Powered By Blogger
Showing posts with label mati. Show all posts
Showing posts with label mati. Show all posts

Saturday, April 25, 2009

Affandi Effendi




Hari itu aku yang dulu menantinya. Kalau kebiasaan, beliau menantiku. Bukan kerana tabiat ku yang suka datang lambat untuk pertemuan, tapi kerana tempat pertemuan, di KLCC (tempat kesukaannya) menjadi masalah bagiku. Jauh dari pejabatku dan selalunya sukar bagiku untuk keluar awal kerana akan ada-adanya saja tugas yang perlu diselesaikan sebelum keluar.

Mungkin kerana kebiasaan beliau menunggu, maka aku dipanggilnya 'Boss' dan aku pula memanggilnya Bro.

Terakhir aku bertemu Bro, dua bulan lalu. Untuk pertemuan yang diatur oleh seorang kenalan yang lain dan aku sama sekali tidak teragak akan berjumpa dengan beliau. Apabila aku masuk ke tempat pertemuan (bukannya di KLCC tapi di tempat lain), beliau dulu menyambutku.

"Boss. I have been wanting to see you,"

"Bro," sahutku, "ha, ha."

"Boss, it's Islamic banking. I need your input."

Dan kami berbual-bual. Seronok berbual dengan Bro ini. Apa saja yang dibicarakan, beliau pasti tak asing dengan maudhuknya. Aku menyebut tentang hasratku untuk meninggalkan perbankan tetapi menumpukan kepada projek-projek Bottom of Pyramid (BOP), dan beliau terus menceritakan tentang pengarang buku tersebut, Prahalad, dan kandungan kajiannya. Dan apabila ditanya oleh teman-teman yang berserta kami tentang BOP, beliau mengulasnya panjang lebar. Amat terperinci.

Dan hari itu kami berbual dari satu topik ke topik yang lain. Tidak teratur.

Hari itu pula beliau seolah-olah membongkar sejarah dirinya. "The King was under my care in school and university ....." dan apabila ditanya lagi tentang ehwal mereka ketika itu, banyaklah yang kami tertawakan. Beliau bercerita tentang waktu-waktu beliau menjadi MP termuda di Malaysia, tentang teknologi encryption yang terkini; dan langsung tak menyentuh tentang tajuk yang sepatutnya menjadi tujuan pertemuan kami. Bila ditanya tentang politik wang, yang menjadi perbualan umum yang hangat ketika itu, beliau mengulasnya satu persatu modus operandi setiap yang bertanding untuk jawatan MKT Amno.

"Betulke Bro?" aku mengusik.

"Look here Boss, I have 50 bahagian under me from SXXXX. I am negotiating with those candidates on how they will decide."

Dan banyak lagi yang dibicarakan. Sehingga aku terpandang jam dan cepat-cepat meminta diri, kerana 'Asar sudah larut.

Sebelum aku beredar, "Boss, let's do a project together," pesannya.

"Buat apa Bro?"

"Tanam betik. Fantastic return. Senang. We just need three Banglas," dan beliau mula menerangkan apa yang berkait dengannya.

Hari itu, selepas pertemuan dulu, aku kali ini yang terawal. Mesej yang aku terima sehari sebelumnya, "The jenazah will be leaving our house at 9.30 and will proceed to Jalan Ampang.". Malah aku yang terawal di perkuburan Ampang, tempat yang dimaksudkan.

Tepat jam 10.05 jenazahnya tiba. Affandi TMFS. Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un. Aku kehilangan seorang kawan yang sungguh baik hati. Amat berendah diri. Hari itu, pagi Jumaat, beliau disemadi tak jauh dari KLCC, tempat kebiasaannya.

Apabila diimbas kembali cerita-cerita yang almarhum memaklumkan dua bulan dulu, terlintaslah padaku tanda-tanda akhir seseorang. Jelas sekali.

Semoga ruhmu dicucuri Allah dengan rahmat dan maghfirah-NYA. Dan hari ini sudah 11 hari pemergianmu.


Nota: Effendi = Encik (b. Turki)


Tuesday, December 09, 2008

Takziah, Syed H




Pagi itu hari biasa-biasa. Tak ada apa-apa yang mengejutkan dunia. Apatah lagi suasana politik tempatan. Phoneku seperti biasa. Sesekejap berbeep-beep tanda isyarat ada mesej rengkas (sms) diterima. Antaranya, ”Ummi ana baru meninggal. Inna lillahi wainna ilahi raajiun.”

Ku amati lagi. Benar ini mesej dari Syed. Syed akrab denganku. Terus aku menaliponnya. Tapi taliannya sibuk dan akhirnya setelah kesekian kalinya, dapat menghubungi beliau.

”Bib!” sahutku.

Sebelum sempat aku meneruskan, ”Tak. Tak. Ana silap. Ummi ana bernafas. Tadi silap.”

”Aaih. Boleh silap!” fikirku. ”Bagaimana?” Soalku dalam terkejut.

”Sekarang kami dah panggil ambulan. Nak ke Hospital.” Sambut Syed lagi.

Tengah hari itu aku ke hospital untuk menziarahi Umminya dan Syed.

”Laa Bib,” beliau menerpaku, ”Wallahi tadi kami sangka benar-benar Ummi dah pergi. Jadi kami dah ikat dagunya dan qiyamkan tangannya, dan hampir-hampir nak menyelimutnya, tiba-tiba nampak pernafasan. Masha Allah. Betul-betul panjang umur. Ummi sakit lama, jadi kami pun dah bersedia.”

