Powered By Blogger
Showing posts with label Ustaz Fadzil Noor. Show all posts
Showing posts with label Ustaz Fadzil Noor. Show all posts

Sunday, August 03, 2008

Pak Imad





Era 70-han, merupakan era peralihan paradigma dalam bidang pembelajaran kepada Bangsa Melayu di Malaysia. Pada era itu, murid-murid Melayu diberikan peluang untuk memasukki pusat-pusat pengajian sains dan teknologi, yang mana sebelumnya pintu masuknya dikunci rapi oleh bangsa-bangsa lain. Usaha ini dipelopori dengan gigihnya oleh Dato Patinggi Abdul Rahman Yaakob dan Tan Sri Ainuddin Wahid, ketika itu Rektor Institut Teknologi Kebangsaan - ITK (kini UTM).

Di samping itu Tan Sri Ainuddin juga menusukkan unsur dakwah kedalam jiwa anak-anak Melayu supaya mereka kelak menjadi teknokrat yang juga berkebolehan sebagai mubaligh. Untuk tujuan ini, dua tokoh yang dikehadapankan beliau. Mereka adalah Almarhum Ustaz Fadhil Nor yang ketika itu baru sahaja pulang dari Al Azhar; dan Ir. Imaduddin Abdul Rahim (Pak Imad) dari Institut Teknologi Bandung (ITB). Kedua-dua tokoh ini berkuliah dan berdakwah dengan gigih sehingga berjaya mempegaruhi ramai penuntut yang dulunya buta agama untuk ke surau ITK. Pada hari Khamis malam Jumaat Pak Imad dengan kuliah tafsirnya dan pagi Jumaat pula Ustaz Fadhil berkuliah subuh dengan Fi Zilaalil Quran karangan Syed Qutb. Kuliah mereka bukan setakat menarik jemaah dari ITK malahan dari pusat-pusat pengajian tinggi lain di KL dan Selangor, seperti UM, ITM, UPM dan UKM.

Kelmarin pagi Sabtu saya dikejutkan dengan sms dari Kamal Omar tentang kepulangan Pak Imad di Jakarta, selepas mengalami stroke beberapa tahun sebelumnya. Inna lillahi wainna ilaihi raaji'un. Muhammad Imaduddin Abdulrahim dilahirkan pada tanggal 3 Zulhijjah 1349H atau 21 April 1931M, di kota kecil Langkaat yang dikenal sebagai kota dengan tradisi keulamaan dan keislaman yang kuat, dan beliau merupakan juga pengasas Masjid Salman di ITB.



Thursday, April 10, 2008

Kenangan Makan Goreng Pisang

Pagi itu (dalam tahun 1999) Dr. Rosli bergegas menemui saya yang baru tiba di pejabat.

"Hang sibuk tak?" Sebelum sempat menjawab, "Ana tak dak kereta pagi ni, boleh tak kita pi ke Parlimen sat?" Beliau bukan orang Penang tapi begitulah gaya cakapnya, bercampur-campur ana dan hang dan dalam loghat Penang.

"Ada apa?" sahutku.

"Hari ni Parlimen mula bersidang. Ana nak jumpa Ustaz Fadzil sat." Mungkin ada sesuatu yang nak dipesankan kepada Ustaz Fadzil kerana Dr. Rosli ketika itu aktif dalam parti; mengetuai biro ekonomi.

Setibanya kami di Parlimen, bilik yang dikhaskan untuk MP pembangkang sudah penuh sesak. Ramai yang datang nak menemani MP-MP baru sebelum mereka masuk ke Dewan. Dan saya hanya tunggu di luar kerana tak mau menjadi nasi tambah pula dalam pertemuan mereka. Apabila loceng sidang berbunyi bergegaslah pahlawan-pahlawan baru yang akan pertama kali masuk gelanggang. Dari jauh saya memandang Ustaz Fadzil yang berjalan keluar dan masih dikerumuni kawan-kawan. Dan pandangan kami berpaut.

Ustaz Fadzil berpatah balik dan berjalan ke arah saya, dan kami berpeluk-pelukan. Katanya yang masih lekat di benak saya, "Kita dah menang." Begitulah. Rengkas.

Saya mengenali Allahyarham lama sebelum itu. Seringkalinya, setiap petang sekembali dari pejabat, saya singgah di Jalan Pahang, dan berbual-bual dengan teman-teman di Pejabat Pas. Syed, Ustaz Nakhaie, Pak Daeng, Subki dan lain-lain. Dan apabila Allahyarham berada sama, beliaulah yang bersusah payah menjamu kami dengan goreng pisang dan teh tarik yang dibeli Syed dari warong di seberang jalan hadapan Pejabat. Perbualan kami selalunya berkisar tentang menteri baru dari ABIM, yang latang dan bengis memerangi PAS ketika itu. Dan kami ketawa panjang apabila menilai keadaan betapa merebaknya lesen perjudian di waktu beliau gigih untuk meng-Islamkan kerajaan Malaysia. Dan PAS pula digelarnya parti kampung.

Itulah kenangan saya yang manis bersama Allahyarham.

Alangkah seronoknya sekiranya beliau bersama ketika ini. Selamat bersidang kepada ahli-ahli Parlimen Rakyat dan BN.