula, bagi yang tidak ke Arafah dan Mina, mereka akan berkumpul pada pagi Sabtu itu, untuk menunaikan solat ‘Eidul Adha. Ketika itu kita di Malaysia, sudah sekitar jam 1 tengah-hari, dan sedang bersiap-siap untuk solat zuhur.

Maka ‘Eidul Adha mestilah menyusul hari wuquf. Tak boleh sebelumnya. Dan disebabkan pengistiharan wuquf itu hanya boleh dibuat oleh Kerajaan yang mentadbir urusan haji di Tanah Haram, maka tak boleh sesiapa mengistiharkan wuquf sebelum pengumuman tarikh oleh pentadbir tersebut. Akan tetapi selepas peristiharan tersebut tak ada mana-mana kerajaan yang boleh mengistiharkan hari wukufnya sendiri, kerana wukuf , lokasinya khusus hanya di Arafah. Bermakna 'Eidul Adha sehari selepas hari wuquf di Arafah.

Kalau kita kaji semula. Sewaktu wukuf sedang dilangsungkan, kita masih pada siang hari Jumaaat. Tepatnya petang Jumaat. Ketika jemaah di Jamratul Aqabah untuk lontaran hari pertama mereka, kita pula belum lagi zuhur pada hari Sabtu. Bermakna sewaktu solat ‘Eidul Adha berlangsung di Masjidil Haram di Makkah, kita baru akan menunaikan solat zuhur di KL. Bermakna di sana siang Sabtu dan di sini pun siang Sabtu.

Dan esoknya pada hari Ahad di Malaysia, sewaktu kita melaksanakan solat subuh, jemaah yang dalam kepenatan di Mina sedang nyenyak tidur, kerana di sana baru pukul 1 pagi, juga pagi Ahad. Dan siang nanti mereka akan melontar pula di ketiga jamrah. Bermakna pada hari Sabtu yang baru berlalu itu jemaah haji sudah selesai mengerjakan wukuf di Arafah, lontaran hari pertama pada Jamratul 'Aqabah dan juga bertahallul (bergunting rambut atau bercukur kepala). Dan sudah pula menanggalkan pakaian ihram mereka. Begitulah congaknya.



Tetapi ‘Eidul Adha kita di Malaysia adalah pada hari Ahad! Mungkinkah telah berlaku pertambahan yang ketara kepada perbezaan waktu antara Mina dan Malaysia, semenjak berlakunya gempa bumi di Taiwan beberapa hari lalu?


Saya sedang cuba mengira hari-hari Tasyrik untuk perlaksanaan korban.

Saya menalipon seorang teman, Ustaz Ismail Mina untuk meminta pandangan. Beliau dilahirkan di Mina, jadi pastinya beliau yang paling sesuai untuk dibuat rujukan.

"Ustaz, macam mana pandangan anta tentang raya tahun ni?" muqadimmahku.

"Sheikh," ujar beliau, "itu memerlukan fatwa. Ana bukan mufti jadi ana tak layak mengeluarkan fatwa. Dan sekiranya ana mufti sekalipun, fatwa ana tak boleh diterima kerana hanya fatwa Mufti Negara dikira muktamad. Tapi setakat ini jawatan ini belum diisikan lagi."

“Ya Allah terimalah korban kami sekiranya kami melaksanakannya pada hari Rabu di Malaysia.” Saya berdoa sebelum menamatkan perbualan.




Sunday, December 24, 2006

Malam dan Hari Yang Sepuluh

Mungkin pesanan ini agak terlewat. Tetapi taklah terlalu terlewat kerana Zulhijjah baru saja bersama kita.

Surah Al Fajr mengingatkan kita pada malam yang sepuluh (Demi fajar; dan malam yang sepuluh; dan yang genap dan yang ganjil (QS.89:1 -3). Hari-hari yang dimaksudkan ini termasuk hari-hari yang kini telah dan akan bersama kita.

