Powered By Blogger
Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Saturday, August 13, 2011

Petaka

Entah apa petaka kepada Melayu hari ini. Kesemuanya berpunca pada diri dan bukannya sesiapa.

Ada Pak Haji atau Mak Haji yang beniaga di warung. Apabila ditegur, "Jangan guna minyak kitar Ji; kemungkinannya tak halal kerana pernah digunakan untuk menggoreng benda tak halal!" Jawabnya, "Hang pandai cakap. Kalu aku guna minyak baru, hang pulak yang mai komplen harga mahai. Cakap senang. Aku pun tau juga hukum, bukan hang sorang saja."

Dulu ada sekeluarga yang masuk agama salib di Kuantan. Rumahnya bukan jauh sangat dari masjid, tapi seolah orang disekeliling tak peka akan kehadiran keluarga tersebut. Mungkin apabila disyorkan supaya ahli-ahli masjid menjenguk dan bertanya kabar serta membantu, jawapan mereka, "Ah peduli apa, mereka bukan pernah datang ke masjid. Sembahyang pun tak!" Dan apabila datang rombongan bersalib besar untuk memberi kasih, barulah kelam kabut jadinya.

Tak kurang pula dengan yang bertugas di Pejabat Kadi. Apabila datang seorang wanita mengadu hal dan mahu diceraikan saja kerana tak tahan dengan keadaan suami, jawap pula kounselor perempuan dengan senang, "Engkau tak tau jaga suami. Padan muka suami tak pulang kerumah." Seorang Tan Sri yang ternama menceritakan kepada saya tentang sepupunya yang dah lebih 10 tahun naik turun mahkamah kadhi untuk menyelesaikan perceraian. Jadi apabila ada yang menubuhkan sis in Islam, kita melenting.

Kita ini amat pelbagai. Ramai yang berlagak seperti tuhan. Kerja hanya ingin menghukum. Itu haram dan itu halal. Itu masuk neraka dan itu masuk syurga. Teringat pula saya kepada pesanan Sheikh Fathi Yakan, "Pendakwah bukan penghukum."

Ada yang caca-murba. Ibadat rajin, tapi makan minum tak jaga. Bukan setakat bersubhat tapi tak peduli halal atau haram. Asalkan dapat menguntungkan. Apabila diberitahu, "Starbucks tu haram", jawapnya, "Ahh kalau nak kira semua halal atau haram susahlah kita."

Ada yang agama bermusim. Dari Jumaat ke Jumaat atau dari Eid ke Eid. Merekalah yang paling sibuk. Bersungguh-sungguh.

Ada yang tak peduli langsung. Duit itulah sembahannya. Dan siapakah nak disalahkan apabila ikut apa saja. Bantuan dari salib atau tak bersalib? Biarkan.

Seorang teman bertanya kepada saya, "Ni hang dok pi berdakwah, ramai ke masuk Islam?"

Jawap saya, "Itu bukan kerja saya. Yang saya menyampaikan kepada mereka apa itu Islam. Sesenangnya kenapa saya makan berpilih dan tak kesemua yang merangkak di bumi. Sekurang-kurangnya mereka tau tentang sempadan agama Islam. Kalau nak menyakinkan seseorang supaya masuk Islam, susahlah jadinya. Hati itu hak Allah, bukan kita yang membukanya." Ada sepasang dari India yang bersama-sama saya melawat Masjid Fatih di Bahrain. Apabila mereka diberi maklumat tentang Islam, saya terkejut dengan jawapan mereka, "Nobody has told me about Islam in India."

Barulah dia faham.

Malam tadi saya dikejutkan dengan sms dari abang saya dari London. "Hari esok (Sabtu) mayat Lorraine Esme Osman akan dibakar di Golders Green. Nauzubillah!"

Hebat. Hebat.

Friday, December 28, 2007

Dakwah di Pedalaman




Dua hari lalu saya menerima 4 sms yang panjang dari seorang pendakwah bebas, Saudara Abdul Halim Abbas, yang aktif di pedalaman Sabah. Kumpulan beliau amat gigih di sana bukan dengan tujuan untuk meng-Islamkan orang yang masih animis, akan tetapi semata-mata untuk mendidik mualaf-mualaf di pedalaman yang sudah lama tertinggal dan terlupa oleh pentadbir-pentadbir agama Islam. Saya paparkan di sini untuk tatapan bersama, lapuran dari beliau dan sekiranya tersentuh hati untuk membantu bolehlah talipon terus ke 019 851 6968.

