Powered By Blogger
Showing posts with label Melayu. Show all posts
Showing posts with label Melayu. Show all posts

Saturday, August 30, 2008

51 Tahun







Satu usia yang matang. Hampir persaraan.

Ketaranya; rakyat semakin bijaksana dalam segala-gala. Misalnya bijak berhujjah tentang cara dan bagaimana untuk memulihkan ekonomi negara. Peka harga minyak dunia. Mempunyai pelan pembangunan, lebih hebat dari RMK Sembilan, yang mudah dan dijamin akan mengukuhkan ekonomi bangsa. Dasar pelajaran yang akan menambahkan bilangan profesyenal. Bisa memartabatkan tenaga kerja mahir di merata dunia. Ini bukan bicara menteri atau pakar segala. Tetapi dari siapa saja di kaki lima. Pantang ditanya pendapat; pemandu teksi, penjual roti canai dan nasi lemak. Penganggur dan mat gian penjaga kereta. Semua akan berhujjah pendapat. Roda sudah berputar haluan, setelah 51 tahun mengharungi zaman.

Begitulah 51 tahun merdeka, bangsa Malaysia menjadi bijaksana dalam segala bidang.

51 tahun Merdeka; rakyat bijak ilmu agama. Mubahalah dan sumpah laknah amat diketahui mereka. Pandai menghukum tanpa perlu berbincang dan rujukan kepada apa-apa nas dan pendapat ulamak silam. Tanya apa saja masalah yang rumit dan ada saja pada mereka pendapat dan hukuman. Tanya bab sumpah, mereka akan menambah-nambah. Hukum yang terserlah kononnya cacat sana cacat sini, tidak sah kerana banyak yang tidak munasabah. Bila timbul hal yang mencabar - kes murtad, kes azan, kes pengunaan nama tuhan; mereka diam seolah-olah ini hal ringan.

51 tahun Merdeka; hilang pulau, hilang kuasa, hilang maruah, hilang bangsa, pupus bahasa dan lekang agama. Apa yang disorakkan? Begitu banyak kiasan dan bidalan pada khazanah bangsa. Pak Pandir, Si Luncai, Pak Kadok, Mat Jenin dan pelbagai. Bukan ditimsalkan sebagai panduan tapi hanya menjadi pengelipur lara waktu malam.

51 tahun Merdeka. Malam ini akan ramai muda-mudi tidur berselerak di jalan. Mana lelaki mana perempuan. Tidur berselang-selang pakaian terselak hampir-hampir telanjang. Mereka hanyut dan sesat; hilang akidah, hilang pegangan. Biarkan. Biarkan.


Gambar:
Terima kasih kepada Fahmi Fadzil




Monday, August 18, 2008

Oh Melayu Ku - 51 Tahun Merdeka




MELAYU
= SN Usman Awang =

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan


Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak


Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

(Melayu sudah global merentas dunia, bergadai nyawa; hilang pedoman)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi


Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan


Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka


Friday, November 16, 2007

Cue




Rampai bertanya, "Bro tak ikut berarak ke?"

Saya menjawab:

Sedia Berkhidmat telah mengambil sikap untuk mengubah sikap.

”Kita bertindak mengikut keperluan rakyat. Ikut cue mereka.” Agaknya itulah yang menjadi dasar tindakan mereka masakini, berdasarkan kepada tingkah laku mereka kebelakangan ini.

Justeru apabila Bi-Pi-Ar memasukki kawasan Bukit Sejahtera di mana terletak markas mereka, cue yang mereka baca daripada maksud nama jabatan itu adalah ’cegah’ maka mereka pun mencegah pegawai-pegawi Bi-Pi-Ar dari menyiasat dan menangkap bos mereka. Sengit jadinya. Hampir-hampir merusuh. Sehingga bos berkait terpaksa membuat persidangan akhbar. Cuba meraih simpati dari rakyat, kerana mereka dizalimi oleh pegawai Bi-Pi-Ar. Seluruh bukit hadhir untuk mendengar keluhannya. Tapi tiada jalan keluar akhirnya. Bos itu sekarang bercuti umrah. Mungkin berdoa supaya bala yang terbesar dijatuhkan ke atas pegawai-pegawai Bi-Pi-Ar. Tepat sekali hadith yang mengatakan bahwa pada akhir zaman, umrah dan haji menjadi destinasi pelancongan.