Ada tiga bulan-bulan hijriah yang mempunyai 10 hari yang penuh berkat. Iaitu:

  1. 10 akhir Ramadhan;
  2. 10 awal Muharram, dan
  3. 10 awal Zulhijjah:

Dan peristiwa-peristiwa dalam Zulhijjah, mengikut Abil-Laits Assamarqandi, adalah:

  • 1 Zulhijjah adalah hari Allah menganugerahkan keampunan kepada Nabi Allah Adam a.s., dan juga hari pertemuan Nabi Allah Adam a.s. dengan Siti Hawa, di bumi iaitu di Arafah;
  • 2 Zulhijjah adalah hari penerimaan do'a Nabi Allah Yunus selepas beberapa lama dalam perut ikan nun;
  • 3 Zulhijjah adalah hari Allah SWT perkenankan do'a Nabi Allah Zakaria a.s. Tersebut di dalam kitab Al-Futuhat Ar-Rabbaniyyah ‘ala Al-Adzkar An-Nawawiyah, bahawa jarak masa doa Nabi Zakaria ‘Alaihissalam memohon untuk dikurniakan zuriat dengan berita gembira yang diterimanya, adalah 40 tahun;
  • 4 Zulhijjah adalah hari kelahiran Nabi Allah 'Isa a.s.;
  • 5 Zulhijjah adalah hari kelahiran Nabi Musa a.s.;
  • 6 Zulhijjah adalah hari Allah membukakan pintu kebajikan kepada Nabi-Nabi-Nya ;
  • 7 Zulhijjah, hari pintu neraka jahannam akan dikunci dan dibuka semula selepas 10 Zulhijjah.;
  • 8 Zulhijjah adalah hari Nabi Ibrahim a.s. bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih puteranya Ismail. Seharian ia berfikir tentang apakah perintah itu datangnya dari Allah atau dari syaitan. Hari itu telah dinamakan dengan hari Tarwiyah (hari berfikir-fikir).
  • 9 Zulhijjah adalah hari turunnya ayat terakhir kepada Rasulullah sollahu 'alaihi wassalam, iaitu pada ketika Nabi sedang wukuf di Arafah pada hari Jumaat tanggal 9 Zulhijjah tahun ke-9 H. Ayat terakhir yang yang diturunkan ini tersebut dalam surah al-Ma'idah, ayat 3. Menurut sejarah, Nabi wafat 81 hari selepas ayat ini diturunkan.
  • Pada 9 Zulhijjah juga Allah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa perintah menyembelih anak itu sememangnya adalah perintah dari-Nya bukan dari syaitan. Justeru hari itu dinamakan hari Arafah (hari tahu).
  • 10 Zulhijjah adalah Hari Raya 'Eidul Adha (Hari Raya Korban) yang dinamakan juga hari Nahar (menyembelih). Barang siapa berkorban pada hari ini dengan seekor korban, maka setiap titisan darah yang mengalir dari leher haiwan itu akan menjadi sebab untuk mendapat kemapunan dari Allah akan dosanya serta dosa ahli keluarganya. Barang siapa yang bersedekah dengan memberi makanan kepada fakir miskin atau apa jua sedekah pada hari itu, maka ia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kemudian dalam keadaan aman dan sentosa serta dengan timbangan amal baiknya lebih berat daripada Bukit Uhud, sebuah bukit yang terdapat di Madinah.

Dan hari-hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah hari-hari Tasyrik. Marilah kita hidupkan malamnya dengan banyak beribadah, dan bertakbir selepas solat waktu.

Banyak syarah-syarah dari ulamak-ulamak yang muktabar, tentang fadhilah berpuasa pada hari-hari 1 sehingga 9 Zulhijjah. Pada pagi 10 Zulhijjah pula disunatkan 'berpuasa' dari waktu fajar sehingga selepas khutbah solat 'eidul adha.

Wallahu a'lam.

Selamat berpuasa.

Sunday, December 17, 2006

HATI

Saya selalu mengingatkan diri sendiri dan kawan-kawan kepada pesanan RasululLahi sollahu 'alaihi wassalam. "Tugasku membawa syahadah. Urusan hati adalah urusan Allah SWT." Bermakna tugas kita adalah untuk menyampaikan tentang Islam, dan kepercayaan seseorang, yang akan tersemai di hatinya, adalah urusan Allah.

Begitulah dengan cerita terbaru yang dilalui oleh seorang agen perisik Russia, Alexander Litvinenko. Dua hari sebelum maut, akibat diracuni, beliau telah mengisytiharkan syahadah.

Alexander Litvinenko Conversion to Islam two days before his death

Litvinenko worked for the Russian Secret Service in the KGB and in the FSB.

Litvinenko's father today told RFE/RL's Russian Service that his son told him shortly before his death that he had converted to Islam, and wished to be buried according to Muslim tradition.

"He told me about his decision two days before he died. He said, 'Papa, I have to talk to you about something serious. I've become a Muslim,'" Valter Litvinenko said.

