Powered By Blogger
Showing posts with label 'Amr Diab. Show all posts
Showing posts with label 'Amr Diab. Show all posts

Tuesday, February 07, 2006

'Amru wa 'Amru

I.

Kenalkah anda kepada 'Amr Diab, penyanyi muda serta kacak (mungkin seperti Tuan A Jones) dari Mesir? Semenjak 1986, album Al Tarek-nya mencapai sukses yang mengejutkan dan setakat ini, beliau telah mengeluarkan 24 ‘top-selling albums’ sehingga terlekat gelaran ‘Super Star of the Pop Arab World’ kepadanya.

Aku mula mengenali 'Amr Diab daripada video-clip lagu Tamaly Ma’ak sewaktu di Manama (Bahrain) dua tahun lalu dan mungkin tertarik kepadanya kerana kasihan belasku kepadanya, setelah menonton klip itu. Mengapa dan kenapa seorang pemuda yang kelihatan bersopan serta sebegitu kacak, ditinggalkan oleh seorang gadis yang tak kurang hebat juga kecantikannya. Apakah dosa pemuda yang berjanggut rapi dan berpakaian kemas ini sehingga tidak diterima oleh ibu kepada gadis tersebut. Mengapa, aku bertanya diriku. Mengapa? Aduh sungguh sedih.

Sewaktu transit di Dubai, dalam menghabiskan waktu di airport sementara menunggu pesawat ke KL, aku telah membeli CD The Best of Amr Diab, cadangannya sebagai hadiah untuk anak-anakku.

Setibanya di rumah, anak ketigaku bertanya, “Ini Ayah beli di mana?”

“Dubai,” aku menjawab megah.

“Kenapa jauh sangat, kan di KLCC ada jual?” sahutnya.

Aduh, tercucuk rasanya ulu hatiku.


II.

Bagaimana populernya 'Amr Diab, taklah sehebat seorang akauntan yang berjaya di Mesir, yang telah muncul sebagai pendakwah yang amat populer, 'Amr Khaled,

Motifnya adalah untuk menarik pemuda-pemudi kepada akhlak Islam dalam kehidupan harian, dan dalam ceramah-ceramahnya beliau menyentuh tentang hal-hal yang berkait dengan kehidupan harian masyarakat Mesir, pada awalnya, seperti perhubungan antara muda-mudi, cara berpakaian, gejala berpoya-poya, gejala minuman keras, hijab dan lain-lain hal yang menimbulkan masalah muda-mudi Islam kontemporari. Gaya yang disampaikan beliau menyebabkan penonton serta merta menyesal di atas kelalaian mereka dalam meninggalkan akhlak Islamiah. Paling effektif.

Ramai anak-anak gadis Mesir misalnya mula berhijab selepas mendengar nasihat beliau. Panggilan beliau untuk berhijab adalah dengan membuktikan bagaimana pendedahan aurat amat berbahaya kerana katanya, ‘Seorang wanita boleh menggoda seratus orang lelaki, sebaliknya seratus orang lelaki tak semestinya boleh menggoda seorang wanita’. Kejayaan beliau telah menyebabkan beliau digelar ‘Islam's Billy Graham’.

Pengikut setia 'Amr Khaled terdiri dari anak-anak orang kaya Kaherah terutamanya, yang kebanyakannya hampir-hampir hanyut dalam kesenangan. Dalam satu ceramahnya tentang bantuan malapetaka yang ketika itu melanda satu daerah pendalaman di Mesir, panggilannya untuk memberi bantuan pakaian telah disambut dengan penghantaran berpuluh-puluh kontena pakaian dalam hanya beberapa hari. Dan bukannya pakaian terpakai, akan tetapi yang baru-baru. Begitulah cara beliau mengajak masyarakat Mesir berkorban.

Matlamat 'Amr Khaled adalah untuk membawa Islam kepada masyarakat Mesir khususnya, melalui perubahan kepada diri, keluarga dan masyarakat, dan bukannya perubahan negara melalui pentas politik. Disebabkan kepopuleran beliau, kerajaan Mesir yang sememangnya takut kepada pengaruh Islam, telah menghadkan dakwah beliau. Tetapi ini telah menimbulkan satu rahmat kepada masyarakat Islam di seluruh negara Arab di Afrika Utara dan juga di Eropah, disebabkan sebuah stesen TV Arab, ART yang memancarkan progremnya keseluruh Afrika Utara dan Eropah, telah mengambil beliau sebagai konsultan tetap untuk progrem agama di TV. Dan kini progrem 'Amr Khaled menjadi antara progrem yang terpopuler yang disiarkan oleh ART.

Imachee, untuk menjawab pertanyaan anda, beginilah cara yang kita patut berdakwah. Inilah contoh personaliti yang kita nantikan di Malaysia. Yang boleh menembusi hati muda-mudi Melayu khasnya dan masyarkat Melayu ’amnya untuk kembali kepada akhlak Islamiah. Kerana demokrasi bukannya lagi cara yang terbaik dan terbijak untuk membentuk hala tuju masyarakat Islam.

'Amr Khaled kini berada di Birmingham kerana melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.

III.

Di antara dua 'Amr aku memilih 'Amr yang boleh membawaku ke kebahagiaan ukhrawi. Sah!