Bulan dulu di Kuala Terengganu, diwarwarkan ceramah di Batu Buruk. Maka cue pada mereka adalah buruk. Padahnya. Buruk sekali.

Minggu lalu, cue yang diterima adalah ’bersih’. Maka gedebe-gedebe Sedia Berkhidmat menunggu di merata penjuru dengan meriam air untuk membersihkan apa jua yang lalu dan lintas. Kuyup jadinya warga berbaju kuning. ”Bersih, bersih,” laung ketua kumpulan. Berjaya tidak, gagal pun tidak. Tapi big bos mereka, Pi-Em, gembira. Itu yang penting. Pi-Em amat gembira.

Jadi rahsia dalam melakukan apa jua adalah untuk memberi cue yang tepat. Cari yang positif. Sekiranya tujuan adalah untuk sapu, maka ikutlah Dr. Toyo. Sambut mereka dan anugerahkan mereka dengan penyapu. Misalnya pada zaman hippies dulu kala, cue yang diberi oleh barisan anti-perang Vietnam adalah love, maka askar dan polis pun semuanya disematkan dengan bunga dan mereka terpaksa senyum. Sinis. Itu yang penting. Make Love Not War, laung mereka.

Dalam tribunal kes video yang melibatkan seorang peguam, nama peguam itu Lingam. Jadi kes itu pun lingam jugalah. Tanya pada Loppies apa maksud lingam. Lope pasti tau kerana jiran-jirannya di Tremelbye ramai berbahasa Tamil.

Amat melucukan. Negara kita penuh dengan kelucuan. Bangunan yang dihuni belum di Belum, runtuh dan ranap. Lucu sekali. Mari kita tunggu apa komen menterinya. Mungkin katanya, "Apa, tuan-tuan ingat malapetaka tuhan kasi turun pun, menteri juga kena jawab ke?"

Minggu lalu saya menalipon YADIM.

Saya : "Assalamu alaikum Ustaz. Ramai ke yang murtad tahun ini?"

Ustaz : "Wa alaikumus salam. Apa?"

Saya : "Ya la Ustaz, kalu saya tanya ramai ke yang masuk Islam, susah pula Ustaz nak jawab. Jadi baik saya tanya Ustaz tentang bilangan yang murtad!"

Ustaz dan Saya. Spontan : "Kah kah kah”

Kini juga zaman koridor. Koridor Selatan, Koridor Timur, Koridor Utara, Koridor Borneo, Koridor Tengah . Yang termasyhurnya adalah KL, Koridor Maksiat. Agaknya bila lagi Menteri Wilayah akan melancarkannya.

Aku teringatkan Usman Awang dengan sajak Melayunya.


Friday, November 09, 2007

bangsa lupa








Pi-Em jaguh berbicara
Memang juara

Menteri ghairah mencium keris pusaka
Penuh retorik
Berapi-api segala kata

Tenggelam isu semasa
Kerana ….
Semua berbangga
Melayu telah mengangkasakan bangsa

Sewaktu abang di udara
Adik telah mendiang
akibat melanggar tiang

Anih ….
Pada teori Doppler
Untuk mengakibatkan sebegitu hentaman
Harus berjalan dengan kelajuan
Beratus kilometer per jam!

Banyak perkara
Tapi aku pun Melayu
Semua dah lupa





Gambar:
Ihsan news.my.msn.com



Sunday, April 29, 2007

Hak ba'da 50 Tahun Merdeka







Awal-awal pagi lagi saya sudah menerima sms.

"Malays choose party over race. Non-Malays choose race over party. Can you name at all where a Malay candidate (BN/non-BN) won in a non-Malay dominated area?"

Saya tak membalas sms tersebut kerana ternyata kawan itu keliru. Beliau keliru dengan keadaan politik di negara kita.
Kita mesti mengalah.
Mesti memberi.
Mesti memelihara hak.
Jangan pentingkan hak kita.
.
..
...
Sebenarnya apakah hak kita?