"I said, 'Sasha, it's your decision. As long as you don't become a communist or a satanist, that's the main thing. I'm a Christian myself, but I have a granddaughter whose father is Kabardin -- my daughter's husband, he's Muslim as well," he continued. "We haven't lost God; we believe in God. But how to believe in God, how to pray -- everyone should do that in the way they consider best."

Valter Litvinenko said his son had grown disenchanted with what he described as the "hierarchy" of the Russian Orthodox Church, and had sought a change.

Akhmed Zakayev, the London-exiled Chechen separatist envoy, told RFE/RL that Litvinenko asked him about the possibility of converting in the early days of his illness. "I told him it was a purely personal question, that it isn't important to which god we pray as long as we aren't doing ignoble acts. And I sort of dropped it. But he over and over again returned to the subject."

Zakayev added that Litvinenko went on to pronounce the shahadah, the fundamental Muslim statement of faith.

"Any student of Islam will tell you that there are no particular rituals for converting to Islam. All you have to do is say one sura" -- a verse or chapter from the Koran -- "and from that moment if the person who pronounces this sura, this shahadah, has sincere intentions, from that moment he is considered a Muslim," he said.

Zakayev also described the day before Litvinenko died: "On November 22, at his request, I, with his wife's approval, brought an imam to him. He read over him a sura from the Koran, the one that is read over a dying Muslim," he said. "Of course, according to Muslim rituals, they pray over the body before burial. Now, unfortunately, that part of the process which Aleksandr requested cannot be fulfilled because of the exceptional circumstances of the radiation in his body and the fact that the coffin that will contain his body cannot be opened for 6 1/2 years."

Litvinenko, who defected to Britain in 2000, had previously been active in uncovering corruption in Russia and was involved in investigations into the murder of Anna Politkivskaya, the Russian journalist and anti-Chechen campaigner killed in Moscow last month.

Radio station Echo Moskvy reported Friday Litvinenko had converted to Islam shortly before his death.

Baru-baru ini pula, seorang teman, Muhammad Fitri Abdullah, seorang da'i yang dulunya sebelum Islam, pernah melalui latihan untuk menjadi swami Hindu, telah menerima panggilan mengejut dari seorang pesakit jantung berketurunan Cina di HUKM, meminta untuk diberikan syahadah; sejurus sebelum beliau melalui pembedahan jantung. Alhmadullilah pesakit ini berjaya dibedah dan sekarang dalam keadaan sihat.


Satu lagi keanihan yang diceritakan oleh seorang teman saya yang lain berlaku di Masjid di Kelana Jaya, minggu ini. Sewaktu jemaah sedang akan pulang selepas melakukan solat subuh, datang seorang pemuda berketurunan India. Beliau berseluar Bermuda dan nampak dalam keadaan luar biasa. Apabila ditanya tujuannya ke Masjid, beliau menyatakan bahwa beliau beragama Katholik, dan ingin menerima Islam. Peng-Islamannya diuruskan pada pagi itu juga di Jabatan Agama Islam Selangor.

Begitulah cara-cara Allah SWT menguruskan hati manusia. Semoga hati kita ditetapkan Allah SWT dalam keimanan.

Saturday, December 02, 2006

KEBETULAN




I.

Agaknya apakah kemungkinannya sesuatu kebetulan itu berlaku?

Terpulang sebenarnya kepada apa yang kebetulannya. Dalam teori probability atau kemungkinan, ia adalah fungsi atau faktor kepada kerambangan dan juga antaranya kepada keadaan, perbuatan dan masa.

Tapi apakah kemungkinan anda hadhir pada hari pengebumian teman rapat, di tempat yang jauh dari kampung atau negara, dan tanpa menyedari bahawa yang dikebumikan itu teman sendiri?

II.

Lima tahun dulu saya sengaja mentakhirkan urusan di Jeddah supaya sempat menyambut Ramadhan di Makkah al Mukaramah dan di Madinah al Munawarrah. Dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah saya mendapat berita ada kemalangan di jalan yang sama yang melibatkan sebuah van yang membawa jemaah Malaysia terhumban dalam gaung. Dan sewaktu tiba di Madinah, saya menerima sms dari KL. “Uncle, tolong uruskan jenazah ayah dan adik saya. Mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya dekat Madinah dan telah meninggal. Mayat sekarang akan dibawa ke Madinah.”

