I.
Agaknya apakah kemungkinannya sesuatu kebetulan itu berlaku?
Terpulang sebenarnya kepada apa yang kebetulannya. Dalam teori probability atau kemungkinan, ia adalah fungsi atau faktor kepada kerambangan dan juga antaranya kepada keadaan, perbuatan dan masa.
Tapi apakah kemungkinan anda hadhir pada hari pengebumian teman rapat, di tempat yang jauh dari kampung atau negara, dan tanpa menyedari bahawa yang dikebumikan itu teman sendiri?
II.
Lima tahun dulu saya sengaja mentakhirkan urusan di Jeddah supaya sempat menyambut Ramadhan di Makkah al Mukaramah dan di Madinah al Munawarrah. Dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah saya mendapat berita ada kemalangan di jalan yang sama yang melibatkan sebuah van yang membawa jemaah Malaysia terhumban dalam gaung. Dan sewaktu tiba di Madinah, saya menerima sms dari KL. “Uncle, tolong uruskan jenazah ayah dan adik saya. Mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya dekat Madinah dan telah meninggal. Mayat sekarang akan dibawa ke Madinah.”
Keesokan harinya saya menanti-nanti di Masjid Nabawi sewaktu ‘Asar kalau-kalau jenazah dibawa untuk urusan solat. Ada empat jenazah yang dibawa dan saya pun berkejar ke Baqi’ sebaik sahaja solat jenazah selesai. Setelah bertanya kepada pegawai Kedutaan yang hadhir, ternyata mayat yang saya nantikan belum diuruskan lagi.
Begitu juga pada hari keduanya. Giliran untuk mengebumikan jenazah yang saya tunggu belum tiba.
Dan pada hari ketiganya juga begitu. Selepas ditanya, jawapan yang saya dapati daripada pegawai Kedutaan adalah, balai polis di mana jenazah disimpan, hanya dibuka selepas solat Tarawih dan tutup dua jam selepasnya iaitu pada tengah malam. Pegawai yang bertugas hanya dua orang dan mereka malas atau enggan untuk berurusan.
Pada hari keempat, tibalah giliran jenazah bapa dan adik teman saya. Dato Wan Hilal dan anaknya. Dikebumikan tak jauh dari kawasan maqam Sayiddina 'Uthman ibn ‘Affan. Dan berita yang saya sampaikan ke anaknya di KL amat menggembirakan ahli keluarga yang berkait kerana sekurang-kurangnya pengebumian telah disaksikan oleh seorang kenalan yang telah menjadi wakil mereka.
III.
Selalunya pada awal Zulqa’idah saya akan menyusun kad-kad ‘Eidulfitri yang diterima pada Ramadhan yang baru lepas, dan mengasingkan mana-mana kad yang tertera padanya ayat-ayat al Quran atau Hadith Rasulullah, untuk dibakar atau disimpan dengan rapi. Serta juga saya mencatit nama-nama pengirim sebagai ingatan.
Dan untuk tiga tahun berturut-turut saya tak menemui kad dari seorang teman rapat dari Kuching. Selalunya kami berlumba-lumba mengirim kad ucapan. Kalau tidak saya yang dulu, beliaulah yang awal. Mustaffa Anwar, anak Kampong Jawa, di seberang Sungai Sarawak di Kuching. Dan sememangnya seperti biasa, saya menghantar kad ucapselamat kepadanya.
Kebetulannya pada satu hari saya didatangi tetamu dari Kuching. Lantas saya bertanya sama ada beliau mengenali Mustaffa.
“Siapa tak kenal dia,” jawabnya, “Beliau aktif dalam barisan pemuda parti dan mempunyai harapan untuk maju dalam politik Sarawak. Beliau dah meninggal tiga tahun dulu.”
“Hah. Meninggal?” sahut saya, “Inna lillahi wa inna ilahi raaji’un. Sakit apa?” Saya bertanya terkejut.
“Bukan sakit apa-apa tapi kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah. Dalam bulan Ramadahan. Bersama anak lelakinya.”
“Subhanallah,” sambut saya, dengan lembut. Dengan berlinangan air mata.
“Kenapa?” Tanya tetamu tadi terkejut.
“Saya di Madinah sewaktu itu dan hadhir pada waktu pengebumian kesemua jenazah. Tapi tak sangka Mustaffa antaranya.”
IV.
Siapa sangka bahawa saya akan menghantarnya ke penginapannya yang mutakhir sebelum Mahsyar. Inilah takdir dan ini adalah kebetulan yang amat rendah peratusan kemungkinannya.
Gambar: Pemandangan di Jannatu-Baqi'