Sedarlah. Yang berjuang (untuk merampas) Tanah Melayu dengan darah secara sukarela bukannya kita. Itu adalah sumbangan kawan kita yang sudah bersiap sedia dalam senyap. Tak siapa yang menyangka. Tau-tau dah lengkap dengan senjata dan segala apa persiapan. Siap dengan pertubuhan. MPAJA. Bintang Tiga. 14 hari orang Melayu dalam ketakutan.

Kita? Hanya dengan jampi serapah Kiyai Salleh.

Melayu kononnya, terkenal semenjak dulu dengan sikap suka menolak kemajuan. Mereka yang memerangi British adalah dianggap menolak kemajuan. Dan berbanggalah kita dengan kemerdekaan tanpa peperangan. Tapi apa yang tersirat dalam perjanjian Kemerdekaan? Pengadaian.

50 tahun Kemerdekaan yang kita akan rayakan dengan gahnya pada tahun ini bukan bermakna kemenangan bangsa dan kekalahan pejajah. Tak usah menafi-nafikan bahawa kita masih dijajah. Kita bebas. Bebas untuk mengikut minda yang semakin dijajah.

Kata kita, pemikiran kita sekarang adalah pemikiran yang berkemajuan. Sikap kita adalah sikap globalisasi. Kononnya.

Dan perlunya bagi kita untuk yakin dan meyakinkan kepada orang lain yang kita akan mejaga hak mereka. Hingga ke titisan darah terakhir.


Tok Janggut! Tak siapa mengingatinya atau rakan-rakan seperjuangannya. Ramaikah yang tahu tentang mereka? Malahan amat sedikit. Segelintir.

Kenapa? Kerana minda kita sudah dijajah. Teruk dijajah sehingga kerapkali diperbodohkan.





Al Fatihah.

Notakaki:
Ba'da = Selepas
Gambar Barisan MPAJA dari Clare Street.





Saturday, April 07, 2007

Sifat Melayu




"Orang Melayu," kata Mohd. Yassin, "berdasarkan kepada anakku yang dah 6 tahun di Malaysia, ada beberapa sifat yang unik." Dia pun menyenaraikannya satu persatu. Aku mendengar dengan khusyuk.
  1. Orang Melayu sangat mementingkan halal dan haram. Bawalah mereka kemana-mana restoran besar dan soalan pertama mereka adalah, "halal ke ni?". Malahan Malaysialah yang mempelopori Global Hub. Tapi apabila diberitahu yang makanan itu atau ini ada kandungan yang tak halal, jawab mereka "aah itu sedikit saja. Kita tak perlu persoalkan. Nanti susah!"
  2. Yang paling mereka benci adalah keturunan BC (tak perlu aku menyebutnya disini). Tapi anihnya, Melayu yang kaya raya, pasti ada keturunan itu di belakang mereka.
  3. Kebencian kedua mereka adalah kepada Singapura. Untuk mengalihkan tumpuan mereka kepada isu politik tempatan yang panas, kaitkan isu itu kepada Singapura. Perhatian mereka serta merta bertukar.
  4. Kebencian ketiga mereka adalah pada Bush. George Bush. Mereka bencikan Bush lebih daripada kebencian orang Arab kepadanya, sekiranya ada perasaan sebegitu.
  5. Kebencian keempat mereka adalah pada Israel. Marahnya orang Melayu kepada perangai seseorang dan mereka akan labelkan orang itu sebagai Yahudi.
  6. Anihnya, meskipun benci membenci, apabila ditanya kedua-dua si Melayu dan si BC tentang Malaysia, mereka masing-masing akan memuji melangit negara mereka. Seolah-olah tak ada masalah.
  7. Orang Melayu takut untuk menerima rawatan perubatan daripada pengamal perubatan allopathy. Apabila sakit, mereka akan mencari air jampi dulu. Sekiranya tak ada kemajuan, maka mereka mencari pengamal herbal. Dan seterusnya mencari bomoh. Yakinnya Melayu kepada doa.
  8. Apabila memulakan sesuatu mereka akan mengadakan kenduri doa selamat. Baca Yasiin dan bikin tahlil.
  9. Apabila mendapat sesuatu, begitu juga. Doa selamat, Yasiin dan tahlil.
  10. Apabila gagal dalam sesuatu, mereka mencari bomoh.
  11. Orang Melayu suka berinsya Allah. Nak buat maksiat pun mereka ikrarkan dengan "Insya Allah." Tapi ujarku, Arab berinsya Allah lagi lebih mudah, tapi sentiasa mungkir.
  12. Berjaya buat maksiat pun mereka bersyukur. "Apa?" tanyaku. "Pengeluaran album oleh penyanyi!' jawab Yassin selamba.

