Powered By Blogger
Showing posts with label Do'a Ziarah Rasulullah. Show all posts
Showing posts with label Do'a Ziarah Rasulullah. Show all posts

Sunday, June 18, 2006

Hari Bapa. Hari Ayah. Hari Pak. Hari Bak.

Hari ini rupa-rupanya Hari Bapa. Aku telah diperingatkan tentang Hari Bapa dari blog-blog yang aku ziarahi, dua tiga hari lepas. Tetapi kerana kebiasaan tak menyambut hari-hari khas sebegini, maka tak ku nukilkan di ingatan bila sebenarnya jatuh Hari Bapa. Hari yang telah ditetapkan tanpa usah berukyah. Hanya berhisab. Tanpa keperluan untuk diistiharkan oleh Pemegang Mohor Majlis Raja-raja. Malahan hari Maulud juga tak ku ingat bila akan bertepatan dengan tarikh Gregorian. Yang aku pasti 12 Rabi’ul Awwal tu tarikh kelahiran Rasululluahi sollallahu ’alaihi wassalam, dan yang aku pelajari dari syarahan Maulud Dato’ Asri Haji Muda dulu, maulud disambut pada bulan-bulan Hijriah yang berakhir dengan awwal dan akhir. Itulah kebiasaan masyarakat pondok di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Patani.

Pagi ini aku dikejutkan oleh anakku Mizdan, dengan ucapan ”Selamat Hari Bapa, Ayah”

”Bila?’ tanyaku.

”Hari ini!” jawabnya.

Seminggu lepas, aku telah keliru dengan hari. Sangkaku pada suatu hari yang lepas adalah hari Khamis dan aku hanya bersantai dirumah meskipun telah diberitau isteri bahwa itu adalah Jumaat. ”Tak,” kataku, "besok Jumaat." Beliau hanya diam kerana sangkanya mungkin beliau yang tersilap. Beberapa minit kemudian, aku menerima panggilan dari pejabat memperingatkan bahawa ada temujanji pada pukul 10 hari itu. ”Besok,” jawabku, ”pada hari Jumaat, bukan hari ini!”. Dan jawapan yang ku terima, membuatku tersentak, bahawa sebenarnya aku tersilap hari.

Hari Jumaat. Ritual ku pada pagi-pagi lagi, menziarahi pusara Ayah, dan pada hari itu ternyata aku sudah amat terlambat. Cepat-cepat aku mempersiapkan diri dan terus ke perkuburan dalam perjalanan ke pejabat. Tetapi hari itu, aku di lupakan oleh Allah SWT tentang banyak perkara-perkara. Sesampai di kubur Ayah, selepas memberi salam, aku menjadi tergamam. Aku terlupa bacaan Selawat Syajarah yang sudah menjadi amalan kebiasaan. Berkali-kali aku cuba memperingatkannya, tetapi selawat tersebut terlepas daripada ingatan. Ku cuba lagi selawat-selawat lain yang selalu menjadi bacaan hadiah untuk arwah-arwah. Juga terlupa. Dan dengan linangan air mata, aku merenung ke kubur ayahku dan menyedari bahawa hari-hariku dan usiaku juga sudah jauh berlalu. Jauh tertinggal dan terbiar sehingga pada hari ini Allah SWT telah mengambil ingatanku hanya buat seketika, dan aku menjadi begitu kelam-kabut.

Meskipun ayahku sudah hampir lima tahun ke alam Barzakh, tetapi ingatanku kepadanya masih kuat sekali. Amat kuat. Aku malu kepadanya kerana tidak menjadi seorang bapa sepertinya. Ayahku tak tinggi pelajarannya. Hanya peringkat Thanawi, dan mempelajari Inggeris hanya di kelas-kelas malam. Tetapi arwah Ayah mempunyai pengetahuan ilmu yang luas. Baik ilmu dunia atau ilmu ukhrawi. Daripada beliaulah kami adik-beradik menimba ilmu-ilmu terutamanya tentang ilmu agama.

Kali terakhir aku bersamanya adalah dua hari sebelum beliau pulang kerahmatullah. Pada satu pagi Jumaat sewaktu dalam perjalanan ke pejabat aku memarahi diriku sendiri kerana tak menjadikan tabiat membaca al Quran atau wirid-wirid sewaktu dalam perjalanan ke pejabat atau kemana-mana. Sebagaimana kebiasaan Ayah. Dan pada tengah-hari tersebut sebaik melangkah keluar dari masjid, aku menerima panggilan daripada anak saudaraku Nadiah, untuk memberitahu bahawa Tok Wan-nya rebah di masjid, sewaktu bersolat Jumaat. Aku menerima berita itu dengan tenang, dan memang terlintas pada hatiku bahwa beliau telah meninggal, meskipun kesihatannya seperti biasa. Aku menalipon abangku di London untuk menyampaikan berita dan menalipon lagi kepada adikku (bapa kepada Anak Saudara MIA), dan kepada anak sulungku Adem supaya membuat persiapan sekiranya betul Ayah telah meninggal. Dan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah barulah terlerai air mata kerana kehibaan kehilangan ayah. Bukan hanya kehilangan seorang bapa tetapi kerana kehilangan tempat kami menimba ilmu.

Seminggu dua ini memang ingatanku kepadanya kuat kembali kerana hanya dua minggu lalu tiga orang rakan masjidnya datang menziarahiku dan seorang daripada mereka, yang tak pernah aku ketemui, menanggis apabila melihatku. ”Ini anak Pak Wan ke?” tanyanya, ”He was my colleague many years ago. I remember when I was in Kota Baru, he used to call me from Kuala Terengganu, and his first question was always, ’Dah sembahayang ke?' In fact, in 1961, I advised him to accept his promotion and be transferred to KL.” Tak habis-habis beliau menceritakan pengalamannya bersama Ayah, dan apa-apa yang dipelajarinya daripada arwah Ayahku.

Setahun selepas kematian Ayah, sewaktu aku di Masjid Nabawi, terlintas pada ingatanku akan kebiasaan pesanan Ayah untuk disampaikan salamnya kepada Rasulullahi sallahu ‘alaihi wassalam. Dan apabila aku membuka buku Do’a Ziarah, terjatuh sekeping kertas yang tertulis rapi dengan tulisan Ayah, “Assalamu 'alaika ya Rasulullah. Assalamu ‘alaika ayyuhan nabi, warahmatullahi wabarakatuh.” Seakan-akan Ayah ketahui tentang ziarahku ke makam Rasul.

Dan hari ini pula adalah Hari Bapa. Aku tak dapat memberi ucapan yang sama kepadamu Ayah, sebagaimana ucapan yang aku telah terima daripada anakku yang juga cucumu. Tetapi hanya do’a yang dapat ku mohonkan kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT memberi kepada mu, wahai Ayah, kasihan belas sebagaimana belas kasihannya kamu, wahai Ayah, kepada kami, sewaktu kami kecil-kecil dulu. Semoga kuburmu menjadi sebahagian daripada kebun-kebun di syurga, wahai Ayah. Semoga aku menerima syafa’at Rasulullahi sollallahu ’alaihi wassalam wahai Ayah, supaya aku dapat bertemu lagi denganmu dan dengan Che (ibu), di alam akhirat nanti.


Wa inna inshaa Allahu bikum la hiquun.