Powered By Blogger
Showing posts with label Didik Supriyanto. Show all posts
Showing posts with label Didik Supriyanto. Show all posts

Saturday, February 17, 2007

Tuan Mufti




Kalau sudah berkali-kali berjerembong, mungkin tak manis kalau tak bertegur sapa. Sekurang-kurangnya berbalas senyum. Begitulah keadaannya. Empat kali diriku bersua dengannya dalam seminggu. Meskipun sudah menyambut dengan senyuman pada kali pertamanya, tapi rupanya belum mencukupi. Dia datang lagi. Dan lagi dan lagi.

Pertama kali sms (kawan-kawanku suka ber-sms kerana kata mereka lebih berkesan daripada berbual dan juga dapat mengurangkan radiasi kepada otak!) yang saya terima, hanya saya membalasnya dengan senyuman. Dan kerana sms yang dikirim tak terjawab, penghantar mengirim lagi ulangan kepada sms pertama.

“Sheikh, anta tau tak apa-apa tentang swisscash, abbfund, etc. Ramai orang menyertainya. Halal ke?”

Jawapan saya rengkas, hanya, “Itu Labu Peram alam siber. Haram.”

“Tapi ada mufti yang aktif mempromosinya.” Balasnya.

“Mufti bodoh. Mufti mana?” responku lagi.

“Mufti XXXXXX.” Jawabnya rengkas juga. Dan tak ada sms selanjut darinya.

Kali kedua. Pada satu malam sewaktu saya membawa Pak Didik, tamu dari Malang (Jatim, Indonesia) ke sebuah restoran kepala ikan yang ber-wifi di KL, ramai ternampak anak-anak Melayu yang sedang rancak berbincang sambil meneliti-liti skrin laptop mereka yang terpapar dengan ruangan yang penuh dengan angka-angka. Bagus betul fikirku, kerana anak-anak bangsa sudah canggih manggih serta sudah berminat dengan subjek yang berangka. Kebetulan antara mereka ada seorang yang ku kenali dan apabila disapa, jawapan yang diterima adalah “swisscash.” Rupa-rupanya mesyuarat antara peserta-peserta (upliners dan downs mereka). Aha, bakal jutawan yang tak perlu bergantung kepada parti dan projek-projek RM9 (bukan Ringgit 9 tapi Rancangan Malaysia ke-9).

Kali ketiga pula, sewaktu bersarapan, isteriku bertanya “Swisscash tu apa?” Dan hampir-hampir terbelahak diriku dengan soalan yang amat mengejutkan itu.

“Dari mana tau?” tanyaku.

“Dari pekerja Cikgu tuisyen yang bermain gitar tu. Mereka mengiklannya di ruang tangga ke pusat tuisyen.” Jawabnya.

Dan akhirnya, sewaktu kuliahku kelmarin, seorang peserta bertanya, “Kenapa benda yang menguntungkan nak di kira halal-haramnya.”

“Apa?” tanyaku hairan.

Swisscash,” jawabnya serius.

"Dia datang lagi," bisik hatiku.
.
..
...

Pada fikiranku, ini sudah petunjuk kepada diriku supaya menangani subjek ini dengan serius.

Kalau anda mau kaya cepat, tanpa usaha yang berat dan bermodalkan yang sedikit, maka jawapannya adalah swisscash atau abbfund atau yang seumpamanya. Itu kata mereka dan bukan nasihat saya.

Pernah dulu skim ini dikaitkan dengan seorang tokoh korporat yang tertentu. Apabila bersua dengannya pada suatu hari dulu, saya bertanya, “Wak, betul ke kamu pendiri swisscash?”

“Ahh, ini yang buat aku marah kat budak-budak ni. Satu hari depa jemput aku minum teh, dan gambar aku diambil sewaktu sedang kencang berbual. Tau-tau dah masuk website mereka.” Terangnya.

“Ha, padam muka hang, lain kali tanya dulu jemputan tu untuk majlis apa? Mana ada orang bagi minum free!” Ketawa dan ketawa kami.

Dan nasihatku kepada Sohibus Samahah Mufti yang aktif mempromosikan skim ini:


“Tuan. Ini business apa sebenarnya? Tak tau apa latarbelakangnya, maka itu gharar. Tuan lebih ariff dalam bab ini.