”Mi,” Syed menegur Umminya yang sedang terlantar, ”ini Keng. Akraba ana.” Umminya tersenyum dan sekilas pandang seolah-olah tiada apa-apa padanya. Hanya esoknya, beliau di-bypass. Dan selepasnya, Umminya Syed sihat dan bertambah sihat.

Itu hampir enam bulan dulu.

Sehari sebelum Eid, banyak berita yang mengejutkan kotaraya KL. Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kemalangan ngeri bas ekspres di Tangkak. Dan aku menerima sms lagi. Kali ini juga dari Syed.

”Ummi ana meninggal. Solat di Masjid selepas Zuhur.”

Cepat-cepat aku menalipon Syed. ”Bib! Soheh ke?”

”Ya. Sudah waktunya. Inna lillahi wa inna ilaihi raajiun.” Jawabnya tersedu.

Hari itu kami menghantar Umminya kepenginapan terakhir. Baik pemergiannya. Harinya dan bulannya dan waktunya. Ramai yang hadhir untuk menyolatkan.

Tinggal tahap ketiga – selepas alam ruh, janin dan dunia. Menuju ke-empat. Didoakan semoga Umminya Syed dalam keselesaan Barzakh.


Sunday, April 27, 2008

Tanah Kubur




Hari ini kami berkumpul di padang. Hampir kesemua kaum keluargaku yang berada di KL dan Selangor. Yang tertua dan yang termuda antara kami. Hampir kesemuanya. Tak mengendahkan panas dan lumpur. Ada yang berselut pada badan dan pakaiannya dan ada yang hanya pada kakinya. Begitulah. Dan meskipun tak ada ruang berteduh yang luas, kami berkumpul di tengah kepanasan matahari tengah hari untuk bertanya kabar, dan bertukar-tukar nombor talipon atau alamat. Bukan selalunya dapat berkumpul sebegini. Hanya bila ada kematian. Hari ini kami meyemadikan ibu saudara kami, adik kepada ayahku di Perkuburan Ibu Kota KL. Inna lillahi wa inna ilahi raaji’un.

Hampir keseluruh usianya almarhumah bukannya bermastautin di KL. Hanya pada sisa-sisa usianya sahaja dibawa ke sini untuk memudahkan penjagaannya. Tetapi itu hanyalah sebab. Sebagaimana riwayat at-Tirmizi yang menyebut sabda Rasulullahi sollahu ‘alaihi wassalam:

Apabila Allah memutuskan seseorang hamba mati di sebuah tempat, maka Allah akan menjadikan orang itu mempunyai hajat di tempat itu.*

Dan pada suatu hadith yang diriwayatkan oleh al Dailami secara marfu’, menyebutkan Rasulullahi sollahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Setiap yang diperanakkan yakni kanak-kanak, ditaburkan pada pusatnya (tanah) daripada tanah kuburnya. Maka apabila dia mati dikembalikan dia kepada tanahnya.*

Secara kebetulan juga semenjak bulan Mac lagi saya diperingatkan tentang mati beberapa kali. Kematian beberapa teman karib yang pergi tanpa sakit yang berlarutan. Bermula dari Habib Hassan Khatib. Dan terakhir hanya beberapa hari lalu, saya menerima sms dari seorang teman dari KB, “Whenever we met, Haji Mustaffa Wahab always inquired of you. But last Friday 18 he never did. He died. ” Innalillahi wainna ilahi raaji’un. Sebelumnya Akbar Zainal Abidin yang juga dari KB, hanya dua hari sebelumnya menyatakan kepada saya, “Ambo segar doh. Jjale pon kuat doh.”

Jarak waktu kematian antara ayah dan ibu saudara saya, yang merupakan dua beradik yang begitu akrab, hampir 6 tahun lamanya. Tetapi tak sekali-kali kami menyangka yang mereka ditakdirkan disemadikan pada perkuburan yang sama. Ayah di lot kubur 6660 dan almarhumah 9802. Begitulah persuratan.

Allahumma firlahum warhamhum.

* Kasyful Ghummah: Sheikh Daud al Fatani





Friday, February 01, 2008

Permintaan Ruh




Budaya Mesir berlainan dengan budaya kita. Apabila dikhabarkan tentang kematian, jawapan yang diterima adalah "Alhamdulillah". Ini mungkin akan memberi kejutan kepada masyarkat Melayu, seolah-olah kematian itu disyukuri. Mungkin kerana si mati itu amat dibenci, sangkaan pada si pendengar.

Apabila saya menyahut secara sama sewaktu menerima berita kematian Sohibus Samahah Datuk Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor yang disayangi ramai, reaksi yang diterima juga dengan ketidaksenangan. Lantas saya menjawab, "Syukur kerana almarhum tidak menanggung kesakitan yang lama; dan syukur kerana beliau pasti gembira menemui Khaliqnya."

Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un.
Allahummaghfirlahu warhamhu.



Ada dua permintaan ruh kepada malaikat. Pertama kepada malaikat maut, sewaktu nyawa akan dicabut,
"Tunggu sebentar, kerana aku ingin melakukan sedekah."
Begitulah besarnya fadhilat amalan sedekah, sehingga akan menyenangkan keadaan sewaktu akan mati.

Dan permintaan kedua, sewaktu akan disoal selepas mati,
"Tunggu. Hidupkan aku kembali kerana aku ingin beribadat."


Untung sekiranya kedua-dua diperkenankan! Tapi alangkah lebih beruntung sekiranya kedua-dua itu istiqamah dilakukan.