Sekurang-kurangnya Melayu ini, kata Yassin, lebih bertawakal dari Arab. Dan lebih kepekaan mereka tentang Palestine, dari Arab-Arab di Negara Teluk.

P.S.: Saya kira pandangan Yassin taklah dikira menghina.




Wednesday, October 25, 2006

Benteng


Inilah satu-satunya mercutanda pembakar semangat di Kuala Lumpur. Yang memberikan 'semangat dan harapan' kepadaku sekurang-kurangnya dua kali setiap hari dan lima hari setiap minggu. Letaknya dilaluanku ke pejabat. Terpacak megah di hadapan perkampungan usang di tengah kotaraya.

Benteng Umat Melayu. Tak pasti sama ada benteng untuk mencegah dari maju ke hadapan atau penghalang dari mundur ke belakang. Atau benteng penahan keruntuhan. Yang pastinya rumah-rumah di belakang papan tanda ini sudah usang dan terbiar. Berzaman-zaman.

Perlu diingat bahawa Kota Melaka yang berbenteng teguh jatuh angkara pembelotan penjaganya pada 1511. Terpikat dengan janji-janji manis Alfonso d'Alburquerque, Nina Chattu dan Uthimutha membuka laluan di waktu malam untuk tentera Peringgi menyeludup masuk.

Yang merisaukan kita adalah pergaduhan berpanjangan antara penjaga benteng dengan mantan penjaga benteng. Keadaan ini amat genting kerana kini benteng tak terjaga! Dan sudah terserlah panjang akal beberapa bendahara-bendahara.

Kebetulan pula antara mel-mel ucapselamat 'Eidulfitri yang ku terima, terselit ballada tanpa nama pengarang di bawah ini. (Harap-harap akan dinyanyikan nanti oleh Airmas_sz). Pengajaran darinya, sesamalah kita perhalusi.



Oh Bangsaku

Mim. Lam-Alif. Ya. Wau.
Bangsaku.
Di mana terdapat ramai bangsaku?

Pastinya di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Lumrahnya mereka bertumpu
Ke pasar malam dan pasar minggu
Berduyun-duyun ke Akademi Fantasia, Jom Heboh dan Pesta Lagu
Ada yang berboleng, ramai juga yang bertudung liku
Tua muda berpusu-pusu, tanpa segan silu.
Ada yang meraung bak masuk hantu
Kalau anak gagal jadi Juara Lagu!
Haram tak peduli, malah buat tak tau
Kalau anak gagal pelajaran atau ditendang sekolah,
ekoran pukul guru
Atau anak pulang berbadan dua; keluar dulu hanya satu!


Apa kurang di Sungai Buloh dan sebelum ini di Pudu?
Dan di jalan raya, mereka terkenal terlalu
Mat rempit berlumba haram, tengah malam Minggu
Berlagak naik moto, roda dua jadi satu.
Dahlah lari laju, aksi pulak tak pasang lampu.
Kalah orang sarkas atau polis main tatu.
Laki pompuan dah jadi tak menentu
Halal haram dah jadi satu
Perangai macam syaitan, tak dak sapa ambik tau.
Harapkan yang jaga di selekoh
Sama juga ulat bulu.
Duit rasuah depa sapu.

Tak kurang pula di pusat Serenti
Ramai mat gian yang nunggu mati
Akibat ketagih ganja, pil kuda, heroin dan syabu.
Tak dak sapa nak ambik peduli
Mak pak depa pun tak ambik tau.