Dan kalau Tuan kata dalam kaedah mudharabah tak wajib berusul-tanya tentang tujuan perniagaan atau pelaburan; memadai mempercayai kepada keupayaan dan kecekapan pentadbir atau mudharib, maka Tuan, pembahagian pulangan kepada keuntungan yang diperolehi dalam kontrak mudharabah, bukannya pulangan tetap keatas modal yang dilaburi. Mesti pembahagian keatas keuntungan yang dicapai. Kalau pulangan tetap dijanjikan keatas modal maka betul tak Tuan, itu sudah menjadi riba. Amat haram!

Dan Tuan, apa-apa yang membawa keuntungan yang berlipat ganda dengan modal amat sedikit, ini namanya maisir atau judi.

Oh Tuan kata, judi mesti ada kalah menang dan dalam skim ini belum ada yang kalah. Semua menang. Betul Tuan, ini perniagaan alam siber Tuan, skim Ponzi pun begitu juga. Nanti akan sampai tahap yang sudah meletup dan bila semua hilang duit, bagaimana?

Tuan tau tak skim piramid? Ya piramid yang hampir dengan tempat yang Tuan nontoni tarian gelek di Kaherah dulu-dulu. Ha itulah dia.

Apa Tuan? Skim ini dikendalikan di Switzerland, dan sekiranya mereka menipu, tentu sudah lama ditangkap! Tuan, di Switzerlandlah penipuan perbankan paling besar berlaku. Hatta Yahudi pun ditipu duit mereka oleh Bank UBS. Kalau Tuan tak percaya tanyalah Tengku Razaleigh di mana Marc Rich yang menipu kerajaan Malaysia dulu dalam perniagaan bijih timah beroperasi? Kalau tidak di Switzerland.

Oleh itu Tuan, baik Tuan jaga halal haram sembelihan ayam dan kerbau lembu. Itu lebih memerlukan pengendalian Tuan kerana setiap hari kita ditipu dengan kehalalan pemyembilahannya.

Faqad.”

Nota:
(i). Swisscash dah diharamkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
(ii). Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibawahnya kuasa menghalalkan atau mengharamkan sesuatu masih belum bertindak.




Wednesday, September 27, 2006

RAMADHAN KARIM

"Ramadhan Karim".

Begitulah sapaan yang akan sering diterima oleh seseorang apabila bertembong dengan sesiapa sahaja di lorong-lorong di sekitar Hussein, Khan Khalili atau Azhar iaitu di sekitar balad ‘Ataba, di kota Kaherah. Malahan juga dimana-mana sahaja di kota itu. Pembuka kata untuk bersilaturrahmi dalam bulan Ramadhan al Mubarak ini hanyalah dengan “Ramadhan Karim”, dan penerima teguran akan membalasnya dengan “Allahu Akram” serta senyuman.

Kemeriahan Ramadhan di Kaherah bukanlah dengan bunga api atau mercun atau bedil buluh mainan anak-anak, tetapi adalah pada keindahan warna-warni Khemah Ramadhan yang akan dipasangkan di tepi-tepi jalan dan lorong-lorong, dan di sekitar masjid-masjid dan kedai-kedai makan. Khemah berawan larat yang sungguh menarik, di mana iftar di sediakan sewaktu petang, dan untuk bersyisha dan minum teh atau kopi selepasnya. Warga kota Kaherah memang terkenal dengan budaya melepak di kedai-kedai teh. Alasan mereka adalah rumah-rumah mereka sempit dan panas dan hanya ada ruang untuk wanita-wanita. Anak-anak muda dan lelaki mesti menghadirkan diri di luar rumah.

Yang mengingatkan ku kepada Kaherah pada setiap bulan Ramadhan adalah juga pada masah-harati atau mesahharati, atau pelaung untuk mengejut bersahur. Satu budaya yang telah hilang dari negara-negara Arab yang lain. Hanya masih kekal di Kaherah terutamanya. Khabarnya. Pada ketika aku di Kaherah sebagai pelajar dulu, ada seorang masah-harati buta yang mengelilingi lorong-lorong dan jalan-jalan di sekitar ‘Atabah, sambil mengetuk-getuk tin dan melaungkan panggilan untuk bersahur dalam nada yang sungguh merdu. Beliau sungguh masyhur sehingga TV Kaherah menyelang-yelikan video laungan beliau pada malam-malam Ramadhan.

Di Malaysia kebelakangan ini sapaan Ramadhan Karim dibuat melalui sms. Sudah canggih. Mungkin budaya yang dibawa balik oleh pelajar-pelajar dari Mesir. Tetapi dalam sebegitu banyak sms Ramadhan yang aku terima, ada tiga sms yang aku kira begitu menarik.