Assalamu alaikum WW: Kursus kem remaja di Pulau Banggi mendapat sambutan yang baik. Peserta 50 orang. Penduduk kaum kaum ibu bapa turut serta menjadi peserta kursus dalam 30 orang. Mereka dahagakan ilmu. Kursus ini diatur oleh Ustaz Basal. Bayangkan kalau di seluruh Sabah ada progrem seumpama ini dibuat. Tentu masyarakat kita akan menjadi masyarakat terdidik dengan agama. Salam. A Halim Abbas.

Assalamu alaikum WW: pada 10 Zulhijjah sahabat-sahabat kita telah menyembelih qurban di Kampong Napong Satu, 20 km dari Pekan Ranau. Islam bertapak di sini sebelum melebihi 50 tahun. Makin berkembang dalam tahun 70-han. Kampung yang terletak di celah lembah yang subur. Di celah-celah banjaran Crocker yang menyambung ke puncak Kinabalu. Mengalir sebatang sungai yang jernih membelah lembah ini. Tak ada pendakwah buat mendidik mereka pada masa ini. Sejak 1975 – 1994 ada ikhwan kita Che Gu Jamil yang mendidik mereka. Tapi dia telah pindah ke Kampung Lohan. Surau hampir mati, kami solat Aidil Adha di surau asrama anak yatim Yayasan Suria Tuaran. 3 lembu disembelih sebagai kurban. Setelah khutbah saya mengisi tazkirah untuk mualaf yang hadhir sebelum makan kenduri kurban. Salam. A Halim Abbas.

Assalamu alaikum WW: 24 Dec. Majlis Khatam al Quran madrasah Manzalilul Masakin yang baru dibuka pada 4 Mac 07. Hari ini 15 orang layak khatam al Quran. Menurut penduduk inilah majelis khatam yang pertama di Pulau Banggi. Madrasah ini didirakan dari kayu bakau, atapnya dari zink berkarat dan bocor sana sini. Tak ada dinding. Tempias hujan terpaksa bertahan sahaja. Hujan sangat lebat. Hadhir dalam 150 orang. Mereka ingin tau bentuk majlis khatam al Quran itu dan ibu-bapa begitu bangga anak-anak mereka khatam al Kuran pada hari itu. Ustaz Basal yang menjadi guru sukarela dukung perpaduan ini begitu gigih dengan mendidik anak-anak kampung ini; pagi-pagi kelaut menjadi nelayan, dan malam mengajar dari maghrib hingga jam 10 malam. Sewaktu madrasah ini dibuka hanya ada 12 buah naskah Iqra’ dan 5 buah al Quran untuk menampung keperluan 86 murid. Pada May 07 barulah ada derma Iqra’ dan al Quran untuk
diberikan kepada madrasah ini. Insha Allah jika ada bantuan kepada Madrasah ini generasi al Quran akan dapat dibangunkan. 2 ekor lembu korban yang di buat di sini oleh saudara-saudara dari KL pada tahun ini. Program hari ini akan disambung dengan kursus selama 2 hari. Salam. A Halim Abbas.

Assalamu alaikum WW. 25 Dec.: Malam tadi program dakwah di surau Parong Laut, Kota Marudu. Jemaah yang hadhir 30 orang. Semuanya mualaf suku Dusun. Mereka baru 4 tahun Islam. Walau bagaimanapun taraf hidup dhaif tapi mereka mau menimba ilmu. Sebuah al Quran pun tak ada. Tersentuh juga perasaaan lihat Ust. Halim beri ajar kepada mereka. Sebenarnya petang tadi kami hanya meninjau ke sini. Rupa-rupanya ketua kampung sudah suruh anak-buahnya berkumpul, katanya ada orang datang mengajar malam ini. Ketika nak keluar dari kampung ini orang kampung mula tiba di surau. Jadi Ustaz Halim kata, "kesian mereka, kita dakwah dululah", jadi kami pun berpatah balik ke surau tu. Ana berkata dalam hati, nanti mereka ini pasti menuntut hak mereka wal muslima ikhwana kepada kita di hadapan Allah. Apa nak jawab? Masya Allah ... kita perlu pendakwah dan prasarana asas untuk dakwah. Laporan dari Rosnani Untul.