Kalu malam kemerdekaan dan malam tahun baru
KLCC, Dataran Merdeka, Bangsar dan Zouk mereka tuju
Terkinja-kinja best giler, menari macam dirasuk hantu
Lompat atas meja, buka pakaian satu persatu
Bilang cucu Rose Chan, neneknya dulu pun tak buat gitu!
Tonggang arak kedarah tuak; macam minum ayaq batu.
Guling guling kaki lima tanpa segan-segan silu
Baju nampak pusat; seluar nampak punggung;
Nampak ini dan nampak ituuuu!
Kita pulak yang naik malu.
Tak dak sapa berani ambik peduli
Mak pak depa pun tak ambik tau.

Apa hobi orang bangsaku?
Terkenal dengan budaya malas dan lesu
Ajak bantah Artikel 11, kata mereka tunggu dulu.
Anak jadi murtad, baru sibuk cari tok guru
Suruh baca doa jampi, mau sembuh tang tang tu.
Berlepak, buang masa, umpat-ngumpat tak jemu-jemu
Yang rajin sikit baca Mastika, bab cerita hantu
Mak cik mak cik nonton telenovela, dari Filipina dan Peru
Terpukau dengan hero, hensem giler, pengubat rindu
Leka tugas leka solat, tak henti nanggis sedu-sedu
Sambil makan junk food, kacang dan muruku
Mana tak gendut dan berpenyakit selalu?

Kalau nak berlagak, bukanlah nak mengata,
bangsakulah nombor satu.
Asal bergaya;
sanggup makan nasi dengan toyu.
Mas kahwin dan hantaran beb, dah cecah berjuta;
Bukan lagi ribu-ribu!
Minta derma masjid
Dapatlah sesikat dua pisang layu.

Baru jadi wakil rakyat, duit rakyat abis disapu
Buat rumah macam istana, harga langsir saja puluh ribu.
Berlagak macam rimau, tapi di parlimen lidah kelu
Bangsa dihentam
Agama jadi ejekan...
Tak berani jawab;
hanya duduk diam membisu
Terkencing dalam seluaq, tunduk bodoh macam lembu.
Jadi dungu!
Inilah angkara menang dipilih pengundi hantu!

Boleh tak jumpa mereka di kedai buku?
Ahh, mencari majalah hiburan dan buku skandal pak menteri!
Atau di perpustakaan dan majlis ilmu?
Ya, duduk setengah jam, panas punggung mula nak lari!
Atau ambil kelas kemahiran di hujung minggu?
Ada, tapi kurang sangat ke situ. Walaupun kelas free!

Kenapa bangsaku jadi begitu?
Nak salahkan sapa?
Mak pak atau guru?
Pemimpin negara atau raja dulu-dulu?
Pak Lah ke, Mahathir ke, Tun Razak atau Tunku?

Jawapan yang lazim diberi,
Mereka malas terlalu
Nak harap kerajaan saja bantu.
Terutama sekali kontraktor kelas satu
Dapat projek juta-juta, juai kat tokei ratus ribu!
Megah sana sini nak tayang kereta baru
Tak habis-habis gaduh, nak jatuh sapa dulu
Dan suka sangat dengan budaya mengampu.

Sampai bila kita nak tunggu,
Bangsaku jadi bangsa termaju?
Boleh!
Dengan beberapa syarat tertentu.

Pertama, dengan banyak menguasai ilmu
Kurangkan tengok TV, rajin-rajinlah baca buku
Kata Rasul, ikutlah al Quran dan sunnahku.
Dan gugurkan yang batil, yang haq mesti di tuju
Dan jangan cakap bohong, serta jangan jadi penipu
Dan kerja rajin-rajin, berkualiti dan bermutu

Al Quran yang diturunkan 1400 tahun dulu
Tiap rumah pasti ada satu
Atas rak sampai berdebu
Tapi apakah yang kita tahu?
Hanya buat jampi serapah untuk halau hantu!


Oh bangsaku.

Dan .....
Aku pun satu
Komen aje tau!

~ pengarang: taksapatau ~




p.s. Mengenai Mantan Penjaga Benteng, sila baca komen dari Sdr. Loppies.