Keesokan harinya saya menanti-nanti di Masjid Nabawi sewaktu ‘Asar kalau-kalau jenazah dibawa untuk urusan solat. Ada empat jenazah yang dibawa dan saya pun berkejar ke Baqi’ sebaik sahaja solat jenazah selesai. Setelah bertanya kepada pegawai Kedutaan yang hadhir, ternyata mayat yang saya nantikan belum diuruskan lagi.



Begitu juga pada hari keduanya. Giliran untuk mengebumikan jenazah yang saya tunggu belum tiba.

Dan pada hari ketiganya juga begitu. Selepas ditanya, jawapan yang saya dapati daripada pegawai Kedutaan adalah, balai polis di mana jenazah disimpan, hanya dibuka selepas solat Tarawih dan tutup dua jam selepasnya iaitu pada tengah malam. Pegawai yang bertugas hanya dua orang dan mereka malas atau enggan untuk berurusan.

Pada hari keempat, tibalah giliran jenazah bapa dan adik teman saya. Dato Wan Hilal dan anaknya. Dikebumikan tak jauh dari kawasan maqam Sayiddina 'Uthman ibn ‘Affan. Dan berita yang saya sampaikan ke anaknya di KL amat menggembirakan ahli keluarga yang berkait kerana sekurang-kurangnya pengebumian telah disaksikan oleh seorang kenalan yang telah menjadi wakil mereka.

III.

Selalunya pada awal Zulqa’idah saya akan menyusun kad-kad ‘Eidulfitri yang diterima pada Ramadhan yang baru lepas, dan mengasingkan mana-mana kad yang tertera padanya ayat-ayat al Quran atau Hadith Rasulullah, untuk dibakar atau disimpan dengan rapi. Serta juga saya mencatit nama-nama pengirim sebagai ingatan.

Dan untuk tiga tahun berturut-turut saya tak menemui kad dari seorang teman rapat dari Kuching. Selalunya kami berlumba-lumba mengirim kad ucapan. Kalau tidak saya yang dulu, beliaulah yang awal. Mustaffa Anwar, anak Kampong Jawa, di seberang Sungai Sarawak di Kuching. Dan sememangnya seperti biasa, saya menghantar kad ucapselamat kepadanya.

Kebetulannya pada satu hari saya didatangi tetamu dari Kuching. Lantas saya bertanya sama ada beliau mengenali Mustaffa.

“Siapa tak kenal dia,” jawabnya, “Beliau aktif dalam barisan pemuda parti dan mempunyai harapan untuk maju dalam politik Sarawak. Beliau dah meninggal tiga tahun dulu.”

“Hah. Meninggal?” sahut saya, “Inna lillahi wa inna ilahi raaji’un. Sakit apa?” Saya bertanya terkejut.

“Bukan sakit apa-apa tapi kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah. Dalam bulan Ramadahan. Bersama anak lelakinya.”

Subhanallah,” sambut saya, dengan lembut. Dengan berlinangan air mata.

“Kenapa?” Tanya tetamu tadi terkejut.

“Saya di Madinah sewaktu itu dan hadhir pada waktu pengebumian kesemua jenazah. Tapi tak sangka Mustaffa antaranya.”

IV.

Siapa sangka bahawa saya akan menghantarnya ke penginapannya yang mutakhir sebelum Mahsyar. Inilah takdir dan ini adalah kebetulan yang amat rendah peratusan kemungkinannya.


Gambar: Pemandangan di Jannatu-Baqi'

Friday, November 24, 2006

Jawi dan JAWI

Seminggu lalu saya menghadhiri pengebumian Pak Khir Johari, selepas menerima panggilan dari anak saudara beliau. Kenalan sekerja dulu.

Hari yang sama juga menerima sms tentang berita yang sama. Khir yang mematikan jawi akan diuruskan oleh JAWI petang ini di Masjid Negara.

Secara kebetulan tulisan jawi menjadi topik perbincangan yang hangat kebelakangan ini.



Presiden Persatuan Wartawan Melayu (PWM), Datuk Yazid Othman mendakwa dalam pembentangan kertas-kerjanya pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7 baru-baru ini, bahawa ASAS 50 telah mempengaruhi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk meminggirkan tulisan jawi.

ASAS 50, hujjahnya telah berjaya dihimpit dan diperangkap komunis, dan agenda komunis adalah untuk mematikan tulisan jawi kerana tulisan jawi adalah satu-satunya medium yang digunakan orang Melayu untuk menyalurkan pemikiran mereka. Begitu juga peranan jawi dalam penyebaran agama. Hal ini kata Datuk Yazid, sama seperti yang berlaku di Turki, ketika Kemal Ataturk menghapuskan tulisan dan bahasa Othmaniyyah dengan tujuan untuk menghapuskan atau menuteralisakan pegangan Islam.

