Powered By Blogger
Showing posts with label Tahir Efendi. Show all posts
Showing posts with label Tahir Efendi. Show all posts

Monday, April 17, 2006

Blog on Dogs

Dulu sewaktu Dr. Roza menceritakan mengenai peristiwa bapanya diherdik oleh seorang wanita, ekoran tegurannya terhadap kelaku anak wanita tersebut yang membaling-baling batu kepada anjing, terlintas difikiranku tentang sikap kebencian orang-orang Melayu kepada anjing. Dengan amat terlampau. Adakah najis menjadi penyebab untuk membenci? Seandainya begitu kenapa jemaah-jemaah masjid tidak mengambil sikap yang sama untuk membersihkan najis-najis di tandas masjid. Dan tidak meninggalkan begitu sahaja selepas membuangnya? Basmikan sehabis-habisnya. Dengan sepenuh kegeraman.

Dalam blog yang terdahulu pula Kim menyatakan hasratnya untuk membela anjing dan Lope pula menyingkapkan peristiwa yang menimpanya di Hudeidah apabila beliau ditanya tentang pegangan agamanya oleh orang yang sedang memeluk anjing. Sungguh menarik perihal anjing.

Dalam hukum fiqah, cara-cara melayani anjing dikaitkan kepada arahan Rasulullahi sallahu ‘alaihi wassalam, bersabit cara-cara membersihkan bijana air yang dijilat anjing. Penyuciannya adalah secara menyamak bijana tadi dengan menyucikannya dengan air dan tanah. Permulaannya dengan tanah dan kemudiannya dengan enam kali laluan air. Disinilah timbul perbezaan pendapat fuqahak tetang apa yang sebenarnya najis. Anjingkah atau air liurnya? Yang hidup atau yang mati? Maka berbezalah hukum antara mazhab-mazhab.

Imam Malik menganggap anjing sebagai suci ketika hidupnya. Imam Abu Yusuf dan al-Zahiri pula berpendapat, kulit-kulit anjing dan babi juga boleh disucikan secara menyamak, kerana hadis riwayat Muslim menyatakan: Apa jua kulit haiwan, suci apabila disamak. Imam Syafie pula berpendapat sebaliknya. Segala sentuhan anjing sekiranya basah; hidup atau mati, wajarlah disamak. Maka bagi orang Melayu, kemungkinan untuk menghindarkan daripada susah-payahnya untuk menyamak, maka anjing perlulah dihalau dan dipukul, dan telah menjadi seperti budaya hingga ke hari ini. Senang begitu. Tetapi lupakah kita tentang kisah seorang pelacur yang dijanjikan syurga kerana memberi minum anjing yang hampir-hampir maut akibat kehausan yang amat?

Tidak terdapat sepatah pun ayat dalam al Quran yang mengeji anjing. Malahan terdapat dalam al Quran cerita mengenai Qithmir, anjing yang mengikut pemuda-pemuda ashabul kahfi kedalam gua. Dalam hadith riwayat Muslim yang disebut oleh Imam Nawawi, dalam kitabnya al-Mubarakafuri - Tuhfat al-Ahwadhi ada menceritakan bahawa Rasulullah sendiri ada memelihara anjing. Akan tetapi setelah dikhabarkan oleh Jibrail tentang keengganan malaikat pembawa rahmat untuk memasukki rumah yang ada anjing, maka Rasululullah telah mengeluarkan anjing tersebut daripada rumahnya.

Itulah anjing, disalah anggap oleh kita sehingga menjadi sinonim kepada kehinaan, sebagaimana pertelingkahan dua orang sahabat, seperti terdapat dalam puisi Turki lama, yang mana seorang yang bernama Tahir, telah memanggil sahabatnya yang lain dengan panggilan 'anjing'. Maka mangsa penghinaan tadi pun mengeluh:

Tahir efendi bana kelp demiş,
iltifatı kendince zahirdir;
Maliki mezhebim benim zira;
İtikadımca kelp tahirdir.

Tahir Effendi menggelarku sebagai anjing yang dikeji;
Malahan itu kepujian untuknya sendiri secara zahir;
Kerana aku bermazhab maliki;
Dan itikad kami bahawa anjing itulah tahir.
Nota:
Efendi: Gelaran hurmat untuk lelaki.
Tahir: Bersih atau suci


Kebanyakan fuqahak membenarkan pemeliharaan anjing-anjing untuk keperluan hidup seperti memburu, menjaga ternak, mengawal keselamatan dan menjaga ladang atau tanaman. Akan tetapi diharamkan untuk tujuan peliharaan biasa atau untuk pertunjukan atau pameran.

Alkisah, Aba Yazid al Bistami, pada satu ketika telah terserempak dengan se ekor anjing di satu laluan yang sempit. Untuk mengelakkan dirinya daripada terlanggar dengan anjing tersebut dan terkena najis, maka beliau pun mengundurkan diri ke belakang. Tiba-tiba terdengar oleh Aba Yazid kata-kata anjing tersebut kepadanya,”Adakah hinanya aku sehingga engkau menjauhkan dirimu daripadaku? Adakah aku memilih untuk dijadikan anjing? Dan adakah kamu dilahirkan manusia atas pilihanmu sendiri?” Mendengar kata-kata ini Aba Yazid diceritakan telah mengambil anjing tersebut sebagai gurunya. Wallahu a’lam.

Sebuah karangan sufistik masyhur oleh Muhammad ibn Khalaf Ibn al-Marzuban, bertajuk Buku Tentang Ketinggian Kedudukan Anjing-anjing Berbanding Kebanyakan Mereka yang Berpakaian, menceritakan tentang ketinggian sifat-sifat dan ketaatan anjing berbanding manusia yang penuh dengan penipuan dan kedurjanaan.

Dulu aku pernah menjadi tamu di rumah seorang kawan yang ada memelihara se ekor anjing Alsatian yang begitu jinak. Menjadi rakan bermain anak-anaknya dan anjing itu begitu manja dengan mereka. Sewaktu aku tiba di rumah tersebut, tuan rumah telah menyediakan selipar yang baru dan bilik khusus supaya dapat aku mengerjakan solat tanpa gangguan. Dan setiap kali aku ke ruang tamu, anjing tersebut dibawa keluar atau diletak di tempat yang jauh daripada ruang tersebut. Suatu pagi sewaktu aku bersendirian dirumah, aku ternampak anjing tersebut merenungku dari jauh dan kemudiannya anjing itu berjalan-jalan mengelilinggi ruang tamu di mana aku sedang duduk sambil membaca akhbar. Dengan tak disedari, sewaktu aku sedang khusyuk membaca, anjing terebut melompat ke atas ribaku dan terus menjilat tanganku. Sungguh memeranjatkan. Agaknya anjing tersebut hairan kenapa selama dua hari aku di situ, tak sekali pun aku menggosok-gosok kepalanya atau menegurnya. Begitulah sayangnya dan berperasaannya anjing kepada manusia.