Yang pertama daripada Bapak Didik Supriyanto dari Malang (Indonesia):

Bila seluruh UMUR adalah bagian DOSA,
maka TAQWA dan TAUBATlah ubatnya;
Bila semua HARTA adalah RACUN,
maka ZAKATlah penawarnya;
Bila seluruh BULAN adalah NODA,
maka RAMADHANlah pemutihnya.
Selamat menunaikan ibadah Ramadhan.

Yang kedua pula daripada Hafiz Abdul Shukur, imam dari Nilai, yang berbunyi:

Ramadhan datang lagi untuk mengulangi tuntutan hakiki,
Tanyalah pada diri.
Apakah Ramadhan tahun ini yang terakhir
dan akan menjadi sama seperti akhir kali,
Yang banyak dibiarkan berlalu,
Tanpa diisikan dengan iqra dan zikir?
Syukur pada Illahi, kerana Ramadhan masih sempat ditempuhi,
Dan kita diberi peluang untuk meperbaikkan kualiti.

Selamat berRamadhan.

Dan sms yang ketiga merupakan pesanan dari Habib Ahmad al Idrus, dari Malang (Indonesia):

Seorang Muslim, pada saat berbuka puasa, membaca:-
”Ya ’Adzhiimu ya ’Adzhiim.
Anta Illahii, laa ilaa ha ghairuk.
Ighfirlil dzanbal ’adzhiim,
fa innahuu laa yaghfirudz dzanbal ’adzhiim,
il-lal ’Adzhiim”

(wahai yang Maha Agung, wahai yang Maha Agung. Engkaulah tuhanku dan tiada tuhan selain Engkau. Ampunilah dosa-dosaku yang sebegitu besar, dan sesungguhnya tiada yang dapat memberi pengampunan ke atas dosa-dosa yang besar selain Engkau, yang Maha Agung)

niscaya akan terhapuslah dosa-dosanya dan menjadi dia persis bayi yang baru lahir.

Hadith riwayat Ibn Majah dan ditingkatkan sebagai hadith hasan.



Dan akhirul kalam, Ramadhan Karim dari Ku Keng sekeluarga.
Semoga Ramadhan ini akan dipenuhi dengan kegiatan ibadah yang lebih berkualiti dari yang lampau-lampau.


Nota kaki: Gambar hanya untuk menunjukkan contoh Khemah Ramadhan.

Wednesday, May 31, 2006

Kejutan sewaktu Lamunan

I.

Mohon maaf kerana tidak mengupdate blog buat seketika.

II.

Sehari selepas gempa di Yogjakarta, aku terjaga kerana kejutan bunyi mesej yang diterima pada phone-bimbit. Pada 2.30 pagi. Daripada seorang teman di Malang, Jawa Timur.

Ya Allah, Bagaimana jika gempa terjadi pada malam begini... saat manusia masih menikmati dengannya malam dengan tidur yang nyenyak; dengan mimpi-mimpi yang indah, diiringi keletihan tubuh badan kerana seharian menumpuk harta. Rumah-rumah mereka terkunci kerana takut harta hilang .. akan tetapi tak sekali-kali bisa selamat dari gegaran yang Kau hantarkan. Bukan sahaja mungkin musnah kerana kehancuran akibah gegaran; tidak juga dari bajingan yang berkeliaran mencari kesempatan.

Saudara-saudaraku, teman-temanku, pemimpin-pemimpinku.. mari sempatkan waktu sedikit di malam hari untuk memohon perlindungan dari Ilahi
.

Begitulah gegak gempita yang tak tersentuh di hati kita kerana alasan-alasan bahawa kita berjauhan dari gunung berapi dan keretakan pelantar. Begitulah tertambatnya kita pada setiap kejadian yang berungsurkan kepada nature atau kejadian alam dan bukan lagi kehendak Ilahi.

Teringat aku akan pesanan Sayyidina Ali karramallahu wajhah, supaya mengamalkan Ayat 7. "Sekiranya aku membacanya, tak aku takut kepada keadaan, meskipun bumi akan terbelah dan gunung-ganang akan tebalik". Demikian pesanannya.

n.b.: Ayat 7 terdapat dalam Majmuk Sharif.

III.

Mercy Malaysia sedang menerima derma untuk mangsa-mangsa.


IV.

Untuk pengetahuan para bloggers, Ayat 7 adalah seperti berikut: