Powered By Blogger
Showing posts with label Kaherah. Show all posts
Showing posts with label Kaherah. Show all posts

Tuesday, May 27, 2008

Masjid di Citadel







Ramai yang ke Citadel (Qala'a) atau Perkubuan atas bukit di mana letaknya Masjid Muhammad Ali, di Kaherah, akan memberi perhatian yang kurang kepada Masjid Nasir ibn Muhammad al Qalawun dari dinasti Mamluk, yang dibina 700 tahun dahulu iaitu 500 tahun sebelum Masjid Muhammad Ali dibina. Ianya mungkin tidak diberi perhatian kerana Muhammad Ali lebih besar dan hebat dari rupa-bentuknya. Meskipun Muhammad Ali terkenal kerana penggunaan alabaster yang menjadikan dinding-dinding dalamannya putih dan menarik, pada saya Masjid Nasir ibn Muhammad lebih menarik kerana ianya dibina dengan ciri-ciri dan penggunaan bahan yang lebih bersejarah.


Tiang-tiangnya dari bangunan zaman Firaun, Romawi, Qibti dan zaman-zaman Islam sebelumnya. Silingnya dari kayu cendana dari India yang masih kukuh dan rapi; dan pada tiang seri pintu utamanya masih ada jam matahari yang bertanda dengan garisan-garisan waktu solat. Ketinggian dan luas ruang solatnya pula memberi akustik yang membolihkan suara khatib didengari di setiap penjuru masjid dengan jelas. Ternyata ilmu pembinaan ketika itu tidak sepintar zaman Uthmaniah dalam pembentukan atap. Justeru, binaan sehigga ke zaman sebelum Uthmaniah, mempunyai ruang-ruang yang luas di tengah bangunan, dan atap bangunan disokong dengan kegunaan tiang-tiang yang banyak. Tiang-tiang yang menjadi penyandang rasuk-rasuk dan alang yang menyangga dan menyandang atap berkonkrit yang amat berat. Pembina dan arkitek Masjid Nasir ibn Muhammad walaubagaimanapun menggunakan bentuk gerbang-gerbang yang menarik pada tiang-tiang yang sebegitu banyak dalamnya, seakan-akan rupa tiang-tiang Alhambra.

Dan pada Masjid Muhammad Ali yang dibina, pada tapak yang hanya di seberang masjid lama ini, dan ketinggian kubahnya pula diletak pada paras yang dapat dilihat sepenuhnya dari ruang solat masjid Nasir ibn Muhammad. Bukan hanya berkubah besar, tapi kini mempunyai ruang dalaman tertutup yang luas. Begitulah pengaruh Byzantine pada seni-bina Turki.


Muhammad Ali berbangsa Albani (dari Albania) dan merupakan panglima perang yang pintar, dan binaan pada eranya pula terserlah pada tempat yang amat strategik meskipun kesemuanya dalam satu kawasan di Citadel.


Sewaktu saya bertahayattul masjid di Muhammad Ali, saya yakin permaidini usang di tempat sujud imam masih semerbak dengan attar yang sungguh luarbiasa wanginya dan tak mungkin sama sekali attar ini disapu pada zaman masakini.

Zamalek, Kaherah
May 17, 2008




Monday, May 19, 2008

Izayyak Kaherah




“Anda sekarang di mana?” aku ditanya pemanggil. Dari teman sepejabat.

“15 Mei.” Sahutku.

“Tamam. Cuba tukar ke 6 Oktober. Pergi kesana, di sebelah kanan. Pasti akan terlihat.” Sahut beliau.

“Ya, ya, Kanan, kanan, kanan ….…. 6 Oktober atau 26 Julai?” aku keliru.

“Tidak tidak, jangan 26 Julai, tapi terus ke 6 Oktober,” perintahnya.

Ini bukannya menukar-nukar waktu melalui mesin-waktu (time machine) tapi tarikh-tarikh tersebut adalah nama-nama jalanraya di Kota Kaherah. Jalan-jalan dinamakan sempena sejarah tertentu. 6 Oktober misalnya - begitulah hari kemenangan pertama melawan Israel dan juga hari Presiden Sadat dipulangkan.

Aku di Kaherah untuk projek yang tak dapat ditolak. Meskipun dibiayai oleh badan dari Amerika. (Abangku berpesan, “Jangan pergi. Itu helah Amerika untuk mengutip data peribadimu”). Projek untuk membangunkan pasaran modal Islam di Mesir.

“Aku ke sini,” terangku kepada ketua projek, Francois, “bukan kerana bayarannya lumayan, tapi kerana aku berhutang sesuatu kepada negara Mesir.”

Dia nampak terkejut. “Hutang apa? Kenapa pula kamu berhutang kepada Negara ini?”

“Dari guru-guruku yang dari Mesirlah aku memperolehi ilmu perbankan Islam, sewaktu menuntut di Cyprus dan Kaherah dulu. Mereka telah bereksperimen dengan sebuah bank di Mit Ghamr, sebuah desa Qibti di sini. Bank ini meskipun kecilan tetapi berjaya membuktikan bahwa perbankan tak semestinya berlandaskan riba. Sayang, mereka akhirnya ditangkap dan diseksa di penjara kerana berada disebalik pagar yang berlainan dari pemerintah sosialis ketika itu. Sebelum aku juga meninggalkan dunia ini seperti mereka, maka sekurang-kurangnya aku dapat meletakkan ilmu yang mereka asaskan pada tempat yang tertinggi di negara ini. Negara asal mereka.”

Ya, mereka, Dr. Ahmad Abdel Aziz El Naggar dan teman-temannya yang lain telah mempelopori perbankan Islam. Hari ini aku dengan bangganya mengajar pula pegawai-pegawai kanan kerajaan Mesir, ilmu yang dianggap berbahaya beberapa lama dulu. Mereka bukan setakat kagum dengan kemajuan dunia perbankan dalam bidang ini, tetapi lebih kagum kerana yang mengajarnya sekarang bukannya orang Arab. Tetapi yang mengkagumkan diriku adalah saranan ini disahut oleh kerajaan Mesir kerana ianya datang dari kerajaan Amerika, dan bukannya dari dorongan keimanan mereka. Semoga Allah SWT meletakan anda sekalian wahai guru-guruku pada taman jannah antara kalangan yang amat dikasihi-Nya; dan mengharumkan nama dan kubur kalian dengan kasturi yang menyegarkan dari Jannah.

Kaherah jauh telah berubah. Bunyi bunyi hon dari kenderaan jauh amat berkurangan. Keadaan lalu-lintasnya sudah berubah kepada yang lebih efisyen. Jalan-jalan pintasan banyak. Dan kerana telah kehabisan tarikh-tarikh untuk dinamakan jalan, maka ada yang dipanggil Autostrad. Hanya Autostrad. Nama yang sungguh asing bagi Mesir. Walau bagaimanapun orang-orang Kaherah masih ceria. Susah pun ceria, senang pun ceria. Inilah juga yang menarik temanku Idris Tawfik , mantan paderi Katolik yang kini menjadi mubaligh Islam untuk menetap di Kaherah.

Yang paling dibenci di Kaherah adalah pemandu teksi yang suka mencekik darah pelancong. Hari pertama ketibaanku, aku menahan sebuah teksi secara rambang, dan memberikan pemandunya destinasiku. Empat tempat yang berjauhan dan harus melalui jalan-jalan dan liku-liku yang sesak.

“Berapa?” tanyaku.

“Demi Allah, bayarlah sebagaimana yang anda fikir sesuai.” Jawabnya.

Dan ternyata beliau, Ashraf Saad, sungguh jujur. Tak banyak kerenah, dan tidak pula membantah. Pada kali kedua aku menempahnya, beliau yang mengaturkan arah tuju. “Kini sudah hampir Zuhur, kita ke El Manial untuk melihat istana Farouk (tapi dukacita tak dapat masuk disebabkan masih dalam pembaikkan) dan sebelumnya kita bersolat dulu di Masjid terdekat. Kemudian kalau perlu kita makan atau minum.” Dan setelah beberapa tempat yang diziarahi, sebelum pulang, beliau bertanya lagi, “ Mau tak singgah di masjid mana-mana untuk bertahayattul masjid lagi? Ahh ….. itu Sayyidah Zainab”, sambil menunjuk arah beliau pun berpusing melawan arus untuk memintas jalan. Beginilah cara memandu di Kaherah. Tapi Alhamdulillah, satu lagi penyaksian sujud-sujud bagiku di bumi Kaherah.

Kaherah tua sudah hilang keunikannya. Sudah berkurangan mereka yang berpakaian gamis hapak dan kotor. (Mungkin kerana generasi ini sudah ramai yang telah kembali kerahmatullah). Kebanyakan sudah berpantalon dan berjean. Keledai dan kuda-kuda yang menarik kereta pun sudah berkurangan di jalan jalan Gawhar al Qa’id atau Al Mu’izz atau dimana-mana disekitar Makam Sayiddina Hussein. Kereta-kereta sudah moden. Ada Fiat asli dari Itali (kerana dulunya Fiat di Mesir, adalah tiruan dari yang diimpot dari Italy) dan Speranza dari Cina. Ramses, kereta nasional mereka sudah lama pupus. Apabila aku bertanya tentang Ramses, teman-temanku ketawa, “Ahh anda ternyata sudah tua!”

Mesjid-mesjid tua riuh rendah dengan pelancong. Masjid Ahmad Ibn Tulun, yang dibina sekitar 1130 tahun dulu (dibina 876 -879 AD), sunyi sepi dari zikrullah. Hanya suara pelawat-pelawat non-Muslim yang berlari-lari dalam ruang solat yang nyaring kedengaran. Pelawat menjadi bebas di tempat-tempat warisan sebegini kerana yang membaik pulihkannya adalah dari tabungan UNESCO atau badan-badan warisan dunia yang lain. Tidak lagi dari dana waqaf. Justeru mereka yang menentukan apa yang perlu untuk mengimbohkan pelaburan mereka.

Kelihatan ruang-ruang solat, batu-batu tiang dan tembok di Ibn Tulun membisu sepi kerana kejutan kepada keadaan. Jauh sekali perbezaan kegunaan masakini masjid ini dari tujuan asalnya sebagai tempat ibadat dan madrasah. Begitu juga Madarasah Sultan Hassan ibn al-Nasir Muhammad (dibina 1356 – 1363) di Medan Al Qal’a. Masjid ini mempunyai empat serambi ilmu untuk mengajar dan membahaskan ilmu fiqh mengikut mazhab-mazhab empat. Kini ke empat-empat serambi sepi membisu. Di luar, yang dibahaskan adalah bahwa yang diberikan pelancong jauh sudah amat tak memadai dengan hasrat keinginan hati mereka. Tapi Imam Syafie masih kuat pada ingatan mereka yang di sekitar madrasah ini. Bukan diingati tetapi kerana ketinggian maqam ilmunya tapi kerana maqam peresemadiannya yang tidak jauh dari situ. Dan mereka bila-bila saja ingin menawarkan diri untuk menjadi pemandu pelancong ke sana. Bukan kerana ikhlas tapi kerana kemungkinan untuk mendapat habuan yang baik.

Di Maqam Imam Syafie, kelihatan beberapa wanita tua menunggu di luar bangunan, menanti-nantikan rezeki luarbiasaan. Mereka tahu, ini destinasi tetap pengunjung dari Malaysia, dan kebiasaannya pengunjung-pengunjung ini amat bermurah hati. Hingga pada ketika aku di sana, ada antara mereka yang masih menyimpan Ringgit Malaysia yang disedekahkan, kerana tak tau apa yang perlu dibuat dengannya. Kesian mereka, bila di fikirkan kembali. Apa lagi cara untuk hidup di daerah yang penuh kemiskinan ini. Daerah ini sebenarnya adalah daerah perkuburan, dan kerana kemiskinan, mereka menjadikan kawasan-kawasan kubur sebagai tempat tinggal. Uniknya di Kaherah, ada yang tinggal di kawasan perkuburan dan ada pula di tempat pembuangan sampah sarap.

Imam Syafie tersohor sebagai ahli fiqh, tapi tak ramai yang menyedari bahwa beliau juga tokoh perubatan yang terkenal. Setibanya Imam Syafie di Mesir dulu, beliau telah diajak berdiscourse tentang ilmu perubatan oleh pakar-pakar Mesir. Pada akhir majlis, beliau diiktiraf sebagai ahli perubatan yang amat tertinggi ilmunya.

Aku sungguh khusyuk di Imam Syafie, seolah-olah hari itu ruang hanya dibuka untukku kerana tiada pelawat-pelawat lain yang tiba. Imam Syafie bersebelahan dengan bapa saudara kepada Sallehuddin Al Ayyubi serta seorang anak raja dari zaman Abbassid dulu. Hanya tiga maqam di situ. Dan pada malamnya, setelah kepenatan dari seharian berjalan, aku dikejutkan dengan bunyi suis lampu meja di sebelah katilku yang dipetik, lampu dinyalakan dan suruhan kepadaku untuk bersolat isya’ kerana sememangnya aku belum berisya’. Aneh kerana aku berseorangan di kamar, dan aneh lagi kerana setelah aku keluar dari bilik air selesai berwudhuk, lampu yang tadinya bernyala sudah terpadam.

Inilah Kaherah yang penuh keistimewaannya. Datanglah dan pasti anda akan kembali lagi. Ada sahaja sebab untuk kemari. Untuk membeli sebiji kitab kuning di sekitar Al Azhar atau untuk bersantai-santai di meja-meja teh tempat langganan kebiasaan sasterawan Naguib Mahfouz (almarhum) di Khan al Khalili, atau untuk memanjat menara Masjid Ibn Tulun. Sebab yang tak dapat sekali diterima oleh akal seseorang. Sebagaimana pesan kawan sekuliahku dulu, Emaad. “Minumlah air Nil dan pasti anda akan kembali.” Dan jawapanku, “Untuk apa? Untuk merana di Kaherah yang penuh dengan kesusahan?”

Dan kini aku kembali ke Kaherah untuk kali ketiganya.

Sayangnya kali ini seorang guruku yang terputus hubungan semenjak dua tahun lalu, sudah tidak ada jawapan pada panggilan ke taliponnya. Mahgoub Mohamed Mahgoub. Al Fatihah bagimu.

Masih segar pada ingatanku, satu waktu dulu aku bertanyamu, “Apa khabar sepupumu Mohammed di Shobra?”

“Alhamdulillah, beliau meninggal.” Rengkas jawapan darimu.

“Alhamdulillah? Kenapa Alhamdulillah?” aku menjawab protes.

“Bukankah tujuan kita untuk menemui yang dikasihi? Allah SWT! Maka Mohammed kini sudah ke alam itu.” Tegas jawapannya.

Apa lagi yang perlu atau patut aku bertanya. Manusia yang mengasihi Allah akan bercita-cita untuk bersama-Nya.

Alhamdulillah ‘ammi Mahgoub, anda juga kini selamat di sana. Wa inna insha Allah, aku kelak juga akan bersamamu.


Zamalek, Kaherah
May 9, 2008




Thursday, September 06, 2007

Jazz penyambut Ramadhan




Encik Hidung Belang
di London,



Menjawab komen saudara (?) pada entri terdahulu.

Bukan hanya anda dihiburkan dengan jazz di Brickendonbury, tetapi kami di sini juga berseronok dengan ahli No. 1 Jazz sarwa jagat, untuk merayakan Kemerdekaan. Mungkin anda tak tahu, yang Jazz itu budaya kita. Kami juga pun baru tau!

