Powered By Blogger
Showing posts with label Maisir. Show all posts
Showing posts with label Maisir. Show all posts

Saturday, February 17, 2007

Tuan Mufti




Kalau sudah berkali-kali berjerembong, mungkin tak manis kalau tak bertegur sapa. Sekurang-kurangnya berbalas senyum. Begitulah keadaannya. Empat kali diriku bersua dengannya dalam seminggu. Meskipun sudah menyambut dengan senyuman pada kali pertamanya, tapi rupanya belum mencukupi. Dia datang lagi. Dan lagi dan lagi.

Pertama kali sms (kawan-kawanku suka ber-sms kerana kata mereka lebih berkesan daripada berbual dan juga dapat mengurangkan radiasi kepada otak!) yang saya terima, hanya saya membalasnya dengan senyuman. Dan kerana sms yang dikirim tak terjawab, penghantar mengirim lagi ulangan kepada sms pertama.

“Sheikh, anta tau tak apa-apa tentang swisscash, abbfund, etc. Ramai orang menyertainya. Halal ke?”

Jawapan saya rengkas, hanya, “Itu Labu Peram alam siber. Haram.”

“Tapi ada mufti yang aktif mempromosinya.” Balasnya.

“Mufti bodoh. Mufti mana?” responku lagi.

“Mufti XXXXXX.” Jawabnya rengkas juga. Dan tak ada sms selanjut darinya.

Kali kedua. Pada satu malam sewaktu saya membawa Pak Didik, tamu dari Malang (Jatim, Indonesia) ke sebuah restoran kepala ikan yang ber-wifi di KL, ramai ternampak anak-anak Melayu yang sedang rancak berbincang sambil meneliti-liti skrin laptop mereka yang terpapar dengan ruangan yang penuh dengan angka-angka. Bagus betul fikirku, kerana anak-anak bangsa sudah canggih manggih serta sudah berminat dengan subjek yang berangka. Kebetulan antara mereka ada seorang yang ku kenali dan apabila disapa, jawapan yang diterima adalah “swisscash.” Rupa-rupanya mesyuarat antara peserta-peserta (upliners dan downs mereka). Aha, bakal jutawan yang tak perlu bergantung kepada parti dan projek-projek RM9 (bukan Ringgit 9 tapi Rancangan Malaysia ke-9).

Kali ketiga pula, sewaktu bersarapan, isteriku bertanya “Swisscash tu apa?” Dan hampir-hampir terbelahak diriku dengan soalan yang amat mengejutkan itu.

“Dari mana tau?” tanyaku.

“Dari pekerja Cikgu tuisyen yang bermain gitar tu. Mereka mengiklannya di ruang tangga ke pusat tuisyen.” Jawabnya.

Dan akhirnya, sewaktu kuliahku kelmarin, seorang peserta bertanya, “Kenapa benda yang menguntungkan nak di kira halal-haramnya.”

“Apa?” tanyaku hairan.

Swisscash,” jawabnya serius.

"Dia datang lagi," bisik hatiku.
.
..
...

Pada fikiranku, ini sudah petunjuk kepada diriku supaya menangani subjek ini dengan serius.

Kalau anda mau kaya cepat, tanpa usaha yang berat dan bermodalkan yang sedikit, maka jawapannya adalah swisscash atau abbfund atau yang seumpamanya. Itu kata mereka dan bukan nasihat saya.

Pernah dulu skim ini dikaitkan dengan seorang tokoh korporat yang tertentu. Apabila bersua dengannya pada suatu hari dulu, saya bertanya, “Wak, betul ke kamu pendiri swisscash?”

“Ahh, ini yang buat aku marah kat budak-budak ni. Satu hari depa jemput aku minum teh, dan gambar aku diambil sewaktu sedang kencang berbual. Tau-tau dah masuk website mereka.” Terangnya.

“Ha, padam muka hang, lain kali tanya dulu jemputan tu untuk majlis apa? Mana ada orang bagi minum free!” Ketawa dan ketawa kami.

Dan nasihatku kepada Sohibus Samahah Mufti yang aktif mempromosikan skim ini:


“Tuan. Ini business apa sebenarnya? Tak tau apa latarbelakangnya, maka itu gharar. Tuan lebih ariff dalam bab ini.

Dan kalau Tuan kata dalam kaedah mudharabah tak wajib berusul-tanya tentang tujuan perniagaan atau pelaburan; memadai mempercayai kepada keupayaan dan kecekapan pentadbir atau mudharib, maka Tuan, pembahagian pulangan kepada keuntungan yang diperolehi dalam kontrak mudharabah, bukannya pulangan tetap keatas modal yang dilaburi. Mesti pembahagian keatas keuntungan yang dicapai. Kalau pulangan tetap dijanjikan keatas modal maka betul tak Tuan, itu sudah menjadi riba. Amat haram!

Dan Tuan, apa-apa yang membawa keuntungan yang berlipat ganda dengan modal amat sedikit, ini namanya maisir atau judi.

Oh Tuan kata, judi mesti ada kalah menang dan dalam skim ini belum ada yang kalah. Semua menang. Betul Tuan, ini perniagaan alam siber Tuan, skim Ponzi pun begitu juga. Nanti akan sampai tahap yang sudah meletup dan bila semua hilang duit, bagaimana?

Tuan tau tak skim piramid? Ya piramid yang hampir dengan tempat yang Tuan nontoni tarian gelek di Kaherah dulu-dulu. Ha itulah dia.

Apa Tuan? Skim ini dikendalikan di Switzerland, dan sekiranya mereka menipu, tentu sudah lama ditangkap! Tuan, di Switzerlandlah penipuan perbankan paling besar berlaku. Hatta Yahudi pun ditipu duit mereka oleh Bank UBS. Kalau Tuan tak percaya tanyalah Tengku Razaleigh di mana Marc Rich yang menipu kerajaan Malaysia dulu dalam perniagaan bijih timah beroperasi? Kalau tidak di Switzerland.

Oleh itu Tuan, baik Tuan jaga halal haram sembelihan ayam dan kerbau lembu. Itu lebih memerlukan pengendalian Tuan kerana setiap hari kita ditipu dengan kehalalan pemyembilahannya.

Faqad.”

Nota:
(i). Swisscash dah diharamkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
(ii). Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibawahnya kuasa menghalalkan atau mengharamkan sesuatu masih belum bertindak.