Powered By Blogger
Showing posts with label Hari Tasyrik. Show all posts
Showing posts with label Hari Tasyrik. Show all posts

Saturday, December 22, 2007

Mencari Pertemuan




Bulan ini keadaan kelam-kabut lagi. Sebagaimana tahun-tahun yang lalu. Dan yang lalu-lalu. Bulan menjadi punca kelam-kabut.

Temu janji yang dijangkakan pada 14 Zulhijjah tidak ditepati oleh ahli korporat dari Malaysia. Meskipun pengesahan tarikh dan waktu telah dibuat berkali-kali sebelumnya oleh Si Saud peniaga yang tiba jauh dari Saudi. Setelah menunggu beberapa jam, Si Mamat tidak juga muncul. Anih. Puas Si Saud yang datang khusus dari Riyadh ke KL menunggu. Tak pasti Mamat tidak mau menerima kontrak berbillion Riyal untuk projek mercutanda di Mina. Fikir Si Saud.

”Mana anta?” Si Saud bertanya setelah berjaya menghubungi Si Mamat melalui talipon bimbitnya.

”Ana di Kota Baru. Balik raya. Malam ini ana tiba.” jawab si Mamat.

”Kenapa malam ini, kita kan ada temu janji sekarang?” herdik si Saud. Keadaan sudah terbalik. Kalau dulunya orang Saudi yang selalu mungkir, kini dia pula yang tepat pada janjinya. Maklumlah dia graduan UIA, jadi kultur menjaga waktu sudah bertukar.

”Apa pulak sekarang? Kita kan dah confirm pada 14 Zulhijjah?” Si Mamat bekeras.

”Hai Mamat,” Saud menjawab dalam bahasa Malaysia pula. ”Hari ini dah 14. Anta tidur ke? Anta pakai kalendar apa?” Saud berhujjah.

”Akhi. Ana belum nyanyok. Hari ini 13 Zulhijjah. Masih hari tasyrik. Ni cuba anta dengar, masih lagi bertakbir.” Mamat mendekatkan gagang telipon pada cermin tivi, yang kebetulan sedang menayangkan orang bertakbir raya.

”Ya Salam,” Saud mengeluh, ”anta bikin ana bingung. Mana ada lagi takbir ini hari. Ini betullah eid hadhari. Hari ini 14 Zulhijjahlah baghal .....”

Dan mereka terus bertengkar. Berpanjangan.



Bukan salah Si Mamat dan tidak juga salah Si Saud. Kita merayakan ’Eidul Adaha pada hari Khamis dan mereka di Saudi pada hari Rabu. Wukuf di Arafah pada hari Selasa. Dan pastinya 'Eidul Adha sehari selepas wukuf. Hukum yang muktamad.

Jadi sebagaimana biasa, hari di Saudi yang terkemudian menerima matahari dari kita, apabila menjelang 'Eidul Adha menjadi awal sehari dari Malaysia. Yang dikatakan matahari naik dari barat, dan akibahnhya hari akan berkucar-kacir; ini agaknya yang dimaksudkan hadith.




Dan saya juga menunggu kalau-kalau IKIM akan mengeluarkan arahan untuk menggalakkan kita bersama-sama meraikan Hari Krismas; perayaan pagan yang sudah dikomersialkan.



Friday, December 29, 2006

Keliru







Adapun sewaktu blog ini sedang ditulis, jemaah haji sudah mula berkumpul di Mina, kerana keesokannya mereka akan ke Arafah untuk berwukuf. Kini pukul 6.15 pagi di KL bermakna 1.15 awal pagi Jumaat di Mina.

Dan pada siangnya nanti, berbondonglah manusia ke Arafah untuk berwukuf sehingga sebelum Maghrib. Arafah, tempat pertemuan Adam dan Hawa di bumi. Dari Arafah, jemaah akan ke Muzdalifah untuk mengutip batu untuk melontar, serta juga untuk mabid atau bermalam sebentar, sebelum meneruskan perjalanan ke Mina. Dan esoknya pada pagi Sabtu akan bergaunglah Jamratul Aqabah dengan laungan takbir. Manusia akan berpenuh sesak untuk membuat lontaran pertamanya. Ada yang membaling anak-anak batu yang dikutip sebelumya di Muzdalifah dan ada juga yang kerana terlalu emosi, membaling selipar-selipar mereka.

Di Makkah pula, bagi yang tidak ke Arafah dan Mina, mereka akan berkumpul pada pagi Sabtu itu, untuk menunaikan solat ‘Eidul Adha. Ketika itu kita di Malaysia, sudah sekitar jam 1 tengah-hari, dan sedang bersiap-siap untuk solat zuhur.

Maka ‘Eidul Adha mestilah menyusul hari wuquf. Tak boleh sebelumnya. Dan disebabkan pengistiharan wuquf itu hanya boleh dibuat oleh Kerajaan yang mentadbir urusan haji di Tanah Haram, maka tak boleh sesiapa mengistiharkan wuquf sebelum pengumuman tarikh oleh pentadbir tersebut. Akan tetapi selepas peristiharan tersebut tak ada mana-mana kerajaan yang boleh mengistiharkan hari wukufnya sendiri, kerana wukuf , lokasinya khusus hanya di Arafah. Bermakna 'Eidul Adha sehari selepas hari wuquf di Arafah.

Kalau kita kaji semula. Sewaktu wukuf sedang dilangsungkan, kita masih pada siang hari Jumaaat. Tepatnya petang Jumaat. Ketika jemaah di Jamratul Aqabah untuk lontaran hari pertama mereka, kita pula belum lagi zuhur pada hari Sabtu. Bermakna sewaktu solat ‘Eidul Adha berlangsung di Masjidil Haram di Makkah, kita baru akan menunaikan solat zuhur di KL. Bermakna di sana siang Sabtu dan di sini pun siang Sabtu.

Dan esoknya pada hari Ahad di Malaysia, sewaktu kita melaksanakan solat subuh, jemaah yang dalam kepenatan di Mina sedang nyenyak tidur, kerana di sana baru pukul 1 pagi, juga pagi Ahad. Dan siang nanti mereka akan melontar pula di ketiga jamrah. Bermakna pada hari Sabtu yang baru berlalu itu jemaah haji sudah selesai mengerjakan wukuf di Arafah, lontaran hari pertama pada Jamratul 'Aqabah dan juga bertahallul (bergunting rambut atau bercukur kepala). Dan sudah pula menanggalkan pakaian ihram mereka. Begitulah congaknya.



Tetapi ‘Eidul Adha kita di Malaysia adalah pada hari Ahad! Mungkinkah telah berlaku pertambahan yang ketara kepada perbezaan waktu antara Mina dan Malaysia, semenjak berlakunya gempa bumi di Taiwan beberapa hari lalu?


Saya sedang cuba mengira hari-hari Tasyrik untuk perlaksanaan korban.

Saya menalipon seorang teman, Ustaz Ismail Mina untuk meminta pandangan. Beliau dilahirkan di Mina, jadi pastinya beliau yang paling sesuai untuk dibuat rujukan.

"Ustaz, macam mana pandangan anta tentang raya tahun ni?" muqadimmahku.

"Sheikh," ujar beliau, "itu memerlukan fatwa. Ana bukan mufti jadi ana tak layak mengeluarkan fatwa. Dan sekiranya ana mufti sekalipun, fatwa ana tak boleh diterima kerana hanya fatwa Mufti Negara dikira muktamad. Tapi setakat ini jawatan ini belum diisikan lagi."

“Ya Allah terimalah korban kami sekiranya kami melaksanakannya pada hari Rabu di Malaysia.” Saya berdoa sebelum menamatkan perbualan.




Sunday, December 24, 2006

Malam dan Hari Yang Sepuluh

Mungkin pesanan ini agak terlewat. Tetapi taklah terlalu terlewat kerana Zulhijjah baru saja bersama kita.

Surah Al Fajr mengingatkan kita pada malam yang sepuluh (Demi fajar; dan malam yang sepuluh; dan yang genap dan yang ganjil (QS.89:1 -3). Hari-hari yang dimaksudkan ini termasuk hari-hari yang kini telah dan akan bersama kita.

Ada tiga bulan-bulan hijriah yang mempunyai 10 hari yang penuh berkat. Iaitu:

  1. 10 akhir Ramadhan;
  2. 10 awal Muharram, dan
  3. 10 awal Zulhijjah:

Dan peristiwa-peristiwa dalam Zulhijjah, mengikut Abil-Laits Assamarqandi, adalah:

  • 1 Zulhijjah adalah hari Allah menganugerahkan keampunan kepada Nabi Allah Adam a.s., dan juga hari pertemuan Nabi Allah Adam a.s. dengan Siti Hawa, di bumi iaitu di Arafah;
  • 2 Zulhijjah adalah hari penerimaan do'a Nabi Allah Yunus selepas beberapa lama dalam perut ikan nun;
  • 3 Zulhijjah adalah hari Allah SWT perkenankan do'a Nabi Allah Zakaria a.s. Tersebut di dalam kitab Al-Futuhat Ar-Rabbaniyyah ‘ala Al-Adzkar An-Nawawiyah, bahawa jarak masa doa Nabi Zakaria ‘Alaihissalam memohon untuk dikurniakan zuriat dengan berita gembira yang diterimanya, adalah 40 tahun;
  • 4 Zulhijjah adalah hari kelahiran Nabi Allah 'Isa a.s.;
  • 5 Zulhijjah adalah hari kelahiran Nabi Musa a.s.;
  • 6 Zulhijjah adalah hari Allah membukakan pintu kebajikan kepada Nabi-Nabi-Nya ;
  • 7 Zulhijjah, hari pintu neraka jahannam akan dikunci dan dibuka semula selepas 10 Zulhijjah.;
  • 8 Zulhijjah adalah hari Nabi Ibrahim a.s. bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih puteranya Ismail. Seharian ia berfikir tentang apakah perintah itu datangnya dari Allah atau dari syaitan. Hari itu telah dinamakan dengan hari Tarwiyah (hari berfikir-fikir).
  • 9 Zulhijjah adalah hari turunnya ayat terakhir kepada Rasulullah sollahu 'alaihi wassalam, iaitu pada ketika Nabi sedang wukuf di Arafah pada hari Jumaat tanggal 9 Zulhijjah tahun ke-9 H. Ayat terakhir yang yang diturunkan ini tersebut dalam surah al-Ma'idah, ayat 3. Menurut sejarah, Nabi wafat 81 hari selepas ayat ini diturunkan.
  • Pada 9 Zulhijjah juga Allah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa perintah menyembelih anak itu sememangnya adalah perintah dari-Nya bukan dari syaitan. Justeru hari itu dinamakan hari Arafah (hari tahu).
  • 10 Zulhijjah adalah Hari Raya 'Eidul Adha (Hari Raya Korban) yang dinamakan juga hari Nahar (menyembelih). Barang siapa berkorban pada hari ini dengan seekor korban, maka setiap titisan darah yang mengalir dari leher haiwan itu akan menjadi sebab untuk mendapat kemapunan dari Allah akan dosanya serta dosa ahli keluarganya. Barang siapa yang bersedekah dengan memberi makanan kepada fakir miskin atau apa jua sedekah pada hari itu, maka ia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kemudian dalam keadaan aman dan sentosa serta dengan timbangan amal baiknya lebih berat daripada Bukit Uhud, sebuah bukit yang terdapat di Madinah.

Dan hari-hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah hari-hari Tasyrik. Marilah kita hidupkan malamnya dengan banyak beribadah, dan bertakbir selepas solat waktu.

Banyak syarah-syarah dari ulamak-ulamak yang muktabar, tentang fadhilah berpuasa pada hari-hari 1 sehingga 9 Zulhijjah. Pada pagi 10 Zulhijjah pula disunatkan 'berpuasa' dari waktu fajar sehingga selepas khutbah solat 'eidul adha.

Wallahu a'lam.

Selamat berpuasa.