Tapi kesempenaan bulan pada bila jazz ini dipentaskan mengingatkan saya sebentar kepada ketepatannya pada bulan Hijriah.

Malam-malam hari sebegini di Kota Kaherah, akan cerah dengan cahaya tanglong Ramadhan.

Menjadi satu budaya bagi mereka menyalakan tanglong sehinggalah ke akhir Ramadan. Kanak-kanak (mungkin hanya dulu di waktu saya belajar di sana!) akan berjalan-jalan di lorong-lorong Kaherah Tua – di sekitar Bab Zuweila, Ibn Tulun dan di kawasan yang di kenali sebagai Bazaar Khemah: menghala ke Sayyidina Hussein di Khan Khalili, dan juga di sekitar Shari’ al Sulthan - sambil melaung-laungkan bayt:


Wahawi ya wahawi
Iyyahah
Rooh ya Sha’aban
Ghait ya Ramadhan
Iyyahah
Bintis Sulthan
Labsah al guftan
Iyyahah
YalLah al Ghaffar
Issuna al ihdiyah
YalLah al Ghaffar


Menjadi satu hiburan kepada penduduk sekitar Kaherah Tua untuk memberi sepenuh sokongan kepada kanak-kanak ini. Seperti pesta Halooween di Amerika, mereka akan diberi halwa dan hadiah-hadiah sambil kata-kata galakan untuk ber Ramadhan.

Kepada sang dewasa ini pula, saum pada Ramadhan adalah cerita lain pula! Entah ia entah tidak saum mereka. Itulah Kaherah, penuh misteri. Tapi aku senantiasa mengingati Ramadhan di Kaherah, kerana malamnya hidup juga dengan penuh ibadah.

Tak siapa tahu apakah maksud Wahawi ya wahawi iyyahah. Ada yang mengaitkannya kepada bahasa atau ungkapan pada zaman Fir’aun. Walaubagaimanapun bayt itu menarik:

Wahawi ya wahawi
Iyyahah
Kamu dah berundur ya Sha’aban
Dan tiba pula kamu ya Ramadhan
Iyyahah
Anak perempuan Sultan
Memakai kaftan
Iyyahah
Ya Allah yang Ghufran (Pengampun)
Anugerahkan kami hadiah
Ya Allah yang Ghufran


Dan begitulah cahaya tanglong akan dibiarkan menyinar sehingga imsak. Berkelip-kelip antara selingan laungan mesahharati atau pelaung-pelaung yang megelillingi lorong-lorong untuk mengejut penduduk untuk bersahur.

Akhir Sya’aban. Seperti hari-hari ini. Begitulah persiapan untuk menyambut Ramadhan.

Dan kita pula baru bersantai-santai dengan George Benson sambil dihidang dengan halwa telinga berbentuk irama jazz.

Aduh. Berbeza amat.


Ramadhan Karim.




Nota:


Bayt-bayt yang digurindamkan oleh mesahharati di sekitar Kaherah terdapat di sini.







Wednesday, September 27, 2006

RAMADHAN KARIM

"Ramadhan Karim".

Begitulah sapaan yang akan sering diterima oleh seseorang apabila bertembong dengan sesiapa sahaja di lorong-lorong di sekitar Hussein, Khan Khalili atau Azhar iaitu di sekitar balad ‘Ataba, di kota Kaherah. Malahan juga dimana-mana sahaja di kota itu. Pembuka kata untuk bersilaturrahmi dalam bulan Ramadhan al Mubarak ini hanyalah dengan “Ramadhan Karim”, dan penerima teguran akan membalasnya dengan “Allahu Akram” serta senyuman.

Kemeriahan Ramadhan di Kaherah bukanlah dengan bunga api atau mercun atau bedil buluh mainan anak-anak, tetapi adalah pada keindahan warna-warni Khemah Ramadhan yang akan dipasangkan di tepi-tepi jalan dan lorong-lorong, dan di sekitar masjid-masjid dan kedai-kedai makan. Khemah berawan larat yang sungguh menarik, di mana iftar di sediakan sewaktu petang, dan untuk bersyisha dan minum teh atau kopi selepasnya. Warga kota Kaherah memang terkenal dengan budaya melepak di kedai-kedai teh. Alasan mereka adalah rumah-rumah mereka sempit dan panas dan hanya ada ruang untuk wanita-wanita. Anak-anak muda dan lelaki mesti menghadirkan diri di luar rumah.

Yang mengingatkan ku kepada Kaherah pada setiap bulan Ramadhan adalah juga pada masah-harati atau mesahharati, atau pelaung untuk mengejut bersahur. Satu budaya yang telah hilang dari negara-negara Arab yang lain. Hanya masih kekal di Kaherah terutamanya. Khabarnya. Pada ketika aku di Kaherah sebagai pelajar dulu, ada seorang masah-harati buta yang mengelilingi lorong-lorong dan jalan-jalan di sekitar ‘Atabah, sambil mengetuk-getuk tin dan melaungkan panggilan untuk bersahur dalam nada yang sungguh merdu. Beliau sungguh masyhur sehingga TV Kaherah menyelang-yelikan video laungan beliau pada malam-malam Ramadhan.

Di Malaysia kebelakangan ini sapaan Ramadhan Karim dibuat melalui sms. Sudah canggih. Mungkin budaya yang dibawa balik oleh pelajar-pelajar dari Mesir. Tetapi dalam sebegitu banyak sms Ramadhan yang aku terima, ada tiga sms yang aku kira begitu menarik.

Yang pertama daripada Bapak Didik Supriyanto dari Malang (Indonesia):

Bila seluruh UMUR adalah bagian DOSA,
maka TAQWA dan TAUBATlah ubatnya;
Bila semua HARTA adalah RACUN,
maka ZAKATlah penawarnya;
Bila seluruh BULAN adalah NODA,
maka RAMADHANlah pemutihnya.
Selamat menunaikan ibadah Ramadhan.

Yang kedua pula daripada Hafiz Abdul Shukur, imam dari Nilai, yang berbunyi:

Ramadhan datang lagi untuk mengulangi tuntutan hakiki,
Tanyalah pada diri.
Apakah Ramadhan tahun ini yang terakhir
dan akan menjadi sama seperti akhir kali,
Yang banyak dibiarkan berlalu,
Tanpa diisikan dengan iqra dan zikir?
Syukur pada Illahi, kerana Ramadhan masih sempat ditempuhi,
Dan kita diberi peluang untuk meperbaikkan kualiti.

Selamat berRamadhan.

Dan sms yang ketiga merupakan pesanan dari Habib Ahmad al Idrus, dari Malang (Indonesia):

Seorang Muslim, pada saat berbuka puasa, membaca:-
”Ya ’Adzhiimu ya ’Adzhiim.
Anta Illahii, laa ilaa ha ghairuk.
Ighfirlil dzanbal ’adzhiim,
fa innahuu laa yaghfirudz dzanbal ’adzhiim,
il-lal ’Adzhiim”

(wahai yang Maha Agung, wahai yang Maha Agung. Engkaulah tuhanku dan tiada tuhan selain Engkau. Ampunilah dosa-dosaku yang sebegitu besar, dan sesungguhnya tiada yang dapat memberi pengampunan ke atas dosa-dosa yang besar selain Engkau, yang Maha Agung)

niscaya akan terhapuslah dosa-dosanya dan menjadi dia persis bayi yang baru lahir.

Hadith riwayat Ibn Majah dan ditingkatkan sebagai hadith hasan.



Dan akhirul kalam, Ramadhan Karim dari Ku Keng sekeluarga.
Semoga Ramadhan ini akan dipenuhi dengan kegiatan ibadah yang lebih berkualiti dari yang lampau-lampau.


Nota kaki: Gambar hanya untuk menunjukkan contoh Khemah Ramadhan.