Sebaik-baik derma adalah ketika kita sendiri dalam kesusahan.


Wednesday, June 28, 2006

Dakwah di Masjid Fateh

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, kalau anda menuju ke Manama (ibu Kota Bahrain), di persimpangan mana sekalipun, sama ada menuju ke Shari' (jalanraya) al Malik Faisal ke Budaiya, atau ke Gudaibiya atau pun ke Juffair, anda akan bertemu dengan papan-tanda papan-tanda yang menunjukkan arah yang berlainan ke Saudi Arabia. Tak kiralah, kalau terdahulunya papan arah ini menunjukkan ke kanan, selepasnya ke kiri, kini pula ke depan dan kemudiannya ke belakang. Semuanya halatuju ke destinasi yang sama. Saudi Arabia.

Kalau ditanya kepada Hussain, pemandu teksi (kebanyakan pemandu bermazhab Syi’ah dan nama-nama mereka kalau tidak 'Ali, mungkin Hassan atau Hussain atau Ja'afar. Dan mereka amat selesa berbicara denganku apabila diberitahu bahawa bapaku juga bernama 'Ali, nama kecintaan mereka dan aku juga bersilsilahkan al Hussaini.), kenapa sebegitu pelbagai? Mereka akan menjawab, “The Saudis coming here are always drunk. No matter where they drive, they will reach Saudi Arabia! Because Bahrain is small and the island is round.”

Di sebelah barat daya Bahrain, terdapat jembatan King Fahad, sepanjang 25 km. yang menyambungkan pulau ini ke Al Khubar dan ke Dhahran, daerah-daerah di sebelah Timur Saudi Arabia. Kawasan yang ramai dengan pengikut mazhab Syi’ah. Dan pada hari-hari Khamis mereka akan berduyun-duyun ke Bahrain untuk berihat dan bermaksiat. Bahrain adalah kawasan bebas cukai dan juga bebas maksiat. Mungkin bukan maksiat kepada mereka. Mungkin. Jambatan inilah yang menjadi penghubung nyawa kepada kaum Syi’ah Saudi. Kalau di Al Khubar atau Dhahran mereka tak bebas sepenuhnya untuk hidup dengan pegangan mereka, maka di sini mereka teramat bebas. Mudah dan bebas dengan khamar dan mut’ah.

Di Manama, masjid terbesarnya adalah Masjid Fateh. Tersergam indah di Juffair. Putih bersinar dalam keterikan cahaya matahari Manama. Pintu utamanya setinggi lebih dua puluh kaki dan ruang solatnya dapat memuatkan 7,000 jemaah. Menjadi kemegahan kepada akiteknya dan juga kerajaan yang membinanya.

Akan tetapi pengalamanku bersama-sama Ordinary Superhero dan TH (bosnya) pada suatu subuh yang syahdu, di musim panas beberapa tahun yang lalu, sungguh menyedihkan. Kami bertiga yang menginap di Gulf Hotel, yang letaknya lebih kurang 600 m dari Masjid Fateh, telah pergi ke masjid di awal pagi, untuk menjadikan solat fajar pada hari itu sebagai saksi kami pada pagi pertama kami di Bahrain. Setibanya di masjid, segala pintu-pintu berkunci rapat. Dalam melilau-lilau mencari jalan masuk maka akhirnya datanglah seorang tua untuk membuka pintu dan menyalakan lampu-lampu masjid.

Setelah menunggu selama setengah jam, si tua tadi pun melaungkan azan. Sangkaan kami pasti ahli-ahli kariah akan datang berduyun-duyun untuk berjemaah. Tetapi harapan kami meleset. Sungguh meleset. Setengah jam kemudiannya, hanya kami berlima termasuk imam yang menjadi jemaah solat fajar di Masjid Fateh. Bayangkan, pada hari-hari lainnya pasti sekali jemaah solat fajar hanyalah imam dan bilal. Sahaja. Berdua.