Almarhum Pak Khir, sebelum menjadi menteri, adalah bekas setiausaha agung SABERKAS (Sayang Akan Bangsa, Ertinya Korban Apa Segala), sebuah pertubuhan anti penjajah yang juga radikal.

Adakah wujud apa-apa agenda yang tersembunyi antara ASAS 50 dan SABERKAS?

Wallahu a'lam.


Nota: Sedihnya saya pada waktu selepas solat jenazah Pak Khir, komen yang saya dengar hanya, "We will miss him. He had a great sense of humor."

Friday, November 17, 2006

Tak Pada Tempat




Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Adalah zalim.

Zalim tak semestinya perlakuan kepada orang lain. Juga perlakuan pada diri sendiri. Seperti memakai kasut kiri pada kaki kanan. Bukan hanya akan menyebabkan sakit pada jari-jari dan juga pada kaki. Bahkan akan menyusahkan pergerakan ketika berjalan. Menyebabkan tidak imbang kepada ayun dan gerak badan dan mengakibahkan sakit sendi dan pinggang. Kesemua ini menyusahkan diri. Tidak melakukan adil kepada diri. Bermakna perbuatan yang tidak bijak itu telah menzalimi badan sendiri. Begitu juga menghirup sup dengan garpu. Bukan sahaja perbuatan yang bodoh. Juga zalim kepada diri kerana tak akan tercapai sesuatu hasil yang baik.

Melakukan perbuatan yang ternyata berdosa adalah menzalimi diri sendiri kerana kelak diri itu akan diseksa di neraka. Lantas pesan Rasulullahi sollalLahu 'alaihi wassalam, supaya (seperti komen kenakalayan) agar kita sentiasa beristighfar dan banyak berdoa, misalnya doa yang sering dibaca pada sujud terakhir dalam solat:

RABBI INNI ZALAMTU NAFSII FAGHFIRLI FA INNAHU LA YAGHFIRUZ DZUNUUBA ILLA ANTA.
Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri. Ampunilah daku. Sesungguhnya tak ada yang Maha Pengampun melainkan Engkau, Ya Allah.

Memilih bukan ahli sebagai ketua, juga satu kezaliman. Atau ketua tidak melakukan tanggung-jawab sebagaimana yang diperlukan pada tugasnya. Adalah zalim. Kepada dirinya dan kepada pengikutnya.

Jadi intisari hadith-hadith dan firman Allah SWT pada entri sebelum ini adalah tentang kezaliman.

Seperti komen KKK, "biasalah" adalah ungkapan yang timbul dari sikap yang zalim kerana ia merupakan satu keredhaan terhadap perbuatan zalim yang telah dilakukan. Dan keadaan ini sudah jadi kebiasaan yang membimbangkan. Amat membimbangkan. Bagaimana untuk menukar keadaan ini? Kata Yut, "Bermula dengan diri."

Setiap hari kita tersua dengan berita kezaliman. Pembunuhan, perompakan, penipuan dan pelbagai lagi.

Jangan berdiam diri. Kerana perlakuan ini akan menzalimi diri sendiri.


Nota: Gambar hiasan di ambil pada dinding kedai di sebuah Lorong berhampiran Jalan Petaling, KL. Pelukis zalim dan tempat gambar itu diletakkan juga zalim.

Friday, November 10, 2006

Indeks Yang Meningkat



Tanbih / Peringatan:

The Prophet sollahu 'alihi wassalam said:

"Allah does not punish the individuals for the sins of the community until they see the evil spreading among themselves, and while they have the power to stop it, do not do so." (Ahmad)

Shaykhul-Islaam Ibn Taimiyyah said:
"This is why those who are in authority are of two groups: the scholars and the rulers. If they are upright, the people will be upright; if they are corrupt, the people will be corrupt."

The Noble Qur'an - Hud 11:85
And O my people! Give full measure and weight in justice and reduce not the things that are due to the people, and do not commit mischief in the land, causing corruption.

The Noble Qur'an - Hud 11:113
And incline not toward those who do wrong, lest the Fire should touch you, and you have no protectors other than Allâh, nor you shall be helped.

The Noble Qur'an - An Nisa' 4:79
Whatever of good reaches you, is from Allah, but whatever of evil befalls you, is from yourself.


Saya sedang mencari-cari ahli-ahli yang pandai menghuraikan hal-hal di atas.