I.
Satu masa dulu di Sydney. Semasa melangkah masuk ke dalam teksi melalui pintu kanan di belakang pemandu. Pemandu teksi tersebut bertanyakan aku dengan nada tinggi. "What did you say?"
Aku tergamam, "I didn't say anything."
"No you said something. What did you say?" hentaknya.
Kawan-kawanku terkejut. Kehairanan. Mereka menyangkakan aku telah berkata sesuatu yang menyakiti hati pemandu tadi.
"You said something when you entered the taxi," dia menyambung lagi.
"No. I did not say anything." Aku meninggikan suara sambil membetulkan tali keledar.
"Yes. Did I hear you say Bismillah..." dia. Dengan suara yang lebih tinggi.
"Of course I said Bismillah..." Aku membalas.
"You are Muslim?" dia mengalih pandangan kebelakang.
"Alhamdulillah I am," aku menyahut.
"Asssalamu alaikum," dia menghulurkan tangan, "I am Mohammad. From Palestine."
Ah. Lega kami semua. Dan masing-masing memperkenalkan diri.
Itulah takdir pertemuan. Selalunya kami tak berbual dengan pemandu teksi kalau di Sydney, kerana bahasa mereka kadangkala kasar dan jarang pula yang ingin berbual.
Dalam perjalanan untuk pulang ke hotel kami berbual rancak tentang cara-cara masyarakat Islam mendidik anak-anak di tengah-tengah budaya yang bertukar-tukar dari kuning ke hitam. Tentang Palestine. Tentang sikap kerajaan terhadap pelarian Palestine. Dan tentang makanan halal. Dan hari itu kami makan halal di kedai Arab yang agak jauh dari kota Sydney, iaitu di Lakemba. Sempat bersolat di masjid Lubnan sebagai kesaksian ingatan kami kepada Allah dan yang pentingnya mendapat kawan baru.
II.
Dan satu lagi peristiwa lain. Sewaktu di Frankfurt, semasa tiba dari Leipzig dalam perjalanan pulang ke KL, entah apa kesilapannya, pegawai di Steigenberger Hotel yang terletaknya di Frankfurt Airport (di mana tempahan bilik telah dibuat oleh seorang sahabat) menafikan bahawa kami ada tempahan untuk bermalam di situ. (Selepas pulang, teman yang membuat tempahan telah memohon maaf kerana rupanya tempahan yang dibuatnya adalah pada hari berikutnya. Kesilapan haribulan!) Kerana kepenatan, aku malas untuk bertengkar panjang dengan pegawai hotel itu. Lantas aku mengajak temanku ke sebuah hotel lain, letaknya agak 3km. dari airport, yang menjanjikan bilik kepada kami sekiranya perlu.
Di perhentian teksi sewaktu itu ada dua buah teksi yang sedang menunggu pelanggan. Apabila diberitaukan destinasi, pemandu teksi pertama, yang berbangsa Afrika telah memanggil pemandu teksi yang di belakangnya dan bercakap-cakap sesuatu. Sangkaan kami, hari itu kami pasti akan dijual. Manalah tau.
"I will take you Sir," sahut pemandu kedua kepada kami. Kami tak berkata apa-apa dan terus menaikki teksinya.
Dalam perjalanan ke hotel, apabila beliau ditanya kenapa pemandu pertama tak mau mengambil kami,"No Sir, he wants to go to the City to change shift. Your hotel is off the way." jawabnya. Ahh, barulah lega perasaan kami.
Kemudian dia berpaling ke belakang dan bertanya, "You Malaysian? Last week I drove a Malaysian for few days," bilangnya dengan megah. Dan perbualan pun menjadi rancak. Sempat berbual tentang asal usulnya, waktu solat, makanan halal dan macam-macam lagi. Sesampai di hotel, dia menawarkan diri, "Tonight I take you to the Turkish mosque, then we go for dinner at a Turkish restaurant."
Alhamdulillah bukan satu masjid yang sempat kami tinggalkan kesaksian tahyatul masjid, tetapi di dua buah yang masing-masingnya berjauhan. Begitulah mesranya Ibrahim, nama pemandu tersebut, dengan kami. Beliau yang berbangsa Kurdish dan bermazhab Syi'ah, merupakan pelarian dari Turki. Selepas makan di sebuah restoran Turki, Ibrahim mengsyorkan pula kami singgah dirumahnya. Waktu itu sudah larut malam. Sesampainya kami di rumahnya, isterinya telah menunggu dengan juadah teh dan baklava, satu manisan Turki yang masyhur.
Keakraban yang terjalin itu bukanlah menghairankan, kerana pastinya ia timbul dari persamaan agama di antara kami dan Ibrahim (meskipun dia seorang Syi'ah). Tapi menghairankan apabila beliau tak mau menerima apa-apa bayaran upahan dari kami. Bersungguh-sungguh menolak pemberian kami.
Pagi keesokannya selepas Ibrahim menghantarkan kami pulang ke airport, temanku menghulurkan wang ke tangannya dan menyatakan, "This is for your children."
III.
Aku yakin bahawa perlindungan dari Allah SWT timbul dari keberkatan sedekah sebagaimana pesanan ibuku supaya sentiasa bersedekah sebelum bermusafir.