Beberapa tahun kemudian, aku ke Bahrain lagi untuk menghadhiri seminar. Kali ini hanya bersama TH (tanpa Ordinary Superhero). Selepas sessi pembentangan kertas kerjaku, moderator untuk sessi itu berlari anak menujuku dan menyerahkan kartu namanya. Dan dengan tercunggap-tercunggap menjemput aku dan TH untuk membuat lawatan ke pejabatnya.

Rupa-rupanya dalam keadaan Islam dipinggirkan di Bahrain, terdapat satu badan dakwah, Call to Islam, yang begitu gigih menyampaikan risalah kepada pekerja-pekerja asing. Sewaktu kami tiba di pejabat dakwah tersebut, terdapat kelas-kelas untuk muallaf-muallaf yang terdiri dari wanita Filipina dan Sri Lanka. Akan tetapi dakwah mereka yang paling berkesan adalah di Masjid Fateh.

Di masjid Fateh, ahli-ahli badan ini bertugas sebagai tourist guide. Disebabkan kerajaan Bahrain mengawal kerja-kerja dakwah, maka badan ini telah berjanji kepada kerajaan bahawa yang mereka akan sampaikan kepada pelawat masjid hanyalah tentang bangunan turistik tersebut. Tak akan ada langsung maklumat-maklumat provokasi tentang agama-agama lain. Dan kami pun dibawa ke Masjid Fateh untuk didemonstratkan cara mereka berdakwah. Seorang petugas telah disediakan untuk kami dan kami disuruh bertanya apa-apa saja kepadanya.

This is a mosque, a house for the Muslim worshippers. The foundation stone was laid on December 15, 1983 and the mosque was officially opened on June 2, 1988. The total area covering by the mosque comprises of 150,000 square metres. The centre is named after Shaikh Ahmed Al Fateh who conquered Bahrain in 1783. Beautiful Quranic verses are inscribed across the underside of the dome, and decorate the mihrab and the walls of the edifice.

The large dome is 16 metres high and 22 metres wide and its inside is illuminated by twelve ornate stained glass windows. Two 70 metre imposing minarets frame the dome.”
Begitulah mukkadimahmya. Dan kami pun dibawa masuk keruang solat tengah.

The front part of the hall is the mihrab, where the imam stands and leads the prayer. Each prayer time is indicated by the azan,” dan beliau pun berdiri dihadapan dan melaungkan azan, dengan suara yang sugguh merdu. Perbuatan ini telah menarik perhatian beberapa pengunjung-pengunjung yang lain dan mereka pun datang menyertai kami. Petugas tadi sambung lagi, “Muslims pray five times daily. The one who leads the prayer is called an imam. He can be anybody at all. In Islam any man can lead the prayers.

Tiba-tiba bertanya seorang pengunjung, “Aren’t there any bishops or priests in Islam?” Seorang lagi pula mencelah, “Why do you pray towards Makkah?” Belum sempat petugas menjawab, tanya lagi yang lain, "Why don't ladies pray side by side with men?" Pelawat berebut-rebut untuk menyoal. Dan segala soalan-soalan yang diutarakan dijawabnya dengan cara yang sopan dan amat menarik. Begitulah selalunya keadaan yang dialamai oleh petugas. Pelawat-pelawat seolah-olah kanak-kanak sekolah ke Muzium, berebut-berebut untuk bertanya soalan. Kunjungan pelawat-pelawat selalunya memakan masa lebih 2 jam, kerana keseronokan mereka dengan maklumat yang diberikan. Berbeza dengan pelawat ke Masjid Negara KL yang datang hanya untuk bergambar dan pulang. Kunjungan yang tak melebihi 15 minit.

Begitulah mereka menanamkan minat tentang Islam. Secara indirect. Dengan secara begini, ia itu secara memperkenalkan cara-cara masjid digunakan, telah menarik minat ramai isteri tentera-tentera USA yang bertugas di Bahrain untuk mempelajari tentang Islam. Ramai juga yang telah menerima syahadah.

Begitulah Masjid Fateh dimanfaatkan masakini. Dan itulah caranya berdakwah dengan hikmah. Tak ada petugas-petugas yang memberi maklumat secara bertempik-tempik dan meraung-raung, sehingga bergegar seluruh kampung.

Dan Lope, surau kampung pun tak juga-juga bertambah jemaahnya!